BAB 39

Family Series 39843

Sudah dua malam air matanya jatuh mencurah-curah di pipi. Janji yang dibuat tinggal janji. Konon-konon akan kuatkan diri. Namun, sebaik duduk sendirian dia akhirnya menangis tak henti-henti. Sejak malam itu jugalah dia tak dapat tidur lena.

Sampai-sampai saja di rumah mak usu terus dia berkurung di dalam bilik air. Basahkan tubuh begitu lama. Membuang segala kekotoran yang tak nampak di mata. Walaupun hanya bibir lelaki itu yang singgah di pipi namun hati pantas membenci. Sedari kejadian malam celaka itulah Zaim Muazzam tidak lagi menjadi lelaki yang amat disukainya. Sebaliknya, dia penuhkan dalam sudut hati perasaan benci yang menggunung tinggi.

Tak sanggup hendak mengingat kejadian tersebut lantas dia sembamkan muka ke bantal. Tetapi kejadian hitam itu tetap berulang masuk ke dalam kepala. Akhirnya dia melepaskan semua rasa dengan menjerit kuat bagaikan orang gila. Mak Usu Tini dan Dahlia yang mendengar jeritannya menerpa masuk ke dalam bilik membawa kerisauan yang menggunung.

Gara-gara kejadian lepaslah restoran tak beroperasi. Hati Mak Usu Tini kecewa dengan apa yang telah berlaku. Namun rasa kecewa itu melebihi rasa kesal dengan kejadian yang tak terduga. Bukan silap Tasneem namun, maruah gadis itu tetap juga jatuh merudum ke bumi apabila berita tangkapan khalwat berhembus di seluruh bumi Kuantan. Apatah lagi akhbar negeri sudah menerbitkan berita itu pagi ini.

“Neem… sabar Neem. Kuatkan semangat,” pujuk Mak Usu Tini lantas duduk di tepi. Usap bahu Tasneem lantas tiupkan semangat. Dahlia di sebelah pun sama. Tak lekang menasihati.

“Neem dah kotor mak usu. Kotor sangat.”
Mak Usu Tini menggeleng sebak.

“Tak Neem. Neem masih suci. Zaim pun tak sedar apa yang dia buat. Semua tu terjadi bukan atas kerelaan masing-masing. Lagipun Zaim tak sempat pergi jauh. ” Mak usu Tini menjelaskan hal yang sememangnya diketahui semua tetapi Tasneem tak mahu dengar.

“Dia jahat mak usu. Dia jahat. Neem benci dia. Neem benci diaaa!!!” jerit Tasneem kuat sehingga hati Dahlia hancur lebur. Lelaki yang amat digilai Tasneem dulu kini telah menjadi orang yang paling dibenci. Siapa sangka aturan-Nya tak sama macam yang diminta Tasneem. Sebaliknya yang terjadi.

“Tas… kuatkan semangat. Jangan lemah. Ini… ibu kau tak tahu lagi. Kalau ibu tahu macam mana?” ujar Dahlia dan terus mulut Tasneem terkunci. Pandang mak usu yang juga turut menangis.

“Mak usu ada cakap dengan ibu ke?” soal Tasneem dalam linangan air mata.
Mak Usu Tini pantas menggeleng.

“Nanti kita balik jumpa ibu ya. Ibu kena tahu?”

“Tak boleh.” Tasneem bangkit dari katil. “Tak boleh. Ibu tak boleh tahu.” Kepalanya tergeleng-geleng takut. Mak Usu Tini pantas memegang tangan Tasneem.

“Daripada ibu tahu dari mulut orang lain baik ibu tahu dari mulut Tas. Mungkin dengan itu ibu tak akan kecewa sangat.”
Tasneem menggeleng tidak mahu. Terus dia hamburkan tangisan.

Tiba-tiba di luar sana kedengaran enjin kereta yang menderum kuat. Tak lama pintu pagar dikocak orang. Terus Dahlia menjenguk melalui tingkap.

“Tasneem, keluar!” laung Zaim kuat. Mata semua orang terbuntang. Kenapa lelaki itu boleh sampai ke sini. Dari mana lelaki itu tahu rumah ini rumah Mak Usu Tini.

“Mak usu, baik suruh Encik Zaim masuk. Bincang kat dalam. Buat bising dekat luar nanti cerita lain pula tersebar.” Dahlia beri cadangan.

Mak usu Tini mengangguk setuju. Pantas turun ke bawah. Ketika itu Zaim masih melaung memanggil Tasneem.
“Jom, turun!” ajak Dahlia namun Tasneem keraskan diri.

“Aku benci dia. Aku tak nak tengok muka dia,” marah Tasneem dalam air mata yang kembali terjun dengan lebat.
Dahlia menggeleng kesal. Perlahan-lahan hembus nafas seraya menggosok lengan Tasneem.

“Kalau kau tak turun kau ingat semua ni akan selesai ke. Yang kat sini tak selesai, yang kat kampung kau jangan haraplah.”
Apabila Dahlia berikan nasihat akhirnya Tasneem akur. “Guna otak kau Neem. Kau budak terpelajar. Jangan sebab benda macam ni kau jadi macam orang tak sekolah. Selesaikan dengan cara baik,” pesan Dahlia dan akhirnya Tasneem turun juga ke bawah.

Zaim yang hanya berdiri di muka pintu terus menerpa masuk sebaik melihat susuk Tasneem. Dahlia terperanjat. Mak usu pun tak sempat nak menghalang. Tasneem yang baru sampai ke anak tangga terakhir berpaling. Dada berdebar kencang. Melihat Zaim yang tergesa-gesa menghampiri dia kembali melangkah hendak naik ke atas.

“Tunggu!” arah Zaim.
Tasneem hairan. Suara itu sudah kendur. Tidak seperti semalam. Menengking dan menjerkah saja yang lelaki itu buat. Kali ini tidak sama sekali.

“Kau nak apa? Kenapa datang ke sini. Aku benci kau,” luah Tasneem tanpa memandang.

“Kalau kau benci aku… aku pun boleh benci kau.” Tasneem terpukul. “Tapi aku ambil keputusan tak akan benci kau sebab aku sedar. Aku yang salah. Aku yang terlalu percayakan orang sekeliling aku sampai hampir mengorbankan maruah kau.”

Terus air mata Tasneem jatuh menitik lagi.
“Sepatutnya kau tak perlu nak jumpa aku. Sejak malam tu lagi aku dah tekad. Aku akan lupakan semuanya walaupun aku tak boleh nak buang rasa yang kau tinggalkan kat pipi aku. Aku dah letak dalam hati aku yang kita tak pernah kenal. Tak pernah jumpa. Supaya aku tak akan terus benci kau. Tapi… bila kau datang balik, aku rasa nak maki diri aku. Aku rasa nak ganyang mulut kau. Tak payah datang untuk jelaskan apa-apa pun tak apa. Antara kita tak ada apa-apa pun yang perlu diperbetulkan.”

Zaim ketap gerahamnya. Saat ini dia sudah nampak sisi keras gadis itu. Bukan lagi seperti dulu. Lembut dan manis saja orangnya.
“Aku tak akan baiki apa yang dah berlaku. Tapi… aku datang sebab aku nak tambah baik benda yang dah terjadi.”

Tasneem tak faham. Perlahan-lahan dia berpaling. Pandang Zaim dengan muka berkerut.

“Kita kahwin!”

Terus mata Tasneem buntang tak percaya. Dahlia dan Mak Usu Tini pun sama. Bukankah malam itu Dato’ Zakri yang hendak mereka berkahwin. Tetapi sekarang kenapa Zaim sendiri yang datang. Apa yang dah jadi?

“Kita nikah terus.” Sekali lagi Zaim meminta. Tasneem gelisah.

“Kau cakap apa ni. Kau ajak aku kahwin? Kau nak balas dendam ke apa?” soal Tasneem takut.

Zaim menekur ke bawah kemudian hembus nafas kesal. Mengingati semula kata-kata papa. Tak lama dia panggung semula kepala dan pandang Tasneem dalam-dalam.

“Aku nak balas dendam buat apa. Kau tak buat salah apa pun.”

Dan… air mata Tasneem meluruh dengan begitu lagi.
Itukah alasan Zaim. Hanya itu saja? Lantas dia tak mahu fikir panjang.

“Aku tak nak. Kalau aku kotor sekalipun aku tak akan kahwin dengan lelaki jahat macam kau.” Dan dia berlari naik ke atas membawa rasa benci yang kembali meruap.

Zaim di bawah menghembus nafas kecewa.

***

Tasneem masuk ke bilik. Sedari tadi dia hamburkan air mata. Puas menangis dia tengok telefon. Hajat hati hendak membuang kesakitannya dengan mendengar suara ibu tetapi dia maklum. Tentu ibu akan bertanya yang bukan-bukan setelah mendengar suaranya yang serak berserta hidung yang tersumbat. Lalu dia abaikan.

Mata pandang ke almari. Biasanya kalau dia sedih atau gembira dia akan catatkan dalam planner. Namun dah lama dia tak tengok planner sendiri. Terus dia teringatkan planner yang dia humban ke atas almari pakaian ketika kecewa setelah mengetahui Zaim sudah ada yang punya.

Dengan penuh kesedihan dia tarik kerusi dan cari planner di atas almari. Buku yang dijadikan tempat meluahkan rasa itu jauh di hujung sana. Jumpa juga dengan planner tersebut yang dibaluti habuk. Setelah sekian lama diam di situ akhirnya dia kembali membukanya semula.

Lihat saja nama Zaim Muazzam yang telah dicoretkan, hati menangis pilu. Nama yang digilainya dalam diam. Walhal orang itu sudah mengetahuinya. Tetapi itu dulu. Sekarang nama itu telah menjadi titik hitam dalam hatinya. Lantas dia baling dengan perasaan benci dan sakit hati sehingga planner tersebut terperosok jauh ke bawah katil.

Sekali lagi dia hamburkan tangisan. Entah sampai bila perasaan benci ini akan menghuni hatinya. Dia benci dengan muka itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience