BAB 08

Family Series 39843

Hawa musim tengkujuh sudah hampir tiba. Nampaknya tak lama lagi bumi akan lembab sepanjang masa. Namun itu tidak menghalang Tasneem untuk kembali ke Kuantan walaupun jalan sedang dibasahi hujan. Dia hendak mencari barang-barang keperluan di pasaraya yang sering dikunjungi. Bukan tidak ada kedai di Gambang tetapi dia lebih selesa membeli belah di bandar besar ini.

Sambil menyelam minum air sebenarnya. Hendak singgah di restoran mak usu juga. Adalah tu yang nak dibuatnya walaupun hari sudah malam. Sebelum ke restoran Tasneem singgah dulu di stesen minyak. Keluarkan duit tunai. Dompet yang kosong perlu diisi dengan duit. Mana tahu, ada kecemasan yang tak terjangka pula.

Malam-malam begini, tekak tiba-tiba rasa nak minum kopi yang dijual di cafe mesra. Lantas dia beratur di belakang seorang gadis yang memakai singlet hitam dan berseluar culotte warna putih gading. Rambut yang beralun separas pinggang itu menarik hati Tasneem.

Cantik bersinar. Tentu pemiliknya juga cantik. Tetapi Tasneem hairan. Gadis itu nampaknya sedang mengusap kepala sebelah kiri.

“Cik nak order apa ya?” Pekerja di kaunter bertanya. Namun gadis di depan diam saja. Tangan itu masih lagi memicit dahi dan tangan kanan pula tiba-tiba memegang birai kaunter.

“Cik!” Pekerja tersebut menjerit kecil dan Tasneem pantas memaut bahu yang hampir senget ke kanan. Rasa panas. Tak bertangguh Tasneem bawa gadis itu duduk di atas kerusi.

“Cik nak pitam ke?” soal Tasneem risau. Gadis itu mengangguk lemah. “Maaf ya. Saya nak sentuh dahi kejap,” pinta Tasneem lantas daratkan tangan ke dahi gadis itu.
“Cik demam ni,” ujar Tasneem risau apabila dahi itu membahang panas. “Saya hantar ke klinik,” ajak Tasneem namun gadis itu menggeleng.

“Belikan saya panadol,” beritahu gadis itu lemah.

Tasneem tak bertangguh. Segera ke kaunter Petronas lantas membeli sepapan panadol dan air mineral. Kembali semula kepada gadis itu lantas menyuruh gadis itu makan ubat cepat-cepat.

“Jom. Saya hantar balik rumah,” ajak Tasneem ikhlas namun si gadis menggeleng tak mahu.

“Biar saya berehat dalam keretalah.”
Tasneem mengangguk. Namun hati tetap risau.

“Okay. Kereta kat mana. Saya hantarkan.”

Gadis itu luruskan telunjuk ke arah tempat mengisi angin tayar kereta. Kelihatan sebuah Toyota Cross diam tidak jauh dari pam tayar.

“Itu ke?” Tunjuk Tasneem dan gadis itu mengangguk lemah. Lalu dengan tenaga perempuannya dia memapah sehingga ke kereta.

“Nak saya call sapa-sapa ke?” tanya Tasneem apabila gadis itu hampir tertidur. Bimbang pula hendak meninggalkan gadis itu di dalam kereta seorang diri. Kalau jadi sesuatu yang tak diingini tentu dia akan rasa bersalah.

Gadis itu menggeleng. “Biar saya rehat dulu,” ujar gadis itu dengan mata terpejam.

Melihat gadis itu yang memeluk tubuh dia tahu angin sejuk bersama hujan menambahkan suhu kedinginan malam. Lantas Tasneem kembali ke kereta dan mengambil blazer jabatannya yang selalu dibawa bersama.
Selimutkan tubuh gadis itu.

“Maaf sebab dah menyusahkan awak. Awak baliklah. Saya nak rehat sampai dah keluar peluh. Lepas tu saya akan beredar,” ujar gadis itu lemah. Namun Tasneem tak sampai hati. Wajah itu nampak polos dan dia tidaklah kejam hendak mengabaikan orang yang sakit. Lalu dia menunggu sehingga jam 12 tengah malam.

Gadis itu bangkit dari lena dan terpinga-pinga. Pandang kiri-kanan.

“Macam mana. Dah okay ke?” tanya Tasneem masih risau. Gadis itu sentuh dahi. Peluh yang merenek menandakan dia sudah kembali pulih.

“Okay dah sikit. Bolehlah nak drive,” jawab gadis itu mesra. Tasneem berikan senyuman. Melihat wajah itu yang kembali merah itu tandanya gadis itu sudah sihat.

“Kasihan awak. Sanggup temankan saya. Tak tidur pula tu.” Gadis itu keluarkan sesuatu dari tas tangan yang ada di tempat meletak tangan sebelah kiri.

“Saya risau. Walaupun kita tak pernah kenal tapi saya tak akan tinggalkan awak yang tengah sakit.” Tasneem berhenti. Pandang wajah itu yang amat cantik. Seperti gadis kacukan. “Awak memang dah demam ke masa berhenti kat stesen ni?” tanya Tasneem ramah.

“Haah, tapi sebab mengidam kopi punya pasal sanggup drive ke sini.”
Tasneem lorekkan senyum. Sama macam dia. Kalau dah mengidam sesuatu tak kira sakit atau tidak sanggup pergi cari. Dah macam orang mengandung. Erk, tapi dia tak pernah rasa lagi. Banyaklah dia punya tahu tu.

“Awak, terima kasih sebab dah tolong saya. Ini kd saya.” Gadis itu hulurkan kad bisnes kepada Tasneem.

“Erk... Teng... Tengku Neldhia binti Tengku Rahmat.” Tasneem baca nama yang tertera.

“Panggil Nel je. Jangan panggil tengku. Saya orang biasa je.” Gadis itu berikan senyuman. Tasneem pula menelan liurnya perlahan-lahan. Payah pula nak masuk ke dalam. Tak sangka gadis di sebelah ini anak tengku. Terus dia segan.

“Janganlah segan.”
Gadis itu macam tahu-tahu dia rasa rendah diri.

“Boleh minta nombor telefon awak?” Neldhia meminta dengan senyuman. Teragak-agak Tasneem hendak memberi tetapi melihat wajah manis itu dia tak sampai hati nak menolak. Lantas dia sebut satu demi satu dan tangan cantik itu menekan nombor di atas layar skrin.

“Nama?”

“Panggil je Tas.”

Neldhia terangguk-angguk.
“Terima kasih sangat-sangat sebab dah tolong saya,” ucap Neldhia saat Tasneem mula buka pintu kereta.
Tasneem pula mengangguk segan.

“Nanti kalau saya ajak awak minum petang, awak tak tolak kan?”

“Insya Allah. Hari minggu bolehlah,” balas Tasneem dengan rasa kekok. Neldhia perlahan-lahan mula memandu dan Tasneem hantar sehingga kereta itu hilang dari pandangan.

Dia tilik kad di tangan.
Tiba-tiba rasa seriau. Dia masih di stesen minyak. Waktu ini hanya kaunter saja yang menyala. Walaupun stesen ini dibuka 24 jam tapi dia tetap rasa takut. Bukan tak biasa dengan malam tapi dia gerun dengan manusia bernama lelaki.
Pantas dia berlari ke kereta. Nampaknya dia kena balik tidur rumah mak usu. Harap-harap Dahlia dah ada kat rumah. Pukul 7 esok baru dia boleh bertolak ke Gambang.
Hai, nasib badan.

***

“Tidurlah weh. Aku ni mengantuk. Kalau kau terus on kan lampu manalah aku boleh tidur. Dahlah esok aku kena jaga kedai awal pagi. Mak usu kena pergi hospital. Dia ada appointment,” bebel Dahlia dengan muka sembab.

Tasneem faham tapi dia yang tak mampu nak lelapkan mata. Gara-gara kejadian di stesen tadi matanya jadi segar pula.

“Sorry, Lia,” ucap Tasneem lantas matikan lampu meja dan baring di sebelah Dahlia. Dengkuran halus gadis itu makin membuat Tasneem tak mampu pejamkan mata. Pantas lengan Dahlia diusap berkali-kali.

“Hoi, mangkuk. Aku nak tidurlah. Kenapa kau ganggu aku,” bentak Dahlia geram. Terus gadis itu bangkit lantas nyalakan lampu meja. Tasneem pun sama. “Kau cakap dengan aku kau nak apa? Kenapa kau ganggu aku. Cakap! Sebelum aku tumbuk mata kau tu.” Dahlia tarik kolar baju Tasneem dan tunjuk lagak samseng dengan kepal tangan. Laju sekali naik ke atas dan hendak menumbuk muka Tasneem.

“Aku rindu dia. Tak boleh tidur sebab wajah dia terbayang depan ni.”
Terus tangan Dahlia jatuh ke bawah. Hembus nafas geram dan pandang Tasneem tajam.

“Aku dah agak dah. Nampaknya aku kena daftar kau kat Tanjung Rambutan. Teruk sangat dah angau kau ni.”

Tasneem mencebik.
“Dia tu lah yang salah. Kenapa dia buat aku macam ni?” luah Tasneem sedih. Dahlia di sebelah mencebik geram.

“Kau tu yang sewel. Mamat tu tunjuk baik sikit je tapi kau dah jatuh tertiarap macam ni. Kaulah yang salah.”

Tasneem muncung pula.
“Tolonglah aku, Lia. aku pun nak tidur juga tapi mata aku ni asyik nampak dia je.”

Dahlia menggeleng geram lantas hembus nafas simpati.
“Kau ni kan macam kena minyak pengasih. Padahal Encik Zaim tu tak ada buat apa pun. Tapi ada satu je cara nak hilangkan masalah kau ni.”
Tasneem mengangguk laju mahu tahu.

“Dato’ Zakri tempah bilik untuk makan tengahari nanti. Aku rasa dia nak meraikan sesuatu.”

Terus mata Tasneem cerah bersinar.
“Bila? Pukul berapa?”

“Dia cakap dia akan update nanti.”

“Apa-apa hal kau info aku tau. Senang aku nak set masa nak ambil cuti separuh hari.” Dengan riang Tasneem berpesan. Dahlia pula terkebil-kebil hairan. Sekejap saja Tasneem sudah berbungkus dengan kain selimut.

Mangkuk ayun punya kawan.
Berlakon tak boleh tidur sebab tu je.
Eeeiiii!
Dahlia ketap bibir. Siap kau Tasneem!
Dan Tasneem di dalam selimut menyeringai senang hati.

Pertemuan Tasneem dengan Nel. Malam pula tak boleh tidur si Tas. Ada2 saja helahnya

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience