Mata Dahlia terbeliak saat pandangannya jatuh pada susuk yang melangkah masuk ke dalam. Zaim beriringan dengan seorang gadis yang tak pernah dilihat. Kecantikan gadis itu memukau matanya. Dia teruja. Namun keterujaan itu hilang apabila tangan Zaim membetulkan selendang yang hampir melurut ke bahu sang gadis. Pantas saja dada Dahlia diburu pelbagai soalan.
“Dato’ dah ada kat dalam?” soal Zaim sebaik saja tiba di kaunter. Dahlia angguk seraya hadiahkan senyuman. Namun kepala tertanya-tanya.
“Siapa si cantik manis ni?” tanya Dahlia mengumpul maklumat.
“Wife to be,” jawab Zaim bangga lantas beri isyarat mahu masuk ke dalam bilik.
Dan… dada Dahlia berdetak kecewa. Dia yakin, andainya Tasneem tahu Zaim dah ada yang punya tentu Tasneem akan patah hati.
Ah, Tasneem tak boleh tahu. Lantas Dahlia tarik telefon. Hubungi gadis itu. Sekejap saja Tasneem menjawab.
“Kau tak payah datanglah Neem.” Dahlia terus menghalang.
“Lah, kenapa pula. Aku dah nak sampai ni.”
Dahlia resah. Pandang kawasan parkir di depan restoran.
“Baik kau corner. Balik tempat kerja kau,” arah Dahlia keras.
Tasneem tak hirau. Lagipun dia sudah sampai. Tarik nafas dulu sebelum keluar. Kalaupun dia baru saja mengemas rumah lelaki itu, dia tetap mahu menjadi pelayan tengah hari ini. Sekejap saja pun dia tak kisah. Lagipun bukan dia tak kenal orang tua Zaim. Mereka memang baik dan dia yakin keluarga lelaki itu akan menyukai dirinya.
Perasan!
Tasneem kutuk diri sendiri.
“Tak payah masuklah, Neem.” Lagi sekali Dahlia menghalang. Geram pula Tasneem dengan gadis itu. Alasan tak diberitahu tetapi asyik nak menghalang saja kerjanya. “Keluarga dia tak jadi makan kat sini.” Akhirnya Dahlia luahkan. Tetapi berbohong. Demi menjaga hati Tasneem.
“Kenapa kau baru cakap dengan aku. Penat tau aku drive semata-mata nak jumpa dia. Aku pun dah sampai ni.”
“Kau tu yang gila. Nak dekat anak jantan orang sampai sanggup ulang-alik dengan kereta buruk mak usu,” bebel Dahlia geram. Sengaja naikkan darah Tasneem dengan harapan Tasneem tak jadi nak masuk ke dalam.
“Aku ni dah lah lapar sangat. Kalau macam tu biar aku makan dulu.”
Dahlia tersentak.
Tasneem pula putuskan talian. Betulkan tudung bawal yang dililit ke atas kepala. Sementelah hari ini hari kerja jadi dia melawa sikit. Dengan muka berbedak dan gincu yang teroles di bibir dia sengih di cermin. Tengok gigi takut ada melekat sisi sandwich pagi tadi. Tag nama magnetik yang melekat di tudung pula segera ditanggalkan. Dia tak mahu orang di sini tahu kerjanya. Dengan perasaan geram kerana lambat mendapat berita ini dia segera keluar dari perut kereta. Melangkah laju dan berhenti di kaunter.
“Lambat sangat bagitahu aku. Penat kau tahu tak,” bebel Tasneem geram. Dahlia garu kepala yang tak gatal. Dalam hati berharap orang di dalam tak akan keluar.
“Aku nak makan dulu.” Dengan geram Tasneem ambil makanan di kaunter layan diri kemudian mendekati Dahlia.
“Aku tak nak kawan dengan kau.” Tasneem buat-buat merajuk lantas menuju ke meja yang tersorok.
Dahlia hembus nafas takut. Berharap sangat Tasneem tak akan sedar. Dia mahu gadis itu cepat-cepat habiskan makanan dan segera beredar pergi.
***
Dato’ Zakri memandang Neldhia tajam. Penampilan gadis itu hari ini benar-benar lain. Tetapi itu sedikitpun tidak akan menggoyahkan pendiriannya. Kalaupun Zaim merajuk dengan keputusan yang akan dia berikan nanti dia tak kisah. Dia mahukan yang terbaik untuk anaknya.
Neldhia pula memandang takut-takut. Semasa masuk ke dalam tadi dia rasa orang tua itu akan menyambutnya mesra, tetapi tidak. Dato’ Zakri hanya berikan renungan tajam. Hanya Datin Hakimah saja yang menyambutnya mesra. Siap dengan memberikan pelukan hangat.
Sementara Kayla pula langsung tak memandang. Asyik dengan gajet di tangan. Gadis itu bukan tak kenal dengannya. Tetapi sejak dulu lagi selalu dingin. Nak kata tak mesra rasanya dengan orang lain tak ada pula begitu. Sampai dia fikir Kayla memang membencinya. Tetapi dia tak ada buat silap apa pun.
“Mami… lambat lagi ke nak hidang makanan?” Tiba-tiba Kayla berbunyi. Tekan perutnya. Dari kuliah tadi lagi dia tak makan apa-apa. Apabila pemandu datang mengambilnya di kampus dia sabarkan diri. Berharap dapat menjamah makanan di sini secepat mungkin. Alih-alih tak pula ada hidangan.
“Kita tunggu nenek datang.” Datin Hakimah membalas lembut. Terus Kayla buat muka. Dia memang tak suka dengan nenek belah mami. Tapi Zaim pula tunjuk senyum teruja. Dah lama tak jumpa neneknya yang tinggal di Cameron Highlands. Dia pun dah lama tak bercuti ke sana. Gara-gara sibuk dengan kerja dia abaikan orang tua itu. Nasib baik neneknya kaya. Ada pembantu yang uruskan.
“Jauh tu. Nenek boleh ke datang?” soal Zaim kasihan. Neneknya dah terlalu tua. Tak sampai hati pula nak biarkan orang tua itu berjalan jauh.
“Nenek dah ada kat Kuantan. Semalam lagi sampai.”
Baru saja bercakap tentang wanita itu, pintu ditolak dari luar.
“Nek!” terus Zaim melurut ke arah orang tua itu. Kucup tangan neneknya lantas pimpin ke meja.
“Lama sangat tak jumpa. Bila ada majlis macam ni baru kita boleh duduk semeja. Nasib nenek kan. Ada anak sorang je,” ujar Nik Salimah mesra lantas duduk sebelah Datin Hakimah.
Zaim usap lengan tua itu.
“Jangan bimbang, nek. Nanti Im dah kahwin Im bagi ramai cicit untuk nenek,” ujar Zaim lantas kerling Neldhia yang tersipu-sipu malu. Namun Dato’ Zakri memandang tajam. Mahu menguji sejauh mana keteguhan hati Neldhia.
Neldhia abaikan dan bangkit menyelami tangan tua itu. Sejuk tangannya tak hlang-hilang. Bila ditilik nenek Zaim terus dia jadi beku.
“Nel ke ni?” soal Nik Salimah teruja lantas tilik wajah yang ayu berselendang. Dah lama dia tak tengok Neldhia. Sudah berubah. Dia ingatkan masih seperti dulu-dulu.
“Cantiknya Nel pakai macam ni,” puji Nik Salimah.
Zaim pula angguk bangga.
“Mestilah cantik, nek. Tengoklah siapa yang pilih.” Sempat lagi Zaim hendak berlawak.
Kayla di sebelah terus buat muka. Bila neneknya sudah muncul dia mula hilang selera.
“Nel masih mencuba nek. Doakan Nel istiqamah ya, nek.” pinta Neldhia takut-takut. Entah kenapa keadaan sekarang langsung berubah. Kalau dulu, sewaktu makan-makan bersama keluarga Zaim dia tak rasa kekok macam ni. Tapi sekarang, dia rasa macam penjenayah. Seperti buat silap besar.
“Dah cantik macam ni, baiklah nikah cepat. Tak payah nak tunang,” usul Nik Salimah namun Dato’ Zakri berdehem betulkan suara.
“Kita makan dulu.” Terus Dato’ Zakri tekan loceng di tepi meja. Tanda menyuruh pelayan menghantar hidangan. Mata pandang isterinya yang nampak resah. Faham sangat. Bila dah ada emak sendiri dia yakin orang tua itu akan masuk campur. Lantas dibiarkan dulu kerana dia tidak mahu menganggu selera semua orang.
***
Tasneem cuci tangan. Namun mata menangkap kelibat pekerja yang masuk ke dalam bilik berhawa dingin sambil menatang dulang makanan. Kepala diterjah soalan. Biasanya bilik itu jarang diguna orang tapi kenapa dia rasa macam ada yang tak kena. Pantas matanya beralih ke arah Dahlia yang menyuruh para pekerja cepat-cepat menyelesaikan tugas di dalam.
Dengan langkah hairan dia ke kaunter. Dahlia buat-buat senyum.
“Siapa kat dalam tu?” soal Tasneem curiga.
Muka Dahlia sudah pucat. Berharap sangat Tasneem tidak akan mengintai.
“Tak ada siapa pun. Regular customer yang selalu makan kat dalam bilik tu.” Dahlia berbohong. Tak sampai hati hendak memberitahu cerita sebenar pada Tasneem.
Tasneem angguk namun hatinya tetap curiga. Lantas, semasa Syilla melangkah keluar dari bilik terus mulutnya bertanya.
“Siapa kat dalam tu?”
Syilla menjeling tak suka.
“Siapa lagi, family Dato’ Zakri lah.”
Spontan mata Tasneem beralih ke arah Dahlia. Ketap bibir geram dan tuding jari ke muka gadis itu.
“Kau saja nak kenakan aku kan. Siap kau nanti.” Tasneem mengugut tetapi sekadar hendak bergurau. Terus dia ke dapur. Tak sempat Dahlia nak panggil. Tasneem isikan air masak ke dalam jag. Dia sudah terlalu faham dengan cara lelaki itu. Setiap kali makan tengah hari mesti kena ada air masak sekali. Dengan dada berdebar-debar dia melangkah sambil menatang dulang. Berhenti di kaunter seketika.
“Tak payahlah masuk Tas. Kejap lagi mak usu sampai. Biar dia je yang layan family Dato’,” ujar Dahlia namun Tasneem buat muka.
“Kau takut aku buat salah ke? Jangan bimbang aku akan control baik-baik,” janji Tasneem. Lalu dengan langkah penuh debar Tasneem melangkah ke muka pintu. Hela nafas sebaiknya dan cuba mengawal tangan yang menggeletar. Amat berharap Zaim akan memandangnya. Walau sekejap saja, itu sudah cukup kerana hari ini dia bersiap sedikit demi lelaki itu.
Sementara di kaunter, Dahlia hembus nafas kecewa. Dia pasti, Tasneem akan keluar dengan titisan-titisan air mata.
Haih Tasneem ni. Nangis lah ngko jap agi.
Share this novel