Dato’ Zakri keliru. Apa yang dah jadi. Melihat Tasneem yang langsung tak menjawab panggilannya dia rasakan ada sesuatu yang terjadi. Dia ingatkan menantunya itu akan baik-baik saja. Lagipun Tasneem sendiri yang menghubungi mahu berjumpa dengan Zaim. Dia pula senang hati memberitahu. Kebetulan baru hari ini Zaim muncul di pejabat.
Dengan kepala yang penuh dengan soalan, arahkan kaki ke bilik Zaim.
“Im… Im buat apa dekat Tas?” soal Dato’ Zakri tak faham. Kecewa sungguh melihat menantunya melangkah laju sambil menangis. Lagi kecewa hatinya melihat anak sendiri yang dah macam orang tak betul.
Zaim yang menongkatkan tangan ke meja pusingkan badan. Pandang orang tuanya.
“Im suruh dia balik. Orang belum tahu kami dah kahwin dan Im tak nak dia malu.”
Dato’ Zakri menggeleng kesal.
“Apa yang susahnya. Cakaplah dekat semua orang.”
“Pa!” Zaim menggeleng. “Orang tahu Im kena tangkap basah tapi orang tak tahu perempuan tu dia. Im tak nak dia dapat malu lagi besar dari hari tu.”
Entah apalah yang Zaim fikirkan sampai macam tu sekali Zaim bertegas.
“Im… Im. Benda dah jadi. Im dah halal. Apa yang Im nak jaga lagi. Kalau Im simpan sekalipun orang tetap akan tahu juga.”
Sungguh lelah menghadap Situasi yang dia cipta sendiri lantas dia duduk di birai meja dan Dato’ Zakri menghampiri.
“Im terpaksa bertegas sebab dia masih trauma dengan Im dan… Im tak nak disalahkan sekali lagi kalau tiba-tiba Im… Im… tak mampu nak kawal diri Im.”
Dato’ Zakri akhirnya faham. Dekati Zaim lalu usap bahu anak jantannya.
“Abah dah merestui Im nikah dengan Tasneem. Jadi… pertahankan. Jangan sampai rumah tangga Im porak-peranda sebab benda yang dah lepas. Sebagai ketua Im yang kena tentukan hala tuju rumahtangga Im. Bukan papa, bukan mami. Im kena cari cara macam mana nak buang trauma Tasneem. Kena berusaha kalau nak bahagia macam orang lain,” pesan Dato’ Zakri lantas hembus nafas panjang
Terbit rasa kesal dalam hati Zaim. Memang dia bertindak terburu-buru. Pandang isi mangkuk tingkat yang berterabur di atas lantai dan kesalnya makin beraja.
Dalam melayan kesal ya kedengaran ketukan di muka pintu. Pantas Zaim pandang ke daun pintu. Dato’ Zakri juga menoleh.
“Encik Zaim, Encik Rafael ada kat bilik dia sekarang.”
Zaim tersentak. Berita yang disampaikan pembantunya membawa semangat berkobar-kobar. Terus dia melangkah ke bilik Rafael dan Dato’ Zakri mengekori dari belakang.
Dada orang tua itu berdegup kencang. Berharap sangat yang Zaim tak akan bertindak gila.
***
Rafael hempas punggung ke atas kerusi dengan lemah. Dia yang baru balik dari berjumpa Neldhia hempaskan nafas kesal. Sungguh dia tak sangka sama sekali. Jazmin mengajaknya berjumpa di sebuah hotel untuk mendengarnya membuat pengakuan. Dia tak sangka juga Neldhia yang mengugut Jazmin menyuruhnya berjumpa di satu tempat. Malah Ku Han pun ada sekali menemani sambil dijaga oleh pengawal lelaki itu. Dia tak berani lari kerana mereka ada pistol. Siapalah dia hendak melawan orang besar macam tu.
Malah kesalnya makin tebal apabila mengetahui Neldhia sudah ada anak. Neldhia berterus-terang kerana mahu keluar negara dan menetap di sana. Dia yang menaruh hati pada Neldhia tentulah patah hati. Tak sangka cinta yang dia simpan sekian lama tak berbaloi dijaga.
Tutup mata dan cuba bertenang. Tetapi….
Buk!
Sebuah tumbukan padu hinggap ke mukanya. Pantas dia bangkit. Terkejut melihat kemunculan Zaim membawa amarah yang tak bertepi.
“Apa yang ada dalam kepala kau sampai kau sanggup buat aku macam ni Raf? Kawan baik kau sendiri,” jerkah Zaim lantas angkat tangan hendak menumbuk muka Rafael sekali lagi. Nasib baik Dato’ Zakri menghalang. Jika tidak bilik ini akan jadi medan pertempuran.
“Sudah Im. Sudah!” marah Dato’ Zakri lantas tutup pintu. Tidak membenarkan kakitangan di luar melihat onar anaknya dan juga Rafael.
“Aku tak salah.” Rafael bela diri.
“Kalau tak salah kau tak akan lari.”
Rafael betulkan mukanya. Sakit ditumbuk Zaim masih terasa. Namun tidak sesakit hatinya mengetahui kebenaran. Kebenaran tentang Neldhia.
“Berani kau datang sini lepas apa yang kau dah buat dekat aku.”
Rafael pantas keluar dari kawasan mejanya. Menghadap Zaim.
“Ya. Aku berani datang sebab aku nak betulkan apa yang dah silap.”
“Apa yang silap?”
Rafael kumpul kekuatan.
“Memang hari tu aku berpakat dengan Jazmin. Bukan nak kenakan kau tapi aku nak halang kau dari pergi ke majlis ayah Nel.”
Muka Dato’ Zakri berkerut menahan rasa.
“Kenapa?” soal Dato’ Zakri pula.
Amarahnya meruap keluar mendengar cerita Rafael.
“Sebab Nel nak perangkap kau dekat hotel. Sebab itu saja cara yang dia ada supaya Dato’ izinkan dia kahwin dengan kau, tapi….” Rafael berhenti. Tekur ke bawah. “Jazmin pula yang sanggup khianati kau. Aku tak tahu langsung yang dia masukkan ubat dalam salad kau. Aku ingat dia tolong aku sebab tak nak Nel kahwin dengan kau tapi tak sangka niat dia jahat.”
Zaim kepal penumbuk. Mahu tumbuk muka Rafael sekali lagi.
“Jadi, siapa yang call pegawai pencegah maksiat?” soal Dato’Zakri sambil tangan menahan Zaim dari bertindak di luar batasan.
Rafael menggeleng tidak tahu dan Zaim tolak tangan papanya mahu menyepak Rafael namun Dato’ Zakri menghalang sekali lagi.
“Kerana kau berdualah aku jadi mangsa. Tasneem jadi trauma. Kau….” Zaim hilang sabar. Akhirnya dia lepaskan dengan menumbuk almari kaca di belakang.
Hancur berderai pintu kaca dan sekali lagi tangan yang dulu pernah terluka kembali berdarah. Dengan perasaan kesal Zaim melangkah keluar meninggalkan Rafael yang menyesal tak sudah.
Share this novel