DATIN SUMAIYAH mengerutkan dahi sebaik membuka pintu rumah. Terkejut melihat Ikmal terpacak di hadapan rumah tanpa Uyaina. Leher dipanjangkan, mencari kelibat Uyaina.
"Tak payah cari. Mal datang seorang," kata Ikmal sambil mencapai tangan Datin Sumaiyah untuk bersalaman lalu masuk ke dalam rumah.
Bertambah hairan Datin Sumaiyah mendengar kenyataan itu.
"Mana Aina. Kenapa tak ikut sekali?" tanya Datin Sumaiyah. Wajah Ikmal ditatap sedalamnya. Ingin menyelami isi hati anaknya.
Ikmal melakar senyuman yang paling indah khas untuk Datin Sumaiyah. Tidak mahu masalah rumahtangga mereka jadi perhatian keluarga. Tidak mahu aib isterinya dipertikaikan keluarga. Masalah mereka, biarlah mereka saja yang tahu.
"Aina outstation. Ada urusan kat kampung," beritahu Ikmal tanpa teragak-agak.
Datin Sumaiyah diam. Hanya mata mencari kekurangan di balik wajah Ikmal. Tapi gagal mengesan. Bibir kemudian menguntum senyum. Lega sedikit biarpun sebenarnya dia masih mengesyaki ada yang tidak kena.
"Mal dah makan?" tanya Datin Sumaiyah lembut.
Ikmal tersenyum sambil mengangguk kepala. "Mal naik dulu. Nak rehat."
Datin Sumaiyah mengangguk tanda faham. "Pergilah naik. Rehat. Ada masa, kita borak." Datin Sumaiyah memberi arahan tanda memahami keadaan anaknya itu.
Ikmal mengukir senyuman. Biarpun pahit di hati tapi kelihatan manis di pandangan Datin Sumaiyah.
UYAINA memejam mata erat. Cuba menenangkan hati yang gelisah, tapi gagal. Sudah berkali-kali dia cuba menghubungi Ikmal tapi langsung tidak berjawab. WhatsApp juga langsung tidak dibuka. Perlahan tubuh dibaringkan ke sofa. Dengan harapan, Ikmal balik menemaninya.
"ABANG, Aina minta maaf. Balik please. Aina tak boleh tidur tanpa abang."
Ikmal merenung mesej yang dihantar Uyaina itu tanpa perasaan. Sehingga ke saat ini, hatinya masih hampa mengenangkan tindakan Uyaina. Mengambil pil perancang tanpa bertanya dengannya, sedangkan Uyaina tahu yang dia sangat mengharapkan kehadiran cahaya mata untuk mengeratkan hubungan mereka berdua.
Merajuk? Bukan merajuk. Cuma terkilan dan kecewa. Nampak sangat Uyaina tidak percaya pada dirinya. Nampak sangat Uyaina tidak kisah tentang perasaannya.
Tubuh dihempas malas ke atas katil bersama hati yang kecewa. Mata dipejam seerat yang boleh. Cuba melelapkan mata sejenak. Lari dari segala rasa yang membelenggu diri ketika itu. Berharap esok pagi, Uyaina terpacak di depan mata dan memujuk rajuk hatinya.
Share this novel