Malam menjelma. Usai solat isyak berjemaah bersama Kayla dan Kak Lili, Tasneem ke ruang rehat sebelah bilik yang Zaim tidur semalam. Berasa cukup bosan setelah seharian di dalam bilik mengasingkan diri daripada semua orang terutama Nik Salimah.
Orang tua itu asyik datang melihatnya. Konon-konon nak minta tolong. Padahal Kak Lili ada. Lagipun dia pula masih belum sihat sepenuhnya. Nasib Zaim tak ada. Kalau tidak tentu dia akan terus berkurung di dalam bilik.
Langkah diatur ke ruang menonton. Dia mengambil keputusan hendak berehat sambil menonton televisyen. Baru saja menghidupkan peti empat segi itu, Nik Salimah muncul pula.
“Baru nampak muka. Macam puteri raja. Senang lenang nampak,” sinis suara orang tua itu menyapa dan Tasneem telan rasa. Kalau dijawab kata tak ada adab. Kalau diam nampak sangat dia lemah. Akhirnya….
“Nenek nak apa? Tas tolong.” Bersahaja Tasneem menjawab. Nasib baik dia dah bertenaga. Jika tidak mahu dia pengsan dengan perangai nenek sorang ini. Entah apa yang wanita itu tak puas hati dia tak tahu.
“Urut aku!” arah Nik Salimah lantas duduk berlunjur di atas permaidani lembut.
Tasneem tak teragak. Kalau itu yang nenek itu mahukan dia akan buat selagi terdaya. Lalu dia duduk bersila.
“Kalau kau nak terus jadi isteri Zaim baik kau berhenti kerja. Dari orang tahu bini Zaim kerja kedai makan baik orang tahu kau surirumah yang diberi nafkah sepenuhnya. Taklah papa kau dengan mami kau makan hati.”
Baru saja mula mengurut kata-kata itu menjengah telinga. Tasneem nak tergelak. Dah orang tua itu tak tahu apa-apa baik dia diam saja.
“Berapa upah yang kau dapat buat kerja kat kedai tu?" soal Nik Salimah nak tahu. Tasneem pula layan kan saja perangai orang tua itu.
“Dapat makan free je nek.”
“Apa!”
Buntang mata Nik Salimah tak percaya. Terus ditarik kakinya dan duduk bersila. “Habis tu buat apa kau kerja kalau tak dapat upah?” tanya Nik Salimah geram.
“Sebab itu bukan kerja tetap Kak Tas, nek. Itu Kak Tas suka-suka je tolong mak saudara dia kat kedai.” Kayla muncul lantas henyakkan punggung dan alihkan siaran televisyen.
Nik Salimah mendengus kasar.
“Huh, dah! Tak payah pergi lagi. Duduk rumah. Jaga makan minum Im. Ini kalau asyik kat sana ada pula jantan yang nak mengorat kau. Kau tu kena jaga nama baik suami kau. Bukan jaga nama kau saja.”
Tasneem hembus nafas lega. Tak terasa pun. Kata-kata Nik Salimah itu menunjukkan yang orang tua itu sedikit sebanyak sudah menerima dirinya sebagai cucu menantu.
“Nenek jangan bimbang. Tas tak akan buat perkara yang boleh jatuhkan air muka Im. Tas akan jaga nama baik dia sama macam Tas jaga nama baik keluarga Tas.” Akhirnya Tasneem membalas juga setelah lama berdiam diri.
Nik Salimah memandang tajam. Tasneem tahu masih ada yang orang tua itu tak puas hati. Kayla yang melihat sedari tadi pula menjuihkan bibir.
“Dahlah nek. Nek nak apa lagi. Kak Tas ni dah cukup lengkap dah. Nek nak juga ke Kak Nel tu jadi cucu menantu nenek?” soal Kayla dan Tasneem tersentak.
Mendengar nama Neldhia hatinya dipagut rindu. Sudah lama dia tak berhubung dengan gadis itu. Dalam melayan khayal Nik Salimah bangkit.
“Aku dah tak boleh nak buat apa. Im dah pilih jalan dia sendiri. Buat apa aku nak paksa,” balas Nik Salimah lantas melangkah hendak turun tangga. Kayla pula buat muka. Biarkan si nenek berlalu. Dia pandang kakak iparnya dengan sengih panjang.
“Kak Tas, cuti sem nanti kita pergi jalan-jalan nak. Dulu kan, before Kay masuk kolej kita orang satu family akan round satu Malaysia. Ini kalau ada Kak Tas lagi best.” Kayla beri idea dan terus kepala Tasneem teringat adik-adiknya.
Mereka kurang duit, jadi tak berpeluang nak bercuti macam orang lain. Tapi dia ada satu impian. Kalau ada rezeki lebih dia nak bawa keluarganya tunaikan umrah. Tapi itulah, setakat pensyarah macam dia manalah nak ada banyak duit. Kena buat kerja sampingan lain dulu baru boleh berlibur macam orang lain.
Tasneem mengangguk saja. Pandang siaran di kaca TV.
“Kak Tas dulu belajar kat mana? Tentu Kak Tas orang hebat,” tanya Kayla tiba-tiba dan mengejutkan Tasneem. Pandang wajah itu pelik.
Kayla pula lorekkan senyum. Masa inilah dia hendak mengorek cerita tentang kakak iparnya.
Tasneem menggeleng
“Nak kata hebat tu tak adalah. Kak Tas belajar dekat kolej matrik sama macam Kay. Tapi Kak Tas sambung luar negara."
Bulat mata Kayla tak menduga.
"Macam mana boleh sambung luar negara?" soal Kayla teruja.
Tasneem larikkan senyum. Tak salah berkongsi cerita. Mana tahu Kayla akan ikut jejak langkahnya.
"Masa tahun akhir dekat matrik Kak Tas
minta temuduga PPC.”
Terus kening Kayla terjongket ke atas. “PPC? Apa tu?”
Dan Tasneem ukir senyum lagi.
“Program Pelajar Cemerlang untuk jadi pensyarah matrik. Yang mana berjaya temuduga akan dihantar belajar ke luar negara. Fully scholarship from KPM. Mereka yang tanggung. Dah habis belajar tunggu temuduga SPP dan kalau ada rezeki akan ditempatkan di kolej matrik yang kosong as lecturer.” Panjang lebar Tasneem menjelaskan dan Kayla terlopong.
“Maknanya Kak Tas dah lama belajar kat luar negara?” soal Kayla teruja. Matanya bulat dan bercahaya. Pantas Tasneem mengangguk membenarkan.
“Wow! Universiti mana?”
“Birmingham,” jawab Tasneem segan dan Kayla pula pantas bangkit lalu melompat gembira.
“Lepas ni Kak Tas nak sambung M.A ke?”
Tasneem ukir senyum mesra. Memang itulah impian dia.
“Insha Allah, kalau ada duit lebih nak sambung sampai PhD.”
Makin teruja Kayla dengan jawapan kakak iparnya. Nik Salimah yang tak sampai ke bawah lagi kerutkan dahi mendengar perbualan ipar duai itu. Tak dengar sangat tapi rasa nak tahu pula. Lalu pusingkan badan nak naik ke atas semula tetapi ketika itulah anaknya muncul.
“Mak, nak ke mana tu?” sapa Datin Hakimah yang baru sampai dari butiknya. Tak jadi nak ke atas akhirnya orang tua itu turun semula ke bawah dan dapatkan anaknya.
“Daripada menantu baru tu duduk kedai makan baik Kim ajar dia cara kerja kat butik. Tak lah telinga mak sakit sangat dengar orang duk mengata dia. Mengata ke kita.”
Datin Hakimah pantas hamburkan tawa kecil.
“Siapa yang nak mengata kita mak. Lagipun perkahwinan Tas ngan Im tak heboh lagi. Adalah sorang dua yang tahu tapi Kim dah cakap. Belum ada masa nak buat majlis lagi.”
Nik Salimah mendengus geram.
“Jadi Kim sukalah menantu Kim duk kedai makan. Tunjuk muka gedik ambil order.”
Datin Hakimah tersentak.
“Eh, mak ni. Tas tu pensyarah. Bukan tukang ambil order,” balas Datin Hakimah geram.
Kelip-kelip Nik Salimah memandang tak percaya. Apa yang anaknya cakap? Dia mahu mendengarnya semula namun Datin Hakimah sudah meluru naik ke atas. Tinggalkan Nik Salimah yang terlopong masih tak percaya.
Di atas, Datin Hakimah ketap bibirnya geram.
Sakit hati pula bila dah sampai rumah. Emak sendiri yang nak mengata menantunya.
Geram betul dengan emaknya. Suka pandang rendah pada anak sendiri. Sebab itulah cucu sulongnya tak balik-balik ke sini. Akhirnya yang makan hati dialah. Ibu yang menahan sakit nak beranak ni. Emaknya pula hanya pandai nak mengomel saja.
Nasib baik, Dato’ Zakri yang dipilih menjadi suami sejenis yang tak ikut telunjuk emaknya. Jika tidak meroyanlah dia sampai ke tua.
***
Tasneem tersentak. Melihat mami mentuanya yang menonong masuk ke dalam bilik hatinya mula tak sedap rasa. Belum pernah lagi dia lihat wanita itu begitu.
Kayla pun sama. Kerutkan kening melihat emaknya. Gadis itu pun tak faham. Namun Kayla terus bertanya itu ini pada Tasneem. Masih hendak mengorek cerita. Baru separuh jalan, perbualan mereka terhenti.
Mendengar suara Zaim Menyapa Nik Salimah di bawa terus dada Tasneem berdebar-debar. Teringat kata-kata Zaim pagi tadi dia mula gelisah. Lalu bergegas masuk ke dalam bilik. Kayla pula terkebil-kebil memandang tak faham kakak iparnya. Namun, sebaik melihat susuk abangnya barulah gadis itu ukirkan senyum.
Kayla lontarkan senyum pada Zaim yang muncul di depan. Melangkah hendak ke bilik.
"Best of luck Abang Im!" ucap Kayla seraya tunjuk bentuk hati pada abangnya kemudian berlalu masuk ke dalam bilik.
Zaim perlahan-lahan ke biliknya. Sebaik masuk dia lihat Tasneem mengiring membelakanginya. Tak mahu mengganggu lantas dia capai tuala hendak bersihkan diri.
Bunyi pintu ditutup rapat membuat dada Tasneem makin bergoncang kuat. Sebentar kemudian kedengaran pancuran air di dalam bilik mandi. Nampaknya lelaki itu sedang bersihkan diri. Terus dia bangkit.
Hati berbelah bahagi. Apakah dia perlu terus kejung di atas katil atau keluar dari bilik. Ah, tak boleh jadi. Dia tak ingin menghadap lelaki itu. Lantas dia berdiri.
Tak sempat nak keluar Zaim lebih dulu muncul dari bilik air. Dengan hanya berbalut tuala paras betis lelaki itu menyapa.
“Nak pergi mana?” soal Zaim mesra. Cuba berbuat baik namun Tasneem tak berpaling. Menjawab pun tidak. Kejung sahaja memandang daun pintu. Kemudian mata itu pandang jam dinding di atas muka pintu. Baru pukul sepuluh. Takkan dia nak pusing balik. Lepas tu tidur.
“Kau dah sihat?” soal Zaim lantas mendekatinya apabila soalan tadi tidak berjawab. Melihat Tasneem yang hanya diam Zaim akhirnya bergerak ke depan. Sentuh dahi Tasneem.
“Tak panas. Maknanya kau dah sihat.”
Tak ada jawapan juga. Tasneem masih kejung macam tiang rumah. Zaim pantas ketatkan muka.
“Kau terus nak diam macam ni. Sampai bila kau terus nak jadi patung?” soal Zaim cuba menaikkan darah Tasneem. Namun Tasneem masih begitu. Biarkan saja pertanyaan lelaki itu bagai angin lalu.
“Kau dah janji nak hadap aku tapi kau biat tak tahu. Tadi pun aku dah baginkau peluang. Aku tunggu kau mulakan tapi sehari hari ini langsung tak ada tanda.”
Dahi Tasneem mula berkerut. Terus berpaling. Langsung buat berani.
“Mulakan apa?” soalnya keliru.
Zaim tunjuk senyum sinis. Nampaknya Tasneem sengaja nak menguji.
Lantas tangannya naik ke kepala Tasneem. Buka tudung yang menutup kepala itu.
“Pikat aku supaya hubungan kita kekal sampai hujung nyawa.”
Pantas Tasneem tangkap tudung yang sudah berada di tangan Zaim. Cengkam dan tunjuk muka benci.
“Saya tak akan buat apa-apa. Terserah pada awak nak hubungan kita jadi macam mana. Saya tak akan bertaruh.” keras suara Tasneem terluah keluar.
Hati Zaim teruji. Tak sangka gadis yang suka memandangnya kini langsung tak meredupkan pandangan. Sebaliknya berikan jelingan penuh benci.
“Aku ajak kau buat kebaikan. Untuk kita. Kau tak nak usaha?” Zaim mencabar. Namun, lagak Tasneem sekarang macam mereka tak pernah kenal.
Saat ini Tasneem nampaknya tak nak kalah. Balas dengan senyuman sinis.
“Tak perlu pun nak bertaruh. Jalankan saja kewajipan awak dan saya akan jalankan kewajipan saya.” Tegas Tasneem di akhir kata. Namun Zaim tetap menggeleng.
Redupkan pandangan merenung wajah. Berusaha untuk bersabar.
“Jalankan tanggungjawab! Walau tanpa cinta?” soal Zaim menguji. Tasneem berdiam. Tak bereaksi. “Kau tak cintakan aku?" soal Zaim. Menguji lagi. "Kalau dulu aku nampak cinta dekat mata kau. Mana cinta tu sekarang? Aku tunggu kau mula nyalakan api cinta dalam hati aku tapi mana?" soal Zaim tak berlapik dan terus buat muka Tasneem membahang merah.
Mata terus memandang ke arah lain. Bukan malu tapi dirasakan maruahnya jatuh begitu saja.
Itu dulu. Sewaktu dia gilakan lelaki itu. Tapi apa yang dah mereka lalui membuat dia benci dengan diri sendiri. Benci dengan apa yang dah mengubah hidupnya.
Melihat wajah keruh Tasneem Zaim hempas nafas kesal. Sudah tahu apa yang ada di dalam hati Tasneem. Dia sengaja bermain tarik tali. Mahu melihat sejauh mana gadis itu akan keraskan hati. Jika Tasneem tetap begitu dia yang akan bertindak.
Setelah sedetik dua berdiam diri akhirnya Tasneem buka mulut lagi.
“Kita tak perlu nak bertaruh. Tak perlu pun nak memaksa saya memikat. Tanpa semua itu pun saya tetap akan jalankan tanggungjawab saya sebagai isteri.”
“Walaupun terpaksa?”
Tasneem terpukul. Jauh dia merenung ke luar mencari jawapan melalui pintu gelansar dan akhirnya dia temui apa yang dia cari.
“Terpaksa atau tidak bukan lagi soal utama. Apa yang penting saya tak akan lukakan hati orang tua saya mahupun orang tua awak.”
Habis berkata, Tasneem angkat kaki mahu keluar namun Zaim tahan. Cengkam tangannya.
“Aku bagi kau peluang tapi kau tak nak gunakan. Kau masih benci aku atas kesalahan yang tak sengaja aku buat.”
“Tak sengaja apa? Kalau dan hina saya, buat saya macam tak ada maruah itu namanya apa. Tolonglah. Jangan paksa saya mencintai. Biar masa yang menentukan selama mana saya akan terus macam ni.” rentap tangan Zaim lalu keluar mencari ketenangan di laman rumah. Sementara Zaim hempas nafas kesal. Dia akan tengok, sejauh mana Tasneem akan bawa muka tanpa perasaan. Dia tak akan mulakan apa-apa lagi.
Keluhan dilepaskan lantas dia bergerak ke balkoni. Dari situ dia lihat Tasneem sapu air mata yang meluruh dan hati lelakinya pantas terusik.
Share this novel