Kayla hempas pintu kereta dengan kuat. Zaim di bahagian pemandu menggeleng kesal. Adiknya itu memang kuat merajuk. Pula tu jenis tak reti nak berterus-terang. Sebab Kaylalah dia dah marah orang lain.
“Kay suruh baiki skrin pun kedekut nak mampus,” marah Kayla yang sudah berada di depan pintu rumah. Zaim di belakang mendengus kuat. Sebab Kayla dah buat salah jadi dia akan hukum gadis itu.
“Abang tak akan ikut kehendak Kay lagi sebab Kay tak berterus-terang. Tak jujur. Kasihan kakak tu. Tak pasal-pasal Abang Im marah dia. Kay tak tengok ke barang yang dia beli dah rosak?”
Kayla di muka pintu memang tahu. Tapi sebab takut punya pasal dia diamkan diri. Kalaulah papa tahu dia yang kena nanti. Telefon itu baru sebulan papa beli. Hadiah untuknya sebab berjaya masuk matrik. Inipun balik rumah sebab cuti dah mula. Nak peluk dan ucap terima kasih sebab hadiahkan telefon sebagai kejutan. Telefon yang dah lama dia idam-idamkan. Tapi… bila dah jadi macam ni agaknya apa yang papa akan buat.
“Kay takut papa marah.” Kayla tunjuk muka sedih.
“Dah… mintalah yang baru.”
Terus gadis itu bulatkan mata.
Minta baru? Macamlah papa tu jenis yang ikut saja apa yang anak nak. Papa… walaupun banyak duit tetap tak akan bazirkan begitu saja. Nak bagi hadiah pun kena tunjukkan prestasi yang cemerlang dulu. Kalau tak… jangan haraplah.
“Abang Imlah yang bagi. Abang Im kan banyak duit,” pujuk Kayla lantas kelipkan mata berkali-kali. Zaim ‘huh’ kan adiknya.
“Sorry lah princess. Sekarang, Abang Im tak boleh bazirkan duit sesuka hati. Abang Im tengah kumpul duit nak kahwin dengan Kak Nel.”
Kayla mendengus geram.
“Pergi bayar ganti rugi kakak tu boleh pulak?” marah Kayla lantas ketap gerahamnya.
“Eh, Abang Im bagi 50 ringgit je. Bukannya sejuta.” Zaim tak mahu kalah. Berlawan mulut dengan adiknya.
“Abang Im saja nak buat Kay geram kan?”
“Tahu tak apa.”
“Abang Im!” Kayla menjerit dan gema yang terhasil mengejutkan Datin Hakimah yang baru selesai menyempurnakan solat maghrib.
“Ya Allah, budak-budak ni. Kenapa bergaduh kat muka pintu. Baik pergi kat padang depan tu. Biar semua orang tengok anak Dato’ Zakri buat hal maghrib-maghrib macam ni,” bebel Datin Hakimah di pintu bilik solat bertentangan dengan tempat anak-anaknya berdiri.
Zaim mendengus geram. Kayla pula masih tunjuk muka masam. Bentak kaki lantas masuk ke dalam dan melangkah ke arah emaknya dengan muncung sedepa. Capai tangan lalu kucup mesra. Kemudian terus memanjat anak tangga ke biliknya yang terletak di tingkat dua.
“Kenapa ni, Im. Maghrib-maghrib duk bergaduh dengan adik? Dahlah Kayla tu baru bercuti,” soal Datin Hakimah yang menghala ke arah Zaim
“Mami tanyalah adik sendiri.” Zaim pusingkan badan. Melangkah geram ke arah stor. Keluarkan kotak plastik lalu bimbit menuju ke keretanya.
“Adik punya pasallah ni. Habis calar kereta Im,” bebel Zaim dari jauh.
Datin Hakimah yang mendengar mula faham. Pusingkan badan lalu melangkah ke arah bilik anak daranya. Tak sabar nak tahu cerita sebenar kerana sudah faham sangat dengan karenah Kayla. Jenis tak cakna dengan sekeliling.
Zaim di luar pula semburkan WD-40 di tempat calar lalu gosok dengan span bersama hati yang bengkak. Kereta Nissan GT-R warna stealth gray yang baru setahun dipakai sudah calar. Mana dia tak sakit hati. Tak kiralah siapa yang buat pun dia akan sembur geram. Dahlah kereta ini dibeli dengan duit sendiri. Tunai pula tu. Setelah ikat perut bertahun-tahun lamanya. Walaupun dia anak dato’, papa banyak mengajarnya berdikari sendiri. Satu lagi, memang sikap lelaki. Akan sayangkan kereta macam nyawa sendiri. Sebab itulah dia geram sangat dengan Kayla.
Tapi yang jadi mangsanya gadis tadi. Nasib baik lepas kena gertak terus Kayla buka mulut. Sebab rasa bersalahlah dia pusing balik cari gadis tadi. Kalau tak memang berhutanglah dia sampai ke mati.
***
Dato’ Zakri hembus nafas kecewa. Sudah masak sangat dengan sikap Kayla. Bukan setakat kelam kabut, cemerkap pun ada. Kadang-kadang macam budak tak pandai apa-apa. Padahal cemerlang dalam bidang sains. Kalau tak… memang tak akan masuk matrikulasi ambil jurusan kejuruteraan mekanikal.
Anak daranya itu memang minat bidang automotif. Nak sambung impian abangnya yang tak tercapai. Tapi kalau dah cemerkap macam ni mana boleh kerja dalam bidang tersebut. Alih-alih kerja tak jadi.
Dato’ Zakri bimbang.
“Esok suruh Abang Im pergi baiki.” Hati tuanya tak akan keras lagi. Tak ada kudrat dah nak jadi garang macam dulu. Tambah-tambah lagi tekanan darahnya asyik naik.
“Tak boleh beli yang baru ke?” Kayla memujuk.
“Nanti dah kerja Kay belilah sepuluh pun. Papa tak kisah.”
“Papa!” Kayla peluk tubuh dan tunjuk muka tak puas hati. Dengan langkah geram menuju ke arah ruang menonton. Zaim yang sedang membuat kerja di meja makan hamburkan gelak besar.
“Nanti dah kerja boleh belikan kereta baru untuk Abang Im juga,” jerit lelaki itu dari jauh.
Kayla menjeling geram.
“Tak kuasalah Kay,” laung Kayla lalu tujukan mata pada skrin televisyen. Zaim pula menggeleng lucu.
Sementara Dato’ Zakri ke dapur. Mahu melihat apa yang dibuat isterinya. Kelihatan Datin Hakimah termenung di muka pintu dapur.
“Kenapa ni, Kim?” sapa Dato’ Zakri gusar. Dah lama tak melihat sikap pelik isterinya itu. Semenjak masuk alam menopause ini perangai isterinya itu lain macam. Asyik termenung.
“Kim harap sebelum Kim tutup mata Kim akan jumpa orang yang Kim cari sekian lama.”
Akhirnya Dato’ Zakri faham. Isterinya itu masih belum berjumpa dengan orang yang amat dirindui.
“Tak cuba call kawan-kawan lama?” soal lelaki itu lantas peluk pinggang isterinya.
“Dah, bang. Tapi semuanya tak tahu. Adalah sorang cakap dia menetap kat Kuantan juga tapi Kim pergi cari tak jumpa pula. Orang tak kenal pun.”
Dato’ Zakri mengangguk faham.
“Nanti ada masa kita pergi cari sama-sama. Ada tu. Tuhan tak buka lagi hijab nak kita jumpa dia,” pujuk Dato’ Zakri seraya tarik tangan isterinya.
“Doakan Kim, ya bang. Kim nak minta maaf dekat dia. Kim dah banyak buat salah dekat dia.”
Dato’ Zakri angguk lantas tarik tangan isterinya. Menyuruh masuk tidur sementelah jam sudah menganjak ke pukul 12 tengah malam.
“Dah semua. Masuk tidur. Im… jangan lewat sangat. Lepas zuhur esok kita nak kena ke tapak pula,” pesan Dato’ Zakri yang seiring dengan isterinya hendak ke bilik tidur yang terletak berdekatan dengan bilik solat. Sejak menghidap darah tinggi ini, isterinya menyuruh beralih bilik. Senang nak di bawa ke hospital kalau jadi apa-apa.
“Sikit lagi, pa!” balas Zaim tanpa memandang. Leka benar siapkan laporan yang diminta orang tua itu. Walaupun papa adalah bos dia tak boleh buat sambil lewa. Tak pasal-pasal nanti dimalukan lelaki itu ketika mesyuarat. Dia tak mahu begitu. Dia nak orang tengok dia sebagai anak Dato’ Zakri yang tak lepas tangan dan mampu menggantikan orang tuanya suatu hari nanti.
Lima belas minit berlalu dan kerjanya sudah siap. Tutup folder dan gambar Neldhia muncul di layar skrin melalui aplikasi whatsapp web.
Ah, tak sabar nak tunggu gadis itu habis belajar. Dia mahu menghalalkan ikatan yang terbina semenjak zaman sekolah menengah lagi.
Tiba-tiba….
- Esok I balik. Sambut I kat airport. Petang.
Terus Zaim berdiri. Terkejut. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba dapat berita gadis itu pulang ke Malaysia. Wajah Zaim mula memancar cahaya gembira. Sungguh rindu yang ditanggung ini akhirnya akan terubat jua. Tapi….
Erk, esok dia kena temankan papa ke tapak pembinaan. Macam mana nak lepas.
- I ada kerja tapi I usahakan untuk sambut U.
Zaim selalu berterus-terang.
- It’s okay darling. I tunggu.
Dan… Zaim senyum bangga. Neldhia tak pernah menyusahkan. Sebab itulah dia sayang sangat-sangat akan gadis itu. Mengingati Neldhia hatinya tak sabar nak berjumpa.
Hai, malam! Cepatlah berlalu.
Anak-beranak kaya yang tak macam dalam drama pukul 7 ya. Hehe
Share this novel