Datin Hakimah berlari masuk ke dalam bilik Zufri. Pandang sekeliling bilik itu yang suram dan begitu menyedihkan. Tiada keindahan yang terukir. Hanyalah latar hitam yang penuh dengan keratan akhbar yang sudah kekuningan. Ada berita tentang kebakaran rumah. Ada gambar rumah yang terbakar dan api marak menyala.
Datin Hakimah simpati dengan nasib anak muda itu. Melihat zahir lelaki itu pasti orang tak menyangka ada sisi gelap yang disembunyikan. Zufri penuh dendam.
Anak yang diangkatkan itu dibela demi menghilangkan rasa bersalahnya. Dia butakan mata, tulikan telinga. Konon-konon dia tak tahu apa-apa agar dia mampu membesarkan Zufri dengan baik. Sedari usia 12 tahun lelaki itu mula memberontak. Tetapi dia curahkan kasih sayang. Lima tahun selepas itu barulah Zufri berubah. Dia ingatkan lelaki itu betul-betul berubah rupa-rupanya tidak. Semua yang ditunjukkan hanyalah lakonan.
Dia tahu kejahatan lelaki itu tetapi dia terpaksa menangkan anak angkat kerana tidak mahu anak sendiri menjadi mangsa. Siapa sangka apa yang dia buat sebenarnya ibarat menjerut leher sendiri. Bakal menghancurkan kebahagiaan yang ada buat selama-lamanya.
Tasneem yang mengekori dari belakang memeluk Datin Hakimah yang menangis teresak-esak. Bawa wanita itu duduk di atas katil bercadar hitam. Selepas itu Tasneem pandang sekeliling. Semuanya berlatar hitam. Langsung tidak ada warna lain.
“Zufri tu anak yatim piatu. Nama sebenar dia Ahmad Nazim. Mami tukar jadi Zufri sebab mami tak nak dia rasa tersisih di sini.”
Tasneem kerutkan muka. Nama itu serasa pernah melekat di dalam kepala.
“Mami nak dia rasa disayangi tapi….” Datin Hakimah berhenti namun Tasneem tetap menadah telinga. Tetap hendak mendengar. “Dendamnya tak pernah hilang. Dia terlalu dendamkan Im. Dendamkan papa. Dia dendam dengan semua orang yang buat dia jadi yatim.”
“Apa puncanya mami?” soal tasneem tergesa-gesa. Hati tak sabar hendak tahu. Malah dada jadi berdebar-debar.
“Sebenarnya Im tak sengaja pun.”
“Tak sengaja apa mami?”
Datin Hakimah menggeleng. Ramas cadar dan menekur ke bawah. Terlalu sukar hendak bercerita. Tak sepatutnya dia buka kembali cerita lama kerana ia melibatkan aib suami sendiri. Walaupun dia tak kenal keluarga Zufri tetapi dia tak sepatutnya buka cerita lama. Tapi… kalau dia tak luahkan dia akan terus dalam kesedihan dan ketakutan. Lalu dia panggung kepala. Pandang Tasneem dan tarik tangan itu. Genggam kuat lantas mula bercerita.
***
Imbas kembali
“Kenapa encik buat macam ni. Salah di sisi agama tu encik. Berdosa.” Waseem tangkap lengan Zakri. Digenggamnya kuat. “Jangan permainkan agama encik,” nasihat Waseem ikhlas. Dia tidak kisah. Siapa pun yang dia jumpa akan dia beri nasihat. Tak kira orang itu kaya atau miskin.
Zakri hempas tangan itu kuat. Ketap geraham tunjuk geram. Geram pada orang yang berlagak alim. Matanya pandang tag nama di dada itu.
“Kau jangan masuk campur. Ku tu jaga je kat sini?” Zakri menolak nasihat. Pakai cermin mata hitam lantas bergerak hendak beredar dari bangunan hotel gah di Cameron Highland ini.
“Tapi encik... hidup encik tak akan bahagia. Orang yang beri rasuah ni sama saja dengan orang yang terima. Dua-dua kena laknat. Encik nak ke hidup encik sekeluarga tak bahagia? Tak berkat?”
Kaki berhenti melangkah. Ada detik kesal muncul. Terus Zakri hembus nafas panjang. Berfikir dalam. Bukan dia tidak tahu hukum agama. Tahu sangat tetapi dia terdesak. Jika projek besar di Tanah Tinggi terlepas ke tangan orang lain, peluangnya untuk dikenali tak akan muncul lagi. Perniagaannya mungkin akan statik di situ saja. Tak akan maju-maju macam perniagaan orang lain. Saat ini dia terpaksa menggunakan jalan yang salah. Demi kesenangan hidup isteri dan anak-anaknya juga.
“Kau dah tahu aku buat kerja ni jadi baik kau senyap.”
Waseem menggeleng kesal. Tak sangka dia boleh melihat huluran duit dari lelaki ini pada bos di sini. Demi kesenangan hidup mereka sanggup menolak agama ke tepi.
“Saya selalu tengok encik ke mari. Saya rasa encik baik orangnya. Ada ilmu agama sebab itulah saya tegur. Kalau saya tegur orang jahil tak akan dapat apa-apa pada saya. Tapi… encik orang hebat. Saya harap encik fikir balik,” pesan Waseem lalu tanggalkan uniform dan menyalinnya di dalam bilik. Keluar semula menuju ke motor cabuknya.
Zakri memerhati. Malah kepala ligat memikirkan kata-kata lelaki itu. Sebaik motor usang itu bergerak dia terus ke kereta dan mengekori. Turun naik bukit dengan jalan bengkang-bengkok menyukarkan perjalanan. Namun akhirnya dia sampai juga ke sebuah perkampungan. Hanya empat lima buah rumah kayu. Itupun berjarak setengeh kilometer antara sebuah rumah dengan rumah yang lain. Lelaki yang menegurnya itu berhenti di sebuah rumah papan kecil. Nampak macam rumah sewa kerana kelihatan sempit dan usang.
Sebaik lelaki itu berdiri di depan tangga, pintu dibuka dari dalam dan keluarlah seorang budak lelaki dalam lingkungan usia 9 tahun. Wajah itu nampak merah dan tubuh berbungkus dengan selimut. Tangan lelaki itu naik menyentuh dahi si kecil. Terus hati Dato’ Zakri tersentuh. Sebaik saja kelibat itu hilang ke dalam dia pun memandu pulang.
***
Semalaman dia tidak lena tidur memikirkan kata-kata pengawal keselamatan kelmarin. Semuanya benar sekali dan dia cukup tahu hidupnya tak akan berkat. Hati mula berasa kesal. Tuhan nampaknya menyayanginya. Tuhan hantar lelaki itu untuk menjentik hatinya. Nasibnya baik kerana dia mendapat hidayah sebelum dia berulang membuat doa besar. Hati tiba-tiba lembut. Belum pernah lagi orang menasihatinya begini. Hidayah sudah datang. Jadi, dialah yang perlu berusaha untuk mengekalkannya.
Lalu, pada petang hari minggu ketika angin berhembus kuat dia bawa Zaim bersama ke rumah lelaki itu. Saat itu awan mendung begitu tebal berarak menutupi langit. Itu tandanya hujan akan turun. Tetapi semuanya kuasa Tuhan. Jika Dia kata jadilah, maka jadilah. Dengan dada berdebar-debar dan hati yang resah dia tanam tekad. Alang-alang berjumpa orang baik kenapa dia perlu bermusuh. Bukankah menjalinkan persahabatan itu lebih baik.
Ketuk pintu lantas memberi salam. Seorang anak kecil yang lebih muda dari Zaim muncul. Itu wajah semalam. Hari ini nampak sudah jernih dan sihat.
“Ayah ada?” tanya Zakri dan anak itu mengangguk lantas kembali ke dalam dan muncul semula dengan lelaki semalam. Zakri terkejut. Wajah itu nampak tidak sihat. Panas membahang saat mereka berjabat tangan.
“Maaf. Macam mana encik tahu ini rumah saya?” Waseem bertanya hairan dan dibalas senyuman Zakri. “Masuklah. Kita borak kat dalam,” pelawa Waseem lantas mengarah ke kerusi kayu. Zakri dan Zaim pun masuk juga. Tetapi Zakri diam sahaja kerana segan hendak memulakan perbualan. Tidak pada Zaim. Anaknya itu pandang keliling. Melihat rumah yang kecil dan kekurangan ini anak kecil itu rasa teruja. Pandang kanak-kanak yang sebaya dengannya pula. Budak kecil itu berikan senyuman.
“Jom kita main kat luar,” ajak kanak-kanak itu dan Zaim mengangguk setuju.
“Nazim, jangan pergi jauh. Angin kuat tu,” pesan Waseem dan Nazim angguk mengiyakan. Sebaik kedua-dua orang anak kecil itu keluar Waseem sambung bercakap.
“Maaf encik. Kenapa sampai datang sini. Encik tak suka ke dengan nasihat saya. Saya tahu saya orang luar tapi kalau saya dah nampak kesalahan encik elok saya tegur terus.”
Zakri menekur ke bawah.
“Kalau engkau tak tegur, aku tak akan sedar kesalahan aku. Terima kasih sebab berani menegur dan aku….” Zakri berhenti. Jauh berfikir. “Macam mana aku nak bertaubat.”
Waseem faham.
“Minta ampun pada Tuhan. Hentikan orang yang encik bayar. Bagi semula projek tu pada orang yang sepatutnya dapat.”
“Tapi aku dah dapat projek tu,” balas Zakri kesal.
“Berat. Berat sungguh ujian encik!” Waseem menggeleng. “Susah. Kalau macam tu minta ampun pada Tuhan sesungguh hati. Minta Tuhan permudahkan urusan.” Waseem terbatuk-batuk dan Zakri rasa bersalah. Dia tahu lelaki itu tengah tak sihat. Tak sepatutnya dia mengganggu.
“Maaf Encik Zakri. Saya berjangkit dengan Nazim. Semalam elok je. Tak sangka pula hari ini rasa lain. Dia dah sihat saya pula yang demam.”
Zakri mengangguk segan. Tiba-tiba Wasem bangkit.
“Saya pergi buat minuman.”
Pantas Zakri bangun menghalang.
“Tak perlu. Aku tak nak berlama-lama. Kasihan engkau,” balas Zakri lantas menjenguk melalui jendela. Mencari Zaim. Saat itu angin berhembus kuat. Namun hujan tidak pula turun walau awan sedang menzahirkan kedukaan dengan warna kelam.
Waseem melangkah juga hendak ke dapur. Namun bau asap yang menusuk hidung mendebarkan dada. Tiada rumah lain di sini. Hanya rumah dia. Siapa pula yang datang membakar. Belakang pula hutan yang terbiar. Tak mungkin ada yang datang membakar sampah. Hati berdetak takut. Pandang Encik Zakri yang mengerutkan muka.
Mata mereka melihat kepulan asap melalui lorong ke dapur dan Waseem menjerit kuat.
“Nazim!” laung Waseem dan anaknya itu tidak menyahut. Zakri pula segera keluar. Mencari Zaim. Waseem juga mengekori dengan takut. Mencari-cari anak-anak di depan namun tak jumpa.
“Nazim!” laung Waseeem.
“Zaim!” laung Zakri pula. Sebaik berada di belakang dapur mata mereka tak bergerak memandang Zaim yang tercegat memegang ranting kayu yang berapi. Mata Zaim memandang bulat ke arah dapur yang terbakar. Namun, Waseem tak ada.
“Waseem!” Nazim menjerit memanggil. Angin yang kuat sekejap saja merebakkan api sehingga ke ruang tamu. Dengan berani Waseem masuk ke dalam rumah walaupun Zakri sudah menghalang.
“Zaim!”
Zakri buang ranting kayu dan heret Zaim jauh dari rumah. “Zaim!” Digoncangnya tubuh anak jantannya yang seperti dipukau. Apabila sedar Zaim menangis dan melolong takut melihat rumah yang sudah marak menyala.
‘Ya Allah! Apa yang Zaim dah buat ni?’ hati merintih pilu.
Dari kejauhan dia lihat beberapa barang dibaling keluar. Dia agak, tentu lelaki itu sedang menyelamatkan barang-barang penting. Hatinya ketakutan. Di mana anak lelaki itu?
Share this novel