“Maafkan, Neem ibu. Halalkan makan-minum Neem!” pinta Tasneem sebaik saja Dato’ Zakri meminta izin untuk pulang setelah mengisi perut di rumah Nadiah.
Nadiah peluk Tasneem erat. Sapu air mata yang mengalir lesu di pipi anak daranya. Melihat dua beranak itu terus Dato’ Zakri tarik isterinya menjauh dari anak beranak itu. Berikan ruang sebelum Tasneem dibawa pulang ke kediaman mereka.
“Neem pun jaga diri. Jaga adab. Jaga kelakuan. Dah ada mentua ni pandai-pandailah layan.”
Tasneem angguk.
“Ibu jaga diri ya.”
Nadiah hembus nafas lucu. Lagak Tasneem dah macam nak ke luar negara macam dulu. Asyik pesan itu ini.
“Neem….” tangan Tasneem ditarik lalu digenggam erat. “Jangan jadi macam ibu dengan arwah ayah. Kami tak berusaha nak kekal sebagai suami isteri. Kami lebih mengikut kata hati. Jadi Neem… kena usaha dari sekarang. Bukan tunjuk keras. Bukan tunjuk siapa hebat. Tapi tunjuk dekat suami Neem yang Neem nak jadi yang terbaik untuk dia.”
Tasneem pejam mata. Menghadam pesanan ibunya. Bagaimana hendak berusaha dalam keadaan kepala masih memikirkan kejadian hitam yang membawa kepada pernikahan yang tak diinginkan ini.
“Ibu tahu Neem sukar terima Im. Buang yang keruh Neem. Mula-mula ibu pun tak mampu terima bila Neem cerita pasal hal yang dah berlaku. Tapi… ibu sedar. Takkanlah selamanya ibu nak marah Neem. Tak ada gunanya. Yang lepas biarkan berlalu. Macam ibu kawan dengan mami Neem. Ibu tak letak dendam dalam hati ibu. Cuma ibu kecil hati sebab mami tak jelaskan hal yang sebenar pada arwah ayah. Kenapa mami terpaksa tinggalkan arwah ayah untuk papa.”
Air liurnya ditelan keras. Rumit sungguh cerita ibu dan arwah ayah serta mentuanya sekarang. Apakah hubungan dia dan Zaim akan serumit itu juga. Dia harap permulaan baru ini mudah saja dan tidak ada derita yang perlu dia tempuh.
“Neem, terima dengan reda.”
Begitu bagusnya ibu. Menerima semuanya dengan hati terbuka. Sebab itulah ibu dapat hidup bahagia dengan abah. Sampaikan persahabatan ibu kembali terjalin dengan baik. Sementara dia pula? Dia tak tahu apakah dia mampu jadi seperti ibu.
“Ibu… nanti ibu datang Kuantan Neem nak ibu tunjuk kubur arwah ayah. Neem nak jumpa dengan ayah."
Nadiah tersentak. Tiba-tiba saja kolam matanya bertakung.
“Maafkan ibu, Neem. Ibu tak tahu kat mana kubur arwah ayah. Masa ibu dapat berita ayah dah meninggal, ibu baru sehari lahirkan Wilda. Itupun ibu terbaca akhbar yang abah bawa balik.”
Tasneem tekup mulutnya tak percaya. Air mata kembali menitis tak tertahan. Dia cuba kuatkan diri tetapi dia tak mampu. Sejak insiden ditangkap khalwat sudah banyak air matanya tumpah.
“Adik Neem, ibu?”
Pantas Nadiah berpaling ke arah lain. Tak mampu hendak memberitahu Tasneem yang adiknya turut terkorban dalam kebakaran. Nadiah tolak tangan Tasneem. Dia tak mahu mengenang peristiwa lama. Walaupun hakikatnya dia menyalahkan diri sendiri kerana membenarkan arwah suaminya menjaga seorang lagi anaknya. Kenapa dia tak berkeras dulu? Apakah kerana dia tawar hati dengan keputusan Waseem lalu biarkan saja Waseem membawa anak jantannya pergi.
Tak. Dia tak mahu mengenang. Lalu sapu air mata dan menarik Tasneem menghampiri Datin hakimah.
“Kim tegurlah Tasneem kalau dia ada buat silap. Tengok-tengok selalu. Jangan sampai dia lupa tanggungjawab dia sebagai isteri. Masih banyak yang Tasneem kena belajar. Nad harap Kim tak akan bosan dengan Tasneem ya,” pesan Nadiah lantas menyuruh besannya cepat-cepat kembali ke Kuantan sebelum malam menjelang. Lagipun dia tahu mata tua pasangan suami isteri itu tentu tak mampu memandu dalam gelap.
Usai bersalaman dia segera naik ke atas. Membiarkan adik-adik Tasneem memberi pelukan terakhir. Begitu juga dengan Haji Borhan. Mata tua itu hampir menitikkan air suam sebaik Tasneem memohon ampun dan maaf. Selepas itu Dato’ Zakri memandu meninggalkan perkarangan rumah Haji Borhan.
Di dalam kereta Tasneem masih tidak ingin mempercayai cerita yang disampaikan ibu. Adiknya dah meninggal? Dia cukup tak percaya. Impiannya sejak kecil ingin bersama ayah dan adiknya tidak kesampaian juga.
Hati pun berlayar sayu.
***
Datin Hakimah pimpin Tasneem masuk ke dalam rumah. Walaupun gadis itu sudah pernah sampai. Malah sudah biasa dengan rumah ini namun dia membawa gadis itu bagaikan baru pertama kali ke sini.
Dato’ Zakri pula menyuruh Jairas tolong masukkan kereta ke dalam garaj. Lelaki itu tidak dibenarkan mengikutinya ke Kelantan kerana dia tidak mahu rancangannya tergendala. Biarlah Jairas menemani Kayla yang juga tidak dibenarkan mengikut kerana dia tidak mahu Kayla merosakkan suasana. Anak daranya itu memang dah merajuk sebab itulah sampai sekarang tidak menghubunginya untuk bertanya khabar.
Sampai sahaja di ruang tamu, mereka tersentak dengan susuk yang bangkit dari sofa. Nik Salimah cekak pinggang lantas berdepan dengan Datin Hakimah.
“Kenapa tak bagitahu sepatah pun dekat emak. Nikahkan Im dengan budak ni senyap-senyap.” Kuat suara Nik Salimah berbunyi. Dada Datin Hakimah berkocak kuat. Takut sungguh apabila mata emaknya memanah tajam. Hanya Dato’ Zakri yang tetap diamkan diri. Inilah orang yang dia nak elak. Nasib baik muncul setelah semuanya selesai.
Entah siapa yang khabarkan pada mentuanya tentang pernikahan Zaim dan Tasneem.
“Siapa yang cakap dengan mak Im dah nikah?” tanya Dato’ Zakri mahu tahu.
“Kayla yang cakap.”
Terus gigi Dato’ Zakri berlaga antara satu sama lain. Kayla sengaja nak menuang minyak. Dah tahu perangai neneknya mengalahkan naga tapi sengaja nak buat orang tua itu makin berapi. Pandang ke atas. Muka Kayla nampak gembira dan anak daranya berlari turun ke bawah lalu mendapatkan Tasneem.
“Tahniah Cik Tas.” Dipeluknya kakak ipar dengan erat. Tasneem pandang geram dengan bahasa Kayla. Begitu juga dengan Datin Hakimah dan Dato’ Zakri. Cuma Nik Salimah saja yang tak faham apa-apa.
Eh, sorry. Bukan cik. Tapi Kak Tas,” ucap Kayla lantas leraikan pelukan. Suara Kayla betul-betul lain. Datin Hakimah memang perasan. Kalau dengan Tasneem, Kayla akan jadi lain. Gembiranya tak terkata. Sudah macam kanak-kanak riang.
“Kenapa sampai kena kahwinkan Im dengan budak ni. Dah lah tak tanya mak dulu?”
Dato’ Zakri geleng kepala. Nak tanya wanita itu dulu? Memang sampai ke sudah tak akan ada perkataan ‘benarkan’.
“Benda dah selesai mak. Tak payah nak cakap apa-apa lagi.”
Nik Salimah mendengus. Menantunya yang ini memang keras kepala. Dia ingatkan Zakri jenis yang akan menurut kata tetapi tidak. Zakri banyak membuat keputusan sendiri.
“Zak boleh cakap macam tu dengan mak. Ini mak ni. Bukannya bibik.”
Dato’ Zakri yang baru nak melangkah ke bilik berhenti. Lantas berpaling.
“Tapi, Zaim tu anak Zak. Mak tak perlu nak tunjuk kuasa macam Zaim tu anak mak.”
Nik Salimah buntangkan mata. Tak percaya menantunya boleh meninggikan suara di depannya. Seingatnya Zakri bukan begitu semasa awal-awal menikahi Hakimah. Entah bila perangai menantunya berubah. Lantas matanya pandang Tasneem. Budak entah dari mana. Sakit matanya bila pandang gadis yang nampak kolot. Tak berpelajaran.
Kerana geramkan menantunya, orang tua itu tarik lengan Tasneem. Datin Hakimah tersentak. Begitu juga dengan Kayla. Apa yang neneknya nak buat.
“Kau nak masuk dalam keluarga ni. Kau nak jadi orang kaya sebab tu kau perangkap Zaim. Kau yang rancang semuanya kan?”
Bulat mata Tasneem mendengar telahan nenek tua itu.
“Mak, mak cakap apa ni?” Datin Hakimah terkejut. Cuba menarik tangan menantunya tetapi tak dapat.
“Cerdik juga rupanya kau kan. Buat kerja jahat semata-mata nak dapatkan Zaim. Murah sangat kau ni.”
Tasneem terkedu. Semua orang tak menyangka wanita itu menuduh yang bukan-bukan padahal isi di dalam rumah ini belum tahu lagi siapa yang merancang
“Aku tak terima dia jadi cucu menantu aku. Perempuan murah!”
“Nenek!”
Suara Zaim terlontar kuat di muka pintu utama. Entah bila lelaki itu sampai. Dengan langkah keras Zaim mendekati lalu menarik tangan Tasneem. Mata Tasneem perlahan-lahan mengekori wajah Zaim yang serius memanah mata neneknya.
“Dia dah jadi isteri Im. Siapa pun dia nenek tak perlu nak merendah-rendahkan dia,” pesan Zaim keras dan tangannya masih menggenggam tangan Tasneem.
Nik Salimah tak percaya. Sekelip mata sikap Zaim berubah. Mana cucunya yang menurut saja kata-katanya. Dah hilang. Macam magik dan dia makin geram.
“Habis tu macam mana dengan Neldhia. Sampai hati Im buang Nel macam tu je.”
Kini Zaim pula yang mendengus.
“Sebab nenek tak tahu apa-apa jadi Im tak akan salahkan nenek bercakap yang bukan-bukan fasal isteri Im.
“Apa yang nenek tak tahu? Im ingat nenek pekak ke? Selama ini Im mati-mati nak kahwin dengan Nel. Tiba-tiba saja kahwin dengan perempuan ni pula. Apa salah Nel sampai Im boleh tendang Nel mcam tu saja?”
Terus mata Zaim kerling papanya.
Serentak itu dia kuatkan genggaman. Tasneem tersentak. Ketap bibirnya menahan sakit kerana jemarinya yang digenggam kuat lelaki itu. Pantas dia melihat lelaki itu. Wajah Zaim tegang menahan marah.
“Nenek tanya Nel sendiri kenapa Im tak jadi nak nikah dengan dia,” beritahu Zaim lantas tarik Tasneem ke atas. Tinggalkan semua orang di bawah yang menahan rasa di dada masing-masing.
Share this novel