BAB 03

Family Series 39843

Tasneem pandang jam tangannya sebaik saja keluar dari kereta. Belum jam satu jadi dia terus keluar dari perut kereta dan melangkah laju masuk ke dalam restoran.

“Apahal kau ni. Orang tengah ramai, kau pula nak buat hal,” sergah Dahlia di kaunter sebaik saja Tasneem singgah di tempatnya.

Tasneem pandang sekeliling. Sekarang waktu makan tengahari. Memanglah ramai yang datang. Tambah-tambah lagi kedai mak usunya ini kedai kegemaran ramai. Satu-satunya kedai masakan kampung yang menjadi pilihan ramai. Dek kerana harga makanan yang murah dan tempat yang bersih. Pelanggan yang dah cuba tentu tak akan cari yang lain.

“Dia datang tak?” tanya Tasneem tak menghiraukan bebelan Dahlia. Matanya melilau mencari orang yang dinanti-nanti. Dahlia ketap bibir kemudian menyeringai benci.

“Kau ni dah terlekat badi ke apa. Tak pun dah kena sampuk dengan pontianak. Alih-alih nak buat kerja gila. Kalau mak usu tahu macam mana?” soal Dahlia geram.

Tasneem tunjuk muka merajuk.
“Aku nak kumpul pahala. Tak kan tak boleh? ” balas Tasneem masam.

“Hisy, minah ni. Tak ada kerja betul. Kau sanggup datang sini balik semata-mata nak memasak. Kau gila ke apa? Dari Gambang ke Kuantan. 45 minit tu," bebel Dahlia geram tapi
Tasneem boleh hamburkan tawa gembira.

“Aku kan dah start cuti semalam. Aku tak kerja. Aku pergi ofis aku pagi tadi pun sebab nak ambil barang-barang aku. Lagipun aku selalu ulang-alik dari sini ke sana. Macam lah kau tak tahu.”

“Ya, aku tahu. Tapi bukan kau nak balik bercuti kat kampung kau ke seminggu ni?”

Tasneem menggeleng.
“Tak jadi sebab hari Rabu nanti aku ada kursus. Nasib kat sini je. Kalau jauh tentu aku tak dapat nak tengok muka dia.”

Dahlia mencebik geram. Bila datang perangai Tasneem yang satu ni memang makhluk lain larilah. Nak tunjuk sisi baik konon. Padahal nak pikat anak jantan orang. Muka tak malu. Nasib baik bukan jenis penggoda. Kalau tak memang dah kena cap sebagai perempuan tak malu.

Mata Dahlia memandang ke arah luar restoran.
“Weh, weh. Dia datang, rezeki kau. Rezeki kau.”

Dada Tasneem terus berdebar kencang. Menoleh sekilas kemudian berlari ke dapur. Mengintai dari situ. Dengan debaran yang tak surut dia lihat lelaki itu menghampiri Dahlia.
Hari ini lelaki itu cukup segak dengan kemeja biru cair dan seluar slack hitam. Karisma lelaki itu terserlah semasa melangkah. Rayban hitam yang terselit di celah kolar baju yang berkancing pula menaikkan lagi aura jantan lelaki itu. Tasneem telan liurnya. Hati berdetak rasa yang dia sendiri sukar percaya. Lalu kepala menyuruh mulakan rancangan. Pantas kaki di arah ke bahagian barang-barang masakan. Capai apa yang sudah ada dalam kepala lantas bersedia.

Sementara di kaunter Zaim menyapa Dahlia.
“Betullah awak kerja kat sini. Baru perasan.” Zaim memulakan perbualan. Dahlia angguk mengiyakan.

“Nak makan kat luar ke atau kat tempat biasa?” soal Dahlia ramah.

“Hari ni kat sini je lah. Lagipun papa saya tak datang.”

Dahlia angguk.
“Menu?” tanya Dahlia lantas berikan sekeping kertas kecil. Zaim menulis dan berlalu ke meja makan di kaki lima restoran.

Itulah tempat lelaki itu makan tengah hari. Jika datang dengan Dato’ Zakri barulah kedua-duanya akan masuk ke bilik berhawa dingin yang perlu ditempah lebih dahulu.

Dahlia segera memanggil Syilla, pelayan yang baru sebulan bekerja. Menyuruh menyediakan makanan kepada lelaki itu. Padahal tengahari begini, restoran ini hanya membenarkan layan diri. Tetapi lelaki itu pelanggan tetap mak usu. Tambah-tambah lagi anak dato’. Manalah tak kena layan dengan baik.

“Aku hantar. Dia nak makan apa?” tanya Tasneem yang tiba-tiba muncul dengan muka yang sudah berpelitup. Buntang mata Dahlia. Tak percaya langsung. Tasneem sanggup jadi pelayan pula. Memang gadis itu benar-benar gila.

Terus Dahlia kuis Syilla. Menyuruh serahkan tugas kepada Tasneem. Wajah Syilla pula terus mencuka. Jeling tajam Tasneem lantas ke dapur. Tasneem pula kerutkan muka. Dia tak mesra dengan gadis itu kerana baru sekali dua jumpa. Tak sangka hari ini dah kena jeling tajam. Hatinya terasa.
Tasneem alihkan pandangan setelah menyedari dia tak perlu pun nak terasa hati dengan gadis itu.

“Hari ni dia nak makan kari kepala ikan, sayur campur dengan telur dadar. Hah, jangan lupa sambal lada,” pesan Dahlia dengan muka risau. Risau kalau-kalau Tasneem salah buat kerja.

Tasneem mengangguk ceria.
Segera ke kaunter makanan lantas ambil menu sebagaimana yang diarahkan Dahlia. Dengan tangan terketar-ketar bawa ke meja lelaki itu.
“Encik nak minum apa?” tanya Tasneem sebaik saja selesai menghidangkan makanan. Pantas Zaim dongakkan kepala. Separuh wajah pelayan di depan tak nampak. Tetapi mata itu macam pernah dia tengok.

“Air kosong saja.”
Tasneem angguk lantas segera mengambilkan minuman yang diminta. Bawa ke meja lelaki itu dengan segunung rasa suka.

“Encik nak apa-apa lagi?” soal Tasneem dengan debaran di dada. Zaim memandang pelik. Tak pernah pula pelayan lain ambil berat macam ni. Lantas digeleng tak mahu.

“Kalau encik nak tambah ke apa ke encik panggil saya ya.”

Zaim nak tergelak.
Adoi. Dia ingat aku ni laki dia ke. Dia ni pelayan baru agaknya? Hati Zaim mengagak lantas menggeleng tak faham.

Tasneem pula segera beredar ke dapur. Dia perlu siapkan masakan sebelum lelaki itu selesai makan.
“Dia dah nak balik ke?” tanya Tasneem di muka pintu dapur.

“Tengah basuh tangan.”
Tasneem makin berdebar. Dengan pantas membungkus makanan lantas ditinggalkan ke atas kaunter.
Zaim yang sudah selesai membasuh tangan mendekati Dahlia.

“Berapa?” soal Zaim dengan senyuman. Dahlia hulurkan kertas kira-kira dan Zaim membayar dengan tunai.

“Encik Zaim. Ini untuk encik.”
Dahlia hulurkan plastik yang berisi bekas plastik berwarna hitam yang bertudung putih.

“Siapa yang bagi?”

“Tak ada siapa pun. Just nak encik rasa dan kalau sedap… lain kali bolehlah order,” jelas Dahlia sambil matanya kerling Tasneem yang menyorok di belakang pintu. Jeling tajam gadis itu lantas ketap bibir. Geram dengan perangai hantu Tasneem.

Zaim pula terangguk-angguk faham.
“Okay. saya cuba.”
Usai mengucapkan terima kasih Zaim terus beredar dan Tasneem pula pantas mendekati Dahlia.

“Kenapa kau tak cakap aku yang bagi.”

Dahlia tunjuk gigi. Menyeringai tanpa suara.
“Daripada aku yang cakap baik kau yang bagi sendiri.”

Pantas Tasneem tekup mukanya. Menggeleng malu.
Malulah konon.

“Kau ni dah gila ek. Aku tak pernah lagi tengok kau macam ni. Macam tak cukup ubat. Kau jangan gila lagi boleh tak. Aku tak sanggup nak mengintai kau dari luar pagar.” Sedas Dahlia bagi. Biar Tasneem tahu yang kes gadis itu sudah berat. Gila bayang.

Tasneem telan liurnya. Malu.
“Nampak sangat ke?”

“Ya. Akan nampak makin murah bila kau show off walaupun depan aku je. Sepatutnya kau rahsiakan. Biar aku tak tahu,” bebel Dahlia dan Tasneem garu kepalanya yang tak gatal.

Jatuh hati punya pasal dia dah lupa sifat malu. Tapi itukan Dahlia. Mereka dah kawan sejak kecil lagi. Dia memang tak malu pun dengan Dahlia.

“Kalaupun aku baik dengan kau sekalipun janganlah tak cover langsung.”

Pantas Tasneem merayap mukanya.
“Bawa mengucap ya. Kau kan perempuan melayu terakhir. Jangan sebab lelaki kau berubah jadi hantu.” Lagi Dahlia menasihati dan hati Tasneem beristighfar panjang.

Ibu tak pernah ajar dia buat kerja gila macam ni. Kenapalah dia nak malukan muka sendiri. Hatinya kesal.

“Kau ni kan, nasib baik tak menggoda depan-depan. Kalau tidak aku tak mengaku kau kawan aku. Sumpah aku langgar kau kat tengah jalan.”

Tawa Tasneem tiba-tiba tersembur keluar.
“Macamlah kau pandai drive.”

Dan akhirnya Dahlia turut ketawa kerana sedar sudah salah menyumpah. Melihat kegembiraan Dahlia Tasneem berjanji. Suka macam mana sekalipun dekat seseorang dia tak boleh jatuhkan martabat sendiri. Dia perlu menjadi perempuan melayu yang terbaik.
Itu janjinya.

Tanpa dia sedari, dirinya menjadi perhatian seorang gadis di ruang dapur. Syilla merenung tajam.

Hehe.. jenis berani tak bertempat si Tasneem ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience