BAB 33

Romance Series 154867

UYAINA sengaja mengajak Harlina melawat tempat-tempat yang menarik dan bersejarah di Kota London. Sesekali Harlina membuka kisah lucu yang mencuit hati Uyaina, membuatkan Uyaina tergelak tanpa henti. Sudah lama rasanya dia tidak tergelak seperti itu. selama hampir lapan bulan di bumi London, dia lebih banyak termenung memikirkan nasib dirinya.
“Aku pasti yang ini ketawa kau yang paling gembira setakat ni,” teka Harlina sambil mengerling Uyaina seketika.
Terhenti tawa Uyaina. Kerlingan Harlina dibalas sekilas. Senyum segaris diukir. “Entahlah Har. Aku sendiri tak pasti bila kali terakhir aku ketawa macam ni.”
Harlina tersenyum sambil membuang pandang ke lautan manusia yang berada di sekeliling mereka.
“Bila kau nak kahwin?” soal Uyaina lembut.
Harlina juihkan bibir. Banyak-banyak topic, kahwin juga yang ditimbulkan oleh Uyaina. “Tak nak aku kahwin. Kang jadi macam kau. Tak sampai seminggu jadi janda.”
Uyaina diam seketika. Kata-kata Harlina itu sedikit sebanyak menyentak tangkai hatinya. Bibir diketap perlahan.
Sedar ketelanjuran kata, Harlina garu kepala. Wajah suram Uyaina dikerling.
“Aku minta maaf, Aina. Aku…”
“It’s okey. Aku sedar siapa diri aku,” pintas Uyaina. Bukan nak terasa hati, tapi itulah hakikat yang perlu dia terima. Bergelar janda di usia 24 tahun memanglah satu perkara yang bukan mudah.
Harlina diam. Sedarlah yang Uyaina sudah terasa. “Aina… aku doakan kau jumpa lelaki yang betul-betul nak jaga kau dan nak bahagiakan kau.”
Uyaina tersenyum hambar. Kerusi yang berada di tepi jalan didekati lalu punggung dilabuhkan di siti. Wajah Ikmal menghantui dirinya seketika. Dia tidak pernah bercerita tentang Ikmal kepada Harlina kerana tidak mahu menimbulkan syak wasangka Harlina. Selama ini dia hanya menganggap Ikmal sebagai sahabat.
“Petang ni, ikut aku pergi rumah kawan aku…” Uyaina jongket kening sambil memandang Harlina yang baru melabuhkan duduk di sisinya.
Harlina berkerut dahi. “Kau ada kawan kat sini?”
Uyaina gelak seketika.
“Kau ingat aku ni kera sumbang ke? Tak reti bergaul?” soal Uyaina separuh menempelak. Mahu ditempeleng kepala Harlina sekejap.
Harlina ketawa besar mendengar soalan itu. “Bukanlah. Tapi… kau ni kan jarang nak berkawan. Dengan aku dulu pun, aku juga sibuk nak berkawan dengan kau. Kalau tak, memang kau tak layan aku pun.”
Uyaina diam sambil menggariskan senyuman tipis. Teringat kembali bagaimana Harlina bersusah payah mahu mendekatinya satu ketika dahulu. Ya, dia agak sombong jika orang tak kenal dia dengan rapat. Tapi, kalau orang dah kenal, pasti mereka akan tahu bagaimana gilanya perangai dia yang sebenar.
Deringan telefon yang berada dalam kocek seluar, mengejutkan Uyaina. Pantas tangan menyeluk kocek seluar sambil mata mengerling Harlina yang sudah kehairanan. Pasti tertanya siapa yang sibuk menghubungi Uyaina ketika itu.
Nama Ikmal tertera di dalam skrin membuatkan Uyaina mengeluh kecil. Pasti nak bertanya khabar. Sudah tiga hari lelaki itu tidak menghubunginya kerana sibuk. Dia tidak kisah pun. Dia lagi suka lelaki itu tidak menghubunginya.
“Ikmal? Siapa Ikmal?”
Tersentak Uyaina ketika menerima soalan mengejut itu. Pandangan dialih ke kiri. Harlina sedang memandang dengan pandangan ingin tahu. Kening siap terjongket bersama panahan mata yang tajam.
“Kawan aku,” kata Uyaina pantas sambil bangun dari tempat duduknya. “Kau tunggu sini. Aku nak jawab call jap,”
Makin curigalah wajah Harlina bila mendengar kata-kata Uyaina itu. Kenapa nak jawab jauh-jauh? Ni mesti ada apa-apa, getus hati Harlina. Hati yakin sangat yang Ikmal itu ada sesuatu dengan Uyaina. Namun didiamkan saja.

