BAB 57

Drama Completed 84621

Subuh hari minggu.
Tasneem tersedar dari tidur. Pandang kiri kanan. Seperti dulu Zaim tiada di sisi. Selama menikah lelaki itu belum lagi tidur di sebelahnya. Hati berhempas kecewa.

Teringat kata-kata lelaki itu semalam. Mampukah dia galas tanggungjawab tanpa perasaan. Apakah lelaki itu sedang menunjukkan kepadanya. Bagaimana hendak tidur bersama kalau tiada rasa. Dia pula? Mampukah menatap wajah itu pagi-pagi kalau tiada cinta. Mungkin kerana itulah Zaim larikan diri. Menjauh agar tiada persengketaan.

Lalu dia bangkit dari pembaringan. Bersihkan diri dan tunaikan solat. Di akhir sujud dia meminta pada Yang Esa agar mengatur jalan hidupnya dengan baik.

Keluar dari bilik lantas buat apa yang sepatutnya seorang menantu perlu buat. Pagi ini tiada sarapan seperti selalu kerana mami dan papa di jemput bersarapan di rumah rakan mereka. Lalu hanya tinggal dia dan Kayla sahaja. Gadis itu tak turun ke bawah. Mungkin masih tidur atau bermain telefon. Lantas Tasneem pandang bilik tetamu. Nik Salimah pun belum keluar juga.

Di meja makan, Tasneem pandang kosong suasana dalam rumah. Tiada seri walaupun ramai penguji. Hati pantas menyesali apa yang telah dia buat.

Wajah Zaim tak kelihatan sehingga sekarang. Apakah lelaki itu merajuk? Apakah lelaki itu pula yang membencinya. Dia cuba mencari jawapan namun tak berjumpa kerana dia tak mampu membaca isi hati lelaki itu. Antara mereka tiada cinta dan akhirnya dia yang kesal tak sudah.

Deringan telefon bimbit Dato’ Zakri mematikan khayalan Tasneem dan dia pandang mentuanya yang sedang melangkah turun bersama Datin Hakimah. Di belakang pasangan suami isteri itu Kayla pun sama. Sedang menjejak anak tangga turjn ke bawah. Gadis itu tak lepas dengan telefonnya.

Dato’ Zakri berhenti seketika di ruang tamu. Menjawab panggilan telefon.

“Papa sihat. Alhamdulillah. Yie?” Pantas mata Dato’ Zakri yang bercahaya mulai malap. Kerling Tasneem sekilas lantas bawa diri ke laman rumah. Entah berbual dengan siapa Tasneem tak tahu. Lantas dia sambut mesra Datin Hakimah yang menghampirinya. Wanita itu berikan senyuman dan usap bahunya mesra. Baru saja labuhkan punggung Nik Salimah tiba-tiba muncul dari bilik tetamu.

“Buat air kopi hitam untuk nenek. Bawa biskut kosong jugak.” Tak sangka wanita itu menyuruh mesra lantas duduk di depan Tasneem. Terpisat-pisat Tasneem memandang. Bukan tidak faham arahan tetapi pelik dengan sikap nenek mentuanya. Ramah betul pagi ini.

“Biar mami yang buat, Tas.” Datin Hakimah hendak melangkah ke dapur namun Tasneem tak berlengah.

“Tak apa mami. Tas buat.” Terus dia bergerak dan membiarkan anak beranak itu saling berbual.

Nik Salimah alihkan pandangan. Tengok ke arah Dato’ Zakri.

“Cakap dengan siapa tu?” soal Nik Salimah mahu tahu. Mata tak lepas memandang menantunya.

“Zufri, mak. Rasanya nak confirmkan tarikh dengan papa dia. Jadi ke tak nak balik sini.”

Kayla yang baru labuhkan punggung ke atas sofa ruang tamu tersentak. Mendengar saja cerita maminya terus dia bangkit dengan cepat lantas mendapatkan wanita itu.

“Apa mami? Mami cakap apa?” Dua kali dalam masa yang sama soalan diulang hingga Datin Hakimah pula yang kerutkan muka geram. Geram dengan telinga Kayla yang tak peka.

“Agaknya Zufri jadi nak balik," jawab Datin Hakimah dalam senyuman.

Terus muka Kayla berubah. Hati itu berdetak takut. Pantas menghendap melihat papanya yang masih lagi berbual. Hati memang tak sedap rasa. Ketika itulah Tasneem keluar membawa pesanan neneknya.

Kayla pantas bangun dan bergerak ke ruang tamu. Tangannya ligat mendail nombor abangnya Zaim. Namun kecewa. Tidak berjawab.

Dalam keadaan resah itu, Dato’ Zakri pun masuk semula ke dalam. Hampirj meja makan.

“Kim, kita makan kat rumahlah. Masak apa yang ada. Sambut Zufri. Dia dah sampai airport tu. Abang dah suruh Jai pergi ambil.”
Terkejut semua orang mendengar cerita Dato’ Zakri. Hanya Tasneem yang terkebil-kebil tak faham apa-apa.

***

“Bertuah punya cucu. Balik tak cakap sepatah. Hari ni baru call papa cakap dah sampai.” Nik Salimah tepuk bahu Zufri yang baru selesai melepaskan pelukan Dato’ Zakri.

Zufri paut bahu tua itu dan sunggingkan senyuman manis. Betulkan cermin mata kemudian peluk orang tua itu pula.

“Lain kali jangan buat macam ni. Tak pasal-pasal mati terkejut semua orang,” bebel Nik Salimah dalam suara lembut. Zufri mengangguk. Tatap wajah tua itu. Masih sama macam dulu. Muka lembut tapi awas dengan ayat yang keluar. Tapi dia dah biasa.

Kali ini mata itu singgah pada wajah semua orang. Sebaik tiba pada muka Kayla, Zufri mendekat. Wajah itu nampak ketat. Malah sempat memberi jelingan tajam.

Zufri tarik pipi Kayla.

“Sampai hati Kay sambut abang dengan muka ketat macam ni,” sapa Zufri lantas kacau rambut Kayla yang rapi.

Pantas Kayla berikan jelingan namun tetap menyambut tangan itu dan kucup hambar. Kemudian jeling benci sekali lahi.

Zufri tak ambil kisah.
Kali ini peluk mami pula. Wanita itu usap rambutnya dan bibir itu terus mendoakan semoga anak muda di depan akan terus berjaya.

“Jomlah kita sarapan dulu,” ajak Datin Hakimah. Sebaik sampai di meja, Tasneem keluar menghidangkan makanan.

Zufri picingkan mata.
“Erk, isteri Im?” soal Zufri lantas tilik muka cantik itu begitu lama.

Tasneem pun sama. Picingkan mata. Lama dia menatap. Mencari-cari wajah itu di setiap ruang memorinya. Wajah itu seakan pernah dia lihat namun dia tak ingat. Cermin mata yang melekat di wajah itu amat kena dengan bentuk muka lelaki itu. Nampak educated. Tapi... dia langsung tak nampak bayang.

Nik Salimah yang menyedari pandangan Tasneem pantas mendekat.

“Haah, ini isteri Im.” Nik Salimah usap lengan Tasneem. Terkejut sungguh Tasneem dengan cara orang tua itu. Memang ramah betul hari ini sehingga mengundang takut pula.

Zufri beri senyuman apabila tekaannya betul. Pantas dia pusingkan badan. Melangkah ke arah bagasi yang ada di ruang tamu. Datang semula dan hulurkan kotak sebesar tapak tangan kepada Tasneem.

“Congrats. Selamat menjadi ahli keluarga Dato’ Zakri. I hope you'll never leave us. Just stay here forever.”

“Bila dia dah jadi isteri aku tak semestinya dia kena tinggal kat sini. Up to me where I should keep her.”

Entah bila Zaim muncul di belakang. Mukanya serius memanah mata Zufri dan semua orang memandangnya dengan kesal.

Tasneem pula terpisat-pisat tak faham.
“Yeah, I know. But she is mami’s daughter in law. Just stay here. Be a happy family.”

Zufri herotkan senyum namun Zaim balas dengan renungan tajam. Seakan membakar seluruh tubuh itu.

Zufri masih tunjuk mesra.

“Kau janganlah marah. Aku baru je sampai. Kau dah nak berapi kenapa?” Zufri terus menerpa Zaim lantas dipeluknya erat. Namun Zaim tak membalas. Dia biarkan lelaki itu memeluknya. Menunjukkan kasih sayang yang entah betul entahkan tidak. Semua orang tidak tahu. Hanya Zaim yang tahu.

“Dahlah semua. Jom sarapan dulu. Kita orang tak makan lagi ni. Tunggu Yie sampai dulu.” Datin Hakimah mempelawa dan semua orang mengambil tempat masing-masing.

Zaim ketap bibirnya. Melihat Tasneem yang maniskan muka hendak bergerak ke meja pantas dia melangkah. Capai tangan kiri Tasneem lalu genggam erat.

Terkebil-kebil Tasneem memandang tak faham. Mukanya berkerut minta dilepaskan namun, Zaim diam sahaja. Bawa Tasneem duduk di sebelah. Dan tangan itu terus menggenggam tangannya. Malah mata itu tak lepas memerhati gerak-geri Zufri.

Dan saat itu… Tasneem mula sedar. Ada sesuatu yang tak kena di antara Zaim dengan lelaki yang baru tiba itu. Apatah lagi tangan Zaim sudah berpeluh menzahirkan resah yang tak sudah.

Ada sesuatu yang dia tak tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience