BAB 65

Drama Completed 84621

“Are you okay, sayang?” sapa Zaim saat Tasneem sedang menjemur kain di beranda dapur. Lelaki itu memeluknya dari belakang. Kemudian mencium rambutnya yang masih basah. Harum syampu menaikkan rasa yang masih belum cukup semalam.

Tasneem pusingkan badan. Paut tubuh Zaim yang hanya bersinglet dan berkain pelikat.

“Lapar?” soal Tasneem manja. Tidak menjawab pertanyaan Zaim tadi. Segan dengan pandangan lelaki itu. Sejak semalam Zaim langsung tak mahu berenggang. Nasib baik lelaki itu tak liat nak bangun solat. Kalau tidak, memang terlajak subuh mereka.

Tangan Zaim masih membelai rambutnya yang basah. Hati Tasneem penasaran. Pandangan Zaim cukup menggoda. “You look beautiful sayang!” puji Zaim lantas tangan Tasneem naik menutup muka. Malu. Cukup malu tetapi Zaim jatuhkan dan genggam tangannya.

“Janji dengan abang, selalu senyum macam ni,” pesan Zaim mesra dan Tasneem mengangguk malu. Tangan itu kini memaut lehernya lalu dekatkan muka. Terus mukanya berkerut. Bibir lelaki itu tiba-tiba saja menyentuh lehernya.

“Stop! Sayang lapar. Jom!” Tasneem menghalang tindakan Zaim. Tunjuk perutnya yang berkeriuk. Kalau dia biarkan perutnya akan masuk angin. Lantas dia pimpin tangan itu sehingga ke dapur.

“Abang nak makan apa?” tanya Tasneem gembira. Pandang wajah Zaim yang tak semena-mena memandang jauh ke depan. Seperti berfikir panjang.

“Kenapa?” soal Tasneem tak faham.

“Ini hari kedua sayang cuti. Tak apa ke?”
Tasneem luahkan tawa kecil. Mengangguk lucu.

“Tak apa. Lagipun sayang belum ambil cuti tahunan lagi. Hari tu punya… cuti sakit,” jelas Tasneem dan melebarkan senyum Zaim.

“Kalau macam tu, lepas sarapan ikut abang.”

Kening Tasneem terjongket ke atas.
“Tak kerja ke?” soalnya hairan.

Zaim menggeleng. Sudah lama dia tidak ke pejabat. Gara-gara kemunculan Zufri dia menjauh. Melihat keakraban papanya dan lelaki itu dia tak pantas berada berdekatan mereka. Hatinya dipagut cemburu.

“Sayang tanya ni… abang tak masuk ofis ke? Soal Tasneem hairan. Tangan yang menarik pinggan diberhentikan. Berpaling memandang Zaim. Lelaki itu tiba-tiba lebarkan senyum. Naikkan tangan dan cubit kedua-dua belah pipi Tasneem.

“Abang cuti juga. Abang nak bawa sayang jalan-jalan. Cuci mata.”

Kening Tasneem bertaut.
“Kita balik rumah mami. Kita jenguk mami dengan papa. Dah lama tak tengok dia orang. Tambah-tambah papa.”

Terus muka Zaim berubah tona.
“Sayang… abang tak nak….”
Mulut Zaim segera dikatup Tasneem. Telunjuknya sudah melekap di bibir itu.

“Abang terasa hati dengan mami?” soal Tasneem dan Zaim terus diam. “Dia ibu kandung abang. Abang tak boleh abaikan mami macam tu je. Tambah-tambah lagi papa. Lagipun dah lama sayang tak nampak papa,” sambung Tasneem sambil matanya menatap mata Zaim yang sudah memandang ke bawah.

Zaim hanya berdiam. Dia sendiri pun dah lama tak tengok ayahnya. Sebaik saja Zufri muncul dia pinggirkan papa sendiri. Baginya, lelaki itu melebihkan Zufri berbanding dirinya.

“Sayang!” Zaim sentuh bahu Tasneem.

“Abang nak kita bagi masa untuk diri kita dulu. Kita baru nak kenal satu sama lain. Buat masa sekarang jangan sebut pasal mami dengan papa dulu,” pesan Zaim dan Tasneem akur.

“Erm… kalau macam tu kita makan dulu.” Langkah diatur kabinet. “Sandwich okay?” tanya Tasneem risau tetapi Zaim angguk setuju. “Atau abang nak makan yang berat.”

Pantas Zaim menggeleng. Lalu dia terus menyiapkan sandwich dan Zaim pula ke bilik. Entah apa yang lelaki itu buat dia tidak tahu. Zaim muncul kembali dengan siap berpakaian kemas.

“Erk, sayang tak siap lagi ni.” Tasneem gelisah namun Zaim balas dengan senyuman. Tarik piring berisi sandwich dan milo panas.

“It’s okay. Take your time,” ujar lelaki itu lembut. Dada Tasneem rasa lega. Terus dia tarik kerusi dan bersarapan bersama. Tak lama masa yang diambil. Selesai mengemas dia ke bilik. Salin pakaian dan sarungkan pakaian kasual. Blouse kosong serta skirt jeans kembang.

“Cantik!” puji Zaim lalu hadiahkan kucupan di dahi Tasneem. Selepas itu terus dipimpinnya tangan Tasneem keluar dari rumah. Baru saja mengunci pintu, Rafael muncul di belakang.

Wajah Zaim serta-merta membahang panas. Kepal kedua-dua belah tangan seraya hendak melayangkan penumbuk ke muka itu. Nasib sempat dihalang Tasneem.

“Jangan bang!” pujuk Tasneem. Terus Zaim tajamkan mata memandang Rafael yang nampak biasa saja.

“Kau nak apa datang sini?” Akhirnya Zaim menyoal keras. Tasneem di sebelah kecut perut mendengar suara itu. Amat menakutkan. Malah, wajah suaminya itu tiba-tiba berubah merah. Seakan hendak membunuh orang di depan. Namun, riak wajah Rafael tetap tenang.

“Tahniah Im, Tas!” ucap Rafael ikhlas.

“Aku baru tahu kau dah kahwin,” cerita Rafael lantas ukirkan senyum mesra namun Zaim balas dengan meludah ke tepi. Nampak kotor.

“Kau simpan saja ucapan kau tu. Aku tak akan terima.”

Rafael mengangguk faham. Cuba menentang mata Zaim. Hatinya kesal. Sikap lelaki itu sekarang benar-benar lain. Zaim yang dulu sudah hilang. Tidak ada lagi Zaim yang suka mengusik… suka berlawak dengannya. Sudah tidak ada lagi Zaim yang nampak tak serius tetapi hebat ketika bekerja. Di depannya sekarang ini lelaki itu berubah keras, serius dan penuh dendam.

“Kau dah banyak berubah Im.”

“Kalau kau datang sini sekadar nak cakap macam tu baik kau blah. Aku tak nak hadap muka kau lagi sam….”

“Aku nak ambil barang aku.”
Terus mulut Zaim tertutup. Memanah mata Rafael tajam kemudian kerling ke luar kondo.

“Barang kau tak ada. Aku dah buang ke tempat pelupusan.”

Terus Rafael menjenguk ke bawah. Kenapa lelaki itu tak menunggu dia datang.

Tasneem yang mendengar kata-kata Zaim pula berasa hairan. Rasanya bilik Rafael tidak di usik. Tetap berkunci dan pastinya barang-barang lelaki itu masih di situ. Lagipun Zaim hanya berpesan agar tidak masuk ke dalam. Dia tak rasa Zaim membuangnya.

Sungguh Tasneem hairan.
“Kenapa kau tak cakap dengan aku suruh datang ambil?”

Zaim pantas herot senyum jahat.
“Kau dah kena pecat. Sepatutnya kau terus datang ambil barang kau tapi kau tak datang. Kenapa? Rasa bersalah? Takut?”

Kata-kata Zaim mengocak ketenangan Rafael. Tetapi dia sudah berjanji dengan Dato’ Zakri. Minggu lepas, semasa lelaki itu memanggilnya ke pejabat buat kali terakhir ada cerita yang dibuka tentang Zaim dan Neldhia. Lelaki itu menyuruh dia biarkan Zaim bahagia. Sebagai seorang sahabat yang telah membuat kesalahan, dia tidak akan mengganggu lelaki itu lagi.

Ya. Zaim berhak untuk bahagia dan dia akan pergi jauh. Mencari Neldhia yang amat dia kasihi. Siapa pun Neldhia dia akan melindungi gadis itu. Neldhia pun berhak untuk bahagia.

Tetapi jika dia tak mahu berdiam. Jika tidak tentu masalah tak akan selesai.

“Kau tahu tak Zufri dah ganti papa kau sekarang ni?” cerita Rafael. Terus muka Zaim berubah.

“Kau jangan buat cerita.”

“Aku tak buat cerita. Sebab aku rasa bersalahlah aku datang ke mari dan aku perlu cakap dengan kau,” cerita Rafael namun di balas tawa jahat Zaim.

“Kau tak perlu nak reka cerita. Papa aku tak akan sesuka hati nak bagi syarikat dia dekat anak angkat.” sangkal Zaim namun dalam hati tetap ada sangsi. Dia menolaknya keras. Lagipun dia tak mahu ambil tahu fasal lelaki itu lagi. “Mulai sekarang kau tak perlu tunjuk muka kau kat aku lagi. Kau nak sangat barang kau kan? Pergi cari kat bawah,” tegas Zaim lantas tarik tangan Tasneem.

Tasneem pula memandang Rafael yang cuba berlagak tenang namun riak muka itu nampak tegang. Mungkin terkesan dengan cara Zaim bercakap. Hati Tasneem kesal. Apakah sebab insiden lalu, kedua-duanya sudah tidak berkawan lagi.

“Abang, jangan berkasar. Raf datang nak ambil barang dia.” Tasneem bersuara sebelum melangkah jauh. Terus kaki Zaim berhenti. Pandang mata Tasneem tajam. Rafael di belakang pula hanya memerhati.

“Tas tak benci ke dekat orang yang dah jatuhkan maruah Tas?” soal Zaim menguji.

“Kalau Tas benci…. abang tak akan rapat dengan Tas macam ni.” Tasneem pulangkan semula apa yang lelaki buat ke atasnya dulu. Lalu Zaim tarik nafas panjang dan hembus kesal lalu diamkan diri.

“Dengan membenci tak akan selesaikan masalah. Makin memburukkan keadaan adalah. Sebab itu Tas buang semuanya sebab Tas nak bahagia. Tas nak kawan dengan semua orang. Tas nak semua orang saling sayang.”

Tasneem tarik tangan Zaim. Genggam mesra. “Buang yang keruh abang. Kita ambil yang jernih,” pujuk Tasneem dan Zaim tetap diam. Amati wajah Tasneem sedalamnya. Ada perasaan kesal di dalam hati. Tasneem terlalu baik. Tidakkah gadis itu tahu. Tak semua orang perlu dilayan baik.

“Please, bang!” pujuk Tasneem lagi dan Zaim berpaling.

“Masuklah. Aku bagi masa 10 minit untuk kau kemas barang kau,” suruh Zaim lalu menolak pintu dan masuk ke dalam.

Menunggu di ruang tamu. Sementara Tasneem pula ke dapur. Mahu membancuh minuman tetapi dihalang Zaim.

“From that incident, dia bukan kawan. Dia bukan tetamu. Tak perlu nak layan baik,” bisik Zaim halus tetapi Tasneem menggeleng.

“Tak ada bukti yang menunjukkan dia bersalah.”

“Yes! Sebab itulah abang nak sayang berhati-hati. Abang dah cakap kan. Jangan anggap semua orang yang sayang kenal itu baik. Hatta yang berselisih bahu pun.”

Tak jadi Tasneem hendak membuat minuman. Kepala fikirkan kata-kata Zaim. kerana dia terlalu baiklah dia terjeremus dalam masalah ini. Ya. Bermula dengan mengenali Neldhia. Selepas itu dia terus dilanda masalah.

Zaim yang berada di sebelah menggenggam tangannya erat. Beri kekuatan untuk mengharungi cabaran yang semakin bercabang.

Rafael di balik dinding menekur dengan penuh kesal. Ada salah yang tak terbilas. Ada kecewa yang meranap impian. Hati hanya mampu berdoa semoga segala yang berlaku akan kembali jernih.

Tanpa disedari semua, ada seseorang telah memerhati pertelingkahan sebentar tadi. Lelaki itu herot senyum jahat. Tak sabar hendak membongkarkan rahsia Zaim. Biar semua orang tahu, lelaki itu yang bersalah. Lelaki itu yang memulakan semua kemelut.

Pintu ditarik dari dalam. Rafael keluar dengan membawa barang-barangnya. Tak lama Zaim dan Tasneem pula beriringan menuju ke petak parkir dan Zufri mengekori dengan senang hati.

***

“Kenapa datang sini?” soal Tasneem tak faham. Kelip-kelip matanya melihat pusat jualan kereta.

Zaim pantas matikan enjin kereta lalu keluar. Bukakan pintu dan memimpin Tasneem sehingga ke dalam.

“Kita tengok-tengok dulu.”
Terus Tasneem telan liurnya.

“Erk, nak beli kereta ke? Bukan abang dah ada satu. Nak buat apa beli lagi?”

Zaim tergelak kecil.
“Untuk sayang.”

Pantas keningnya bertaut.

“Sayang suka Ativa kan?”

Serta-merta wajahnya menyebu merah. Macam mana suaminya itu tahu dia suka Ativa. Terus dipandangnya wajah Zaim. mencari rahsia. Bagaimana lelaki itu tahu banyak mengenainya.

“Macam mana ab….”

“Planner sayang.” Bagaikan tahu apa yang ingin ditanya terus saja Zaim berikan jawapan. Bertambah merah wajah Tasneem apabila rahsianya bukan lagi rahsia.

“Tentu abang dah tahu banyak fasal sayang kan?”

Zaim angguk.
“Of course dear. Itu yang….” Zaim kelipkan mata dan tangan Tasneem naik hendak mencubit dada lelaki itu tetapi tak sempat. Terus Zaim tangkap tangannya.

“Apa saja untuk sayang.” ucap Zaim dan mula memimpin untuk melintas. Sayang sekali, sebuah kereta melintas dengan begitu laju. Secepat kilat Zaim menarik Tasneem dan mengelak ke tepi. Dada berdegup kencang. Mata pula memandang tajam ke arah kereta yang berdesup dan mengecil. Kemudian matanya turun ke wajah Tasneem yang pucat.

“Sayang okay?” tanya Zaim gelisah. Tasneem mengangguk resah. Dan… hari ini sudah dua kali kesabaran Zaim teruji dan ketenangan Tasneem terganggu.

Share this novel

Rozi Ramli
2025-01-18 20:46:28 

yang si zufri ni dendam sgt dgn zaim ni naper? aisshh dah anak angkat tu buatla cara anak angkat


NovelPlus Premium

The best ads free experience