“Neem okay ke tak ni?” tanya Mak Usu Tini setelah memasukkan beg pakaian ke dalam boot kereta. Tasneem yang melangkah masuk ke bahagian penumpang belakang hanya mengangguk. Berat hatinya hendak berjumpa dengan ibu tetapi dia perlu berkongsi semuanya dengan wanita itu sebelum hal yang makin berat pula yang terjadi.
“Dah. Jangan nak fikir sangat. Insya Allah, ibu tak akan mengamuk,” pujuk Mak Usu Tini setelah Dahlia pun masuk ke dalam perut kereta.
Tasneem di belakang mengangguk. Hendak lelapkan mata kerana sudah dua malam tak tidur lena. Namun, deringan telefon mengejutkannya. Tarik keluar cepat-cepat dari tas tangan. Melihat saja nama Neldhia hati pun berlayar sayu. Air mata hampir meluruh apabila teringat tamparan gadis itu. Masih terasa peritnya sehingga ke saat ini.
Dia abaikan. Buat masa ini dia tidak mahu berjumpa dengan gadis itu atau sesiapa sahaja. Namun pesanan pula yang tiba.
- Jumpa Nel dekat rumah Nel sekarang. Urgent. Please!
Tasneem hairan. Kenapa nak jumpa? Bukankah malam itu Neldhia terlalu marah dan benci padanya.
- Please, Tas. Nel janji. Lepas ni kita tak akan jumpa lagi.
Hati tak sedap rasa lantas tepuk bahu mak usu yang tengah memandu.
“Mak usu, kita pergi rumah Nel kejap.”
Mak Usu Tini pandang Dahlia. Terperanjat dengan permintaan Tasneem. Muka kedua-duanya terzahir aneh.
“Kenapa? Bukan dia dah tuduh kau macam-macam ke?” Dahlia tak setuju. Hati tak sedap rasa namun dia tahu. Sekeras-keras Tasneem, ada lembut yang orang tak boleh kawal.
“Tolong mak usu!” Tasneem merayu.
"Kejap je.” Lagi Tasneem menyambung kata dan mak usu terpaksa mengangguk. Lalu meminta Tasneem tunjukkan arah. 15 minit memandu akhirnya mereka tiba di sebuah banglo mewah yang sunyi sepi.
“Aku teman.” Dahlia keluar dari perut kereta. Hati mengharap abang Neldhia tidak ada. Dia bimbang jika ini adalah perangkap. Mana tahu. Sejak malam Tasneem kena tangkap kepalanya asyik fikir yang bukan-bukan. Ikutkan hati dia nak suruh tunangnya mengekori gerak-geri Tasneem. Nasib orang itu masih cuti sakit.
Tasneem yang melangkah tergesa-gesa sudah tiba di pintu utama. Ketika itulah seorang pembantu rumah membukakan pintu.
“Cik Tasneem naik ke atas ya. Ku Nel tunggu dalam bilik.” Pembantu rumah menunjukkan tangga ke tingkat atas.
Dahlia mengekori dengan resah. Melihat Tasneem yang terburu-buru tangannya pantas melingkari lengan Tasneem.
“Sabar!” pesan Dahlia yang berjalan di belakang. Tasneem angguk risau. Pembantu tadi yang kononnya hendak berlalu ke dapur turut naik ke atas dan kini berhenti betul-betul di depan pintu bilik. Di daun pintu ada ukiran nama Neldhia yang diukir dengan gaya inggeris.
“Ku Nel ada kat dalam tapi…. “ Pembantu tersebut menekur ke bawah. Tunjuk riak sedih. “Sebenarnya Ku Nel tak berapa sihat dan jangan terkejut kalau tengok keadaan dia nanti,” pesan pembantu dengan suara sayu.
Tasneem terpukul. Sakit!
Apakah sebab hal malam itu Neldhia menyeksa diri sehingga sakit. Kalau benarlah begitu dia cukup rasa bersalah. Lalu, sejurus selepas pembantu meninggalkan bilik Tasneem tolak daun pintu.
Dada seakan meletup melihat susuk yang sedang duduk membelakangi di birai katil. Bahkan kepalanya berselirat dengan pelbagai soalan. Dari arah belakang susuk itu seakan orang yang pernah dikenalinya. Kerana memakai short pants dan bersingletlah hati Tasneem berdebar pelik. Apatah lagi kepala yang berambut pendek ala-ala askar itu membuka semula memorinya. Begitu juga saat melihat berjenis-jenis rambut palsu di dalam almari kaca. Memori itu datang semula.
“Keep strong, sis! Jangan putus asa. Ini semua ujian. Tuhan nak uji sis,” pujuk Tasneem setelah gadis itu dibaringkan ke atas stretcher.
“Aku benci budak ni. Kenapa dia perlu ada dalam ni.” Gadis itu tumbuk perutnya berulang kali. Walaupun pasukan kecemasan ada yang menasihati, namun gadis itu tetap meronta-ronta menyalahkan bayi di dalam kandungan.
Dia memandang pilu. Tak sanggup membiarkan gadis itu terus dalam kesedihan lantas dia mengekori sehingga ke hospital.
“Dah berapa bulan?” Tasneem ajak berbual setelah gadis itu selesai dirawat.
“Empat bulan.” Dan… gadis itu berpaling ke arah lain. Tasneem mahu mengajak berbual biar kesedihan gadis itu hilang.
“Maaf, kenapa potong rambut pendek macam ni? Kalau panjang awak tentu macam bidadari.”
Terus air mata itu kembali jatuh berguguran dengan banyaknya namun berhenti tiba-tiba. Gadis itu seperti melihat sesuatu yang menakutkan. Pantas saja tangan itu sapu wajah yang basah dan cepat-cepat bangkit.
“Help me. I need to leave immediately.” Gadis itu tolak gebar cepat-cepat.
Tasneem tersentak. Berpaling. Melihat seorang lelaki yang memakai jaket tebal melangkah ke arah katil dengan mata yang melilau hati Tasneem diterpa bimbang. Wajah lelaki itu bersih dari jambang mahupun misai. Cukup segak dengan cermin mata dan nampak seperti orang terpelajar. Tetapi kenapa lelaki itu seperti sedang marahkan seseorang.
“Please. Help me!” Tangan gadis itu menggigil dan muka pun pucat. Lalu Tasneem tak fikir panjang. Raih gadis itu lantas menyusup hendak ke bilik air tetapi menyimpang ke lorong kecemasan.
“Thank you so much miss…. “
“Tas… Tasneem Salsabila.”
Gadis itu memandangnya lama. Tarik tangan Tasneem lantas diramas lembut.
“Kalau umur panjang kita akan jumpa lagi,” ujar gadis itu lantas tergesa-gesa berlalu pergi. Tasneem berasa pelik. Apa yang dah jadi sebenarnya. Pusingkan badan mahu keluar ikut pintu masuk namun wajah di belakang membuat matanya buntang.
Wajah terpelajar itu memandangnya tajam dan Tasneem segera berlari keluar dengan harapan lelaki itu tidak akan mengekori.
***
“Nel!”
Tasneem jatuhkan lutut dan menyapa dengan lega. Sungguh benar apa yang dia rasa selama ini. Betullah. Di depan inilah gadis yang dia selamatkan lima tahun lepas. Gadis yang berambut keriting berwarna kuning yang menangis teresak-esak lantas menzahirkan kepala yang botak apabila rambut palsu itu jatuh semasa diangkat ke atas stretcher.
Tangan Tasneem naik mengusap pipi Neldhia yang akhirnya menghamburkan tangisan. Panas dan memang Neldhia tak sihat
“I know. It’s you Nel. A girl with blonde hair. Crying outside the bar and even for a while I remember you. Still remember you,” cerita Tasneem yakin sebaik menghadap Neldhia.
Menggigil tubuh Neldhia saat Tasneem buka cerita. Dalam tangisan dia panggung kepala. Pandang wajah Tasneem yang turut basah dengan air mata.
“Tas tahu. Nel memang kenal Tas sebab itulah Nel nak kawan dengan Tas kan?” soal Tasneem yakin dan terus air mata Neldhia semakin lebat bercucuran ke pipi. Dahlia di belakang juga turut mengalirkan air mata.
Sungguh, situasi ini amat mengganggu emosinya. Dia pedih melihat dua orang sahabat baru yang saling menatap dalam tangisan. Dia tak faham apa-apa tetapi hati tetap mahu tahu. Mahu tahu apa sebenarnya yang pernah kedua-duanya alami.
Dengan tangan yang menggigil Neldhia tarik jemari Tasneem. Genggam lemah.
“Ingat tak malam Tas selamatkan Nel dari jatuh kat cafe stesen minyak dulu?” tanya Neldhia lemah. Tasneem angguk mengeyakan. “Bila Tas sebut nama Tas, Nel teruja. Orang yang Nel cari ada depan mata. Nel amat yakin Tas lah orangnya dan Nel syukur sangat sebab dah jumpa Tas. Tapi….” Neldhia berhenti.
Leraikan genggaman lalu bangkit. Melangkah ke meja solek. Pandang dirinya yang nampak cengkung tanpa solekan.
“Situasi kita complicated.”
Tasneem tak faham. Apa yang rumit. Rasanya tak ada apa-apa pun yang menyebabkan mereka susah menjalinkan persahabatan. Dia senang berkawan dengan Neldhia. Gadis itu boleh menerima nasihat dengan hati terbuka. Kecuali… malam jahanam itu saja. Malam itulah bermulanya episod duka dalam dirinya. Nel menampar pipinya.
Seakan mengerti apa yang difikirkan, Neldhia leraikan tangan kemudian usap pipi Tasneem.
“I've made many mistakes in my life but last night it hurt me. I have no intention to slap you but I… I….”
Tasneem menggeleng.
“Yes. You should. Perempuan mana yang sanggup lihat kekasih dia ditangkap berkhalwat dengan perempuan lain. Kalau Tas pun Tas akan ganyang perempuan tu sampai lumat. Nel tak salah apa-apa.”
“Tak!”
Neldhia bangkit tiba-tiba lalu melangkah ke balkoni.
“Inilah yang Nel cakap rumit. Tas tak tahu apa-apa kan?”
Ah, susahnya hendak menceritakan hal yang sebenarnya. Neldhia rasa cukup berat.
“Explain Nel. Tas sanggup hadap apa saja agar persahabatan kita akan kekal sampai bila-bila.”
Pantas Neldhia berpaling.
“Jangan kahwin dengan Im!”
Tasneem tersentak. Bangkit perlahan-lahan dan menghadap Neldhia sepenuhnya. Baru semalam Zaim mengajaknya kahwin dan dia memang sudah berikan jawapan. Dia tak akan berkahwin dengan lelaki itu. Neldhia tak perlu menghalang pun kerana dia memang tak mahu berkahwin dengan lelaki itu.
“Please. Jangan kahwin dengan Im. Jangan sesekali setuju.”
Cukup pelik dengan perangai Neldhia. Mengajak bertemu dnegannya di sini. Kemudian merayu agar tidak menikahi Zaim.
“Tas… kalaulah Nel bukan sebahagian dari hidup Im dah lama Nel akan paksa Im kahwin dengan Tas. Im layak untuk memiliki gadis sebaik Tas. Tapi dalam situasi ini Nel tak sanggup pertaruhkan kebahagiaan Tas. You deserve someone better than him.”
“Tas tak faham. Kenapa Nel cakap yang bukan-bukan?”
“Please, jangan terima Im! Jangan kahwin dengan dia. Jangan jumpa dia sekalipun.” Neldhia merayu lantas menjerit meluahkan segala rasa yang bertakung di dalam dada.
Neldhia pegang birai pintu gelangsar. Hatinya sakit. Teramat sakit. Kalaulah dia ada kuasa untuk menghentikan semua ini dia akan sedaya upaya menyelamatkan semua orang yang dia sayang.
“Ya. Tas akan ikut cakap Nel. Lagipun Nel cintakan Zaim. Mana mungkin Tas sanggup menghancurkan hati Nel. Merampas kekasih Nel.”
Neldhia jatuh terduduk di atas lantai. Terus Tasneem menghampiri. Raih bahu gadis itu lantas usap lembut.
“Im tak cintakan Nel.” Neldhia menangis seraya menggelengkan kepala berkali-kali. Tasneem terkejut. Melihat Neldhia yang mengusap dada dengan kuat kepalanya sudah dapat mengagak. Apakah Zaim sudah mengetahui rahsia Neldhia. Dadanya turut berdebar.
“Kalau dulu… Nellah cinta pertama dia. Cinta mati dia tapi… lepas Nel buat keputusan nak pergi UK dia nampak lain. Dia ikut apa saja yang Nel buat. Dia akan senyap tanpa berita kalau Nel juga senyap. Nel mula sedar bila dia tak bersungguh ajak Nel kahwin. Cuma lepas Nel dah balik dari UK dia mula nampak bersungguh. Tapi Nel tetap rasa dia tak cintakan Nel. Entah apa yang dia simpan Nel tak tahu. Sebab itulah….” Neldhia berhenti menjelaskan. Tangisan pun turut berhenti. Pandang Tasneem.
“Orang lain tak boleh dekat dengan Zaim dan Tas… tolong. Tolonglah jangan terima Zaim. Jangan. Jangan!!!”
Sekali lagi Neldhia meraung menyebabkan benak Tasneem ditujah pelbagai soalan. Ada benda yang dah berlaku. Ada benda yang tak betul dalam hubungan mereka. Hati tiba-tiba mahu tahu. Lantas dia pasang tekad.
“Baik. Tas janji dan Tas nak Nel janji dengan Tas. Jaga diri. Jangan macam ni. Jangan keluar dalam keadaan macam ni. Nel kena kuat okay.” Tasneem peluk Neldhia dan tiupkan semangat.
Beberapa saat kemudian pelukan dileraikan.
“Nel memang kena kuat. Nel ada anak. Kalau Nel tak kuat siapa nak jaga anak Nel. Dia tak bersalah.”
Tasneem angguk. Akhirnya Neldhia faham. Anak itu perlu hidup seperti orang lain.
“Minggu depan Nel akan balik ke UK semula. Nel akan terus menetap di sana?”
Tasneem ukir senyum. “Kalau itu yang sebaiknya, doa Tas akan mengiringi hidup Nel.”
Neldhia angguk mengeyakan. Dipeluknya Tasneem bagaikan esok tiada lagi.
“Nel sayang Tas. Nel tak ada kawan macam Tasl. Doakan Nel terus bahagia. Sihat selalu,” pinta Neldhia dan Tasneem angguk lantas meminta diri kerana dia perlu menghadap ibunya untuk terus bahagia di hari esok.
“Jaga diri Tas,” pesan Neldhia bersungguh.
Tasneem mengangguk lagi.
Dengan berat hati dia melangkah keluar dari rumah Neldhia. Baru saja masuk ke dalam kereta Mak Usu Tini, sebuah pajero bercermin gelap melintasi lalu berhenti betul-betul di hadapan pintu utama rumah. Tasneem memerhati. Dua tiga orang lelaki berbaju hitam menarik keluar seorang lelaki berjanggut nipis dan berbadan sedikit gempal.
Tasneem memandang pelik.
Abang Jairas!
Bukankah itu pemandu keluarga Dato’ Zakri. Kenapa lelaki itu dibawa masuk ke dalam rumah dengan paksaan. Hati tak sedap rasa namun dia abaikan kerana keselamatan diri sendiri lagi penting.
Share this novel