BAB 30

Family Series 39843

Tasneem putuskan talian setelah selesai berbual dengan ibunya. Suara ibu kedengaran biasa seperti selalu. Apabila diberitahu dia tidak dapat pulang awal kerana menolong mak usu, ibunya mengeyakan saja. Bahkan memberikan galakan supaya sentiasa menolong orang. Cuma satu saja yang melekat dalam kepala. Yang sentiasa dipesan ibu.

‘Jangan lupakan abah. Terlalu banyak jasa abah pada kita.’

Itulah pesanan yang tak pernah pudar.
Sememangnya dia tak akan melupakan jasa Haji Borhan. Membesarkannya di kala orang lain dipimpin ayah kandung ke sana ke mari. Ayahnya pula entah ke mana. Ibu tak pernah menceritakan. Dari kecil sehingga sudah dewasa dia tak pernah mendengar cerita tentang ayah. Kata ibu, biarlah segala pahit, ibu seorang saja yang tanggung.

Hati Tasneem dibawa entah ke mana. Pedih apabila mengingati masa silamnya. Kali terakhir melihat ayah kandungnya ketika dia berusia 7 tahun. Lelaki itu datang ke rumah dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun. Ibu menangis melepaskan ayah yang berulang kali menyatakan tidak mencintai ibu. Lelaki itu hanya mencintai kekasihnya. Hati Tasneem nak marah tetapi ibu sentiasa menyuruh bersabar. Ayah tak salah kata ibu. Keadaan yang memaksa mereka perlu hidup berasingan.

Lalu Tasneem pasang tekad dalam hati. Jika dia berkahwin, dia akan pastikan hubungannya akan kekal sehingga ke syurga.

Ting!
Loceng di atas kaunter berbunyi. Terus matanya pandang ke depan. Wajah Mak Usu Tini mengganggu pandangan.

“Jauh sangat tu. dah sampai mana?” sapa mak usu. Pantas bibir Tasneem terlorek senyum bahagia.

“Ingat abah dengan ibu, mak usu.” jawab Tasneem dengan muka ceria. Ada bunga-bunga rindu menghiasi wajah itu.

“Maaflah. Mak usu terpaksa minta tolong Neem. Lia tengah sedih lagi. Kebetulan pula bakal mak mentua dia sorang diri. Jadi dia yang tolong emak tunangnya mengurus tunang dia tu. Malam nanti Dahlia datang ke kedai.”

Tasneem angguk faham. Dia tidak kisah pun. Janji Dahlia tak sulit.

“Ni, hah. Neem tolong pergi hantar dekat Encik Zaim. Dia minta set makan tengahari untuk tiga orang.”

Terus saja mata Tasneem memandang bangunan di hadapan. Ketenangannya terganggu. Muncul wajah Zaim di depan mata. Banyak sangat ke kerja laki tu sampai tak sempat turun? Hati berbisik sendiri.

“Pergilah. Mak usu duduk kat kaunter kejap.”

Lapangkan dada. Dia kena buat kerja dengan ikhlas. Barulah segalanya akan mudah. Dia tak boleh lengahkan masa. Entah-entah orang kat sana dah kebulur. Saat teringat wajah itu ada bunga rindu jatuh berguguran. Cepat-cepat dia kutip apabila menyedari dia tak pantas berbuat begitu. Lalu tangan capai dua buah plastik dan melangkah ke bangunan di hadapan.

Hari ini dia pakai blouse paras lutut dan seluar jeans longgar. Jadi senang dia bergerak dalam gerimis yang baru turun. Masuk ke dalam lif dan sayup-sayup dia lihat seorang gadis tinggi lampai memakai tudung ungu muda melangkah anggun ke arah lif. Dia picingkan mata. Tak sempat buat apa. Pintu lif cepat pula tertutup. Kesal pula tidak menunggu. Namun dia malas hendak berlama-lama memandang lelaki itu. Terus dia ke pejabat lelaki itu.

“Tas… masuklah.” pelawa Zaim yang kalut di meja. Kelihatan di meja kopi Rafael dan Jazmin sedang lebat berbincang. Dengan dada yang berdebar Tasneem melangkah ke meja kopi. Tinggalkan plastik di depan Jazmin. Gadis itu berikan jelingan. Tetapi Rafael sunggingkan senyum manis.

“Saya keluar dulu,” ujar Tasneem lantas bergerak hendak keluar. Tetapi suara Zaim yang kedengaran.

“Minta tolong jap.” Zaim memanggil. Keluarkan not dua puluh lantas serahkan kepada Tasneem.

“Belikan aku cookies.”

Terus keing Tasneem terangkat.

“Kau tak payah nak bahan akulah. Aku nak stay sampai malam. Kena makan cookies. Nak tambah tenaga.”

Tasneem zahirkan senyum lebar.
“Macam budak-budak kan. Kena makan manis baru ada energy,” kutuk Tasneem. Sekali sekali mengata lelaki itu tak salah pun.

Zaim luahkan gelak.
“Kau jangan kutuk aku sangat. Kau pun sama. Minum susu macam baby.”

Tasneem terhibur.
“Yes, saya memang baby.”
Terus dahi Zaim berkerut mencari makna di sebalik kata.

“Kau baby?” Zaim sudah herotkan senyum sinis dan barulah Tasneem tersedar. Dia sudah tersalah cakap.

“Erk, nak berapa?” Dengan wajah tebal Tasneem bertanya.

“Beli sampai tak ada baki,” balas Zaim. “Lepas tu tak payah hantar sini. Kau suruh pak cik jaga yang bawa naik. Kasihan dekat kau.”

Tasneem akur. Pusingkan badan dan saat itulah matanya menangkap kelibat gadis bertudung ungu muncul di balik daun pintu.

“Nel?” Tasneem terkejut. Zaim yang mendengar nama itu pantas berpaling. Wajah manis Neldhia yang sudah bertudung sepenuhnya membuat Zaim bangkit perlahan-lahan. Begitu juga dengan Rafael. Lelaki itu pusingkan badan dan terus bangkit. Terkesima melihat kesempurnaan Neldhia. Hanya Jazmin seorang yang menjeling tak suka.

Tasneem hulurkan senyum bangga. Lantas melangkah dan mendekati Neldhia. Dipeluknya gadis itu dengan erat. Sebaik dileraikan tangannya naik ke bahu gadis itu.

“Tahniah Nel. Semoga istiqamah,” ucap Tasneem dengan pandangan penuh mengharap. Sementara Zaim pula menghampiri. Tak terluah di bibir lelaki itu perasaan bangga. Hanya terzahir pada wajah yang ceria.

“Nel, you….” Kata-kata itu berhenti di situ saja apabila Dato’ Zakri muncul tak dipinta.

“Tak keluar lunch ke?” tanya Dato’ Zakri lantas kerling Neldhia. Nampak manis dengan penampilan baru. Tetapi hati tuanya tetap tidak akan tunduk dengan perubahan gadis itu.

Zaim nampak riak hambar wajah papanya. Lelaki itu kemudian alihkan pandangan pada Tasneem.

“Tas buat apa kat sini?” soal lelaki itu mahu tahu.

Tasneem ukir senyum.
“Datang hantar makanan Dato’.”

“Nak turun dah?”
Tasneem mengangguk mengeyakan.

“Jomlah. Uncle pun nak pergi lunch. Kita jalan sama.” Begitu mesra perbualan lelaki berpangkat itu hingga mengundang cemburu di hati Neldhia. Jazmin pun pelik. Orang tua itu susah hendak mesra dengan orang bawahan ataupun orang luar. Alih-alih dengan budak penghantar makanan itu lain pula jadinya.

“Pa… this is Nel pa.” Zaim tak mahu hati Neldhia terluka dengan cara papanya. Namun Dato’ Zakri tetap keras kan hati.

“Im, move on. Papa tetap dengan keputusan papa,” pesan orang tua itu sebelum berlalu.

Wajah Zaim yang ceria terus berubah mendung. Nampaknya perubahan Neldhia tetap tak mampu mengubah keputusan lelaki itu. Hatinya patah. Tiada siapa yang tahu. Hanya Neldhia yang mengerti.

Neldhia pula ketap bibirnya menahan marah. Dia tahu Dato’ Zakri sengaja membakar perasaannya. Melayan Tasneem cukup mesra. Sedangkan dia dibuat seperti kucing kurap. Melihat pula Jazmin yang berikan senyum jahat hatinya mula tekad. Dia perlu mulakan rancangannya dengan segera agar dapat menikahi Zaim.

Beri renungan penuh makna pada Rafael. Mengharap lelaki itu mengerti bahasa matanya.

Apa yang Nel nak buat?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience