***
Zaim mengejar Tasneem yang terburu-buru keluar dari bilik pegawai.
“Hei, kenapa kau tak bela diri? Kenapa kau diam? Kenapa kau tak cakap kita tak bersalah?” jerkah Zaim pada Tasneem dan serta-merta kaki gadis itu berhenti. Di tempat parkir kereta Zaim meluahkan kemarahannya kerana sedari tadi lagi Tasneem hanya mengunci mulut.
Sebaik berhenti, Tasneem talakan mata dengan tajam. Sedikitpun dia tak menangis. Dia sudah tetapkan dalam diri. Tak akan berbunyi satu patah perkataan pun kerana semuanya telah berlaku. Untuk apa lagi hendak bercakap banyak kalau semua itu tak mampu diundur kembali. Sekarang ini satu saja yang dia nak buat. Dia nak balik. Kerana itu dia larikan pandangan dan menghendap mencari mak usu. Nasib baik Dato’ Zakri murah hati tolong menghubungi wanita itu. Dia pula langsung tak mampu memegang telefon sendiri. Tengok saja telefon dia mula terbayangkan wajah ibu yang basah dengan air mata. Dia yakin ibu tentu akan menangis teruk sekiranya mengetahui apa yang telah berlaku.
Betapa dia kesal dengan apa yang telah terjadi. Betapa jantungnya hampir pecah menghadap kejadian yang tak terduga ini. Namun dia berlagak kuat. Dia tak boleh menangis. Dia sudah banyak menangis di kondo lelaki itu sehinggalah di dalam kereta pegawai.
“Eh, yang kau jadi bisu ni kenapa?”
Zaim pantas menarik lengan Tasneem tetapi cepat pula ditepis kuat.
“Awak nak suruh saya buat apa?” jerkah Tasneem geram. Janjinya tadi ranap terus. Mata membulat melihat lelaki itu. Walaupun hanya disuluh cahaya lampu jalan dia dapat melihat dengan jelas wajah itu yang merah menahan marah.
“Aku suruh kau bela diri. Itupun susah ke nak buat?” ujar Zaim namun Tasneem hanya panahkan mata ke mata Zaim.
Perasaan Zaim terbakar lantas dicekaknga kolar baju Tasneem dan merenung tajam ke arah gadis itu. Sklera matanya semakin merah menunjukkan amarah setinggi gunung Everest.
Kayla terkejut. Dia yang berada di belakang pantas berdepan dengan abangnya.
“Abang Im, lepaskan Kak Tas!” jerit Kayla kuat. Begitu juga Datin Hakimah. Segera merapati dan cuba menarik lengan Zaim namun anaknya semakin menguatkan cengkaman.
“Aku suruh kau mengaku tak bersalah. Biar orang tahu kita tak pernah merancang nak berkhalwat. Tapi cara kau yang senyap buat aku nampak macam penjahat.”
“Ya!!!” Tasneem menjerit. “Ya. Kau memang jahat. Kau memang jahat, Kau buat aku macam pelacur. Macam pelacur!” suara Tasneem menghambur kuat. Serentak itu air matanya mengalir laju. Janji tinggal janji. Apatah lagi tangan Zaim tetap di kolar bajunya dan membuat dia jadi takut. Teramat takut.
Dato’ Zaim hanya memerhati. Dia tidak mahu masuk campur kerana dia sedang mengumpul maklumat. Namun Zaim pula semakin berapi.
“Kau cakap aku jahat?” soal Zaim dengan perasaan bercelaru.
“Ya. Kau buat aku nampak murah. Murah!” jerit Tasneem berulang kali.
Pantas Zaim mendengus kuat. Lepaskan cengkaman dengan kasar sehingga Tasneem terundur ke belakang. Kemudian memanah mata Tasneem dengna pandangan sinis.
“Bukankah selama ini kau memang dah murah?”
Dahi Tasneem bekerut tak faham. Pandang Zaim yang herotkan senyum sinis.
“Mungkin kau yang buat aduan. Bukan ke kau sukakan aku. Bila kau tahu aku dah ada Neldhia kau perangkap aku. Kau masakkan makanan. Kau bagi Kayla makan sampai sakit perut. Lepas tu kau buat-buat naif nak tolong hantar makanan dekat aku. Kau yang rancang semua ni?”
Pang!
Sebiji penampar singgah di muka Zaim.
Semua orang terkejut.
“Aku tak gila nak perangkap diri sendiri. Tapi kau yang gila. Kau cium aku macam orang tak betul. Kau yang…. ” Tasneem berhenti. Mulutnya jadi berat apabila mengungkit kembali kejadian tadi. Hidung yang berair menutup saluran untuk bernafas dan dia sambung menangis. “Kalau pegawai tu tak datang aku bukan lagi….” Suaranya terhenti lantas dia terjelepuk di atas lantai parkir.
Arggghhh!
Zaim tumbuk badan kereta yang dekat dengannya seraya menjerit kuat. Melepaskan segala rasa yang bertikam sesama sendiri. Malah hati menyumpah seranah diri sendiri yang cuba merosakkan Tasneem.
Dato’ Zakri yang mendengar satu demi satu luahan kedua-dua belah pihak menyimpan dalam kepala. Mata memerhati Zaim yang tiba-tiba menunjukkan riak bengis. Dada berdebar. Anak lelakinya itu berhadapan semula dengan Tasneem lantas menyembur kata sinis.
“Kau sebenarnya yang salah. Kalau kau tak datang, kita tak akan jadi macam ni. Aku tak akan… tak akan….”
Tasneem tersentak. Dia dipersalahkan. Pantas dia bangkit bersama hati yang bengkak bernanah.
“Kau cakap aku yang salah? Kau tu yang salah. Kau tu yang jahat. Sebab kau aku rasa kotor. Kotor sangat!” jerit Tasneem seraya menenyeh tempat yang dicium Zaim berulang kali. Malah suaranya turut menjerit kuat meluahkan sakit hati dan Kayla pantas memeluk dari sisi.
“Abang Im, jangan salahkan Kak Tas. Salahkan Kay. Kay yang lambat masuk rumah abang. Kay yang suruh Kak Tas hantar makanan. Kay yang…..” Kayla menangis sambil menjelaskan. Lalu Zaim cerlung memandang semuanya. Dengan rasa sakit hati sekali lagi tumbuk badan kereta. Kepala terasa berat memikirkan siapa punya angkara. Namun hatinya tetap menganggap Tasneemlah yang bersalah. Kalau gadis itu tak singgah ke rumahnya semua itu tak akan terjadi.
“Mungkin kau yang berpakat dengan Jazmin?” teka Zaim dan mata memanah tajam.
Dato’ Zakri terperanjat. Tasneem pula bulatkan mata kerana tak percaya dituduh sebegitu rupa. Dada berdebar teruk. Lantas membelakangi dan cengkam dadanya. Dia tak percaya. Panahan mata itu menzahirkan api dendam yang semakin menyala.
Zaim pula hembus nafas puas hati. Puas hati kerana kata-katanya berjaya mengunci mulut itu. Lantas dia berlalu hendak masuk ke dalam kereta yang dibawa papanya. Ketika itulah Mak Usu Tini dan Dahlia tiba. Dia tidak hiraukan wanita itu yang tergesa-gesa menghampiri Tasneem. Begitu juga dengan Dahlia yang melangkah penuh debaran. Kepalanya tak sabar hendak berjumpa dengan Jazmin. Sedari tadi dia menghubungi namun Jazmin tak menjawab. Rafael pun sama.
“Apa yang dah jadi? Kenapa dato’ suruh Tini datang ke sini?” soal wanita itu sebaik berhadapan dengan Dato’ Zakri. Kepala memikirkan perihal buruk telah terjadi namun hati tak mahu membenarkan. Pantas disentuhnya lengan Tasneem. Mata pula berkaca-kaca menunggu jawapan daripada anak saudaranya.
“Tas… jawablah.” Kali ini Dahlia pula yang menggesa sebaik berada di sebelah gadis itu. Kerling Kayla yang perlahan-lahan lepaskan tubuh Tasneem. Wajah gadis itu nampak resah. Dahlia hairan. Hati rasa tak sedap. Pandang Tasneem yang nampak kelu. Malah wajah itu masih lagi menangis.
“Mak usu, Neem… Neem.” Tasneem tergagap-gagap dalam suara serak.
“Tasneem kena tangkap basah dengan Zaim.” Dato’ Zakri menjawab bagi pihak Tasneem.
Dan….
“Neem?”
Mata mak usu buntang tak percaya. Dahlia yang terkejut terus menekup mulut. Siapa sangka, kejadian yang tak diingini tetap berlaku.
“Mak usu!” sebut Tasneem lantas memeluk emak saudaranya yang kejung tak percaya. Dia menangis lagi buat kesekian kalinya.
Share this novel