“TUAN IKMAL, ada perempuan nak jumpa tuan kat luar.” Suara Syuhada, Pembantu Peribadinya kedengaran di corong telefon.
Berkerut dahi Ikmal. “Sape?”
“Cik Harlina, katanya…”
Semakin berkerut dahi Ikmal mendengar nama itu. Rasanya dia tidak pernah lagi mendengar nama Harlina disebut oleh sesiapa, mahupun dirinya sendiri. Siapa Harlina dan apa urusan Harlina padanya? Hati semakin tertanya.
“Suruh dia masuk…”
Sekejap saja, kedengaran ketukan di pintu bilik Ikmal. Ikmal tarik nafas panjang-panjang. “Masuk…”
Mata melekat pada daun pintu yang sudah terbuka luas. Ingin tahu siapa gadis bernama Harlina. Tanpa sengaja, mata terpaut pada seraut wajah yang cukup dia ingat. Rakan Uyaina?
HARLINA berkerut dahi. Raut wajah itu seakan pernah dilihatnya. Tapi di mana? Malas nak ambil pusing, dia atur langkah menghampiri meja itu bersama senyuman yang menghiasi bibirnya. Tujuan dia ke situ, hanya mahu pastikan siapa lelaki itu. Kerana dia tidak mahu Uyaina terluka lagi. Cukuplah kesengsaraan yang Uyaina tanggung selama ini.
“Cik Harlina. Saya kenal awak ke?” tanya Ikmal sambil bangun dan memasukkan kedua tangan ke dalam kocek. Kening dijongket bersama pandangan hairan. Apa tujuan gadis itu sampai ke situ.
Harlina mendengus tawa. Nampak angkuh pula lelaki yang bernama Ikmal itu. Tanpa minta izin, dia duduk di hadapan Ikmal.
“Silakan duduk Encik Ikmal… atau Tuan Ikmal?”
Ikmal tergelak angkuh. Saja nak tunjuk sombong. Dia tak lupa macam mana Harlina memarahinya dulu kerana terlanggar Uyaina. Perlahan punggung dilabuhkan sambil mata melekat pada Harlina.
“Ada apa-apa yang saya boleh tolong?” Sekali lagi Ikmal bertanya sambil menjongket keningnya nakal. Bibir diherot ke tepi.
Harlina mencebik bibir. Mata menatap sinis wajah Ikmal. Meluat pula bila lihat cara Ikmal yang agak angkuh dan sinis itu.
“Tolong bahagiakan Uyaina. Itu saja yang saya mahu dari awak!” Tegas nada suara Harlina mematikan senyuman sinis Ikmal.
Ikmal menarik nafas sedalamnya sambil merenung wajah gadis di hadapannya itu. Siapa gadis itu pada Uyaina sampai sanggup datang di pejabatnya untuk memberi pesan padanya.
“Awak tak perlu minta tolong pada saya. Awak juga tak perlu cakap apa yang saya perlu buat kerana saya akan bahagiakan dia lebih dari yang awak sangka,” kata Ikmal sambil menyandarkan tubuh ke kerusi.
Harlina menarik nafas sedalamnya sambil anak mata ditanam ke wajah Ikmal. “Saya tak kisah, awak nak cakap apa. Tapi… once saya dapat tahu awak lukakan hati dia, saya tak akan teragak-agak untuk buat sesuatu. Uyaina bukan patung permainan. Dia layak untuk bahagia!”
Ikmal menarik nafas sedalamnya. Dari pandangan Harlina, dia dapat meneka yang Harlina terlalu sayangkan Uyaina. Kalau tidak, masakan Harlina sanggup datang ke pejabatnya semata-mata untuk sampaikan pesanan itu.
“Boleh kita makan tengahari sekali? Saya nak tanya banyak tentang Uyaina…” Ikmal jongket kening penuh harapan.
Harlina diam sambil ketap bibir. Lama pandangan Ikmal dibalas lalu kepala diangguk perlahan. “Boleh…”
“APA yang awak tahu tentang Aina?” soal Ikmal sambil membuang pandang ke luar restoran.
“Saya tahu semua tentang dia, tentang keluarga dia dan juga bekas suami dia.” Harlina turut membuang pandang ke luar restoran.
Ikmal diam sesaat sebelum mata menikam wajah Harlina. “Ceritakan semuanya pada saya…”
Harlina membalas pandangan Ikmal seketika. Bibir bergerak dan mula membuka kisah. Sesekali mata membuang pandang ke luar dan sebak bertandang. Bila ingat derita yang pernah dilalui oleh Uyaina, dia sendiri tidak rasa yang dia sanggup melalui semua itu.
IKMAL meraup wajahnya berkali-kali. Hati semakin tekad. Apapun terjadi, Uyaina akan dia sunting sebagai isteri. Pandangan Harlina dibalas seketika. Senyuman hambar dilorek.
“Saya akan bahagiakan dia,” kata Ikmal penuh tekad sebaik saja Harlina selesai bercerita.
Harlina tersenyum. Itulah yang dia harapkan dari lelaki itu. “Saya harap, itu bukan sekadar kata-kata,”
“Saya bukan jenis lelaki yang suka hati mengukir janji dan memungkirinya, Cik Harlina. Saya akan buat apa yang saya cakap,” ujar Ikmal lembut.
Harlina angguk saja. “Alhamdulillah. Awak buatlah apa yang patut. Satu saja saya minta, tolong jangan lukakan hati dia…”
Ikmal tersenyum lagi. “Insya’Allah, I won’t.”
“EH, MAL.”
Tepukan pada bahu Ikmal mengejutkan Ikmal. Laju mata mendongak.
Harlina terkaku sekejap. Mata tidak melepaskan pandangan dari wajah Said. Dia tidak mungkin lupa wajah lelaki itu. Wanita seksi yang sedang dipeluk Said juga ditilik dari atas ke bawah. Rasa macam nak ludah saja wajah Said ketika itu. Entah apa lah reaksi lelaki itu kalau tahu yang Uyaina sedang mengandungkan anaknya.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Ikmal sambil memandang perempuan yang berada di dalam pelukan Said. Bukan isterinya. Entah perempuan mana pula kali ini. “Siapa perempuan ni?” sambung Ikmal bertanya hairan.
Perempuan itu ukir senyuman gedik sambil mata memandang Harlina sekilas sebelum matanya singgah di wajah Said.
“Makanlah. Ni Rina. Buah hati aku…” balas Said sambil tangan singgah di rambut Rina. “Kau pula buat apa kat sini? Makan dengan buah hati ke?” soal Said sambil mengerling Harlina sambil kenyit mata sekali bersama senyuman gatal.
Harlina ternganga sesaat kemudian pantas mengawal wajahnya. Laju wajah dipaling ke arah lain. Tak sanggup rasanya melihat wajah lelaki durjana dan tak guna itu. Nak hempuk dengan beg tangan pun ada. Haish! Kenapalah jumpa dengan mamat sengal tak guna ni, getus hati tanda geram. Gatal gila!
Ikmal tergelak kecil. “Tak lah. Ada urusan dengan dia. Takpelah. Kau makanlah dulu. Aku dengan Cik Harlina dah nak gerak.” Spontan Ikmal bangun sambil memberi isyarat mata kepada Harlina.
Harlina angguk sambil menghadiahkan pandangan menyampah kepada Said. Senyum sinis sesaat sebelum langkah mengekori langkah Ikmal.
“AWAK kenal dia?” tanya Ikmal sambil mengerling Harlina. Dari cara Harlina memandang Said, dia dapat meneka yang Harlina pernah bertemu Said sebelum ini.
Harlina diam seketika. Takkan nak bagitahu yang Said tu bekas suami Uyaina? Cari hal namanya tu. “Er… tak lah…”
“Ke awak tergugat sebab dia kenyit mata tadi?” soal Ikmal meneka sambil mengerling Harlina. Sengaja mengusik. Bukan dia tak nampak gelagat Said tadi. Dalam hati mengutuk Said. Baru kahwin dah buat perangai.
Harlina buat gaya nak termuntah. “Tergugat? Memang tak lah. Dia dah ada buah hati kan? Kang mati saya dikerjakan oleh buah hati dia.”
Ikmal ketawa seketika. Mata sempat mengerling gaya Harlina yang menyampah. Tapi malas nak berkata lebih lanjut.
“AIR, bang,” kata Datin Sumaiyah sambil meletak secawan kopi o di meja sisi yang bersebelahan dengan sofa suaminya.
Dato’ Shamsuddin memandang isterinya sekilas sambil tersenyum. “Terima kasih yang…”
“Sama-sama,” balas Datin Sumaiyah lembut. Dia melabuh duduk di hadapan suaminya. Wajah suaminya dipandang sedalamnya. Ingin membicarakan soal Ikmal.
“Anak bujang kita dah jatuh hati, bang,” komen Datin Sumaiyah bersama senyuman di bibir.
Dato’ Samsuddin angkat wajah. Isterinya dipandang penuh minat. “Ye…”
Datin Sumaiyah angguk sekali. “Ha’ah. Khabarnya nak nikah kat London,”
Berkerut dahi Dato’ Shamsuddin mendengarnya. “Kenapa nikah kat London? Bukan orang Malaysia ke?”
Datin Sumaiyah sungging senyum. Dia yakin suaminya tidak pernah ambil tahu tentang kegiatan anak-anaknya itu. Sibuk dengan kerja dan persatuannya sendiri. Tambahan pula sekarang, suaminya sudah mula berkecimpung dalam bidang politik. Puas dia menegah, tapi suaminya masih berdegil.
“Tulah abang. Sibuk dengan urusan. Sampai anak-anak abang pun, abang tak peduli.” Datin Sumaiyah menjuihkan bibirnya.
Dato’ Shamsuddin tarik bibir senget. Ke situ pula perginya.
“Bila masa abang tak peduli? Abang pedulilah. Cuma takde masa sangat,” bidas Dato’ Shamsuddin membela diri.
“Yelahtu! Ikmal nak nikah kat London sebab perempuan tu masih belajar kat situ.” Datin Sumaiyah memberitahu niat Ikmal kepada suaminya itu.
Dato’ Shamsuddin diam sejenak. Wajah isterinya dipandang lagi. “Su dah pernah jumpa perempuan tu?”
Datin Sumaiyah geleng kepala. “Tak pernah lagi. Gambar dah tengok. Lawa juga budak tu. Tengok muka, berkenan terus,”
Dato Shamsuddin diam lagi. Sebenarnya dia tidak minat untuk ambil tahu siapa bakal isteri Ikmal. Tak kisah langsung siapa perempuan itu. Asalkan tahu menjaga adab dan menghormati mereka sebagai orang tua Ikmal.
“Baguslah kalau sayang berkenan. Kalau sayang berkenan, bermakna abang juga akan berkenan. Kitakan punya citarasa yang sama. Tak gitu, sayang…” Sempat Dato’ Shamsuddin mengusik Datin Sumaiyah.
Datin Sumaiyah tergelak seketika. Ke situ pula suaminya. Tapi, apa yang dikata suaminya itu ada betulnya. Mereka memang memiliki citarasa yang sama. Itu juga salah satu sebab mereka berkenalan satu ketika dahulu.
Share this novel