Banyak sungguh yang berlaku hari ini sehingga membuat tubuhnya letih. Tak terdaya hendak keluar lantas Zaim berlama-lama di dalam kereta hingga matanya hampir terlelap. Bahkan otaknya juga letih. Letih dengan permainan manusia. Nasib baik mami datang mengetuk. Jika tidak tentu da akan tertidur di dalam sehingga pagi.
“Im… mana Tas?” tanya Datin Hakimah risau lantas mata melilau mencari Tasneem di bahagian belakang.
Zaim yang baru membuka pintu tersentak. Bukankah dia suruh gadis itu pulang ke sini. Kenapa tak balik pula?
“Papa cakap Tas pergi jumpa Im. Tapi kenapa dia tak balik sini? Dah tiga hari dia tak ada kat rumah. Mula-mula dia cakap nak bermalam dekat rumah mak usu dia. Mami izinkan. Tapi semalam dia tak balik sini. Malam ni pun tak nampak bayang dia lagi.”
Dan dada Zaim terus diterjah risau. Apakah gadis itu melarikan diri? Atau gadis itu pulang ke kampung kerana terasa hati dengannya? Dadanya berdebar pelik. Mata pula melilau gusar.
“Apa yang Im dah buat dekat Tas. Jangan cakap dengan mami Im pukul Tas?"
Zaim terkejut seraya menggeleng.
“Mami… Im tak pukul dia. Tapi tadi… Im berkasar sikit dengan dia."
Terus lafaz istighfar menujah keluar dari mulut Datin Hakimah seraya menggeleng.
“Kenapa berkasar dengan Tas, Im. Isteri Im tu lembut sangat. Jangan sampai dia jadi keras Im. Perempuan ni... bila dah keras susah nak dilembutkan.”
Kedengaran Zaim mengeluh panjang. Kepala pun tak henti berfikir. Tak jadi dia nak keluar lantas tutup pintu kereta dan memandu keluar dari laman rumah.
Datin Hakimah tersedar. Berulang kali memanggil Zaim namun anaknya buat tak dengar. Nasib Dato’ Zakri muncul.
“Kenapa?” soal suaminya.
“Entahlah bang. Apalah yang Im dah buat dekat Tas sampai tak balik ke sini. Kim ingat Tas nak duduk rumah mak usu dia sekejap je. Ni dah masuk hari keempat. Kat manalah dia sekarang ni. Kim risau bang.”
Dato’ Zakri tarik tangan Datin Hakimah. Bawa masuk isterinya ke dalam rumah.
“Biar dia orang selesai sendiri. Kita jangan masuk campur.”
Akhirnya Datin Hakimah mengangguk namun hati tetap berlayar risau.
***
Zaim singgah ke restoran mak usu dengan harapan Tasneem akan berada di sana namun kedai makan itu sudah gelap. Lantas dia memandu pula ke banglo wanita itu kerana firasatnya mengatakan pemilik restoran sudah pulang ke rumah. Namun hampa yang dia dapat. Rumah itu juga gelap dan sunyi sepi. Akhirnya hati menyumpah seranah diri sendiri. Kerana mulutnya dia telah melukakan hati Tasneem sekali lagi.
Telefon di tangan pula ditilik berulang kali. Sudah puas menghubungi Tasneem namun tidak masuk. Pesanan pun dihantar tetap tak sampai. Akhirnya dia buat keputusan hendak menunggu saja di sini. Dia perlu berjumpa dengan emak saudara gadis itu agar dia tahu di mana Tasneem berada. Lama menunggu dan tak sangka dia terlelap dengan sendirinya. Entah berapa lama dia tertidur dia tidak tahu. Sedar-sedar dia dengar ketukan di cermin kereta.
“Im, kenapa sampai tertidur kat sini?” sapa Mak Usu Tini risau sebaik saja cermin tingkap diturunkan. Zaim tenyeh mata. Dia perasan muka Dahlia berkerut melihat ke arahnya. Mungkin gadis itu tak menyangka wajahnya dah macam banduan dalam penjara. Bukan. Banduan lagi rapi daripada dia.
“Tas ada?” soal Zaim resah. Akhirnya Mak Usu Tini menghembus nafas kesal. Memang wanita itu dah agak Zaim akan mencari Tasneem.
“Tas tak balik rumah mami,” ujar Zaim lantas keluar dari kereta. “Mami cakap Tas bermalam kat sini.
Mak Usu Tini mengangguk.
“Haah, dia tidur kat sini tapi dua malam je. Lepas tu dia balik Gambang. Tidur kat rumah sewa.”
“Rumah sewa?” Zaim terpempan tak tahu apa-apa. Mukanya berkerut tak faham.
Dahlia pula herotkan senyum puas hati.
“Laa… Im tak tahu ke?”
Zaim menggeleng dan Mak Usu Tini hempas nafas kesal. Bertuah punya suami Tasneem. Sikit pun tak ambil tahu fasal isteri sendiri.
“Sebelum kahwin, Tasneem akan datang rumah mak usu hari minggu je Im,” beritahu Mak Usu Tini kesal.
Zaim terkedu. “Kalau ada barang yang dia nak beli dia datanglah Kuantan lepas habis kerja. Kadang-kadang tu kalau malas nak balik dia drive lepas subuh untuk masuk kerja.”
Zaim mendengar penuh minat. Dia tak tahu pun semua tu.
“Nanti mak usu hantar alamat rumah dekat Im.”
Zaim angguk mahu. Terus tercegat di depan mak usu macam tiang lampu.
“Dah. Im balik tidur dulu. Muka tu nampak penat sangat. Pagi esok je lah pergi jumpa dia,” suruh wanita itu kemudian pusingkan badan hendak masuk ke dalam namun berhenti semula dan kembali memandang Zaim.
“Jangan lupa trim jambang tu. Tak pun cukur terus. Tasneem tak suka lelaki berjambang. Kan dia pengsan pula tengok Im yang dah macam orang utan.”
Zaim garu kepala yang tak gatal. Pandang pantulan diri dari cermin. Teruk sangat ke dia sekarang. Nasib wanita itu cakap tak berlapik. Kalau tidak dia tak akan sedar lagi. Lalu dia meminta diri untuk pulang ke kondo. Lagi dekat nak ke Gambang esok.
Dalam hati berdoa agar Tasneem ada di rumah sewa.
***
Tasneem mengiring ke kanan. Nampak muka bengis Zaim. Mengiring ke kiri pula. Nampak mata Zaim yang tajam merenungnya. Pantas dia bangkit. Kepala yang pening makin mengganggu matanya yang sukar hendak dipejam.
Dia tak sangka. Keluar saja dari ofis Zaim terus dia diserang demam. Mungkin sebab terkejut dengan lontaran kata cerca lelaki itu. Mungkin juga sebab dia tak mampu menerima semua tohmahan demi tohmahan yang lelaki itu keluarkan. Lalu dia demam. Dia tak ke rumah mak usu sebaliknya terus ke pejabat. Cuba membuat kerjanya namun dia sakit hati. Dia sedih. Dia kecewa. Lalu dia terus balik ke rumah sewa apabila waktu balik tiba. Sampailah ke saat ini dia tak mampu tidur.
Hati pantas membenci. Lelaki itu semakin menambah bara dalam hatinya. Dan… dia tak akan berpaling lagi. Dia tak akan cuba untuk mengalah. Akhirnya dia tertidur bersama tekad yang entah akan berubah atau tidak.
Share this novel