“ASSALAMUALAIKUM,” sapa Ikmal lembut sebaik Uyaina menekapkan telefon ke telinga.
“Wa’alaikumsalam. Ada apa call ni?” tanya Uyaina lembut.
Ikmal tergelak sekilas. “Call bakal isteri pun tak boleh?”
Uyaina berdecit sambil memandang Harlina yang sedang memandangnya dengan pandangan curiga.
“Bukan tak boleh…”
“Awak sibuk ye? Kalau sibuk… nanti saya call balik ye,” pintas Ikmal laju.
Uyaina tarik nafas dalam-dalam. Takut lelaki itu terkecil hati. Bibir diketap perlahan. Mencari cara untuk tidak menyakiti hati lelaki itu.
“Bukan macam tu. Tapi sekarang… saya tengah dekat luar dengan kawan,”
“Kawan lelaki ke perempuan?” soal Ikmal pantas. Hati tiba-tiba tidak senang mendengar kata-kata Uyaina. Rasanya belum pernah lagi Uyaina menjawab panggilannya ketika bersama rakan.
Uyaina diam sesaat. Lelaki ni dah kenapa? Laju benar tanyanya. Cemburu ke? Hati Uyaina berkata sendiri. Risau juga.
“Bukanlah. Saya mana ada kawan lelaki.” Uyaina mematikan kecurigaan yang bermain di fikiran Ikmal.
Ikmal sungging senyum di hujung talian. Senang hati mendengar jawapan Uyaina. “Alhamdulillah… so, boleh kita berbual sekejap. Saya nak lepaskan rindu kat awak?”
Uyaina diam dan mengangguk seolah Ikmal ada di hadapannya.”Boleh. Sekejap je…”
“Okey… I miss you and I love you. I want you to be my wife…” Ikmal terus menyatakan ayatnya sekaligus membekukan minda Uyaina.
“Er…” Uyaina hilang kata-kata. Sempat telefon itu dijauhkan dari telinganya. Entah mimpi apa lelaki itu sampai kena ucapkan semua ayat itu padanya.
“Saya tak nak jawapan sekarang. Cuma saya harap satu masa nanti, awak akan balas apa yang saya ucapkan pada awak sama ada cepat atau lambat. Boleh?” Ikmal menyambung kata-katanya.
Uyaina menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak tahu bila dapat membalas ayat Ikmal itu. Bibir diketap kuat. “Ikmal… awak tahukan…”
“Saya tahu awak takut terluka. Awak takut hidup awak disia-siakan dan paling penting awak tak bersedia dengan semua ini. Itu yang awak nak cakap kan?” pintas Ikmal lembut. “Saya tetap akan tunggu, Aina. Sampai bilapun…”
“Biarpun sampai hujung nafas saya?” Uyaina menduga.
“Yes! Bukan setakat sampai hujung nafas awak. Tapi sampai hujung nafas saya…”
Uyaina mengeluh kecil. Sampai bila lelaki itu mahu mengharap padanya.
“Ikmal…”
“Uyaina, saya ada meeting ni. Nanti saya call awak balik. Jaga diri tau sayang. I love you, I miss you dari hujung rambut sampai hujung kaki. Assalamualaikum…”
Belum sempat Uyaina menjawab, talian sudah dimatikan sepenuhnya. Uyaina ketap bibir sambil merenung telefon itu.

“AMBOI, bermiss you, ber I love you....”
Tersentak Uyaina. Tak sedar pula Harlina sudah berada di sisinya. Mata menjeling Harlina sedas. “Laju je kau kan?”
Harlina tergelak seketika. Kening dijongket nakal. “Sape tu? Buah hati ke?”
Uyaina cebik bibir sambil membawa langkah menuju ke kerusi tadi. Harlina setia mengekori langkahnya.
“Sharelah ngan aku. Jangan nak kedekut sangat,” kata Harlina tidak putus asa.
Uyaina diam lagi. Punggung dilabuhkan di kerusi sambil mata membuang pandang ke arah lain. wajah sedikit berbahang. Malu bila Harlina akhirnya dapat tahu tentang Ikmal.
“Dia seorang lelaki yang baik, Har. Bukan untuk aku,” keluh Uyaina lemah.
Harlina mengambil tempat di sisi Uyaina sambil dahi dikerutkan. Maksud kau?”
Uyaina memandang wajah Harlina seketika. Untuk apa lagi dia berahsia tentang Ikmal. Harlina sudah tahu segalanya. Satu persatu kisah dibuka. Dari awal pertemuan sehinggalah kali terakhir Ikmal datang ke London.
Harlina hanya mampu tayang riak kagum. Tak sangka dalam diam, ada lelaki yang sanggup pertaruhkan dirinya untuk Uyaina.

“AKU tak sangka. Akhirnya kau jumpa juga jodoh kau,” komen Harlina sebaik Uyaina habis bercerita.
Uyaina mengeluh kecil. “Aku tak layak untuk dia, Har. Masih banyak lagi perempuan yang lebih baik dari aku,”
Harlina berdecit. “Kau tuhan ke? Sampai nak tentukan yang kau layak untuk dia ataupun tidak?”
Uyaina tunduk menekur tanah. Perut yang memboyot, diusap lembut.
“Aku ni perempuan yang bawa bala. Janda.”
“Yang bawa bala tu keluarga kau. Bukan kau. Tak pun, si sengal yang tak sedar diri. Yang kau sibuk nak kata diri kau tu bawa bala, kenapa? Sepatutnya kau duduk atas sejadah, doa baik-baik untuk diri kau dengan Ikmal. Bukan kau sibuk nak tentukan yang kau layak atau tak untuk dia. Allah tak akan hadirkan seseorang dalam hidup kau tanpa sebab. Mungkin ini hikmah yang Allah beri selepas penderitaan kau selama ni,” kata Halina separuh geram. Wajah Uyaina ditatap sedalamnya.
“Entahlah Har. Aku penat nak fikir benda ni.” Uyaina memintal hujung baju bersama rasa sebak yang tiba-tiba hadir.
“Kau tak perlu fikir pun. Kau Cuma perlu reda dengan apa yang jadi. Ikhlaskan hati untuk Ikmal. Tak salah kau bagi dia peluang. Mana tahu, dia kebahagiaan yang kau cari selama ni?”
Uyaina diam. Hanya menunduk dan terus menunduk.

“INGAT, Aina. Semua yang datang dalam hidup kita ni ada hikmahnya. Sama ada kau terima lelaki yang sanggup hadapi kelemahan dan kekurangan kau atau kau lepaskan dia macam tu saja dan menyesal di kemudian hari.”
Pesanan terakhir Harlina terus bergema dalam kepala Uyaina. Hati dilanda gelisah yang tidak menentu. Hati ingin menerima. Tapi bila ingat siapa dirinya, niatnya mati serta merta. Dia dan Ikmal jauh bezanya. Umpama enggang dengan pipit. Satu perkara yang dia dapat tahu dari Khalil, Ikmal bukan anak orang sebarangan.

Assalamualaikum Guys... Sepuluh jari Eyfah susun nak minta maaf. Sungguh, Eyfah sibuk. Tak sempat nak update. Lepas Kerajaan Negeri Umum Papar masuk Zone Satu, Eyfah terus merentas ke rumah mak mertua. Kat rumah Mak mertua tak dapat nak main phone sangat. Eyfah tak berani. Malu... Maaf tau semua. Kepada yang dah beli BAHAGIA DERITA SEMALAM dengan KU MAHU HATIMU, terima kasih banyak. Alhamdulillah... Buku dah sold out. Tapi kilang baru pos ke tempat Eyfah. Terima Kasih! Terima Kasih! Terima Kasih! Sayang Korang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience