Dato’ Zakri termenung di dalam bilik makan berhawa dingin Restoran Nasi Ulam. Mata orang tua itu tajam merenung dinding bilik. Lama berkeadaan demikian akhirnya Dato’ Zakri mengeluh panjang.
Entah apa yang difikirkan lelaki itu sampaikan Datin Hakimah masuk ke dalam pun dia tak sedar. Keadaan lelaki itu mengundang hairan di hati wanita itu.
“Abang marah Kim ke?” sapa Datin Hakimah risau. Pantas saja Dato Zakri berpaling hairan.
“Marah! Nak marah sebab apa?” soal lelaki itu tak faham. Tarik kerusi sebelah untuk isterinya duduk.
“Ya lah. Kim lewat sepuluh minit. Ada urusan dengan pelanggan. Bila dah selesai terus Kim bergegar datang ke sini,” jelas Datin Hakimah dengan rasa bersalah.
Dato’ Zakri pantas menggeleng sambil ketawa.
“Kim… kita dah 33 tahun hidup bersama. Kim tak perlu nak explain banyak. Abang dah faham sangat.”
Dan... hati Datin Hakimah cukup lega. Malah amat bangga. Itulah suaminya. Memahami si isteri dari kaki sampai ke rambut.
“Kenapa hari ini ajak Kim makan kat luar?”
Dato Zakri senyum.
“Dah lama kita tak makan sama-sama macam ni. Abang pun dah ajak Im. Katanya lewat sikit sebab dia keluar jumpa orang. Call Kayla suruh Jairas hantar tapi, anak bongsu kita tak nak. Kim fahamlah. Kayla tu picky eater. Dari kecik sampai ke besar. Susah nak ubah.”
Datin Hakimah faham. Jadi, hari minggu sajalah mereka boleh makan bersama. Nak meriah lagi kena tunggu hari raya. Anak sulong dengan yang ketiga dah balik Malaysia barulah lengkap kehidupan mereka.
“Abang dah order ke?” tanya Datin Hakimah apabila tiada pelayan bersama mereka. Dato’ Zakri mengangguk dan ketika itulah muncul Mak Usu Tini. Menatang dulang berisi nasi dan lauk-lauk kampung.
“Lama tak nampak datin. Hari ni baru ada rezeki nak jumpa,” sapa Mak Usu Tini mesra. Datin Hakimah balas dengan senyuman.
“Ya lah kan Tini. Bila dato’ ajak ke sini barulah boleh jumpa. Tini sihat ke?” Datin Hakimah bertanya mesra. Lagipun dia sudah biasa dengan tuan punya restoran. Janda tak ada anak itu baik orangnya. Sopan pula tu. Jadi dia tak kisah pun suaminya selalu makan di sini. Lagipun dia percayakan suaminya. Tambah-tambah lagi Tini ini pun bukannya selalu ada di sini. Wanita itu ada satu lagi cawangan restoran di Kelantan. Jadi yang kat sini Dahlia yang banyak uruskan. Katanya anak saudara arwah suami wanita itu.
Tini pantas mengangguk mesra tanda dia sihat walafiat.
Pintu tiba-tiba ditolak dari luar. Tasneem muncul dengan dulang berisi minuman dan semangkuk gulai pucuk johar.
Dato’ Zakri terkesima. Tak pernah dia nampak gadis berbaju kurung bertudung bawal yang sedang meletakkan dulang minuman ke atas meja. Matanya memerhati gerak-geri gadis itu. Begitu juga dengan Datin Hakimah. Memandang Tasneem lama. Sejuk matanya melihat keayuan sang gadis.
Mak Usu Tini senyum panjang. Melihat gerak mata pasangan suami isteri itu pada Tasneem dia yakin mereka telah tertarik dengan gadis itu.
“Ini anak saudara saya, Tasneem.” Mak Usu Tini memperkenalkan tanpa disuruh. Bangga pula apabila anak saudaranya menjadi perhatian orang hebat.
“Belajar lagi ke?” tanya Datin Hakimah cuba bermesra.
Tasneem nak membuka mulut tetapi emak saudaranya yang tolong menjawab.
“Tak… ” jawab wanita itu dan ingin menyambung kata tetapi cepat-cepat dihalang Tasneem.
Tasneem unjukkan mangkuk kepada emak saudaranya dan wanita itu baru sedar.
“Oh, ya. Ini gulai pucuk johar. Tasneem yang masak. Dia kalau datang ke sini suka sangat masak apa yang mak dia suka makan. Lepas tu bagi sikit sorang cuba.”
Dato’ Zakri memandang aneh ke dalam mangkuk yang telah di letakkan di hadapannya.
“Tak pernah dengar pun nama pucuk ni,” ujar lelaki tersebut lantas membalik-balikkan gulai tersebut dengan sudu.
“Pucuk tu orang Kedah panggil pucuk johar atau juaq. Kalau orang siam pulak panggil pucuk khilek. Tapi orang Kelantan panggil pucuk jahar. Dato’ dengan datin cubalah. Baik untuk orang kencing manis dengan darah tinggi,” terang Tasneem mesra.
Terkebil-kebil Dato Zakri memandang. Tak lama ukirkan senyum mesra. Dia memang dah lama mencari ubat darah tinggi.Tak sangka pula dapat merasa gulai tersebut.
“Pucuk tu pahit sikit. Orang tak suka ubat memang tak akan makanlah.” ramah sekali Tasneem bercerita hingga Datin Hakimah ralit mendengarnya. Dato’ Zakri pula terangguk-angguk gembira. Lelaki iti suka sangat bila dah jumpa benda yang jarang dia tahu.
“Selamat menjamu selera, Dato’, Datin,” ucap Tasneem lantas meminta izin untuk keluar sebaik saja emak saudaranya menghilang di balik pintu.
Dato’ Zakri mengangguk lantas mula mencuba gulai yang dibawa Tasneem. Sementara mata Datin Hakimah menghantar Tasneem sehingga ke pintu.
Baru saja Tasneem hendak menarik picu pintu, daun pintu terlebih dahulu ditolak dari luar.
Gedegang!
Tasneem rasa kepalanya macam kena langgar dengan kereta. Terus tangannya naik menggosok dahi. Mata pun berkaca-kaca. Rasa nak menangis tapi ada orang lain yang dia tak kenal. Sakit betul. Macam dah bengkak pula dahinya.
Datin Hakimah terkejut lalu ambil gelas berisi teh o ais dan bergerak ke arah Tasneem. Pantas tangan itu tekapkan gelas yang sejuk ke dahi Tasneem.
“Im ni. Kenapa tak tengok dulu.” marah Datin Hakimah.
Zaim kerutkan dahi. Dia pula yang salah.
“Mami, cermin pintu ni gelap. Manalah Im nampak.” Zaim membela diri sendiri sambil mengintai wajah yang membelakanginya.
Datin Hakimah pula sibuk sekali menekap dahi si gadis. Hairan betul Zaim dengan sikap ibunya. Baik benar. Sementara Tasneem pula mengetap bibirnya geram. Geram kerana bertemu dengan lelaki di belakang dalam keadaan dia tak bersedia. Dia maklum sangat. Mendengar saja suara tadi dia sedar siapa yang telah membuat pintu keras itu mencium dahinya. Kenapalah bukan mulut laki tu je yang cium dahinya.
Eh… eh, Tasneem! Lebih nampak. Memang gatal nak mampus kau ya.
“Dah hilang pun bengkak tu. Nasib baik cantik tu tak hilang,” usik Datin Hakimah dan wajah Tasneem menyebu merah. Kenapalah tadi dia ikut saja wanita itu melayannya bagaikan anak kecil.
“Terima kasih, Datin!” ucap Tasneem seraya tekup dahinya yang masih sakit lantas berpaling hendak keluar.
“Kau!” ucap Zaim terkejut apabila wajah itu sudah Zahir di matanya. Tangan yang memegang sebalang biskut nutella naik ke atas. Menunjuk ke arah wajah Tasneem.
Tasneem ketap bibirnya segan. Tetapi melihat lelaki itu di depan mata sakitnya tadi hilang serta-merta.
“Kau yang terlanggar Kayla hari tu kan? Hari ni aku pula tak sengaja buat dahi kau merah. Jadi kita dah serilah.”
Datin Hakimah yang sudah dapat menangkap kata-kata anaknya terus memukul lengan anak jantannya. Bibirnya diketap geram tanda tidak suka dengan sikap Zaim.
“Im ni. Orang tengah sakit boleh pulak dia cakap pasal seri-seri bagai. Dah. Mari kita makan,” ajak Datin Hakimah seraya menarik lengan Zaim.
Zaim herotkan senyum jahat. Tiba-tiba terlintas di kepalanya nak menguji gadis itu.
Tak sempat nak buka mulut, Datin Hakimah lebih dulu bersuara.
“Aunty minta maaf bagi pihak Im ya,” ucap wanita itu lantas berikan pandangan redup. Manalah hati Tasneem tak jatuh ke bawah. Bila bakal mak mentua memujuk macam tu.
Aduhai, Im sayang! Saya rela biarkan dahi saya berdarah asalkan mak awak terpikat dengan saya. Lepas tu masuk meminang saya. Kepala Tasneem melamun panjang.
“Bawa air kosong segelas.” Ada suara yang menyuruh. Itu suara Zaim namun Tasneem tak perasan sebab matanya tak lepas memandang Datin Hakimah sambil ukir senyum temewek.
Dato’ Zakri yang perasan akan sikap gadis itu pantas berbunyi. “ Tasneem! Bawakan air kosong.” Apabila suara lelaki berdarjat itu berbunyi barulah Tasneem kembali ke dunia nyata. Mata terpandang senyuman sinis anak teruna lelaki itu. Terus mukanya tebal berlapis-lapis.
‘Buat hallah kau Mek Neem. Apahal kau khayalkan laki tu. Isk, tempah maut betul.’ Hati membebel geram. Lantas dengan langkah tergesa-gesa dia keluar mendapatkan minuman sebagaimana yang diminta.
“Pssttt!”
Tasneem kuis Dahlia sebelum dia masuk semula ke dalam bilik makan. Dahlia yang tolong mengangkat pinggan mangkuk yang ditinggalkan pelanggan berpaling lantas bertanya dengan mengangkat dagu berulang kali.
Terus saja Dahlia melangkah mendekati.
“Kenapa kau tak cakap dia datang makan juga?” bisik Tasneem geram.
Dahlia pun menghembus nafas geram juga.
“Kau ingat aku ni 24 jam ke nak kena pantau dia.”
“Ya lah. Kalau kau cakap awal-awal bolehlah aku pakai lawa-lawa. Lepas tu make up sikit.”
Hek eleh!
Dahlia herotkan bibir menyampah.
“Selama ni kau make up ke? Pergi kerja pun macam tak mandi. Ada hati nak tunjuk cantik konon.”
Tasneem bulatkan mata. Sampai hati Dahlia cakap macam tu.
“Kau sepatutnya tunjuk inner beauty kau tu. Kat dalam tu kan mak bapak dia ada sekali. Pikatlah orang tua dia dulu. Sah-sah dia akan jatuh cinta dekat kau. Ya lah. Ada orang yang pandai ambil hati mak ayah dia,” bisik Dahlia geram.
Tasneem tunjuk sengih kambing. “Itu pun nak kena ajar ke. Kata dah suka sangat. Poyolah kau ni.” Bahu Tasneem dipukul geram dan Tasneem pegang dulang kuat-kuat takut air tumpah.
“Dah. Pergi hantar air tu. Entah-entah orang kat dalam tu dah tercekik.”
Tasneem tersedar. Pantas melangkah ke bilik makan. Bila berada di muka pintu dadanya kembali berdebar kencang.
“Lamanya. Buat ais dulu ke?” sindir Zaim sebaik saja gelas air kosong diletak di depannya. Tasneem ukir senyum dan memandang redup wajah lelaki itu yang nampak berselera benar mengunyah biskut nutella. Pinggan nasi pula dah kosong. Cepat benar makannya. Ah, tak kisah lah. Janji dia dapat melihat wajah itu depan-depan. Kena sindir pun dia tak kisah. Dah biasa sangat sebab abah selalu cakap macam tu dengannya.
‘Manisnya kopi o ni. Kat mana Neem beli gula ya. Abah nak jugalah pergi beli.’
‘Ya Rahman Ya Rahim. Ini cekodok ke apa. Neem pakai gandum ke batu ni.’ Usikan abahnya melintas di kepala lalu dia tersengih macam dia seorang saja ada kat sini.
Zaim pula memandang gadis itu pelik. Tersengih macam orang kurang waras. Terus dia pandang mami dan papa yang juga hairan dengan keadaan gadis itu.
Dato’ Zakri menggeleng lucu. Pantas berdehem.
“Sedap gulai pucuk johar ni. Ada lagi ke?”
Habis terbang khayalan Tasneem apabila suara orang tua itu berbunyi. Dengan malu dia letakkan air kosong di atas meja. Teh o ais Datin Hakimah pun dia ganti dengan yang baru.
“Maaf dato’. Dah habis. Kena balik kampung dulu. Ambil kat sana. Kalau kat sini saya tak pasti ada ke tak.”
Dato Zakri terangguk-angguk. “Nanti kalau ada, bagi tahu pak cik.” Dato’ Zakri hulurkan sekeping kad bisnes.
Wajah Zaim terus berubah. Pelik. Selama ini papanya susah hendak membahasakan diri dengan panggilan pak cik. Tetapi kali ini lain pula. Lalu dia tanam dalam hati, papanya dah tak tegas macam dulu. Dia ukir senyum gembira dan labuhkan pandangan pada gadis bernama Tasneem yang menerima kad bisnes dengan senyum manis. Mulalah dia tak sabar nak menyuruh orang tuanya masuk meminang Neldhia.
Kali ini Zaim pula yang melamun. Dah terbalik. Namun lamunannya mati apabila suara emaknya berbunyi. Dia mendengar sambil memasukkan biskut ke dalam mulut.
“Aunty nak panggil apa ya?” Datin Hakimah mencelah mesra. Pandang Tasneem yang nampak sopan. Sedari tadi lagi dia suka melihat gadis itu.
“Panggil Tas boleh. Panggil Neem pun boleh.”
“Panggil Tas, mami. Macam tas tangan.” Tiba-tiba saja Zaim menyampuk. “Tapi kalau panggil Neem pun okay juga rasanya. Macam India.”
Terus Tasneem menjeling geram. Sampai hati cakap macam tu. Muka dia macam orang India ke. Dia tahulah dia tak putih sangat tapi dia pun tak hitam legam. Kulit dia kuning langsat. Sesuailah dengan tona asia. Tapi kan… India cantik apa. Hidung mancung, mata bulat. Bulu mata lentik. Dia suka. Lalu dia biarkan kata-kata lelaki itu terbang bagai angin lalu.
“Erk, dato’ dengan datin ada nak apa-apa lagi ke?” soal Tasneem berbahasa. Rasanya dah lama sangat dia kat dalam ini. Padahal tadi sekadar nak hantar air kosong saja.
Apabila pasangan suami isteri itu menggeleng Tasneem hadiahkan senyum dan minta diri. Kerling anak teruna pasangan kerhormat itu sebelum keluar. Nak buat bekal malam nanti. Tetapi Tasneem perasan muka itu nampak pucat. Rasanya awal-awal tadi merah dan segak saja. Sekarang dah macam tertelan biji durian. Apatah lagi dia lihat nafas lelaki itu tak lancar.
Datin Hakimah yang perasan dengan keadaan anaknya pantas bangkit. Tasneem pula tak jadi nak keluar.
“Im. Ya Allah, bang! Kenapa dengan Im ni.” Datin Hakimah menjerit takut. Manakala Dato’ Zakri pula segera mendekati lantas longgarkan kancing baju kemeja anaknya.
Zaim kelihatan tercungap-cungap. Tak mampu bernafas dengan betul. Tasneem hanya mampu melihat. Dia tak biasa dengan situasi begini. Namun, kepalanya dapat mengagak sesuatu.
“Encik Zaim ada alahan apa-apa ke?” soal Tasneem bimbang. Serta merta tubuhnya berpeluh takut. Dato’ Zakri tidak menjawab sebaliknya segera mencapai balang biskut. Menilik kandungan bahan yang digunakan.
Datin Hakimah pula tak lepas-lepas melurut dada Zaim dengan minyak angin yang selalu dibawa. Buat berjaga-jaga. Macam sekarang.
“Ya Allah, Im ni. Dia tak baca dulu ke sebelum beli biskut ni” rengus Dato Zakri kesal.
“Baik hantar ke emergency terus dato’, datin,” ujar Tasneem bimbang. Dia cukup takut kalau-kalau lelaki itu tak dapat diselamatkan.
Dato’ Zakri dengan pantas memapah Zaim keluar dari bilik makan. Sementara Datin Hakimah di belakang mengekori sambil membebel.
“Dah tahu tak boleh makan kacang tapi dia tak hati-hati,” bebel Datin Hakimah kesal. Tasneem yang menghantar sehingga ke kereta menahan gigilan. Hati berdoa semoga lelaki itu akan cepat pulih. Dia tak sanggup jadi janda sebelum sempat kahwin dengan lelaki itu.
Alamak!
Tasneem dah parah.
Hahaaa... Lawak lah Tasneem ni
Share this novel