Mata Tasneem melilau mencari kelibat Neldhia. Hampir lima minit berlalu dia masih belum nampak bayang gadis itu. Hatinya resah. Tambahan pula dia tak biasa dengan tempat mewah macam ni.
Gadis itu menganjaknya makan malam di hotel lima bintang yang tak pernah dia jejaki. Rasa segan. Malah tebal kulit mukanya apabila tiba di restoran mewah yang indah dengan sinaran lampu bercahaya suam. Tasneem tak pernah datang ke mari sebab itulah dia tak tahu nak jenguk keَ mana lagi.
“Hai Tas!”
Bahunya disentuh seseorang lantas dia berpaling. Neldhia tersenyum manis.
Terus pandangan Tasneem jatuh ke kaki Neldhia kemudian naik sehingga ke bahu gadis itu.
Tasneem telan liurnya melihat penampilan gadis itu. Dress malam Neldhia begitu menyesakkan matanya. Tali halus yang tergantung di bahu serasa hampir putus. Tengok pula belahan dress dari kaki sehingga ke paha. Kalau tertarik terus terbelah sampai ke dada agaknya. Tasneem rasa macam bukan berada di Malaysia. Bagaikan tengah memandang gadis-gadis di Thailand. Nasib dia pernah mengikuti program universiti di Bangkok. Tahulah serba sedikit suasana di sana. Dan… dia amat berharap gadis di depannya ini akan berubah. Walaupun mereka baru sahaja berkenalan dia tetap mendoakan yang terbaik buat gadis itu.
“Jomlah masuk dalam. Saya nak belanja awak makan sedap-sedap,” ajak Neldhia lantas tarik tangan Tasneem. Mereka seiring ke dalam. Sewaktu melintasi meja yang dipenuhi pelanggan lelaki Neldhia di tilik kumpulan tersebut dengan pandangan gatal. Namun gadis itu macam tak ada apa-apa. Malah siap berikan senyuman manis lagi. Tasneem pula yang malu teruk. Telan liur pun rasa macam telan batu.
“Tas kerja kat mana?” tanya Neldhia ketika menanti pelayan hidangkan makanan. Sengaja mencari tempat layanan kelas pertama supaya gadis bernama Tasneem ini akan teruja. Sayang sekali, wajah itu nampak takut-takut.
Tasneem ragu-ragu hendak bercerita. Namun bola mata Neldhia yang bersinar tak patut dimalapkan dengan keadaan kekoknya.
“Saya kerja biasa saja, Tengku!”
Terus bibir Neldhia melengkung ke bawah.
“Panggil Nel, please. Saya panggil awak Tas jadi awak kena panggil saya Nel. Janganlah buat saya segan.”
Dalam berat hati Tasneem angguk merelakan.
“Nel kerja ke belajar lagi?”
“Dua-dua.”
Jawapan Neldhia buat mata Tasneem buntang mahu tahu. Cara Tasneem menerbitkan rasa bahagia dalam hati Neldhia. Suka dengan sikap jujur gadis itu.
“Nel dulu akauntan dekat bank sebelah dengan bangunan ZakBina. Kenal tak nama syarikat tu?”
Wajah Tasneem terus ceria. Namun cepat-cepat dikambus agar rasa teruja ini tidak akan disoal selidik oleh gadis yang baru dikenali. Lantas Tasneem angguk perlahan.
“Dalam tiga tahun Nel kerja lepas tu Nel sambung belajar dekat UK dan… baru habislah ni. Itu yang kita boleh jumpa tu. Kalau tidak tak adalah kita boleh duduk semeja macam ni kan,” cerita Neldhia tanpa menyembunyikan apa-apa.
Rasa pelik pula Tasneem dengan sikap gadis di depannya. Baru berjumpa tapi dah macam kawan lama. Apakah gadis itu memang begini dengan sesiapa saja? Semua itu buat Tasneem mula rasa selesa. Tambahan pula dia jenis yang tak mesra dengan orang lain kecuali Dahlia dan seorang lagi. Kali ini dia dah terpikat dengan kemesraan Neldhia. Kalau tidak pendiam sajalah kerjanya kalau jumpa orang tak kenal.
“Oh, kira dah graduatelah ni.”
Neldhia gelengkan kepala.
“Baru habis. Insya Allah, bulan depan bawa parents Nel pergi UK. Raikan majlis Nel selepas….” Neldhia berhenti dan pandang cincin berlian yang sudah lama tersarung di jari manisnya.
Tasneem teruja.
“Lepas kahwin ke? Nel nak kahwin ke?”
Neldhia gelak kecil.
“Bukanlah. Minggu depan nak jumpa bakal mak mentua. Rasa berdebar pulak. Lepas tu barulah balik UK semula.” Neldhia bermain-main dengan cincin di jari. Tasneem yang melihatnya pula rasa teruja.
Kepalanya mulalah berangan lebih. Dia pun berharap Dato’ Zakri akan menemui besannya di kampung nanti. Melamarnya untuk Zaim. Ah, tak sabar nak jadi isteri Zaim Muazzam.
Ting!
Tasneem terkejut. Bunyi sudu berlaga dengan garfu mematikan khayalannya. Ketika itu pelayan sudah tiba dan menghidangkan makanan.
“Erm… ini mesti teringat dekat pak we kan?” teka Neldhia seraya senyum nak mengusik tetapi Tasneem pantas menggeleng.
“Mana ada. Saya tak ada sesiapa pun.”
“Really?”
Buntang mata Neldhia. Tak percaya kerana gadis ayu itu belum berpunya. Lantas matanya meneliti wajah di depan.
Tasneem boleh dikatakan gadis melayu asli yang sopan bertudung. Tidaklah dalam kategori cantik macam bidadari tetapi lelaki tetap akan berpaling jika gadis itu melintas depan mata. Bibir kecil merah itu tetap basah walau tanpa calitan gincu. Malah kulit itu juga tidak bertempek dengan bedak macam dia. Mustahil gadis itu belum berpunya.
“Maknanya saya boleh suruh abang saya pikat awak kan? Saya ada sorang abang. Tak kahwin lagi. Tengah mencari. Boleh kan?”
Terus Tasneem rasa tak boleh nak bernafas.
“Jangan macam tu. Saya tak sedia lagi.”
Segan sungguh apabila hal hatinya disoal orang. Lagipun dia memang tak sudi langsung nak dikenenkan dengan lelaki lain. Dalam hatinya ada nama Zaim sahaja. Dia tengah berusaha nak memikat lelaki itu. Doanya satu. Dia nak lelaki itu jadi suaminya.
“Jangan tolak tuah. Abang saya tu memang suka yang macam awak. Bertudung. Cantik!”
Tasneem tersipu-sipu malu. Ketika hatinya sedang angaukan orang lain ketika itulah datang yang tak disangka-sangka. Anak tengku yang dikenenkan. Manalah orang akan tolak. Tapi… dia tak suka. Hatinya hanya ada Zaim Muazzam seorang saja.
Neldhia senyum panjang melihat gelagat Tasneem yang jauh termenung di hadapan.
“Free tak petang esok?” tiba-tiba Neldhia mengalihkan tajuk cerita.
Tasneem berfikir panjang.
“Dalam 6.30 baru free. Kenapa ya?”
“Okay. Kita jumpa kat butik ni." Neldhia tunjuk gambar butik dan Tasneem memandang tak faham. "Saya nak awak temankan saya cari tudung dengan baju kurung. Awak pandai matching-matching kan?”
Bulat mata Tasneem memandang. Segan pula bila gadis itu melebihkannya.
“Saya nak tukar penampilan.”
Terkebil-kebil Tasneem memandang.
“Salah ke saya nak berubah?”
Pantas Tasneem menggeleng.
“Tak salah. Benda baik. Saya tak kisah pun nak temankan Nel cuma… saya tak pandai nak padankan warna. Saya sendiri pun ikut suka hati je pakai baju dengan tudung,” jelas Tasneem segan dan Neldhia ketawa gembira.
“Tak kisahlah. Janji awak ada. Kita kawan ya?”
Tasneem angguk setuju. langsung tak menyangka. Dia akan berkawan dengan gadis dari golongan orang berada. Hatinya merelakan.
Okay. Nel dah jadi kawan Tas. Berubahlah Nel. Itu lebih baik.
Share this novel