Hati Zakri menangis tak berlagu. Melihat api yang semakin marak hatinya menjerit pedih. Kebaikan yang baru hendak bermula bertukar menjadi tragedi. Inikah amaran Tuhan. Jangan sesekali berbuat benda yang dilarang. Di dunia pun Tuhan akan balas segera.
Hatinya amat kesal.
“Im buat apa ni?” Zakri menggoncang tubuh anak jantannya yang sudah terduduk. Zaim yang mengongoi menunjuk ke arah api.
“Im tolong bakar sampah je sebab budak tu minta tolong. Tapi dia hilang. Dia kata nak pergi kumpul ranting kayu banyak-banyak. Tapi dia tak sampai pun,” cerita Zaim dalam keadaan menangis.
Zakri menyesal tak sudah. Membawa anaknya ke sini mewujudkan ketakutan maha hebat.
“Im cakap betul-betul,” suruh Zakri geram. Kekesalannya bertukar amarah. Namun Zaim sudah tidak bercerita. Hanya ucapan ‘Im tak buat’ saja yang keluar dari mulut itu berulang kali. Lalu, dengan tangan yang terketar-ketar Zakri menghubungi balai bomba berdekatan. Orang-orang di sekeliling pula seakan tidak sedar berlakunya kebakaran. Apakah kerana rumah ini terlalu jauh dari kawasan kejiranan lain lalu mereka tidak nampak. Hati merintih sendiri.
Pandang ke arah rumah semula. Melihat tuan rumah yang tak keluar sedari tadi dia bergegas semula ke rumah itu.
Teragak-agak hendak masuk ke dalam kerana dia tidak nampak kedua-dua beranak itu. Kerana dia tidak sanggup menjadi pesalah dia redah juga asap dan api. Melihat tubuh Waseem yang terbujur dihempap tiang yang terbakar dia mengundur ke belakang. Dia tiada daya hendak menolong. Apatah lagi semakin banyak tiang dan kerangka bumbung yang jatuh ke bawah.
Tubuh menggigil ketakutan. Dia tak kuat. Terus dia keluar. Melihat sebuah beg yang terburai isi perutnya di depan rumah dia satukan kemudian sandang ke bahu. Bergerak pula ke arah Zaim yang masih menangis kuat. Tenangkan si anak sambil mata mencari-cari anak Waseem namun tak jumpa. Ketakutannya semakin beraja.
Dia tak betah di sini. Lantas tarik Zaim hendak melarikan diri. Ketika itulah dia lihat anak kecil itu berlari dari semak samun dan menghampiri laman depan.
“Ayah!” anak kecil itu meraung seprti orang gila seraya berlari hendakmasuk ke dalam. Pantas Zakri menarik dan menghalang.
“Nazim! Panggil Zakri.”
Anak kecil itu tak menghiraukan. Dalam kepala si kecil itu hanya ada wajah ayahnya. Tubuh itu meronta-ronta hendak masuk ke dalam namun Zakri peluk kuat.
“Kat dalam tu bahaya. Jangan masuk!” halang Zakri namun anak itu menangis semahu hati. Tumbuk dada Zakri malah memijak-mijak kakinya. Mulut pula tak henti-henti memanggil si ayah.
Tiba-tiba rangka bumbung jatuh di hadapan mereka. Zakri membawa Nazim jauh dari situ. Ketika itu juga dinding rumah sudah terbakar hangus. Lalu dari luar Nazim dapat melihat tubuh ayahnya yang terbakar dan Nazim pun terkulai layu.
Air mata jantan Zakri keluar juga. Dia kalah dan dia kelelahan. Bersama seribu penyesalan dia bawa kedua-duanya sebelum orang ramai menyedari.
***
Nazim meraung sebaik sedar dari pengsan. Mencari-cari ayahnya. Zakri di sebelah cuba menenangkan namun tidak diendahkan. Anak kecil itu melalak sehingga rumah banglonya bising dengan suara tangisan.
Kepalanya tak dapat hendak berfikir dengan betul. Dek kerana itu dia semakin teringat akan kejadian yang masih segar itu. Dia tak mahu membuat laporan. Jika dia buat juga dia bimbang aibnya akan terbuka.
“Nazim nak ayah. Nazim nak ayah!” jerit Nazim dan lamunan Zakri menghilang entah ke mana. Pantas dia tutup mulut itu dan jegilkan mata.
“Ayah kau dah mati. Kalau kau tak nak mati macam ayah kau baik kau diam!’ Terpaksa dia mengugut keras supaya orang di dalam rumah ini tidak tahu apa yang telah berlaku. Terpaksa juga dia berlagak seperti penjahat agar Hakimah tidak mengesyaki apa-apa. Kepala berfikir dalam lalu dia buat keputusan.
Ketukan di muka pintu yang berkali-kali mengejutkan Zakri. Pantas dia lepaskan tangan anak kecil itu dan berpaling. Apabila anak kecil itu sudah senyap dan hanya berbunga esakan terus dia melangkah dan tarik daun pintu.
“Abang, tengok Im bang. Kenapa dengan Im tu. Kim tak faham.” Hakimah menangis ketakutan. Zakri pantas keluar dan mengunci pintu dari luar. Bergegas ke bilik Zaim. Melihat mata anaknya yang terbelalak ke atas hatinya pun patah. Angkara dia Zaim jadi begitu. Seperti orang sawan jadinya. Dengan kemahiran yang ada dia pulihkan anaknya.
“Kim, abang nak Kim kemas barang. Lepas tu kita gerak pindah Kuantan.”
Terkebil-kebil mata Hakimah memandang.
“Kenapa abang? Kenapa secepat ini. Bukan abang bagitahu Kim yang kita akan pindah kalau abang dah dapat tender billion ringgit tu dulu ke Tapi abang belum dapat lagi kan?” soal Hakimah berdebar-debar.
Tak pernah-pernah suaminya balik dengan muka risau begitu. Bukan itu saja siap dengan pakej hendak berpindah pula. Suaminya pula langsung tak menjawab. Diam sambil merenung jauh.
“Abang dah dapat. Sebab tu abang nak kita pindah.” tak semena-mena suaminya menjawab.
“Erk, tapi cepat sangat ni.” Hakimah tak setuju. Kat sini banyak kenangan yang tak ingin dia lepaskan. “Habis tu… budak yang abang bawa balik tu nak tinggalkan kat mana?” soal Hakimah tak faham. Kalau dah bawa balik tak kan nak tinggal macam tu je.
“Dia anak yatim Kim. Kim rasa?”
Hakimah menggeleng.
“Kim masih ada anak lain. Kalau kita bawa bersama takut tak terjaga.”
“Kalau macam tu kita minta emak jaga setahun dua. Lepas tu kita bawa balik ke rumah baru kita.”
Buntang mata Hakimah tak percaya. Anak yatim mana yang suaminya kutip. Kenapa tiba-tiba saja hendak menjaga anak yatim. Tak salah nak jaga tetapi dia perlu tahu asal usul budak itu dulu. Kalau jadi apa-apa dia pun tak akan rasa bersalah.
“Kim pergi kemas. Jangan banyak tanya. Ikut saja apa yang abang suruh.”
“Tapi bang….”
Zakri jegilkan mata dan apabila lelaki itu bersikap begitu memang Hakimah kena ikut. Dengan berat hati wanita itu melangkah ke bilik sendiri.
Sementara Zakri pula ke garaj kereta. Masuk ke dalam dan selongkar beg yang dia bawa balik dari tempat kebakaran kelmarin.
Melihat dokumen penting air matanya meluruh.
Ya Allah, apa yang dia dah buat ini?
Berkali-kali dia menatap dua keping surat beranak dan hatinya terus pecah berderai. Berulang kali dia beristighfar. Mengharap dosanya akan diampunkan Tuhan. Namun, sebaik melihat sekeping gambar lama di belakang surat beranak Waseem kekesalannya bertambah.
Melihat Gambar dua orang pelajar perempuan yang memakai pinafore yang mengapit seorang pelajar lelaki hatinya dirundung duka. Dia tatap gadis di sebelah kiri lelaki itu. Gadis itu amat dikenalinya. Itu adalah Hakimah.
Rasa tak akan terampun dosanya jika Hakimah tahu cerita sebenar dan dia… menangis di dalam kereta entah untuk berapa lama.
Share this novel