BAB 42

Family Series 39843

Nadiah hampir terjelepuk ke atas lantai. Nasib baik adiknya, Mak Usu Tini sambar tubuhnya. Perlahan-lahan bawa duduk ke atas sofa.

Mendengar cerita yang dikisahkan Tasneem hati seorang ibu hancur berkecai. Haji Borhan yang baru saja hendak duduk segera berdiri di tingkap. Pegang birai tingkap dan cengkam dengan kuat. Anak dara Nadiah yang telah dianggap seperti anak sendiri telah menconteng arang ke muka mereka. Hati tuanya juga turut patah dua.

“Kenapa sampai boleh jadi macam ni. Kenapa Neem. Kenapa?" jerit Nadiah tak percaya.

Anak yang cerdik dan terpelajar itu dah macam orang tak sekolah. Macam tak ada didikan agama. Padahal dia didik Tasneem dengan kedua-dua tangannya. Walaupun tanpa ayah kandung gadis itu dan hanya menumpang kasih Haji Borhan sahaja. Tasneem berjaya menjadi anak yang hebat. Namun kejadian yang menimpa ini menunjukkan dia yang lemah. Sebagai ibu, dia yang salah.

“Ibu, Neem tak tahu macam mana boleh jadi macam tu. Mereka perangkap Neem, bu. Perangkap Neem.” Tasneem merapati mahu memeluk ibunya. Nadiah pantas mengelak. Terus Tasneem terasa hati.

“Kotor sangat ke Neem ni ibu sampai ibu lari macam tu sekali?” soal Tasneem pedih. “Kalau ibu rasa Neem kotor, Neem akan keluar dari rumah ini. Tapi… Neem tak salah bu. Neem tak tahu apa-apa.” Tasneem membela diri. Di depan ibunya sekarang dia mampu berkata-kata. Tetapi ketika di balai dulu dia tak boleh buat apa. Mungkin kerana wanita di depannya ini ibu kandungnya. Kalau kepercayaan seorang ibu sudah hilang hidupnya tidak akan lagi berkat.

Haji Borhan yang sedari tadi mendengar mula mendekati isterinya. Hati tuanya percaya dengan kejujuran Tasneem.

“Jangan hukum Neem. Neem dah cakap dia tak tahu apa-apa.” Haji Borhan memujuk isterinya. Sekaligus memujuk diri sendiri. Dia sebagai ketua keluarga perlu menyelesaikan segala masalah sebaiknya.

“Hati Nad hancur abang. Sepatutnya dari awal lagi dia tak pergi ke rumah jantan tu. Kenapa dia yang kena pergi. Kenapa?” Nadiah hamburkan sakit hati lantas bangun hendak melarikan diri namun Tasneem merangkak lantas paut betisnya.

“Neem tahu Neem salah. Neem tak fikir panjang. Maafkan Neem ibu. Jangan seksa Neem macam ni. Neem tak boleh kalau Neem tak tengok muka ibu. Neem tak boleh kalau Neem tak tengok ibu senyum. Tolong, ibu. Tolong! Jangan seksa Neem macam ni,” rintih Tasneem dalam linangan air mata.

Hati Nadiah tak mampu menipu. Dia geram. Dia sakit hati dengan apa yang telah berlaku. Namun dia bukan hendak menjauhkan diri daripada Tasneem. Dia sekadar mahu menyorokkan diri seketika. Biar tenang gelodak hatinya.

“Kak Nad, semuanya berlaku sekelip mata. Jangan larikan diri. Terima semuanya dengan sabar.” Mak Usu Tini memujuk dan Dahlia merapati Tasneem. Turut ada mengusap belakang sahabatnya. Haji Borhan juga merapati.

“Abang percaya, ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Terima dengan reda,” pesan Haji Borhan. Namun hati Nadiah masih berapi. Tak mampu menerima hakikat anak daranya mencemar air mukanya. Dia tidak tahu sejauh mana berita ini tersebar. Berharap sangat jiran-jiran sebelah tidak tahu.

“Siapa lelaki tu? Kenapa dia tak datang minta maaf dengan ibu? Kenapa dia tak datang berterus terang. Bagitahu yang anak ibu tak salah.” Dalam keadaan membelakangi Nadiah bersuara.

Tasneem menggeleng tak mahu.
“Tak perlu bu. Neem tak sanggup nak tengok muka dia.”

Bila ibunya mengungkit tentang Zaim pantas saja dia teringat perlakuan lelaki itu. Dia jadi benci dengan diri sendiri.

“Jangan cakap pasal dia.”
Darah Nadiah makin mendidih. Geram apabila pertanyaannya tidak dijawab dengan betul.

“Kenapa?” jerkah Nadiah lantas berpaling dan ketika itulah kedengaran enjin kereta di luar rumah. Semua orang terkejut.
Siapa yang datang?

***

“Abang! Betul ke apa yang kita buat ni?” soal Datin Hakimah keliru. Di dalam kereta dadanya berdebar kencang. Mata pula melilau melihat suasana rumah papan di depan mata.

“Im yang suruh. Im yang buat keputusan. Dia dah setuju nak kahwin dengan Tasneem. Lagipun dia sendiri yang ajak Tasneem kahwin. Kita kena ikut. Abang yakin, pilihan kita tepat.”

“Tapi bang… Tasneem tak bagi jawapan. Pulak tu kita datang mengejut macam ni. Tak ke salah cara kita. Datang tak beritahu. Entah-entah dia orang tengah berperang. Tasneem tak tahu ni bang. Kita datang nak sarung cincin.”

Dato’ Zakri matikan enjin kereta.

“Insya Allah, semuanya akan berjalan dengan lancar. Abang dah deal dengan Tini. Tapi kan… lainlah kalau Kim tak suka menantu tak kerja.”

Pantas tangan Datin Hakimah naik menepuk paha suaminya.

“Kim tak kisah. Lagipun, Kim memang suka dengan Tasneem dari dulu lagi.”
Dato’ Zakri ukir senyum. Sama juga dengannya. Lalu dengan ucapan bismillah dia keluar dari kereta dengan harapan orang di dalam sana tidak akan menolak kedatangannya.

***

Siapa yang datang tu, Tini?” soal Nadiah risau. Apatah lagi melihat kereta berjenama mewah diparkir betul-betul di tepi pokok limau kasturi. Buat masa sekarang hati tak dapat nak menerima tetamu yang datang.

“Dato’ Zakri, Kak Nad.”

Buntang mata Tasneem mendengar nama itu. Pantas dia panah mata emak saudaranya.

“Mak usu buat apa ni?” soal Tasneem tak faham. Lantas berikan renungan tajam. Mak Usu Tini hembus nafas panjang. Takut hendak berterus-terang namun dia perlu jernihkan keadaan.

“Mak Usu bagi greenlight dekat dato’ suruh masuk meminang Neem.”

Terkejut semua orang yang ada di atas rumah. Menggigil tubuh Tasneem nak marah dengan cerita emak saudaranya.

“Mak Usu!” jerit Tasneem. “Kan Neem dah cakap. Neem tak akan kahwin dengan jantan tu. Neem tak nak,” jerit Tasneem lantas masuk ke dalam bilik. Nadiah pula hela nafas kesal.

“Entahlah bang. Apa nak jadi sekarang ni Nad tak tahu. Abang buatlah keputusan abang. Nad tak mahu masuk campur. Nad tak mampu nak pandang muka orang yang dah jatuhkan harga diri anak Nad.”

Habis berkata Nadiah turun ke dapur membawa hati yang pecah berderai. Dia tak mahu ambil tahu. Apa yang dia rasa sekarang ini lagi menyakitkan.

Sementara di dalam bilik, Tasneem menangis semahu hati. Janganlah abah buat keputusan menyalahi hatinya. Dia sudah berjanji dengan Neldhia tidak akan menikahi Zaim. Dia tak akan lukakan hati gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience