Kerana ibu dan abah, dia buang amarahnya jauh ke dalam gaung. Kerana mami dan papa dia cuba untuk tidak membenci lelaki itu. Kerana dia mengimpikan perkahwinan yang bahagia dia pujuk diri sendiri untuk menerima lamaran yang tiba.
Lalu pagi ini ditemani orang tuanya, dato’ dan datin bakal mentuanya serta mak usu dan Dahlia dia tunggu kedatangan Zaim untuk berjabat tangan dengan tok kadi.
Dua kali lafaz juga Zaim menjawab akad akhirnya berjaya memeterai janji untuk sehidup semati. Susahnya suara kasar itu menyebut namanya dan pantas saja air matanya jatuh menitik.
Dadanya cukup sebak. Sepatutnya dia perlu bergembira pada hari mereka telah mula halal untuk duduk bersama. Bukankah ini impiannya. Ingin menjadi isteri lelaki itu. Lelaki yang digilainya. Malah dia sudah berjanji untuk menerima lelaki itu namun, hati rasa kesal kerana sedari awal berjumpa di pejabat agama, wajah lelaki itu ketat tak berperasaan saja.
Lalu dia yakin. Zaim ingin menikahinya hanya kerana orang tua lelaki itu. Hati pun menjerit pedih.
Namun, saat mata lelaki itu menghadap ibu dan abah ada riak ceria yang terbias di wajah. Adakah lelaki itu sedang berlakon. Ketika itu wajah Zaim sungguh manis sehingga Tasneem rasa benar-benar pelik.
“Tak perlu sarung cincin. Baik aku bagi duit,” bisik Zaim sebaik saja menyerahkan frame gambar berisi sejumlah wang kertas.
Tasneem tersentak. Pandang wajah Zaim dengan mata terkebil-kebil. Dia yang baru bangun nak bersalam dengan lelaki itu kembali duduk. Hatinya bagaikan ditimpa dahan nan patah. Dia baru nak terima semuanya dengan reda. Dengan sepenuh hati. Namun ayat lelaki itu tak seiring dengan riak wajah. Terus hatinya memaki keras.
“Im. Salam ibu dengan abah Im dulu,” arah Datin Hakimah sebaik saja Zaim sudah serahkan mas kahwin.
Zaim tunjuk mesra. Terus dijabatnya tangan Haji Borhan. Kemudian beralih ke arah ibu Tasneem.
“Maaf. Im tak boleh lama. Nak kena gerak balik Kuantan. Im ada hal penting nak kena buat. Nanti ada masa Im bawa Tas balik jumpa ibu dengan abah.” Langsung tak kekok cara lelaki itu menyapa mentuanya. Namun, sebagai orang tua Nadiah tahu ada nada tak suka pada suara itu.
“Tak apalah. Im setelkan urusan Im dulu. Biar Neem duduk dengan ibu sehari dua lagi kat sini. Boleh kan?” pinta Nadiah lembut. Cuba bersopan namun Zaim ketap gerahamnya. Kemudian kerling Tasneem yang juga mengetap bibir. Nampaknya sedang memarahinya dalam diam.
“Bila mami dengan papa nak bertolak balik?” tanya Zaim namun mata sesekali kerling Tasneem yang sudah bangkit dari kerusi.
“Lepas zohor,” jawab Dato’ Zakri dan Zaim pantas pandang jam tangannya. Baru jam 11 pagi. Lantas dia merapati Tasneem.
“Lepas zohor kau terus balik dengan mami dan papa,” bisik Zaim lantas berpamitan dengan semua orang. Tak berlengah terus keluar dari pejabat dan melangkah cepat ke petak parkir.
Tasneem terkesima.
Dia ingatkan lelaki itu hendak mengizinkan. Rupa-rupanya tidak. Menyedari lelaki itu sudah keluar dia mengejar dari belakang. Beri alasan pada orang tuanya hendak menghantar lelaki itu ke kereta.
“Saya nak duduk dengan mak ayah saya sehari dua lagi. Kenapa tak bagi?” soal Tasneem geram. Zaim yang baru menarik picu pintu berhenti. Lantas berpaling.
“Sekarang kau isteri aku. Ikut saja apa yang aku suruh. Jangan nak melawan.”
“Saya tak melawan. Saya tanya je.” Keras suaranya berbunyi dan Zaim hembus nafas keras.
“Aku tak suka isteri aku menyusahkan orang.”
“Orang! What do you mean by ‘orang’? Mereka tu mak ayah saya.”
Terus Zaim herotkan senyum sinis. Tasneem dah pandai cakap bahasa asing. Kedengaran tak kekok langsung. Namun, dia tak akan terkesan.
“Jadi… kau suka menyusahkan mak ayah kau?”
Tasneem terpukul dan Zaim masih lagi herotkan senyum zalim.
“Kalau kau rasa nak menyusahkan mak ayah kau, silakan. Tapi apa yang aku nak tahu malam ni kau dah ada kat rumah papa dengan mami,” ujar Zaim lantas masuk ke dalam kereta dan meninggalkan semua orang yang baru keluar dari pejabat.
Tasneem ketap bibirnya kuat. Inikah amaran Neldhia. Jangan menikah dengan Zaim. Lelaki itu sebenarnya seorang yang kejam. Tetapi mereka sudah menjadi suami isteri. Tak boleh kembali seperti sebelum ini. Lalu hati pun patah lerai. Tak tahu nak buat apa.
***
“Terima kasih Nad. sudi sambung kembali persahabatan kita,” ucap Datin Hakimah usai Zaim berlalu pergi. Dipeluknya Nadiah erat.
Nadiah pula mengusap belakang wanita itu melepaskan rasa rindu.
“Kita tak pernah putus. Cuma masa yang memisahkan kita. Nad pun tak kejam nak membenci sahabat baik Nad.”
Hati Datin hakimah berasa lega. Leraikan pelukan lantas pandang suaminya. Lelaki itu nampak resah. Sedari berjumpa dengan Nadiah wajah itu nampak berserabut. Ternampak pula Haji Borhan yang baru keluar dari pejabat sebaik selesai bercakap dengan qadi.
“Terima kasih juga abang aji. Uruskan semua dokumen nikah kahwin anak-anak.” Kepada suami Nadiah dilontarkan ucapan terima kasih. Walaupun lelaki itu nampak serba kurang tetapi lelaki itu ada ramai kawan yang boleh diminta tolong. Nasib baik, qadi yang nikahkan Tasneem adalah kawan sekolah menengah lelaki itu.
Dato’ Zakri yang sedari tadi lagi berdiam tak berlengah. Merapati besannya dan peluk erat.
“Jangan ambil hati dengan Im. Dia dah cakap tadi nak datang lain kali. Mungkin dia segan sebab mereka nikah tanpa persiapan,” ujar Dato’ Zakri lantas leraikan pelukan.
“Tak apalah Zak. Kita utamakan yang wajib dulu. Majlis-majlis tu kita buat lain kali.” Haji Borhan membalas mesra.
Datin Hakimah tersentak. Baru teringat tentang majlis nanti. Kakitangan ZakBina kena tahu. Begitu juga dengan pekerja butiknya dan jiran tetangga mereka.
“Alang-alang dah ada kat sini, kita bincang teruslah. Nak buat bila majlisnya. Kalau Nad tak kisah kita buat cepat ya.”
Pantas Nadiah pandang Tasneem yang perlahan-lahan berjalan hendak menyertai mereka yang berkumpul di bawah pokok.
“Kena tanya Neem dulu. Bila dia cuti panjang lagi.”
Berkerut dahi Datin Hakimah tak faham. Pandang suaminya yang juga tak tahu apa-apa.
“Cuti panjang macam mana tu. Bukan ke Tas kerja dengan mak usu dia. Mak usu dia tak boleh ke bagi cuti panjang dekat Tas? Kan nak buat majlis ni.”
Tak sangka tersembur tawa halus Mak Usu Tini yang turut serta menyaksikan akad nikah antara Tasneem dan Zaim. Dahlia pun sama. Lorekkan senyum rahsia.
“Kena tanya Neem dulu. Tini tak tahu jadual dia.”
Muka pasangan suami isteri itu berkerut tak faham.
“Jadual? Jadual apa? Atau Tas adakerja kat kedai lain juga?” duga Datin Hakimah.
“Mana ada. Tas tu tak kerja pun dekat restoran Tini. Dia tu je yang ringan tulang sangat. Balik kerja je terus datang restoran. Kadang-kadang hari minggu pun macam tu jugak. Suka sangat tolong Tini kat restoran. Itu yang orang cakap dia tukang ambil order kat kedai Tini. Dia pula suka je orang anggap dia macam tu.”
“Maksud Tini?” kali ini Dato’ Zakri pula yang bertanya sambil kerling Tasneem yang hampir tiba.
“Tas tu lecturer kat Kolej Matrik Gambang.”
Hampir terjojol biji mata Datin Hakimah. Kemudian berkerut tak faham pula. Terus pandang Tasneem dan tak lama barulah melorekkan senyum teruja.
“Maknanya Tas pensyarah kat kolej Kaylalah bang,” ujar Datin Hakimah teruja pada suaminya yang terangguk-angguk. Baru tahu menantu mereka bukannya budak tukang ambil order.
“Jadi….”
Tak habis ayat Datin Hakimah apabila Tasneem sudah betul-betul berada di belakangnya. Wanita itu berpaling dan semua mata tertuju ke wajah Tasneem.
“Erk, kenapa pandang Tas macam tu?” soal Tasneem tak faham.
Datin Hakimah lukiskan senyum bahagia. Manakala Nadiah pula ketap bibirnya geram. Bertuah punya anak. Langsung tak buka cerita pasal diri sendiri sampai orang anggap yang bukan-bukan.
Mak Usu Tini pula sudah rasa lega. Taklah dia rasa terbeban menyorokkan status kerja Tasneem. Dahlia pun sama. Tersenyum bahagia. Sepadanlah dengan Zaim. Kalau Zaim nak marah, buka sajalah mulut pensyarah dia tu. Tentu senyap.
“Kayla tahu ke Tas lecturer kat Kolej dia?” tanya Datin Hakimah dan Tasneem tersentak. Patutlah mentuanya pandang lain macam. Lalu Tasneem mengangguk saja.
“Kayla, Kayla! Pandai betul simpan rahsia,” bebel Datin Hakimah nak tergelak. Dan Tasneem terus garu kepala yang tak gatal.
Share this novel