Sakitnya hati bila neneknya ada di rumah. Ingatkan cuti hari minggunya akan tenang. Namun berserabut bila orang tua itu ada bersama. Asyik mendengar mulut itu bertanyakan papa. Bila nak masuk meminang Kak Neldhia.
Sungguh Kayla serabut. Lalu dia ambil peluang duduk saja di asrama. Tambahan pula tinggal beberapa minggu lagi peperiksaan semester akan berlangsung. Jadi Kayla ambil peluang belajar bersama rakan-rakan di kolej kediaman. Hati tenang jiwa tak kacau. Tapi tak sangka pula petang Khamis macam ni mami menghubungi. Katanya nak hantar pemandu datang ambil. Kalau dah pemandu yang datang sah-sah neneknya akan datang sama. Konon-konon nak tengok pemandangan. Padahal nak menghendap. Ya lah, takut cucunya cari kekasih yang miskin.
Tiba-tiba Kayla teringat akan pesanan orang tua itu suatu waktu dulu. Ketika dia baru saja menerima tawaran ke matrikulasi.
‘Jangan nak menggatal. Belajar rajin-rajin lepas tu kerja dulu. Bila dah kerja bolehlah nak cari kekasih. Dan… kalau boleh cari yang berharta. Jangan jadi macam kakak kamu tu. Kahwin dengan entah siapa-siapa. Kahwin dengan orang luar negara konon tapi miskin.’
Kayla menggeleng kesal.
Neneknya dah macam Nyonya Mansur dalam filem Ibu Mertuaku. Memilih betul. Masa neneknya pesan begitu dia langsung tak terfikir nak cari kekasih. Dia tak ada rasa pun nak bercinta. Ini yang hatinya rasa nak buat kerja gila ni. Nak mencabar neneknya.
Telefon berdering nyaring dan pantas mematikan khayalannya.
“Kay, mami nak Kay balik. Mami suruh abang Jairas pergi jemput.”
“Tak naklah. Suruh abang Im je datang ambil,” putus Kayla lemah sebaik suara mami ke udara.
“Eloklah. Abang Im ada kat Gambang tu. Jumpa klien. Nanti dah siap abang pergi ambil.” Datin Hakimah bercerita ceria lantas hentikan perbualan.
Kayla mendengus tak suka. Adalah tu benda yang nak dibuat dekat rumah. Sebab itulah mami beria sangat suruh balik.
“Dah setel.” Marsya bertanya. Sedari lagi tengok muka Kayla macam cekodok basi. Terus Kayla mendengus lagi.
“Aku malas nak balik tau. Tapi mami aku tu beria-ia benar suruh aku balik. Tak sukalah,” omel Kayla lantas menapak keluar dari surau. Hajatnya lepas lepak dekat surau hendak duduk santai-santai dekat tasek tapi tak dapat pula. Kenalah dia tunggu abangnya datang ambil.
“Balik je lah Kay. Berdosa tau langgar arahan orang tua.”
“Ya, aku tahu. Cuma aku tak suka nenek aku tu je. Ingatkan dah balik. Ada lagi rupanya."
Marsya menggeleng lucu.
“Nenek kau tu bukannya orang luar.” Gadis itu cuba memujuk namun Kayla tetap tak makan saman.
“Kau nak balik dah ke?” tanya Kayla lemah. “Aku nak minum dulu kat cafe. Jomlah teman aku.” Terus ditariknya tangan Marsya lantas melangkah laju ke arah cafe yang tidaklah jauh dari bangunan HEP.
Cari meja yang berdekatan dengan dinding cermin. Senang nak melihat abangnya. Kalau abangnya dah sampai bolehlah dia naik kereta balik ke asrama dulu. Tak penat sikit.
Baru saja duduk matanya melihat sebuah kereta yang sudah sebati dengan kepalanya. Kereta Myvi ungu itu berhenti di hadapan cafe. Keluar seorang gadis berbaju batik biru muda dan bertudung bawal kelabu. Gadis itu betulkan tudung lantas tarik jaket jabatan dan sarungkan ke tubuh.
Kayla senyum. Mungkin suasana di luar yang mendung dan sesekali dihiasi hujan rintik-rintik menyebabkan gadis itu membalut tubuh dengan jaket tersebut.
Kayla menanti dengan sabar. Mahu menyapa gadis itu. Namun hajatnya tak kesampaian. Gadis tersebut tiba-tiba tergesa-gesa masuk ke dalam kereta dan mengundur dengan cepat. Dia terhendap-hendap mahu tahu sebab apa dan ketika itulah Nissan GT-R abangnya muncul.
Hati pun berlayar kecewa.
***
“Jomlah balik!” ajak Zaim melalui telefon. Kayla pantas putuskan talian dan ajak Marsya keluar. Kopi hazelnut sejuk yang tinggal separuh dibawa masuk ke dalam.
“Habiskan kat luar!” suruh Zaim tegas. Wajah Kayla berubah geram.
Marsya di sebelah terkebil-kebil memandang. Tentu kepala gadis itu sudah boleh membaca perangai abang Kayla.
“Kedekut.” Kayla bagi sebiji sebaik saja kopi sudah habis dan Marsya tolong buangkan ke dalam tong sampah. “Kalau kau nak tahu inilah makhluk taik hidung paling masin kat atas dunia ni,” kutuk Kayla geram.
Marsya hanya mampu senyum. Itupun tawar. Rasa malu apabila melihat kawan baiknya mengutuk abang sendiri.
“Taik-taik hidung ni jangan duk sebut sangat. Kan abang bagi baru Kay tahu.”
Kayla mencebik.
“Ya lah, kalau Kak Nel tu makan kat dalam kereta boleh pula.”
“Ha, itu fitnah. Kak Nel tak pernah makan sebab dia memang tahu abang tak suka sesiapa pun makan dalam kereta. Kotor kereta abang memang nangislah orang tu nanti.”
Kayla jelir lidah pula. Marsya yang duduk di belakang garu kepala tak gatal melihat pertengkaran mulut di antara dua beradik. Terasa macam berada dalam rumah sendiri. Dengar abangnya membebel.
“Ni, nak balik asrama dulu ke macam mana?” soal Zaim sambil melihat Marsya yang sudah dikenali sejak mula-mula Kayla mendaftar di kolej ini. Melalui cermin dia lihat gadis itu menggangguk segan.
“Kita hantar Marsya. Lagipun Kay nak ambil laptop kat bilik,” balas Kayla lantas berpaling ke belakang. Marsya angguk malu. Zaim pula terus masukkan gear dan bergerak ke kawasan asrama Kayla.
Kerling adiknya. Kayla yang masam tiba-tiba mengiring dan pandangnya dengan muka manis.
“Masa abang sampai tadi abang ada nampak tak kereta kakak tu.”
Dahi Zaim berkerut. Sambil tengok jalan dia kerling adiknya.
“Kakak mana pula ni Kay.”
“Kakak yang kerja dekat restoran yang kita makan hari tu. Kakak yang terlanggar Kay. Ingat tak?”
“Tasneem?”
Bibir Kayla melebar dengan senyuman teruja.
“Nama kakak tu Tasneem ke? Abang panggil kakak tu cik susu kotak. Ingat tak?”
“Betullah tu. Tasneem nama dia. Kenapa?”
“Tadi Kay nampak dia kat sini. Dia kerja kat sini ke?”
Tiba-tiba Zaim hamburkan tawa lucu.
“Betullah tu kut. Sebab dia bukan saja tukang ambil order kat kedai. Cuci pejabat pun dia buat juga.”
Muka Kayla berkerut. Terzahir rasa tak percaya. Tak mungkin cleaner pakai batik siap dengan jaket jabatan. Dia biasanya tengok cleaner kat sini pakai uniform pembersihan. Lagipun dia kenal jaket yang disarungkan kakak itu tadi. Setiap pensyarah di sini memiliki jaket tersebut. Yang membezakan mereka hanyalah nama jabatan sahaja.
“Tak mungkinlah.” Kayla menggeleng sambil tunjuk muka tak percaya.
“Kenapa pula tak mungkin. Berapalah sangat kerja kat kedai makan tu. Mungkin dia buat kerja lebih masa.”
Kayla memang tak percaya. Terus dia fikir lama.
“Tapi kan dia kerja dekat kedai kat Kuantan. Apahal pula nak jadi tukang cuci sampai jauh macam ni. Abang tak fikir ke?"
Betul juga cakap Kayla.
“Boleh jadi dia tukang cuci area sini. Lagipun abang jarang sekali nampak dia kat kedai.”
Nak percaya rasa tak munasabah. Kayla masih nak fikir perihal gadis itu.
“Tak payahlah Kay fikir fasal dia. Dia sendiri yang cakap dengan abang. Malam-malam pun dia kerja. Cod makanan. Kalau Kay rasa nak makan makanan kat kedai dia call jelah dia. Nanti ambil nombor dengan abang.”
Terus mata Kayla membulat. Peluangnya untuk mengetahui siapa sebenarnya kakak yang bernama Tasneem itu nampaknya sudah terbuka. Dia harap tekaannya betul.
Hahaaa... Nasib Kayla tak macam Zaim.
Share this novel