BAB 62

Drama Completed 84621

Pagi ini, sesudah solat subuh. Dengan dada yang berdebar-debar dan malu-malu dia dihantar Zaim ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan hanya angin penghawa dingin dan suara deejay radio sahaja yang berbunyi. Mereka pula senyap sunyi tanpa kata. Zaim di sebelah pun diam tak berkata apa. Sesekali lelaki itu memberi kerlingan. Kadang-kadang herotkan senyum. Tidak tahu di mana silapnya. Mungkin kerana hal semalam mereka berdua saling membisu.

Sampai-sampai saja, Zaim terus keluar. Tak matikan enjin sebaliknya segera membuka pintu dari luar. Hati Tasneem berdetak pelik. Ada perasaan lain yang muncul. Bangga malah teruja. Pertama kali seorang lelaki bukakan pintu. Apatah lagi lelaki yang sudah halal baginya. Namun beberapa pasang mata yang memandang membuat kulit mukanya merah menyala. Apatah lagi mata Nusrah terjegil keluar.

Gadis itu yang baru tiba dan memarkir kereta di sebelah kereta Zaim pantas keluar. Tercegat memandang Tasneem muka berkerut. Kening di jongketkan bertanya dan tentunya Tasneem keresahan. Apatah lagi Zaim tiba-tiba saja tunjuk romantis. Paut kepalanya dan dekatkan bibir.

“Salam, sayang!”

Tasneem kaget.

Dan… tak semena-mena lelaki itu kucup dahinya. “Kenapa diam? Kau nak aku mulakan?”

Tasneem menggeleng lantas tarik tangan Zaim dan kucup mesra. Selepas itu tergesa-gesa mengambil barang di bahagian belakang. Tak sempat berlalu tangannya disambar lelaki itu.

“Aku yang hantar kau jadi aku yang akan datang ambil,” ujar Zaim lantas Tasneem mengangguk segan. Segan dengan mata Nusrah yang masih lagi memerhati. Dia maklum. Sekejap lagi tentu akan kecoh satu pejabat. Bahkan satu kolej akan tahu ceritanya.

Sebaik Zaim berlalu dia kelam-kabut masuk ke dalam pejabat. Dada berdebar-debar. Sudah agak tentu berbakul-bakul soalan akan keluar dari mulut Nusrah. Apatah lagi gadis itu mengejarnya dari belakang.

Memang betullah.

“Jadi memang betul jiran sebelah kita cakap kau dah kahwin? Itu ke suami kau? Bila kau kahwin? Kenapa aku tak tahu cerita pun? Kau tak pernah kongsi apa-apa dengan aku, kenapa? Pandai kau simpan rahsia kan. Sejak bila kau bercinta?”

Sah. Bakul dah terbalik. Menumpahkan berjenis-jenis soalan. Tasneem tak mampu menjawab. Kakak-kakak dengan abang-abang senior pun bukan main lagi menyakat. Malah ada yang sanggup tunggu kad resepsi darinya. Dia hanya mampu balas dengan senyuman. Soalan Nusrah pula langsung tak terjawab. Dia terus diam tak bercakap.

Sedar tak sedar waktu asar pun masuk. Tiba-tiba teringat peti di rumah Zaim yang kosong tanpa bahan mentah. Rasa nak memasak pula lalu hantar pesanan kepada lelak itu suruh datang menjemput di pasaraya. Dari Gambang pula dia sudah tempah grab untuk balik ke Kuantan. Namun pesanan tak berjawab. Lantas dia solat dulu. Usai solat, menunggu waktu kerja tamat sepenuhnya barulah dia menghubungi Zaim.

Tidak bersambung. Berkali-kali dia menghubungi namun tidak ada balasan. Terus dia buka pesanan. Sudah ada tanda bluetick namun tak dibalas. Maknanya lelaki itu dah baca. Mulalah hati rasa geram. Rasa nak merajuk. Biar lelaki itu tahu. Dia tak suka orang bagi bluetick.
Sebaik grab tiba terus dia masuk ke dalam dengan rasa sebu.

40 minit kemudian, akhirnya dia tiba di pasaraya. Masuk ke dalam dan bergerak ke bahagain barang-barang basah. Menghendap lauk-pauk yang ingin dimasak. Langkahnya diberhentikan di bahagian makanan laut. Tiba-tiba….

“Kau pandai masak ketam?” soalan yang menerjah gegendang telinga pantas membuat Tasneem menoleh. Zufri herotkan senyum dan dadanya pantas berdegup kencang. Melihat lelaki itu yang mengangkat seekor ketam bunga bersepit biru hati tiba-tiba dihinggap ketakutan. Apatah lagi terngiang-ngiang suara Zaim.

‘Jangan dekat dengan dia. Kalau dia ada kau jauhkan diri.’

Pesanan itu buat kepalanya meneroka ke segenap ruang. Mencari sebab kenapa Zaim tak sukakan lelaki itu.

“Tak sangka boleh terserempak dekat sini.” Zufri sudah jatuhkan ketam dan kini tengok udang pula. Tasneem telan liurnya. Mata keliling pandang. Berharap dia jumpa seseorang yang dia kenal. Dengan cara itu dia boleh mengelak.

“Datang dengan siapa?” Tiba-tiba Tasneem rasa nak bertanya dan Zufri tunjuk Datin Hakimah dengan ekor matanya. Pantas Tasneem berpaling. Kelihatan mami mentuanya sedang memilih sesuatu di bahagian rempah-ratus.

Hati diterpa pelik. Wanita itu tak pernah ke pasaraya. Biasanya barang-barang dapur semuanya dibeli Kak Lili. Kenapa pula hari ini lain benar cara wanita itu. Dia tahu benar sebab mami sendiri yang cerita. Dengan perasaan ingin tahu dia segera melangkah mendekati wanita itu.
Bahu itu disentuh lembut.

“Ya Allah, menantu mami. Lamanya tak jumpa,” ujar Datin Hakimah setelah berpaling lantas memeluk Tasneem erat. Padahal sehari dua saja Tasneem balik ke kampung tetapi dia rasa cukup lama. “Ibu sihat?” soal Datin Hakimah sebaik leraikan pelukan.

Tasneem mengangguk.
“Mami datang cari barang? Mami cakap mami tak suka pasaraya,” soal Tasneem pelik dan Datin Hakimah luahkan tawa kecil.

“Yie punya fasallah ni. Nak makan seafood katanya.” Mata mencari-cari Zufri. Apabila ternampak lelaki itu sedang memilih makanan laut terus hatinya lega.

“Dah lama nak makan yang mami masak katanya. Dia tak nak Kak Lili yang buat. Itu yang dipaksanya mami cari barang ni.”

Tasneem mengangguk. Kerling Zufri yang ternyata sedang memandangnya. Lelaki itu menatap dengan mata yang tajam. Dadanya makin tak tentu arah. Dia tak faham dengan sikap lelaki itu. Depan semua orang nampak macam anak yang baik. Belakang orang pula pandangan mata dan sikap lelaki itu terhadapnya bagaikan psiko. Nampak gila. Apakah Zaim sudah maklum jadi kerana itulah lelaki itu berpesan begitu.

“Ni, hah… mana Im.” Datin Hakimah tercari-cari. “Takkanlah sedap-sedap je duduk dalam kereta. Mentang-mentang dah ada isteri disuruhnya isteri sorang saja yang keluar beli barang.”

Tersentak Tasneem dengan kata-kata mami. Wajahnya keruh. Nampaknya wanita itu dah salah anggap.
“Maaf mami. Tas balik kerja dengan grab. Dah mesej Im suruh datang ambil kat sini.”

Muka Datin Hakimah berkerut.
“Eh, biar betul. Tadi dia ada datang rumah mami. Nak ambil barang katanya. Lepas tu dia solat asar dulu sebelum gerak keluar nak ambil Tas.”

Tasneem terkejut
“Tapi… Tas dah call. Tak masuk. Mesej Tas pun dia tak reply.”

Makin pelik pula Datin Hakimah mendengar cerita Tasneem.

“Jangan-jangan….” Hati Datin Hakimah tak sedap rasa. Tasneem pun mulalah fikir yang bukan-bukan. Dia tarik keluar telefon dan dail nombor Zaim. Tak bersambung. Kali ini Datin Hakimah pula yang keluarkan telefon. Dail nombor anak jantannya. Juga sama. Tak bersambung.

“Isk, tak sedap hati betullah.” Datin Hakimah berulang kali mendail. “Tas ni nak beli barang apa sampai tak boleh tunggu Im dulu?” tiba-tiba suara Datin Hakimah kedengaran serius.

Terus Tasneem rasa bersalah. Bagaimana kalau jadi sesuatu yang tak diingini pada Zaim. Tentu dia yang akan dipersalahkan.

“Erk, malam ni Tas nak masak. Tas rasa kasihan dekat Im nak datang ambil jauh-jauh sebab tu Tas balik dengan grab. Tapi Tas dan mesej Im suruh datang ambil kat sini. Lagipun mesej tu dia dah baca cuma tak balas je,” balas Tasneem risau. Namun dalam masa yang sama dia geram. Geram kerana pesanannya tidak dibalas.

Namun Datin Hakimah pula yang rasa geram.
“Kenapa Tas nak rasa bersalah pula. Dah itu tanggungjawab Im. Lagipun Tas tak ada kereta lagi kan?”

Tasneem menunduk. Malu kerana ditegur mentua sendiri. Malah kesal pula kerana Zaim tak benarkan dia guna kereta Mak Usu.

“Dah. Pergi ambil barang yang Tas nak. Lepas tu mami hantar Tas balik kondo.”

Buntang mata Tasneem tak percaya.
“Dengan Zufri?” soalnya resah.

“Ya lah. Dengan siapa lagi. Dah memang mami datang dengan dia.”

Dada Tasneem berdegup kencang. Mata mencari Zufri namun lelaki itu tidak kelihatan.

“Cepatlah. Boleh kita masak sama-sama. Im pun tentu sempat makan sama dengan kita,” arah Datin Hakimah seraya mencapai barang yang dikehendaki.

“Tapi mami… Tas dah hantar pesanan nak Im ambil kat sini.”

Datin Hakimah menggeleng geram.
“Janganlah macam tu. Mami hantar Tas. Entah-entah Im dah ada kat rumah,” teka Datin Hakimah.

Hendak tak hendak terpaksa Tasneem juga mengikut. Tanpa disedari, Zufri di belakang rak lorekkan senyum jahat.

***

Zaim tumbuk stereng kereta. Kalau bukan sebab sudah 15 minit dia menunggu Tasneem dia tidak akan sedar telefonnya tertinggal di rumah mami. Sakitnya hati atas kesalahan sendiri. Sudahlah batang tubuh Tasneem tak nampak di mata. Sakit hatinya makin beraja. Melihat tidak ada orang yang boleh dia tumpang bertanya dia pun keluar. Mula melangkah hendak ke pejabat gadis itu. Nasib baik baru selangkah saja seorang gadis muncul dengan menyandang beg laptop.

Nusrah terpempan. Itu lelaki yang menghantar Tasneem pagi tadi.

“Suami Tas kan?” sapa Nusrah segan.

Zaim pantas mengangguk. “Nak ambil Tas ke tapi… dia dah balik dengan grab pukul lima lebih tadi.”

Hati Zaim bengkak bernanah.
“Tak tahu pun.”

Kening Nusrah berkerut tak faham.
“Tapi saya tengok acap kali dia telefon. Saya agak tentu dia telefon encik. Lepas tu muka dia berkerut sebab tak berjawab.”

Zaim rasa bersalah. Rasa geram pun mencelah. Kenapa Tasneem tak cakap pagi tadi semasa dalam kereta. Kenapa bila dekat-dekat nak balik baru nak telefon.

Dengan rasa geram dia meminta diri lalu memandu kembali ke Kuantan. Nak jumpa Kayla nak suruh hubungi Tasneem pun tak dapat. Kalau dah tak ada telefon siapa pun tak boleh nak dihubungi. Dia terus memandu. Bukan ke kondo tetapi ke rumah mami. Dia hendak mengambil telefonnya terlebih dahulu. Hendak dapatkan kepastian. Betulkah Tasneem menghubungi dia atau gadis itu balik dengan grab sebab hendak mengelak.

Sebaik sampai terus dia ke kabinet tv. Namun apa yang dicari tak nampak di mata. Seingatnya tadi, sebaik berbual dengan ibu azan asar berkumandang. Terus dia tinggalkan telefon di atas kabinet. Lagipun mami cakap Zufri tak ada. Memang salah sebuah kereta papa tak ada di bawah garaj. Dia percaya dengan cakap mami. Hanya ada Jairas di rumah. Maminya cakap pemandu itu sedang mengisi perut sebelum kena mengambil papa di pejabat.

Kepala berfikir. Adakah dia salah letak?

Lalu dia mundar mandir kerana tak tahu nak cari di mana. Saat itulah Kak Lili yang memakai telekung solat keluar dari bilik. Terus Zaim pandang jam tangannya. Setengah jam lagi waktu isyak akan masuk. Dia pula masih belum menunaikan kewajipan.

“Eh, Im rupanya. Kenapa datang balik. Mami tak sampai pun lagi.” Kak Lili menyapa dan Zaim rasa pelik. Ibunya tak ada. Kenapa tadi mami tak cakap pun nak keluar.

“Mami pergi mana?” terus terpacul soalan dari mulutnya.

“Lepas Im keluar nak ambil Tas, mami pergi pasaraya.”

Dan… hati Zaim makin diterpa hairan. Malah ada rasa bimbang menunjal-nunjal dada.

“Mami tak suka pergi mall. Macam mana mami boleh pergi pula. Mami pergi dengan siapa?” soal Zaim tak sabar.

“Zufri. Yie cakap nak makan seafood.”

Muka Zaim berkerut. Perasaan bimbang menerjah hatinya. Zufri tak pernah makan seafood. Takkanlah orang dalam rumah ini tak perasam. Padahal semua dah hadam. Zufri tak suka makanan tersebut.

Hati menyumpah seranah lelaki itu. Apa sebenarnya yang Zufri rancang? Hatinya resah.

“Yang Im datang balik ni kenapa? Tas mana?” tanya Kak Lili hairan. “Kata pergi ambil Tas?” Wanita itu pula yang tunjuk muka pelik. Kelibat isteri Zaim tak nampak di mata. Itu yang ditanya.

Pantas Zaim hembus nafas kasar. Tak menjawab pertanyaan pembantu rumah sebaliknya beritahu seban dia kembali semula ke sini.

“Nak ambil telefon. Kak Lili ada nampak telefon Im?”

Pembantu rumah itu mengangguk.
“Haah, tadi ada kat atas kabinet tv. Abang Jai cakap dia dah letak dalam bilik Im."

Kepala Zaim diterpa hairan. Dada pun berdegup kencang. Jairas masuk biliknya? Pemandu papanya itu mana boleh masuk ke dalam bilik rumah ini sesuka hati. Hanya Kak Lili yang berhak kerana memang wanita itu perlu mengemas setiap sudut dan ruang. Jairas pula hanya bertugas sebagai pemandu. Boleh masuk ke bilik dengan arahan saja. Tetapi setakat ini lelaki itu tidak berhak.

Dengan pelbagai perasaan yang bercampur aduk terus dia berlari masuk ke dalam bilik. Sungguh terkejut. Telefonnya mati. Seingatnya tadi dia tinggalkan dalam keadaan bateri yang penuh.

Tangan terus tekan butang. Hidupkan telefon. Perkara pertama yang dia buat adalah melihat pesanan. Tidak ada pesanan dari Tasneem. Terus dia ke sejarah panggilan. Memang berkali-kali gadis itu menghubunginya. Hati rasa tak sedap. Apakah telefonnya sudah diceroboh. Kepala tak tenang namun dia tunaikan solat maghrib dahulu. Kemudian turun ke bawah.

Baru saja hendak ke garaj kereta, Kak Lili lebih dahulu bercerita.
“Mami Im call masa Im solat tadi. Mami cakap dia tunggu Im dekat rumah Im.”
Dan… dada Zaim rasa nak pecah. Amarahnya membuak keluar.
Zufri dah berjaya membuat amarahnya naik mendadak.
Hatinya menjerit sakit.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience