BAB 42 (Sambungan)

Family Series 39843

Haji Borhan pandang Dato’ Zakri dan Datin Hakimah dengan wajah sayu. Melihat bekas cincin yang dihulurkan pasangan suami isteri itu hatinya berbelah bahagi. Kalau menolak, dia akan melukakan hati tetamu yang datang. Lagipun pasangan suami isteri itu bersungguh-sungguh mahu menjadikan Tasneem menantu mereka. Kalau dia terima apakah Nadiah akan bangga. Tidak sama sekali. Tasneem pula tentu akan kecewa dengannya.

“Kalau abang haji terima cincin tu kami tak akan balik ke Kuantan. Kami akan terus bawa mereka ke pejabat agama kat sini. Biar mereka nikah terus. Fasal majlis makan nanti kita fikir kemudian.” Dato’ Zakri memudahkan cara. Namun Haji Borhan tak mampu memberi keputusan. Anak perempuan yang dipinang itu bukan anak kandungnya. Walaupun Nadiah sudah memberi kepercayaan kepadanya dia tak akan mengkhianati isterinya.

“Tini, baik Tini panggil kakak. Biar dia yang buat keputusan.” Haji Borhan menyuruh. Mak Usu Tini tidak berlengah. Terus turun ke dapur. Sementara Dahlia di dalam bilik menemani Tasneem yang masih menangis.

Kedengaran di bawah Nadiah keluarkan arahan. Mungkin Tini sudah memujuk.

“Abang buatlah apa yang patut. Nad tak tahu nak cakap apa lagi.”

Datin Hakimah tersentak. Mendengar suara yang kedengaran serta nama yang dibahasakan hatinya bergetar satu rasa. Perlahan-lahan dia bangkit. Matanya mula bergenang. Dato’ Zakri tak faham. Begitu juga dengan Haji Borhan.

“Boleh tak saya nak pergi jumpa emak Tasneem sendiri,” pinta Datin Hakimah dengan dada yang berdebar-debar.

Haji Borhan mengangguk. Dengan susah dia bangkit mempelawa Datin Hakimah ke bawah. Dato Zakri pula mengekori dari belakang. Sementara Dahlia di dalam bilik menguis Tasneem mengkhabarkan keanehan pada sikap Datin Hakimah. Lalu Tasneem keluar dan berhenti di muka pintu ke dapur. Ketika itu semua orang sudah berada di bawah.

Nadiah yang membancuh minuman untuk tetamu yang datang berhenti dulu. Dirasakan ada orang yang membelakanginya. Pantas dia berpaling.

“Nad!”
Kuat suara Datin Hakimah menyebut pangkal nama itu. Terus muka Nadiah berubah pucat. Sudu di tangan pula jatuh ke bawah. Dia tak percaya dengan wajah yang ada di depan mata. Hati belum bersedia untuk menerima kemunculan wanita itu lantas dia pusingkan badan mahu melarikan diri tetapi lengannya ditarik Datin Hakimah. Wajah sahabat baiknya itu sudah merah menahan tangis.

Dato’ Zakri yang tak faham apa-apa akhirnya tahu juga. Dadanya berdebar kuat dan serasa tubuhnya hampir jatuh ke bawah. Melihat saja susuk di depan mata perasaan bersalah mula menghurung hati. Lalu dia toleh ke belakang.

Terpandang pula wajah Tasneem yang merah dan basah. Mungkin gadis itu juga baru tahu yang kedua-dua susuk di bawah adalah sahabat baik. Tiba-tiba saja wajah Tasneem silih berganti dengan wajah Waseem yang merayu simpati. Hati tuanya serasa hancur berkecai. Malah ditimpa batu kekesalan yang amat berat.

Dia tak mampu bergerak lantas dia kunci mulutnya. Hanya hati yang bersuara. Kejutan apa yang dia dapat hari ini. Sepatutnya hari ini Tasneem menerima lamaran untuk menjadi menantunya. Tetapi lain pula yang dia dapat. Lalu dia kembali memandang isterinya yang sedang menatap pilu.

“Dah berbelas-belas tahun Kim cari Nad. Kim cari ke serata negeri tapi langsung tak jumpa. Kim nak minta ampun sebab dah melukakan hati Nad. Menyusahkan Nad. Baru hari ini doa Kim termakbul. Dan… tak sangka betul. Tasneem yang selalu dekat dengan Kim rupa-rupanya anak Nad. Anak Waseem.”

"Macam mana Kim boleh kenal Tasneem?"

Datin Hakimah lega. Nadiah mahu berbual namun wajah itu tak mesra.

"Dia kan kerja dengan mak sedar dia. Lagipun pejabat Zak depan restoran Tini."

Nadiah menggeleng kesal. Tak sangka. Sejauh mana dia lari akhirnya mereka berjumpa semula. Apakah ini tandanya Tuhan merestui persahabatan mereka.

“Betul kan Tasneem anak Nad dengan Waseem?” soal Datin Hakimah tiba-tiba meminta kepastian.

Nadiah pusingkan badan. Membelakangi wanita itu. Tangannya dilekapkan ke atas meja. Menahan segala rasa yang datang. Dia tak mahu ungkit kembali cerita lama sebab dia tak mahu Tasneem terluka. Tetapi hari ini lain pula jadinya.

“Tasneem memang anak Nad dengan Waseem. Kenapa. Kenapa Kim nak tahu?” soal Nadiah kecewa. Datin Hakimah lorekkan senyum bahagia. Dalam tangisan dia gembira dengan penjelasan Nadiah.

Tubuh Nadiah dipusing ke depan.

“Tak ada apa yang Kim nak tahu. Kim cuma bahagia sebab Nadlah orang yang dah mengubati luka Waseem. Kim tak sepatutnya cari Nad tapi itulah. Kita masih berjodoh.”

Nadiah hanya diam. Dia tak mampu nak meneruskan kata. Kejutan kedua ini benar-benar menyesakkan dada.

“Nad marah Kim? Kalau Nad marah Nad keluarkan hari ini juga. Biar dada Kim rasa lapang sebab selama ini Kim cukup rasa bersalah. Bersalah kerana tinggalkan Waseem macam tu saja,” ujar Datin Hakimah apabila air muka Nadiah langsung tak ceria. Bencikah wanita itu pada dirinya. Kalau benar, dialah yang paling bersalah.

“Kenapa nak marah benda yang dah jadi. Nad hanyalah tempat Waseem luahkan perasaan. Nad bukan orang yang dia cinta. Dia hanya cintakan Kim. Sampai kami dah ada anak pun dia tetap rindukan Kim.”

“Jadi, Nad tak bahagia?”

Nadiah kepal tangannya. Menahan amarah yang bila-bila masa akan meletup keluar.

“Macam mana nak bahagia kalau setiap saat nama Kim saja yang dia sebut.”
Kolam mata Datin Hakimah tak mampu lagi menampung takungan lantas benteng pun pecah berderai.

“Kenapa kita perlu jumpa dalam keadaan macam ni. Ketika Nad dah tak ingat lagi soal Waseem. Ketika Nad dah ada Abang Borhan. Nad dah bahagia dengan hidup Nad sekarang.”

Dada Datin Hakimah hampir pecah. Kepala mula fikir yang bukan-bukan.

“Nad cakap apa ni.” Datin Hakimah berundur ke belakang. “Nad jangan cakap Waseem ceraikan Nad.”
Nadiah menangis pilu.

“Perlu ke kita hidup dengan lelaki yang tak mampu lupakan cinta pertama dia. Kalau Kim kat tempat Nad sanggup ke Kim dengar dia puji perempuan lain setiap masa. Padahal dia tahu kekasih yang dia cinta dah jadi isteri orang. Apa yang Kim akan buat. Terus jadi patung?” Dengan lemah Nadiah lontarkan cerita.

Datin Hakimah tekup mulut tak percaya. Dia sudah faham. Nadiah bercerai dengan Waseem. Padahal dulu dialah yang memujuk Nadiah agar memikat Waseem supaya Waseem boleh melupakan dia. Selepas itu tanpa pesan dia tinggalkan Waseem. Dia menerima undangan ke majlis nikah mereka tetapi dia yang tak mampu memenuhi kerana dia sudah bahagia dengan Zakri. Tetapi dia tetap rasa bersalah sehingga kini dengan apa yang telah emaknya buat. Begitu juga dengan cerita yang baru dia dengar.

“Jadi, kat mana Waseem sekarang?”
Nadiah tersentak. Hakimah tak tahu apa-apa ke? Mustahil!

“Kim tak tahu cerita fasal Waseem?” soal Nadiah keliru. Bukankah selepas bercerai, Waseem kembali ke Kuantan untuk mencari Hakimah. Dia pula berhijrah ke Kelantan untuk memulakan hidup baru. Mustahil Hakimah tak tahu apa-apa.

“Dia dah mati. Dia dah lama mati lepas tinggalkan Nad,” luah Nadiah tak sedar. Dia lupa anaknya belum tahu kebenaran ini.

Tasneem tersentak.

“Ibu!” laung Tasneem yang tercegat di muka pintu. Riak mukanya jelas tak percaya.

Nadiah terpana. Dia terlupa. Telah membuka rahsia yang dia simpan sendiri.

“Neem….” Nadiah melangkah laju hendak mendapatkan Tasneem namun anaknya itu sudah masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dari dalam. Lalu Nadiah terjelepuk ke atas tangga. Datin Hakimah pun sama. Jatuh terduduk sebelum sempat Dato Zakri mendekat.

Mak Usu Tini pantas mendapatkan kakaknya. Hanya Haji Borhan saja yang tak dapat bergerak pantas. Sementara Dato’ Zakri pula merapati sang isteri lantas cengkam dadanya kuat.

Aturannya hari ini tak kena masa. Tak kena tempatnya. Dia kaku di tepi isterinya seraya mengingati segala memori lama yang telah dia kambus sedalam-dalamnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience