“Sayang okay? Macam mana sekarang?" tanya Zaim setelah jauh dari pinggir jalan.
“Kita balik dulu. Sayang dah menggigil ni,” balas Tasneem lantas tunjuk tangan. Teringat kelajuan kereta tadi serasa dia akan mati di situ juga jika tidak ditarik Zaim. Kenapalah orang itu memandu kereta begitu laju. Tidakkah mereka sedar nyawa yang diberi Tuhan ini perlu dijaga sebaik mungkin.
Zaim pula tunjuk hampa. Tak berjaya hendak menyenangkan hati Tasneem. Sebaliknya terjadi perkara yang tak dijangka-jangka.
“Jom, sayang!” Zaim masuk semula ke dalam kereta. Sebaik sahaja mereka sudah berada di dalam telefon Tasneem berbunyi nyaring. Terus Tasneem pandang suaminya sebaik nama Datin Hakimah muncul di layar skrin.
“Erk… nak sayang jawab atau macam mana?” soal Tasneem resah. Kalau sudah Zaim tak mahu berbincang tentang wanita itu pantaskah dia hendak membuat wajah suaminya masam mencuka. Tetapi apabila Zaim berikan isyarat supaya menjawab terus dia kuatkan volume dan tekan ikon hijau.
“Mami!” ucap Tasneem lantas mata bergerak memandang Zaim. Ada riak geram pada wajah itu. Tak lama lelaki itu menghempas keluhan berat. Seperti panggilan itu mengganggu jiwa. Namun Tasneem tak hiraukan. Mentuanya sedang dalam talian. Dia perlu melayan dengan baik. Walaupun dia sedar hubungan Zaim dan Datin Hakimah masih belum pulih, sebagai menantu tak sepatutnya dia melukakan hati mentuanya.
“Dah lama Tas dengan Im tak balik rumah mami. Tas dengan Im tak ingat mami ke?” tanya Datin Hakimah sayu. Hati Tasneem terusik. Kenapa dengan orang tua itu?
“Mami masih marahkan Im?” tanya Tasneem meminta kepastian.
“Boleh tak Tas dengan Im balik,” rayu Datin Hakimah di corong sana dan hati Tasneem makin pelik.
“Maaf mami. Im tak akan singgah rumah mami lagi sebab Im tahu jantan tu ada kat sana.”
“Im….” Datin Hakimah ingin memberitahu hal yang sebenarnya namun tangan itu lebih dulu menekan butang merah. Talian putus.
“Abang… itu mami. Emak abang.”
“Ya… abang tahu. Tapi… selagi lelaki itu ada kat sana abang tak akan balik.”
“Jangan keraskan hati. Kalau abang tak balik mungkin orang tu makin galak merancang macam-macam.”
Zaim menggeleng.
“Biarkan. Lagipun papa dengan mami memang suka sangat dekat mamat tu.”
“Jadi… abang menyerah?”
Terus Zaim diam.
“Jom. Kita balik sekarang juga,” pinta Tasneem namun Zaim jegilkan mata.
“Abang tak benarkan.”
“Kalau abang tak nak balik sudah. Biar sayang pergi sendiri.” Tasneem mula tunjuk degil dan hati Zaim patah seribu. Dia mahu menjaga keselamatan isterinya tetapi Tasneem buat hal pula.
“Kat sana tu ada makhluk jahat. Sayang tak takut ke?”
Tasneem mengetap bibir geram.
“Abang boleh jaga sayang. Kenapa sayang nak takut.”
Akhirnya Zaim mengalah. Terus masukkan gear lantas memandu ke rumah orang tuanya.
***
Kereta diparkir ke dalam garaj. Setelah itu mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Sebaik tiba di ruang tamu, tiada siapa yang kelihatan. Terus Tasneem ke dapur. Saat itu Kak Lili sedang memasakkan bubur.
“Eh, Tas. Nasib baik Tas datang,” sapa Kak Lili dan matanya buntang melihat kemunculan Zaim juga. Terus bibirnya terherot tenang melihat Zaim menarik tangan Tasneem lantas menggenggam mesra.
Tasneem pantas berikan senyuman.
“Buat bubur untuk siapa?” soal Tasneem sambil meghidu bau harum masakan tersebut.
“Nak bagi datin makan. Dah dua hari terlentang atas katil. Demam.”
Terus Tasneem berpaling memandang Zaim yang mula gelabah. Patutlah hatinya rasa tak sedap.
“Mami demam?” soal Zaim lantas melangkah mengekori pembantu rumah yang sudah bergerak menjejak anak tangga.
“Haah, dah dua hari tak sihat.”
“Papa mana?” soal Zaim lagi lantas kerling Tasneem di sebelah.
Kak Lili berhenti. Pandang Zaim hairan.
“Im tak tahu ke?”
Zaim menggeleng hairan.
“Dah banyak hari papa Im tak balik. Sejak hari Im tertinggal telefon lagi.”
Serta merta dada Zaim bergenang kuat. Pandang Tasneem. Wajah itu nampak pucat. Tentu Tasneem pun sama. Berdebar risau.
Memang Tasneem risau. Apa yang dah jadi sebenarnya. Dia memang dah lama tak melihat papa mentuanya. Ke mana lelaki itu pergi.
“Itu yang mami demam tu. Datin dah call papa Im tapi tak berjawab. Sampai PA papa pun call mami cakap papa tak masuk ofis.”
Hati Zaim cukup bimbang. Dengan resah dia cepat-cepat menjejak anak tangga. Hendak berjumpa dengan mami tetapi wanita itu yang lebih dulu keluar sambil membawa telefon.
“Im… Im….” Datin Hakimah tunjuk telefon. Tangan itu menggigil takut. Terus Zaim ambil dan tonton video yang telah dihidupkan oleh wanita itu. Kelihatan papa terkulai layu di sebuah dinding yang telah terbakar. Di depan lelaki itu ada unggun api yang marak menyala. Terus Zaim pejamkan mata.
Melihat Zaim yang pejamkan mata terus Tasneem ambil telefon. Turut melihat video yang masih berputar.
“Papa kena culik! ” ujar Zaim risau lalu kelam kabut ke sana ke mari.
Datin Hakimah mula menangis. Mendengar kata-kata Zaim wanita itu mula menyalahkan diri sendiri. Tetapi cepat-cepat Tasneem memujuk.
“Sejak bila lagi papa tak balik rumah, mami?” tanya Tasneem pula seraya menggosok tubuh itu memberi semangat.
“Sejak Im bergaduh dengan Yie.”
Mendengar saja nama itu hati Zaim kembali mendidih. Apatah lagi kepala teringat cerita Rafael.
“Mami… betul ke papa dah serahkan kompeni papa pada jantan tu?” soal Zaim serius dan Datin Hakimah menggeleng.
“Tak tahu. Mami tak tahu apa-apa pun?"
Kepala Zaim bercelaru dengan apa yang jadi sekarang. Entah kenapa dia syak Zufri yang buat kerja gila itu. Lagipun dia sedar hanya lelaki itu yang membencinya.
“Kalau Im tahu siapa orang jahat tu I'm tak agak-agak nak bunuh dia," ugut Zaim namun Tasneem menggeleng tak benarkan. Cuba meredakan kemarahan Zaim. Tetapi tak berjaya. Wajah suaminya itu tetap meruap dengan api geram.
“Mami dah report polis?” soal Zaim lantas tarik telefon di tangan Tasneem. Melihat nombor penghantar video. Tiada nombor.
Ah, siapa yang dah menculik papa?
Macam mana papa boleh kena culik. Orang tua diculik orang. Rasa tak munasabah. Lepas tu tak cakap apa-apa. Ah, masalah apa yang sedang berlaku sekarang. Hatinya menyesal kerana sudah lama tidak bertemu muka dengan papa. Gara-gara marahkan orang tua itu yang melebihkan Zufri hatinya cemburu. Hatinya benci. Lelaki itu hanyalah anak angkat tetapi kenapa dilayan bagaikan anak kandung.
“Kalau jadi apa-apa dekat papa macam mana. Papa kan ada darah tinggi.” Datin Hakimah tiba-tiba saja hamburkan tangisan. Tasneem sekali lagi memeluk. Tenangkan wanita itu.
Zaim mula kalut. Tak tahu hendak bergerak ke mana. Kalau ke pejabat belum tentu dia akan menemui papa. Kalau ke tapak projek, belum tentu lagi orang tua itu ada di situ. Lalu dia turun ke bawah menuju ke garaj kereta. Rasanya dia perlu mencari orang tuanya sebelum terjadi perkara yang lebih berat.
Datin Hakimah yang menyedari pantas mengekori. Walhal wanita itu sedang demam.
“Im… jangan bertindak terburu-buru,” pesan Datin Hakimah takut. Baru saja Zaim buka pintu, sebuah kereta masuk ke dalam. Berhenti di belakang ya. Terus mukanya merah membahang. Melihat kereta papa yang digunakan Zufri hati melonjak sakit.
“Kenapa mami?” soal Zufri kelam kabut sebaik keluar dari perut kereta. Mata lelaki itu memanah mata Zaim sepintas lalu.
Tasneem yang turut mengekori bergerak ke arah Zaim. Dia cuba menenangkan suaminya. Sementara Zufri pula meraih Datin Hakimah lalu memeluk mesra. Cuba menenangkan wanita itu.
“Masa mami call Yie… mami asyik menangis sampai Yie tak dengar apa yang mami nak cakap dekat Yie. Tell me now, mami,” suruh Zufri namun Datin Hakimah terus menangis.
Zaim di belakang mengetap gerahamnya. Memandang Zufri bagai mangsa. Dia menilik tubuh itu. Entah kenapa video yang dia lihat tadi mengingatkan dia akan satu tempat. Tetapi dia tak mahu berusaha untuk menggalinya. Dia takut dia yang akan lemah tak bermaya.
Tiba-tiba….
“Kau sebenarnya yang culik papa kan?” duga Zaim dan semua mata memandang Zaim. Tersentak mendengar ayat yang keluar dari mulut lelaki itu.
“Im cakap apa ni?” Datin Hakimah terkejut. Leraikan pelukan. Sungguh wanita itu tak menyangka Zaim boleh menuduh begitu. “Jangan melulu Im. Kenapa pula Yie nak culik ayah dia sendiri?” soal Datin Hakimah tak percaya. Tak percaya dengan tuduhan Zaim.
Tasneem hanya diamkan diri. Dia banyak mendengar dan simpan dalam kepala. Sementara Kak Lili di pintu utama menggeleng kesal.
Zaim tak jadi hendak masuk ke dalam kereta.
“Mami tak tahu apa-apa sebab tu mami tak pernah nak sebelahkan Im.”
Datin Hakimah menggeleng. Hatinya sakit kerana terpaksa meminggirkan anak sendiri. Zufri pula herotkan senyum. Dia ada orang yang boleh menyebelahi dia. Jadi dia tak takut.
“Dari dulu sampai sekarang kau masih nak tuduh aku. Tak berubah kan.” Zufri berbunyi. Hembus nafas kesal.
“Ya. Sebab kau dalangnya. Dalang memporak-perandakan hubungan orang,” sembur Zaim lantas menarik kolar baju Zufri. Tunjuk amarahnya namun Zufri hanya herotkan senyum jahat.
“Kau terancam?” uji Zufri dengan mata tajamnya.
Kali ini Zaim pula yang mendengus. Tetapi matanya tetap meliar di muka Zufri yang nampak tenang. Hatinya pantas sakit.
“Jangan nak putar alam. Aku yakin kau yang culik papa. Kau nak balas dendam dekat aku tapi kau libatkan papa.”
Zufri hamburkan gelak kuat sehingga Datin Hakimah naik hairan.
“Kenapa dengan kau ni. Papa dah bela aku sejak kecil. Aku hargai apa yang dia berikan pada aku. Kenapa kau tuduh aku macam-macam pula. Hari tu kau cakap aku sengaja masuk dalam rumah kau. Sekarang kau tuduh aku culik papa. Kau dah gila agaknya.”
Tak semena-mena sebuah tumbukan hinggap di muka Zufri. Datin Hakimah menjerit dan Tasneem menjauh. Melihat Zaim yang menggila dan Zufri yang membakar api kemarahan Zaim membuat dadanya berdegup takut. Sedang kedua-duanya saling berbalas tumbuhkan Kak Lili muncul membawa telefon.
“Datin….” Kak Lili unjuk telefon dan Datin Hakimah ambil. Tak sempat hendak menjawab talian putus. Pesanan pun masuk. Nasib kedua-dua lelaki itu sudah berhenti bergaduh.
“Im… orang tu suruh ke tempat ni. Tengok ni.” Datin Hakimah hulurkan telefon.
Zaim leraikan cengkaman lantas melihat alamat yang dihantar. Tetapi tiba-tiba saja matanya berpinar-pinar. Alamat itu membuat dunianya kelam tiba-tiba. Tak sangka dia jatuh ke bawah dan semua orang meraung memanggil namanya.
Hanya Zufri yang mengherot senyum puas hati.
***
“Aku tak buat. Aku tak buat. Aku tak buat.” Dua tiga kali ayat itu berulang di bibir Zaim. Datin Hakimah terus menangis. Melihat keadaan Zaim dia yakin, mimpi lalu kembali hadir.
Tak betah Tasneem melihat ketakutan suaminya lantas dia menggoncang tubuh itu.
“Abang, bangun bang!” panggil Tasneem dan sekelip mata Zaim bingkas bangun. Matanya ke sana ke mari mencari seseorang.
“Dia pergi mana?”
Datin Hakimah tunjuk pintu keluar. Barulah Zaim tahu Zufri sudah beredar.
“Dia pergi mana?” Tanya Zaim lagi.
“Yie nak pergi cari papa.”
Wajah Zaim pantas membahang.
“Betul ke mami?” soal Zaim. “Mami sedar tak dia dah lama buat jahat pada keluarga kita. Mami sedar ke, siapa saja yang dekat dengan Im akan dihabiskan.”
Datin Hakimah mengangguk.
Dia tahu. Amat tahu tetapi dia terpaksa menyembunyikan semuanya agar anaknya tidak diapa-apakan. Begitu juga dengan Kayla. Dia tahu keadaan mental lelaki itu. Sebab sayangkan nyawa semua orang lah Kayla juga diam. Sama sepertinya juga.
“Kalau mami dah tahu kenapa mami layan dia lebih dari Im? Kenapa?” soal Zaim dengan suara kuat dan pantas saja menggugurkan air mata Datin Hakimah dengan begitu banyaknya.
“Abang tenangkan diri,” pesan tasneem namun Zaim pantas berdiri. Tasneem tersentak. Terus bangun dan mengekori Zaim yang sudah melangkah.
“Abang nak pergi mana?” jerit Tasneem namun Zaim tak hiraukan. Bergerak ke kereta tanpa suara. Datin Hakimah yang keresahan di ruang tamu akhirnya mengekori juga.
“Jangan pergi Im,” halang Datin Hakimah yang sudah tahu ke mana arah tujuan anaknya.
Zaim yang membuka pintu kereta berhenti. Lantas berpaling.
“Kalau Im tak pergi siapa nak selamatkan papa?”
“Im kuat ke nak hadap semua tu?” jerit Datin Hakimah lantas tarik baju Zaim.
Hati Zaim sakit dengan tindakan wanita itu lantas hempas pintu kuat.
“Im akan kuat demi semua yang Im sayang."
Air mata Datin Hakimah pula semakin lebat bercucuran keluar. Akhirnya wanita itu jatuh terduduk.
“Abang… jangan bertindak melulu. Tas ta mahu kehilangan abang,” jerit Tasneem sedih dan hati Zaim patah dua. Terus dipautnya kepala itu dan berikan kucupan di dahi.
“Kalau abang tak balik-balik, Tas terus ke rumah ibu ya,” pesan Zaim lantas memandu keluar sehingga hilang dari pandangan. Perlahan-laban Tasneem jatuhkan lutut. Menyesal dengan apa yang berlaku. Pantas dipaut bahu mentuanya.
“Kenapa dengan Im? Kenapa dengan semua orang dalam rumah ni. Mami kena cakap dengan Tas supaya Tas boleh jaga Im sebaiknya," pinta Tasneem namun hanya dibalas tangisan Datin Hakimah. Dan… hati Tasneem hancur berkecai.
Share this novel