BAB 09

Family Series 39843

Hari minggu yang menyenangkan. Jam baru menganjak ke angka tujuh tetapi Zaim sudah sampai ke apartment yang dibelinya dua tahun lepas. Jarang sangat dia bermalam di sini gara-gara mami yang sudah berikan syarat.

Selagi belum kahwin dia tak boleh duduk di situ.

Lalu dia benarkan Rafael menumpang sementara pinjaman perumahan lelaki itu masih belum lulus. Rafael sedang merancang membina rumah sendiri di atas tanah pusaka milik keluarga lelaki itu.

Ibu jari ditekan di papan pengimbas. Sekelip mata pintu terbuka dan lampu ruang tamu automatik menyala. Namun, mata Zaim buntang melihat keadaan rumahnya yang berselerak dengan kertas dan juga bekas makanan serta minuman yang sudah kosong.

“Weh. Kau buat apa dengan rumah aku ni?” sergah Zaim geram lantas meluru ke arah Rafael yang terbongkang di atas sofa dengan mulut ternganga.

Zaim mengocak tubuh Rafael. Dalam keadaan mamai Rafeal bangkit lantas menyandar di bahu sofa. Mata ditenyeh dua tiga kali.

“Kenapa kau buat kotor kat rumah aku. Kau ni kan!” Zaim angkat tangan hendak menebah leher Rafael tetapi lelaki itu cepat-cepat memohon maaf.

“Sorry, Im. Aku dah seminggu berkampung kat sini. Menghadap kertas ni. Nak betulkan pelan ubahsuai bangunan yang pihak pemaju dah minta. Kau faham-fahamlah Jazmin tu. Dia yang buat silap aku yang kena sidai. Sampai aku tak boleh ke mana-mana."

Zaim lepaskan nafas lemah.
Nasib arkitek muda itu ada alasan kukuh. Tapi… itu tak bermaksud boleh sepahkan rumah orang sesuka hati.

“Itu kau punya pasallah. Tapi yang pastinya aku nak petang ni rumah aku kemas. Sebab malam nanti aku nak tidur kat sini. Dah lama aku tak landing atas katil aku sendiri.”

Rafael angguk.
“Beres, bos!” Rafael tabik spring.

“Kau dah sarap?” tanya Zaim lantas menapak ke bahagian dapur. “Jomlah kita pergi makan dulu,” ajak Zaim sambil menilik bahagian kegemarannya. Walaupun dia bukan kaki masak tetapi dia tak suka dapur macam tongkang pecah.

Melihat singki yang penuh dengan pinggan mangkuk dan gelas hati Zaim menyumpah geram.

“Kau ni Raf. Apahal dapur aku dah jadi macam rumah sampah,” marah Zaim lantas ke bilik belakang dapur. Harap-harap Rafael tak bawa makhluk lain di situ.

Selamat.
Bilik berhawa dingin yang dia bina khusus untuk Cookie dan Milky tidak terusik. Dia lega. Nasib baik awal-awal lagi belaannya itu dibawa ke rumah orang tuanya. Ada pembantu rumah yang boleh menjaga dengan baik. Kalau ada kat sini, dia jamin puluhan ribu ringgit yang telah dia laburkan akan hangus begitu saja.

“Cepatlah, Raf. Kita pergi sarapan. Lepas ni aku nak pergi jumpa Nel pula.”

Rafael yang mengantuk bingkas bangun. Berdiri dan pandang Zaim tak percaya.
“Nel ada kat malaysia?” soal Rafael tak percaya. “Dia balik bercuti ke?”

“Dia dah habis belajar,” jawab Zaim selamba lantas bergerak untuk melihat dua lagi bilik yang dia tak benarkan Rafael guna. Rafael pula cukup teruja lantas cepat-cepat masuk ke dalam bilik untuk bersiap.

Zaim pula menggeleng kesal melihat rumahnya. Dah macam sarang judi pun ada. Nasib bilik utamanya sudah siap dikunci. Kalau tidak memang huru-haralah hidupnya.

Mengenali Rafael sejak zaman sekolah menengah, begitulah perangai lelaki itu. Tak reti nak mengemas. Tak reti nak membantu. Lagi pula lelaki itu payah nak berkompromi dalam banyak hal. Sebab itulah pelan yang dilukis banyak masalah. Pembantu Rafael, si Jazmin tu pun keras kepala. Padanlah dua orang tu. Asyik nak menangkan diri sendiri. Nasib baik dia ada. Kalau tak, lingkup kompeni papa.

Zaim hela nafas panjang sambil kepala mencari orang untuk mengemas rumahnya. Kalau pembantu rumah orang tuanya ada, senang kerja. Dia akan minta pemandu papa, si Jairas hantar Kak Lili ke sini. Tapi wanita itu balik kampung melawat saudaranya yang meninggal dunia. Seminggu pula tu.

Jadi, dia berkira-kira hendak meminta tolong Neldhia. Tapi dia tak rasa gadis itu jenis pandai mengemas. Hidup gadis itu dari kecil hingga besar dikelilingi pembantu rumah. Mana mungkin pandai buat kerja sendiri. Ini, kalau kahwin tentu dia kena upah pembantu pula. Tapi dah sayang punya pasal, dia rela semuanya.

“Jomlah. Aku dah siap.”
Rafael muncul tergesa-gesa. Haruman pembersih badan semerbak menusuk rongga hidung Zaim. Tetapi Rafael terus menuju ke arah pintu. Tak ada langsung rasa nak kutip segala barang yang bersepah sana-sini. Hatta barang-barang kerja lelaki itu pun dibiar begitu saja.

Zaim mengeluh.
Nampaknya memang dia yang kena cari tukang kemas rumahnya.
Haram betul.

***

Tasneem di dalam kereta kerutkan dahinya. Dekatkan muka ke cermin depan. Tilik seorang lelaki yang santai dengan t hsirt putih dan bomber jacket. Kelihatan lelaki itu menanggalkan jaket lalu sangkut di kerusi. Saat wajah itu berpaling sedikit hati Tasneem bergetar tiba-tiba.

Terus dipandangnya jam tangan. Hari Sabtu. Pukul 8 pagi. Keluarkan planner lantas mencatat ke atas kertas putih itu dengan terketar-ketar.
Dia ingatkan lambat lagi nak jumpa lelaki itu. Kata Dahlia majlis makan-makan Dato’ Zakri dengan ahli keluarganya minggu depan. Jadi dia dah plan betul-betul agar dapat berjumpa lelaki itu. Mahu melepaskan rindu sebenarnya. Alih-alih rindunya terubat pagi ini.

Pandang kiri kanan. Hidu diri sendiri. Masih wangi sebab dia datang dari rumah mak usu. Hari minggu macam ni dia memang bercuti di rumah emak saudaranya. Hari bekerja saja dia tinggal di kuaters kerajaan menumpang kawan seangkatan dengannya.

Dengan lafaz bismillah, dia keluar dari kereta. Saat berdiri di luar barulah dia nampak ada lelaki lain di depan lelaki itu. Lelaki tersebut memakai tshirt biru muda. Kaca mata yang terhias di muka tanda lelaki itu berpendidikan. Kacak juga.

Tasneem pegang kunci kereta baik-baik. Lalu, dengan langkah santun dia mula menapak masuk ke dalam.

Bila hampir tiba di meja lelaki itu dia lajukan langkah dan sengaja melanggar kerusi lelaki itu.

Buk!
Kunci kereta jatuh ke bawah dan hampir terkena kasut lelaki itu.

Zaim pantas mendongak.
“Tak sah kan kalau tak terlanggar orang.” Zaim berbunyi dan Tasneem tunduk hendak mengambil kunci. Tak sangka Zaim juga bongkokkan badan hendak mencapai barang tersebut. Sayang sekali kepala mereka terhantuk.

“Ouchhh!”
Tasneem segera luruskan badan dan Zaim ambil kunci kereta lantas pandang geram.

“Terima kasih,” ucap Tasneem malu-malu sambil menggosok kepala. Tangan satu lagi tarik kunci yang yang Zaim letak atas meja.

Zaim gelengkan kepala. Rafael pula berminat hendak memerhati saja. Sikap gadis di depan ini menghiburkan hatinya.

“Hari tu dahi yang sakit, sekarang kepala. Lepas ni nak bagi apa pula.”

“Hati!”

“Apa?”

Oppsss!
Tasneem tersasul. Dengan wajah merah menyala dia segera menapak ke kaunter berjumpa Dahlia. Zaim pula kerutkan muka. Tak lama menggeleng lucu. Sementara di kaunter Dahlia julingkan mata ke atas apabila Tasneem menekap dadanya dengan kedua-dua tapak tangan kemudian hembus nafas bersama senyuman gatal.

Memang Tasneem dah angau teruk.
“Dia dah order?”

“Belum. Baru sampai.”
Tasneem teruja.

“Cepatlah. Kan orang orang lain pula yang buat kerja.”

Lantas Tasneem tarik buku pesanan. Namun dia terlambat, Syilla lebih dulu tiba di meja lelaki itu.

“Padan muka! Lambat sangat,” kutuk Dahlia dengan senyum gembira. Gembira boleh melihat wajah masam Tasneem. Jarang nak tengok wajah itu mencuka. Hari ini dia dapat melihatnya dengan percuma.

Dengan muka tak puas hati Tasneem menunggu di kaunter. Semenjak hari pertama dia mengambil pesanan Zaim, dia perasan Syilla macam tak suka. Tapi dia abaikan kerana dia bukannya kerja kat sini.

“Sepatutnya restoran ni dah guna cara terkini. Pelanggan order melalui tablet ataupun qr code. Tapi masih lagi nak guna cara lama. Lembab tahu tak.” Syilla muncul dan membebel macam dah bertahun-tahun kerja kat sini. Lagak gadis itu membuat amarah Dahlia muncul tiba-tiba.

“Nanti kau cakap sendirilah dengan tokey kedai,” sinis balasan Dahlia dan Syilla jeling tajam lantas hendak menapak ke bahagian minuman.

“Mana pesanan encik tu?” tanya Tasneem sebelum Syilla jauh.

“Dia nak ambil sendiri,” beritahu Syilla sedikit keras.

Tasneem hairan. Bukan ke Dahlia cakap lelaki itu lebih suka pelayan yang ambil. Pelik pula. Pantas matanya memandang ke arah Zaim. Ketika itulah lelaki itu menguisnya. Hati pantas berbunga ceria. Ada peluang nak bercakap dengan lelaki itu lagi.

“Nasi lemak satu.”

Terkebil-kebil Tasneem memandang.
“Tadi pelayan cakap encik nak ambil sendiri.”

“Kau ambilkan,” arah Zaim dan Tasneem tak kisah. Dia lagi suka.

“Encik?” tanya Tasneem pada lelaki di depan Zaim.

“Dah pesan roti canai tadi.”

Lantas mata Tasneem pandang ke arah tukang tebar roti canai. Kalut menyiapkan tempahan.

“Ada apa-apa lagi Encik Zaim?”
Zaim pandang wajah Tasneem. Seolah-olah berfikir panjang.

“Tambah sambal sotong.”
Dan… wajah Tasneem berkerut seribu. Takut. Takut lelaki itu alpa.

“Encik boleh makan seafood ke?” soal Tasneem ragu-ragu.

“Ya,” jawab Zaim tanpa memandang. Segan sebenarnya apabila kelemahannya diketahui gadis itu.

“Betul ni?” soal Tasneem lagi dan Zaim ketap bibirnya geram.

“Tak percaya ke?”

“Bukan macam tu… saya takut encik….” Tasneem tak mahu mengulang perkara yang dah lepas. Lagipun dia tak mahu lelaki itu masuk hospital lagi. Zaim pula menyuruh Tasneem beredar. Dia pantas menghalau gadis itu dengan tangannya.

“Budak tu tahu ke kau alergik kacang?” tanya Rafael hairan.
“Ya. Sebab aku hampir collapse kat sini sebab makan cookies punya pasal. Buang karan betul.”

Dan Rafael gelak besar.
“Kalau macam tu cepat-cepatlah kahwin. Biar ada orang boleh jaga,” usul Rafael dan Zaim ukirkan senyum bahagia. Memang dia sedang menanti saat itu.

“Kau jangan tak tahu. Nel dah bagi greenlight.”

Terus mata Rafael membulat tak percaya. Dada pun berdebar kencang.
“Kau biar betul.”

“Betullah. Nel kan pernah cakap dengan kau juga yang dia nak kahwin dengan aku bila dia dah habis belajar. So… it’s our time.”

Rafael ukir senyum tetapi nampak hambar. Tangan di bawah meja dikepal geram. Mereka bertiga kawan baik sejak sekolah menengah tetapi tak sangka Neldhia akan bercinta dengan Zaim. Dia yang mati-mati menjaga gadis itu tapi Neldhia tetap memilih Zaim.

Ah, dia yang kekurangan. Dia bukan orang kaya. Bukan juga segak macam Zaim. Mungkin kerana itulah Neldhia tak ada rasa untuknya.

Nafas dihembus geram.
Takkan dia nak biarkan.

Oppss... Siapa Rafael. Si Tasneem ni ada je yang dia nak buat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience