BAB 37

Romance Series 154867

IKMAL turun dari keretanya bersama Harlina. Di hadapan mereka, rumah keluarga Uyaina. Atas bantuan Harlina, Ikmal sampai ke rumah itu dengan jayanya.
Puan Hamida berkerut dahi melihat kehadiran mereka. Harlina dia kenal. Tapi Ikmal? Tak berkelip matanya memandang ketampanan Ikmal. Lebih tampan dari Said.
“Assalamualaikum, mak cik.” Harlina menyapa sambil menghulur tangan untuk bersalam dengan Puan Hamida.
“Waalaikumsalam. Ada apa datang sini? Kalau nak cari Uyaina, tak payahlah. Uyaina dah lama tak balik sini. Aku pun dah tak kisah dia hidup ke mati ke…. Lantak dialah,” balas Puan Hamida tanpa tapis.
Harlina memandang Ikmal yang berdiri di sisinya bersama senyuman kelat.
“Saya tak datang nak cari Aina. Tapi saya datang dengan bakal suami Aina,” balas Harlina.
Kali ini Puan Hamida langsung tak lepas pandang wajah Ikmal. “Oh… buaya dah dilepaskan, jerung pulak ditangkap Aina? Pandai Aina kan? Aku suh tawan hati buaya tapi jerung ditawannya,”
Harlina tahan rasa. Ikmal senyum segaris. Sikitpun tak tergugat. Tak kisah digelar jerung sekalipun. Asalkan Uyaina sah jadi miliknya.
“Saya datang nak minta izin nikah dengan Aina.” Ikmal menuturkan kata-katanya lembut.
Puan Hamida mendengus kasar. Wajah Ikmal dipandang sedalamnya.
“Aku kisah apa kalau dia nak kahwin? Kahwinlah. Jangan muncul kat sini, sudah!”
Ikmal melorek senyuman nipis. Sekeping sampul surat dikeluarkan dari kocek seluar dan tangan Puan Hamia dicapai lembut. Sampul itu diletak ke atas telapak tangan Puan Hamida bersama pandangan yang sukar Puan Hamida fahami.
“Ini hantaran untuk Aina. Kalau mak cik nak guna untuk keperluan mak cik, silakan. Tapi… satu perkara saya minta, jangan pernah ganggu Uyaina lepas ni. Dia layak untuk bahagia. Dan saya akan bahagiakan dia. Terpulanglah mak cik nak kata apa. Ada bantahan?” Lembut saja nada suara Ikmal menyapa pendengaran Puan Hamida.
Puan Hamida terpaku sekejap. Siapa sebenarnya lelaki itu. kenapa beria nak pada Uyaina yang sudah jadi janda.
“Eh! Kau ingat aku hadap sangat dengan si Aina tu? Aku lagi suka dia tak muncul kat sini, bawa bala pada semua orang,” balas Puan Hamida angkuh. Namun sampul surat berisi duit itu digenggam erat. Hati tersenyum lebar. Siapa tak suka duit?
Ikmal menarik nafas panjang sambil mengerling Harlina. Benarlah kata Harlina. Keluarga Uyaina memang tidak kisah tentang Uyaina. Siap digelar bawa bala lagi. Tergeleng kepalanya sekejap.
“Sebenarnya bukan Uyaina yang bawa bala. Tapi mulut mak cik tu yang bawa bala…” Usai berkata, Ikmal terus berlalu. Dia tidak akan tinggal lama semata-mata untuk mendengar hinaan untuk bakal isterinya. Bawa bala? Bukankah itu kejam. Sanggup ibu sendiri menggelar anaknya bawa bala? Ibu jenis apa Puan Hamida ni? Dia tidak tahu.
Harlina memandang pemergian Ikmal seketika, kemudian memandang wajah Puan Hamida.
“Mak ciklah ibu yang paling tak bersyukur kerana dikurniakan anak sebaik Uyaina. Satu hari nanti, mak cik akan menyesal. Saya pasti!” Kata Harlina tegas.
Puan Hamida mencebik bibir. “Dah kenapa aku nak menyesal? Uyaina bukannya bagi manfaat kat aku,”
Harlina mendengus kasar. Tanpa berkata apa-apa, dia turut pusing tubuh untuk pergi. Tiada gunanya mereka datang situ kalau Puan Hamida terus-terusan memburukkan Uyaina.

“SAYA tak tahu apa masalah ibu Aina ni. Tak faham kenapa dia benci sangat pada Aina,” luah Harlina sebaik kereta yang dipandu Ikmal itu bergerak.
“Biarkan dia. Satu masa nanti, dia akan perlukan Aina,” ulas Ikmal sambil menumpukan perhatian pada pemanduan.
Harlina diam. Wajah tenang lelaki itu dikerling seketika. Tak sangka Ikmal bersungguh mahu jadikan Uyaina sebagai isteri.
“Awak tak akan sia-siakan Aina kan?”
Ikmal tergelak kecil mendengar soalan itu. “Bagi saya satu sebab kenapa saya perlu sia-siakan dia?”
Harlina tarik nafas sedalamnya. “Dia janda?”
Meletus ketawa Ikmal. Kening turut terangkat mendengar kata-kata Harlina.
“Kalau dia janda sekalipun, apa masalahnya? Dia masih perempuan yang boleh disayangi dan dibelaikan?”
Harlina diam. Hanya mata mengerling Ikmal. Kalau betullah Ikmal sebaik itu, dia sanggup membantu Ikmal untuk dapatkan cinta Uyaina.

DATIN SUMAIYAH dan Dato’ Shamsuddin berpandangan sebaik mendengar permintaan anak lelaki mereka itu. Wajah Ikmal direnung sedalamnya. Cuba mencari keikhlasan dalam setiap bicaranya.
“Ikmal ikhlas?” lembut suara Dato’ Shamsuddin bertanya.
Ikmal angguk. “Ikmal dah lama jatuh hati kat dia. Cuma waktu tu, masa tak sesuai,”
Datin Sumaiyah tarik bibir ke tepi. Terlakar senyuman manis untuk anaknya. “Mama tak kisah. Asal anak mama bahagia. Tapi kenapa nak nikah kat London?”
“Sebab Aina masih belajar. Mal tak nak susahkan dia pulang balik kat sini. Lagipun, dia masih dalam proses move on dari kisah lalu dia,” kata Ikmal lembut sambil memandang wajah kedua orang tuanya.
Sekali lagi kedua orang tuanya berpandangan dan mengangguk sesame sendiri. Faham kehendak hati anak mereka.
“Keluarga dia?”
“Keluarga dia dah tahu. Mereka serahkan semuanya pada Mal,” balas Ikmal sambil mengukir senyuman.
Sekali lagi kedua orang tuanya angguk kepala. Apa lagi yang mahu mereka katakan. Ikmal lagi laju membuat kerjanya. Apa lagi berkaitan kebahagiaannya.

Assalamualaikum guys... cukup di sini saja untuk hari ini. Terima Kasih! Terima Kasih! Terima Kasih! Love you alls

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience