Bab 16

Romance Series 154867

SAID menolak daun pintu bilik itu perlahan. Sepatutnya dia balik saja ke rumah untuk temankan Syakila. Tapi Syakila yang tidak mahu. Sekali lagi dia terpaksa menurut permintaan isteri kesayangannya itu. Nasib baik sayang.

Tanpa sengaja mata Said terkunci pada seraut wajah yang sembab, lena di atas katil. Said melepas keluhan kecil sambil tangan menutup pintu. Langkah dibawa menghampiri Uyaina. Sempat mata menilik jam dipergelangan tangan. Hampir lapan malam. Maknanya, sebentar lagi maghrib akan berlalu.

Perlahan Said melabuhkan punggung di ruang kosong, di sisi Uyaiana. Wajah Uyaina ditatap sedalamnya. Sedar sangat. Dia dan Syakila telah membawa Uyaina dalam kisah mereka. Sepatutnya Uyaina tidak perlu berada di antara mereka.

"Maafkan abang, Aina...." Jari jemari Said naik ke wajah Uyaina yang putih bersih tanpa solekan. Habis luntur dek air mata yang mengalir di pipi mulusnya.

Uyaina mencelik mata sebaik sedar ada benda mengusap pipinya. Tanpa sengaja, mata bertaut dengan mata Said.

"A... abang...." Uyaina pandang ke pintu sambil bangun menegakkan separuh tubuhnya. Sekaligus menjarakkan tubuh mereka.

Said menjatuhkan jari jemarinya lalu tersenyum simpul. "Terima kasih sebab tunaikan permintaan Kila..."

Uyaina diam. Jari jemari memintal hujung baju. Rasa resah mengulit diri. Sekali pun wajah Said tidak dipandang.

"Ini yang semua orang nak kan?" Uyaina dongak wajah. Matanya memandang tepat wajah Said.

Said jeda sesaat. "Bukan semua orang Aina. Abang tak pernah nak semua ni."

Uyaina ketap bibir. Kepala digeleng perlahan. Decitan keresahan kedengaran tiba-tiba.

"Aina rasa diri Aina ni dipergunakan untuk mencapai matlamat masing-masing. Termasuk abang," tuduh Uyaina sebak.

Said terpaku. Tak percaya Uyaina boleh menuduh mereka seperti itu.

"Aina... kami tak pernah berniat nak..."

"Tak payah berdalih abang. Aina tahu yang Aina ni langsung tak berguna untuk semua. Sebab tu mak, abang dan yang lain-lain beria nak Aina kahwin. Sebab Aina ni menyusahkan semua orang kan?"

"Aina..." Said tergamam mendengar tuduhan tidak berasas Aina. "Apa Aina cakap ni?"

Uyaina mendengus tawa. Pura-pura tak tahu konon! "Mentang-mentang abang tahu yang Aina pernah ada perasaan kat abang, senang-senang abang setuju buat semua ni!"

Said berdecit sambil bangun dari duduknya.
"Apa yang Aina cakap ni semua tak betul. Tiada siapa yang pergunakan Aina. Tiada siapa yang minta semua ni jadi," kata Said sambil melangkah ke arah beg pakaiannya. Satu pun, Uyaina belum masukkan ke dalam almari. "Abang nak mandi. Nak solat. Kalau Aina nak ikut solat sekali, pergi mandi," sambung Said tegas.

Uyaina merengus kasar. Kaki dijatuhkan ke lantai dan berdiri. Langkah dibawa ke almari. Sambil itu mata menjeling Said yang sedang mengeluarkan pakaiannya.

SELESAI solat maghrib, Uyaina bawa diri ke dapur. Suasana di dapur masih riuh dengan suara sanak saudara yang belum pulang. Sempat dia mengesan mata-mata yang sedang memandang, tapi diabaikan.

"Eloklah kamu dah turun. Nanti periuk belanga tu jangan lupa basuh. Takde sape nak buat kerja ni selain kamu." Puan Hamida menyambut kedatangannya dengan kata-kata berbaur arahan.

Uyaina berhenti di tengah dapur. Mata dihala ke sinki dapur. Penuh dengan pinggan mangkuk yang belum dibasuh. Hati membengkak geram.

"Apa pulak Aina. Bukan ramai ke kat sini?" soal Uyaina sebal. Mata yang memandang dikerling seketika.

"Kami semua dah nak balik. Patutnya kau bersyukur. Orang sudi tolong kau. Kalau tak... sah kau buat semua sendiri," perli Jannah, anak mak long. Sempat mata menjeling sinis ke arah Uyaina. "Jadi bini kedua jangan nak cerewet sangat," sambung Jannah lagi.

Kata-kata disambut dengan anggukan dan senyuman sinis yang lain.

Uyaina menghela nafas berat. Kini statusnya jadi bahan untuk memperlekehkan dirinya? Bibir diketap kuat sebelum langkah dibawa ke sinki. Lengan baju disinsing ke siku.

Satu persatu peralatan yang belum dicuci itu, dicuci. Terselit rasa geram dan kecewa. Mereka yang beria nak dia kahwin dan akhirnya dia juga yang kena habiskan semua kerja.

SAID bawa langkah ke dapur bila sedar Uyaina langsung tidak masuk-masuk setelah keluar dari bilik. Takkan tidur luar, bisik hatinya.

"U...." Mati terus niatnya mahu memanggil Uyaina. Mata terkunci pada Uyaina yang sibuk di dapur. Sendirian. Dan gelak ketawa di ruang tamu? Said terus pandang ke ruang tamu. Mak Long dan mak mertuanya termasuk sepupu mereka yang lain sedang bergelak ketawa seolah-olah tiada kerja yang perlu dilakukan.

Rasa simpati menjalar. Lantas dia menuruni tangga menuju ke dapur. Tubuh Uyaina didekati.

"Aina..."

Uyaina menoleh sekejap. "Hmmm...."

"Siapa suruh Aina buat semua ni?"

Tangan Uyaina yang ligat menyabun kuali kawah itu berhenti. Timbul decitan dicelah gigi sebelum matanya kembali singgah di wajah lelaki itu.

"Aina yang nak buat,"

Said mengeluh. Kuali kawah itu dicapai perlahan. Tubuh Uyaina ditolak perlahan ke tepi.

"Abang dah siapkan upah untuk diorang semua buat kerja ni. Bukan Aina!" tegas Said sambil meletak kuali itu di sinki.

Uyaina berdecit kasar. "Upah tak upah, Aina kena buat. Mak dah minta Aina buat!"

Said mendengus kasar. Geram bila dapat tahu Puan Hamida yang minta Uyaina buat.

"Aina, abang nak Aina masuk bilik sekarang. Abang haramkan Aina sentuh semua ni! Faham?"

Uyaina berdecit. Tubuh Said ditolak perlahan.

Said mengeraskan tubuh sambil mata membalas pandangan Uyaina. Sengaja dia bulatkan mata agar Uyaina sedar arahan siapa yang patut Uyaina dengar.

"Pergilah naik bilik. Tak payah nak kacau Aina buat kerja. Ni semua kerja Aina. Abang lupa ke yang Aina ni orang gaji dalam rumah ni. Semua Aina yang kena buat," perli Uyaina separuh geram.

"Aina... sekali lagi abang arahkan Aina masuk bilik. Solat isya' dan kita tidur. Faham? Semua orang letih termasuk Aina. Ke... Aina dah jadi robot? Tak reti nak rehat." Said mencapai lengan Uyaina yang masih bersabun lalu dibawah ke sinki. Pili air dipasang untuk membersihkan jari jemari Uyaina bersih sepenuhnya.

"SAID... mak minta Aina bersihkan semua tu," kata Puan Hamida tiba-tiba muncul di pintu dapur.

Said menoleh ke atas sambil bibir mengulum senyum. "Maaf mak. Malam ni tak boleh. Mak fahamkan?"

Membahang wajah Uyaina mendengar kata-kata Said. Laju jejari ketam singgah dipinggang lelaki itu sambil mata memandang wajah Puan Hamida yang sudah kelat.

"Yelah... Mak faham," balas Puan Hamida akur.

Said tersengih sambil menarik lengan Uyaina menuju tangga. Bibir Uyaina yang tercebik-cebik tidak dihirau. Yang dia mahu, Uyaina berehat.

TELEKUNG yang tersarung di kepala, ditanggal Uyaina. Hati mula berdebar saat menerima pandangan mata Said yang agak berbeza. Menyeramkan pun ada.

"Kenapa pandang Aina macam tu?" soal Uyaina pantas. Dia bingkas bangun dari duduknya.

Said sembunyi senyum. Dia tahu Uyaina gelabah. Takut dia apa-apakan Uyaina. Takkanlah dia nak buat benda yang Uyaina suka. Melainkan Uyaina beri lampu hijau.

Nak elakkan 'benda' tu memang tak boleh. Memandangkam dia juga sudah lama tidak merasai nikmat belaian seorang wanita bergelar isteri. Tapi, mahukah Uyaina.

"Layan Aina selayaknya seorang isteri. Jangan fikir perasaan Kila tapi fikirkan perasaan Aina dan keperluan abang." Kata-kata Syakila kembali bergema di mindanya.

Tubuh Aina yang dibaluti sepasang baju tidur satin panjang lengan dan seluar rona putih dipandang seketika. Tiadalah seseksi perempuan dalam tv yang pakai gaun malam sehingga menampakkan betis bunting, lurah dan juga isi kulitnya. Namun entah kenapa Uyaina masih terlihat canti bersama rambutnya yang terurai.

Dia bangun dari duduk bersilanya lalu menuju ke katil.

"Aina..."

Uyaina yang sedang mencari sesuatu di dalam almari, menoleh sambil menjongket kening.

"Cari apa?" tanya Said lembut sambil melabuhkan duduk dibirai katil.

Uyaina ketap bibir. Pandangan Said betul-betul buat dia tidak selesa.

"Nak cari selimut," balas Uyaina sambil kembali menghadap almari yang terbuka.

Said diam sesaat. Cuba mencerna kata-kata Uyaina. "Nak buat apa selimut banyak-banyak?"

"Aina nak pakailah. Aina tidur atas lantai, abang tidur atas katil. Aina tahu abang tak selesa tidur atas lantai," balas Uyaina sambil membelek setiap isi almari itu.

Said berdecit. Takkanlah tidur asing? Apa guna kahwin kalau tidur pun asing-asing.

"Tak payah. Katil ni cukup luas untuk kita," tegah Said.

Uyaina menoleh sambil mencebik bibir. " Tak nak lah!"

"Abang tak izinkan. Buat apa kita kahwin kalau kena tidur asing-asing?"

Uyaina jeda. Pintu almari itu ditutup kasar dan wajah Said dipandang seketika.
"Abang jangan merepek nak tidur dengan Aina. Abang dah ada Kak Kila,"

"Kalau abang kata abang nak juga?" Said jongket kening serius. "Dan abang nak hak abang?" soal Said menyambung soalannya yang berhenti beberapa saat.

Uyaina kaku di hadapan almari. Hanya mata bertaut pandang dengan Said. Bibir digigit kuat. Kalau betul Said mahukan haknya, apa yang dia boleh buat. Menolak?

Melihat Uyaina diam, Said bangun dari duduknya lalu menghampiri Uyaina. Tubuh tegak di hadapan Uyaina yang masih kejang di situ. Tambah kejang bila jarak tubuh mereka sangat hampir.

"Perkahwinan ini adalah tanggungjawab. Dalam perkahwinan juga ada tanggungjawab yang perlu kita tunaikan. Salah satunya...." Said sengaja menggantung ayat terakhirnya kerana dia yakin Uyaina faham.

Uyaian ketap bibir lalu tunduk. Tidak berani memandang wajah Said. Jantungnya mula memainkan irama yang tidak menentu.

Said sembunyi senyum. Dia tahu Uyaina resah. Perlahan dia dekatkan bibir ke telinga Uyaina. "Abang tak akan sakitkan Uyaina..."

Uyaina kejang lagi. Sumpah kaki rasa digam di atas lantai. Laju dia mendongak dan pandangan mata mereka bertaut. Mana mungkin Uyaina mampu menepis keinginan lelaki yang sudah bergelar suaminya. Argh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience