BAB 71

Drama Completed 84621

Fajar sadiq mula menyinsing tetapi semua orang masih belum tidur. Semalaman mereka berjaga memantau keadaan Dato’ Zakri yang masih tak sedarkan diri. Datin Hakimah menangis teresak-esak di luar pintu wad penjagaan rapi. Ditenangkan Kayla yang setia menunggu.

Nik Salimah pula mundar-mandir di luar wad. Hati tuanya cukup kesal dengan apa yang telah terjadi. Langsung tak menduga menantunya diracun oleh pemandu yang diharapkan. Orang yang mengarah pula cucu angkat yang dikagumi.

Lalu, di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands ini semua orang menzahirkan ketakutan. Amat takut andainya lelaki yang menjadi ketua keluarga akan pergi dan tak kembali lagi.

Sementara Tasneem pula berada di wad biasa. Menunggu Zaim yang baru terlena selepas dirawat. Kecederaan suaminya itu juga serius namun masih ada harapan untuk sembuh. Saat Zaim sudah di alam mimpi dia keluar menuju ke surau. Menghadap Tuhan yang Esa agar sifat kebergantungannya tidak akan hilang. Dia mencari kekuatan di balik doa. Berharap Tuhan makbulkan permintaannya. Dia hanya mahukan rahsia yang baru dia tahu akan terbongkar seluasnya agar kebahagiaan terus berpanjangan. Dia amat berharap sinar mentari yang baru dirasai akan terus memancar indah.

Usai menunaikan kewajipan, dia menuju ke unit rawatan rapi. Sebaik sampai, Nik Salimah pantas memeluknya. Begitu erat dan barulah Tasneem merasai kasih sayang dari orang tua. Sebaik dileraikan Nik Salimah tak jemu meminta maaf.

“Nenek bersalah,” ucap Nik Salimah kesal dan Tasneem menggeleng dalam senyuman.

“Yang dah lepas kita buang jauh ya nek. Tas tak pernah dendam dengan nenek. Tas pun tak marah sebab Tas anggap nenek ambil berat akan Im. Sebab tu nenek banyak berleter, kan.”

Nik Salimah mengangguk seraya menangis. Pantas Tasneem sapu air mata itu. Pandang wajah mami mentuanya pula yang merah dan sebab. Lalu dia bergerak mendekati.

“Sabar, mami!” pujuk Tasneem lalu peluk wanita itu. Datin Hakimah yang sudah berhenti menangis kembali menghamburkan air mata.

“Macam mana kalau papa tak sedar, Tas?” soal Datin Hakimah dalam esakan. Tasneem usap bahu itu. Memujuk lembut

“Insha Allah, papa kuat. Tas tahu papa akan bangun juga. Kalau tak hari ini, mungkin esok,” pujuk Tasneem lantas leraikan pelukan dan sapu air mata di pipi mami mentuanya. Datin Hakimah cukup berbesar hati. Menantunya amat tabah.

“Im macam mana?” tanya Datin Hakimah risau sebaik sedar Tasneem singgah ke mari.

“Abang okay. Dia tengah tidur. Itu yang Tas datang sini,” balas Tasneem dan tenung mata Datin Hakimah sayu.

Wanita itu syak Tasneem nak cakap sesuatu.

“Kenapa Tas?” soal Datin Hakimah takut. “Ada apa lagi yang mami tak tahu?”

Terus saja Tasneem menekur ke bawah. Serasa air matanya hampir luruh. Masih ada perkara yang belum selesai dan dia tidak menghebohkan pada sesiapa pun.

“Cakaplah,” gesa Datin Hakimah tak sabar. Perlahan-lahan Tasneem tarik tangan wanita itu dan usap berulang kali.

“Tas nak tinggalkan Abang Im sekejap. Tas nak pergi balai.”

Buntang mata Datin Hakimah tak menyangka.
“Kenapa. Bukan tadi polis dah datang siasat ke?” soal wanita itu cemas.

Tasneem angguk. Memang tadi polis sudah datang mengambil keterangan. Tetapi kali ini dia hendak pergi mendapatkan kepastian. Benarkah orang yang sedang ditahan di dalam lokap itu adiknya. Adik yang diingatkan sudah meninggal dunia.

“Mami tak izinkan. Tas nak pergi seorang diri. Kalau jadi apa-apa?” Datin Hakimah tak membenarkan namun Kayla mendekat.

“Kak Tas pergilah. Insha Allah, Kak Tas boleh jaga diri.” Kayla memihak. “Biar Kay yang jaga Abang Im,” ujar Kayla lagi dan Tasneem angguk lega. Namun hati Datin Hakimah tetap tak tenang. Nik Salimah pun sama.

“Nenek risau. Tas nak pergi buat apa. Tunggu Im sembuh dulu, baru pergi.” Seperti selalu orang tua itu tak akan duduk diam dan Tasneem sudah maklum.


“Tas akan jaga diri. Lagipun ada perkara yang Tas perlu buat. Tolong mami, nenek!’ pinta Tasneem bersungguh.

Datin Hakimah berfikir panjang.
“Bila dah selesai Tas akan ceritakan dekat mami,” janji Tasneem dan akhrinya kedua-dua wanita itu mengangguk setuju.

Dengan dada yang berdebar-debar Tasneem kembali ke wad Zaim.
Raih tangan itu lalu kucup mesra.

“Maafkan Tas, abang. Tas terpaksa. Jangan marah Tas kalau abang bangun Tas tak ada kat sisi abang,” ucap Tasneem lalu perlahan-lahan keluar dari hospital menuju ke balai polis. Dalam hati panjatkan doa agar semuanya akan cepat selesai.

***

Nadiah menanti di luar balai polis dengan dada yang berdebar-debar. Sedari Tasneem menghubungi bertanyakan tentang nama penuh anak lelakinya serta alamat tempat lelaki itu lahir dia sudah tak mampu bernafas dengan betul. Walaupun Tasneem belum menceritakan hal sebenar dia sudah dapat mengagak ada sesuatu yang besar bakal diketahui.
“Ibu!”
Seseorang memanggil. Pantas dipanggungnya kepala. Kelihatan Tasneem tergesa-gesa melangkah menghampiri. Anaknya itu terus memeluk erat lantas hamburkan air mata selepas saling bertanya khabar.

“Kenapa Neem suruh ibu datang sini?” tanya Nadiah sebaik leraikan pelukan dan matanya memandang sekeliling.

Ini adalah tanah tinggi yang sudah lama ditinggalkan. Malah, tidak lagi menjadi pilihannya untuk bercuti. Dia tidak menyangka sama sekali, hari ini dia akhirnya tiba kembali ke sini.

“Neem nak ibu cakap betul-betul. Memang betul ke adik Neem dah tak ada?” soal Tasneem berharap. Tangan diletakkan ke atas bahu ibunya. Dia cukup berharap darah dagingnya itu masih hidup agar ibunya akan bahagia.

“Kenapa Neem nak tahu. Bukankah ibu dah cerita dulu. Adik Neem dah meninggal dalam kebakaran," cerita Nadiah bersungguh namun di hujung kata mukanya menzahirkan kerisauan.

Tasneem jatuhkan tangan.
"Ibu yakin ke?"

Nadiah mengangguk. Namun keyakinannya sedikit tergugat dengan pertanyaan Tasneem.

“Macam mana kalau adik Neem masih hidup?” soal Tasneem menduga dan mata Nadiah menatap wajah Tasneem hairan.

“Kenapa Neem cakap macam tu? Jangan kata apa yang Neem tanya ibu hari tu semuanya fasal….” Nadiah berhenti. Gagau dompetnya lantas keluarkan gambar lama yang disimpan. Satu-satunya gambar mereka berempat yang tak pernah dibuangnya.

“Neem hanya nak kepastian ibu. Jadi….”
Tasneem berhenti. Tatap mata ibunya lantas tarik tangan itu. “Kita jumpa orang tu kat dalam. Neem harap ibu kuat ya,” pesan Tasneem lalu bawa ibunya ke dalam bangunan.

Dengan perasaan bercampur-baur mereka berdua di bawa ke sebuah bilik oleh pegawai penyiasat yang meluluskan permohonan mereka.

Di dalam lokap, kelihatan seorang lelaki berjaket hitam dan berseluar jeans sedang duduk memeluk lutut. Wajah itu memandang jauh ke depan. Sebaik mendengar derap tapak kasut terus lelaki itu berpaling. Dua orang anggota polis muncul. Bukakan pintu kemudian membawa lelaki itu ke sebuah bilik.

“Kenapa tak hukum aku terus? Bunuh saja aku!” jerit Zufri kuat di hadapan pintu sambil meronta-ronta minta dilepaskan. Namun anggota polis tersebut hanya diam. Bukakan pintu lantas menolak Zufri masuk ke dalam. Gari dibuka tetapi mereka tetap mengawasi.

Mata lelaki itu pula terjegil luas sebaik melihat susuk di dalam. Hati itu serta-merta panas berapi.

“Kau? Kenapa kau datang ke sini? Kau nak apa?” soal Zufri keras. Cuba hendak memukul Tasneem namun tak berjaya kerana salah seorang anggota polis memaut tangannya. Memberi amaran supaya tidak bertindak kasar.

Nadiah yang pertama kali memandang wajah itu terus bangkit lalu kerutkan muka. Wajah itu benar-benar persis seseorang ketika muda. Lalu dia keluarkan gambar tadi dan menilik berulang.

“Nazim!” ucap Nadiah. "Ini Nazim ke?" soal Nadiah keliru. Nazim pula kerutkan muka. Kenapa wanita itu memanggilnya begitu. Tiada siapa yang tahu nama asalnya selain mami dan papa.

Nadiah pula merapati. Mahu tahu. Adakah dia kenal lelaki ini. Namun dia tak faham. Apa yang Tasneem nak dia buat sekarang. Kenapa bawa berjumpa lelaki ini. Dengan perasaan bercampur aduk dia letakkan gambar itu di atas meja.

Zufri tersentak. Gambar itu! Pantas dia tarik gambar tersebut. Tatap lama lalu pandang muka wanita di depannya.

“Kau siapa? Macam mana kau boleh ada gambar ni?” soal Zufri keras. Malah matanya merah menahan amarah. Marah pada wanita yang muncul tiba-tiba.

“Kau belum bagi aku jawapan. Siapa kau sebenarnya? Kenapa kau panggil aku Nazim? Kenapa?” jerit Zufri seraya mata terjegil nak marah. Tubuh meronta-ronta minta dilepaskan. Tasneem di belakang hanya menggenggam tangan. Cuba mengawal rasa takut.

“Hey, kau cakap lah. Kau siapa? Kenapa kau ada gambar ayah aku?” tempik Zufri kuat seraya meremukkan gambar itu.

Nadiah perlahan-lahan melurut ke bawah. Nasib sempat memegang birai meja. Cengkam dadanya kemudian menangis tak berlagu. Mendengar perkataan 'ayah aku’ yang lelaki itu sebut, tahulah dia anak lelakinya masih hidup. Patutlah Tasneem suruh dia ke sini.

Tasneem mendekati. Mendudukan ibunya ke atas kerusi. Kemudian usap bahu ibunya yang masih menangis. Nadiah pula tatap matanya. Tarik tangan Tasneem dan mengangguk tanda menyuruh Tasneem berterus terang.

“Nazim… ini kakak. Kakak kandung Nazim," beritahu Tasneem gagap. Cuba menahan air mata yang hampir meluruh.
Tiba-tiba Zufri luahkan tawa kuat.

"Ini ibu. Ibu yang lahirkan Nazim." tawa Zufri terus berhenti sebaik Tasneem memperkenalkan ibunya. Wajah Zufri kembali berkerut.

“Kau jangan nak tipu aku. Keluarga aku dah mati. Aku dah tak ada siapa-siapa.” Lelaki itu menjawab keras. Muka itu semakin serius dengan memberikan renungan tajam yang menikam muka masing-masing.

“Ini memang ibu, Zim. Zim tak kenal ke.” Nadiah sudah bangkit. Mendekati Zufri dan sepantas kilat lelaki itu menarik tubuhnya lantas melingkarkan tangan ke leher. Mengunci pergerakan wanita itu.

Polis yang ada sudah mengangkat pistol masing-masing. Cuba mengacah namun Zufri hamburkan gelak kuat.

“Kau hantar perempuan ini semata-mata nak main dengan emosi aku kan?” jerkah Zufri pada Tasneem yang pucat lesi. Hati Tasneem tak lelah berdoa agar ibunya tidak di apa-apakan.

“Bukan. Kakak tak akan permainkan Zim. Kami sekarang ni gembira sangat bila tahu Zim masih hidup.”

“Diam!” tempik Zufri.
“Aku yatim piatu. Jangan nak cuba jadi ahli keluarga aku. Kalau tidak… aku patahkan tenguk perempuan ni.” Zufri ketatkan pautan. Emosi lelaki itu nampak tidak stabil.

Sekajap muka itu hampir menangis. Sekejap nampak gembira. Adakala nampak keliru. Ketika itulah polis yang ada segera menariknya cepat lantas mengunci pergerakannya.

Nadiah berjaya dilepaskan dan Zufri tak mampu bergerak.

"Zim, ini ibu Zim!" Nadiah masih mahu meyakinkan.

“Kau jangan nak perdayakan aku. Aku bunuh kau nanti!” ugut Zufri berulang kali dan disambut air mata kedukaan Naidah.

Tasneem pun sama. Hati mereka bagai dilapah-lapah dan sukar untuk dicantum semula. Sementara Zufri meraung-raung sambil cuba menghantuk kepala ke dinding. Barangkali tidak dapat menerima kebenaran yang sudah terbongkar.

***

Dengan langkah tak teratur Zaim bergegas masuk ke dalam balai. Terus bergegas berjumpa dengan pegawai di dalam. Nasib baik polis tersebut saudara neneknya. Jika tidak dia tak dapat masuk ke dalam. Terus dia bergerak ke bilik lawatan.

Datin Hakimah yang mengekori dari belakang tercungap-cungap mengejar. Sudah puas menasihati agar Zaim berehat saja di dalam wad. Namun, anak lelakinya itu terlalu bimbangkan isteri sendiri. Sebaik bangun dari tidur terus datang ke sini.

Pintu ditolak kasar. Melihat Zufri yang duduk memeluk lutut sambil menangis hatinya berasa pelik. Malah masih ada dua orang pegawai polis yang sedang menjaga. Tak berlengah dia segera meluru ke arah Tasneem. Melihat isterinya yang menangis pantas dipeluk erat.

“Kenapa sayang datang sini. Nak apa lagi jumpa jantan tak guna ni?” Dengan keras Zaim luahkan pertanyaan. Tasneem leraikan pelukan lantas pandang wajah suaminya.

“Tas nak dapatkan kepastian.”

“Kepastian apa?” soal Zaim tak sabar.

“Adakah Zufri adik Tas?”

Zaim terkejut. Terus tenung mata Tasneem tak percaya.

“Tas cakap apa ni?”

Perlahan-lahan Tasneem tunjuk sijil kelahiran sendiri yang sempat diambilnya sebelum kejadian menimpa bersama sijil kelahiran Zufri. Zaim tarik lalu padankan dan hatinya pun berkecai.

Dia menikahi Tasneem tanpa mengetahui isterinya itu adalah kakak musuhnya. Sekaligus, menjadikan lelaki itu adik iparnya.

“Betul kan Zufri adik Tas?” soal Tasneem mengharapkan ia adalah benar. Apabila Zaim mengangguk air mata Tasneem berhamburan keluar lalu dia memeluk ibunya yang masih menangis kerana terkejut.

Sementara Datin Hakimah yang mendengar kebenaran di muka pintu terus terjelepuk jatuh ke bawah. Zaim terkejut lantas meraih wanita itu. Perlahan-lahan bangunkan maminya. Wanita itu pula mendekati Zufri yang sudah seperti orang gila. Air mata Datin Hakimah bercucuran keluar.

“Jadi, selama ini mami bela anak bekas kekasih mami sendiri rupanya,” ujar Datin Hakimah lalu menangis di dada Zaim semahu hati. Dan… episod duka bagaikan tiada penamatnya apabila tangisan berlayar buat kesekian kalinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience