BAB 35

Family Series 39843

Dato’ Zakri bergegas ke pejabat agama selepas dihubungi Kayla. Gadis itu teresak-esak menangis sehingga butir bicaranya terganggu. Dato' Zakri tak faham tapi dia yakin ada sesuatu yang tak diingini telah terjadi.

Sambil melangkah dada Dato’ Zakri bergendang kuat. Toleh isterinya yang mengekori dari belakang sambil membawa resah tak sudah. Saat itulah matanya melihat kelibat Jazmin yang tergesa-gesa keluar dari bilik air dan menuju ke arah lorong yang nampak gelap. Hati berdegup pelik tetapi dia abaikan kerana dia mahu mendengar cerita sebenar dari bilik pegawai.

“Abang, betul ke ni? Kim tak percaya bang. Baru tadi Tasneem ada kat rumah kita. Macam mana boleh kena tangkap khalwat pula ni bang? Dengan Im pula tu.” Suara Datin Hakimah yang mengomel di belakang kedengaran takut. Sungguh takut dengan apa yang telah diceritakan Kayla walau pun tak jelas.

“Bertenang, Kim. Kita dengar dulu apa yang pegawai nak cakap nanti,” nasihat Dato’ Zakri lantas masuk ke dalam pejabat pegawai penguatkuasa agama. Sementara Datin Hakimah pula segera menghampiri Kayla yang menangis tidak jauh dari Zaim. Dari situ wanita itu terpandang Tasneem yang diam tak berkutik di hujung dinding.

Dato’ Zakri menghampiri pegawai penguatkuasa lantas berjabat salam.

“Ustaz!” sapa lelaki itu dengan dada yang berdebar-debar.

Tanpa berlengah Ustaz Rosnin menyuruh bersabar. Pegawai penguatkuasa itu mula buka mulut hendak menjelaskan hal yang sebenarnya.

“Kami terima aduan ada pasangan yang belum bernikah berdua-duaan di dalam kondo bernombor 505. Bila kami serbu memang sah mereka berdua-duaan. Walaupun pintu terbuka luas itu tak boleh dijadikan alasan yang mereka tak bersalah. Jadi, kami terpaksa menahan mereka kerana tidak dapat menunjukkan sebarang bukti.”

Dato’ Zakri hembus nafas kesal.

“Mereka bukan pasangan yang dah berkahwin bukan? Sebab tidak ada sijil atau sebarang dokumen yang boleh membuktikan mereka tidak bersalah?”

Dato’ Zakri mengeyakan. Hatinya pecah berkeping-keping dengan kebenaran yang masuk ke telinga.

“Semasa kami tiba, pasangan sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.”

Terus mata Dato’ Zakri dan Datin Hakimah buntang tak percaya.

“Tipu!” Zaim pula terus menjerit kuat sehingga semua orang terkejut. Namun Tasneem tidak pula berpaling. Menekur ke bawah sahaja sambil meramas jemarinya yang berpeluh. Walaupun pendingin hawa sudah lama dihidupkan tetapi itu tak mampu menyejukkan tubuhnya. Sebaliknya membekukan salur air matanya. Sebaik tiba di sini dia tak lagi menangis. Dia tekadkan diri. Dia tak akan menangis kerana dia tak mahu nampak lemah di mata orang. Lalu dia terus diamkan diri. Tidak menghiraukan suasana yang cukup genting. Suara Zaim yang menyumpah seranah pegawai di meja pun dia tak hiraukan.

Datin Hakimah tak sanggup melihat keadaan anak jantannya lantas mendekati. Usap bahu Zaim seraya menyuruh bersabar. Matanya turut berair melihat keadaan Zaim yang sudah seperti orang tak betul. Dengan rambut yang kusut masai. Kolar baju tak berlipat dan hanya berkain pelikat. Tangan dengan lemah berulang kali mengusap bahu itu tetapi Zaim tepis kuat.

“Kau jangan buat-buat cerita. Aku bunuh kau nanti.” Tangan diacukan kepada pegawai. Mata pula seperti biji saga. Merah menyala. Nafas pun berombak kencang.

Zaim panahkan mata pada pegawai di depan papanya. Jika lelaki itu teruskan kata dia tak teragak-agak hendak berikan penumbuk. Namun Ustaz Rosnin sedikitpun tidak tergugat. Sudah beratus-ratus kes yang dikendalikan. Malah sudah acap kali muka sendiri jadi sasaran. Bahkan perut pun pernah ditendang. Lelaki itu tak kisah. Apa yang penting dia perlu menjalankan tugasnya. Menangkap orang yang bersalah.

“Sebagai seorang pegawai, salah disisi undang-undang sekiranya memfitnah orang. Apatah lagi disisi agama. Saya buat kerja berdasarkan aduan.”

“Siapa yang buat aduan?” soal Zaim dengan suara keras.

“Maaf. Itu kami tak boleh kongsi. Demi keselamatan pihak pengadu,” balas Ustaz Rosnin lantas tangan cepat-cepat menarik plastik lutsinar dari dalam laci. Abaikan pesalah dan kembali memandang kepada susuk di depan.

“Maafkan saya dato’. Sebelum saya jelaskan lebih lanjut, boleh saya tahu? Di mana dato' dan datin berada antara jam 8.00 malam sehingga 9 malam?”

Dato’ Zakri melihat jam tangannya.
“Jam 7.45 kami bergerak ke Majlis Gala Night yang syarikat Tengku Rahmat dari RnR Corporation adakan. Sepatutnya anak saya pun perlu ada di sana. Tapi dia tak sampai-sampai. Kebetulan pagi tadi dia tak sihat.”

Ustaz Rosnin mengangguk faham. Kerling Zaim yang membelakangi dan menekupkan muka ke dinding. Dia sudah faham.

“Semasa menggeledah, kami jumpa botol ubat di dalam bakul sampah di tepi singki dan kami beranggapan memang pasangan sengaja memilih tarikh dan masa kejadian kerana tiada siapa yang akan ke sana.”

Dada Dato’ Zakri terasa ketat. Bagai dihempap dengan kontena yang penuh batu-bata. Begitu juga dengan Datin Hakimah. Apa yang mereka dengar begitu menyakitkan telinga. Pantas Datin Hakimah mengusap belakang suaminya.

“Eh, kau gila ke apa? Ubat apa yang kau cakap tu?” Zaim meluru ke arah meja pegawai mahu mencengkam kolar baju lelaki tersebut namun cepat-cepat ditahan beberapa orang lagi pegawai yang ada bersama.

“Dato’... ini adalah botol ubat perangsang nafsu dengan dos rendah.”

Dato’ Zakri tercengang. Tilik plastik di depan mata dengan muka merah. Kemudian perlahan-lahan alihkan mata ke arah Zaim.

Zaim pula kerutkan dahi. Terus teringat salad buah-buahan yang telah dia telan semuanya dan wajah Jazmin pantas berlegar-legar di dalam kepala. Hatinya bertambah membara.

“Jaaazmiiiin!!!” jerit Zaim kuat dan meronta-ronta mahu keluar mencari gadis itu. Kepala Dato’ Zakri juga mula dipenuhi curiga. Melihat keadaan Zaim yang resah-gelisah dia yakin ada sesuatu yang tak betul telah terjadi. Apatah lagi dia ternampak kelibat Jazmin di luar sebentar tadi.

“Kau punya rancangan rupanya?” Hambur Zaim dengan suara keras. Mata memandang ke luar. Dia tahu Jazmin masih ada. Dia sedar gadis itu juga turut mengekorinya sampai ke sini. “Jazmin, kau… kau….” Zaim meronta-ronta dengan kuat dan berjaya juga melepaskan diri. Dia mahu keluar mencari Jazmin namun Dato’ Zakri segera menahan.

“Sabar! Jangan tambah masalah,” pesan lelaki itu dan Zaim merapati dinding lantas melepaskan tumbukan dengan kuat. Habis berdarah jemarinya.

“Im!” Datin Hakimah terkesima tetapi cepat-cepat meluru. Begitu juga dengan Kayla. Terus dicapainya tangan si abang yang sudah berdarah. Datin Hakimah tak berlengah. Segera meminta peti kecemasan daripada pegawai yang ada.

“Aku tak buat benda jahat tu lah.” Dengan lemah Zaim meluahkan dan terus terduduk ke bawah. Datin Hakimah yang tolong membalut luka anaknya mula menangis pilu. Kasihan Zaim. Malah kasihan lagi dengan diri sendiri. Tentu orang akan cakap dia tak pandai mendidik anak. Hatinya benar-benar terguris. Dipandangnya Tasneem yang masih diam memandang lantai. Lalu hati seorang ibu makin pecah berderai.

Dato’ Zakri pula berpaling. Pandang Zaim yang tunduk ke bawah dengan renungan tajam.

Hatinya juga bengkak. Sebagai seorang ayah, dia juga rasa kesal. Tetapi dia keliru. Apa sebenarnya yang dah berlaku? Kenapa kejadian ini siap dengan bukti pula? Untuk apa ubat tersebut diguna? Tak mungkin Zaim terdesak. Dia yakin Zaim lelaki kuat dan bertenaga. Terus kepala memutar mencari sebab. Lantas kepala terfikirkan Jazmin. Apa benar Jazmin telah merancang sesuatu. Kalau begitu, apa yang gadis itu hendak sebenarnya. Atau ada orang lain yang hendak menjatuhkan Zaim dan juga dirinya. Kepala tak habis menyiasat lantas mata kembali pandang pegawai di depan.

“Habis tu macam mana sekarang ni ustaz?” tanya Dato’ Zakri buntu. Dia mahu menamatkan semua kejadian hitam hari ini namun dia tak tenteram dengan onar yang berlaku.

Ustaz Rosnin pandang orang yang tertuduh kemudian menghela nafas panjang.

“Yang salah tetap salah.” Jawapan Ustaz Rosnin menambah kekesalan dalam hati semua orang terutama Tasneem dan Zaim.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience