BAB 11

Family Series 39843

Siapa sangka, peluangnya untuk mengenali lelaki itu terbuka luas. Permintaan Zaim Muazzam membawa seribu makna kepadanya. Walaupun perlu mengemas seluruh sudut serta ruang yang ada, Tasneem tak kisah. Janji dia boleh mendapatkan maklumat mengenai lelaki idaman hati.

Susu kotak Dutch Lady disisip sehingga habis. Itulah makanannya tengah hari begini. Betapa nikmatnya tak mampu diceritakan. Perut rasa kenyang. Jadi, tak perlu dia nak tergesa-gesa menghadap makanan berat. Lagipun habis kerja nanti dia boleh melahap di restoran mak usu. Bonus baginya kerana mak usu itu emak saudaranya. Lagipun adik ibunya itu tak pernah berkira.

Kotak susu yang sudah kosong isinya dia letak di tepi singki. Kejap lagi dia akan buang. Lagipun tadi dia sudah buang dua plastik besar sampah ke rumah sampah. Malas pula hendak pergi buang kotak susu dan masuk balik. Dengan senang hati dia pandang kabinet atas kepala. Rasa hendak tengok isi di dalam. Nak menyelongkar pula. Itulah, dah ada dalam rumah crush rugilah kalau tak menghendap. Mana tahu jumpa sesuatu yang boleh dia buat modal.

Dengan senyum panjang Tasneem tarik pintu. Sebaik terbuka, dia lihat ada pelbagai jenis biskut duduk di dalam. Pantas saja Tasneem hamburkan gelak besar.
Macam perempuan. Suka makan biskut. Omel Tasneem dalam gembira. Dek kerana itu, dia mendapat idea. Segera berlari ke arah beg sandang lantas keluarkan sticky note. Dengan suka hati catatkan sesuatu dan tampal pada balang paling depan.
Simpan semula barangnya lantas pandang keliling.

Dari jam 10 pagi tadi lagi dia mengemas. Sekarang jam sudah menganjak ke angka 12. Semua tempat sudah dibereskan. Cuma lantai saja yang belum dimop. Lelah juga walaupun ada rasa suka. Justeru dia berehat seketika.
Duduk di atas sofa dan hembus nafas gembira.

Pandang rumah yang cukup indah dengan dekorasi yang minimalis. Sesuailah dengan lelaki bujang. Tak perlu serabut dengan banyak barang. Dia pun suka begini. Kalau ada anak nanti tak adalah susah anak nak bermain sana-sini. Anak-anak pun tak cedera kena bucu itu bucu ini. Dia pun tak akan kalut nak mengemas 24 jam. Ah, alangkah bahagianya. Bila ayah anak-anak balik rumah, tak adalah sakit kepala tengok rumah macam tongkang pecah.
Tasneem larik senyum panjang.

Pap!
Tampar pipi sekali dua.
‘Kau ni berangan sampai ke bulan. Entah-entah orang tu dah ada kekasih.’ Tasneem mengomel lantas bangkit dari sofa. Melangkah ke stor kemudian keluarkan mop. Dengan senang hati dia ke sana ke mari membersihkan lantai. Sedar tak sedar semua tempat sudah selesai dikemas.

Pandang jam tangannya. Sudah pukul satu. Rasanya dah lama sangat dia di sini. Lagipun buat apa dia nak tunggu lelaki itu. Nanti kan kena tangkap basah pula. Naya dia nanti. Dia tak nak perasaan ini berakhir dengan cara macam tu. Lalu Tasneem tarik sling beg di atas meja kopi.

Baru saja berada di muka pintu telefonnya berbunyi. Melihat nama yang telah dia simpan awal-awal dadanya berdebar rasa segan.

“Tas free tak?” suara di sebelah sana cukup lembut. Tasneem telan liurnya. Rasa malu pula hendak bercakap dengan orang berpangkat begitu.

“Ya tengku.” Tasneem teragak-agak hendak menjawab.

“Janganlah panggil tengku. Panggil Nel dah cukup.” Neldhia buat suara merajuk dan hati Tasneem rasa bersalah.

“Nel ada apa-apa nak cakap ke?” soal Tasneem betul macam sudip. Dah macam budak-budak pula. Pantas ketawa Neldhia berhamburan keluar.

“Haah. nak cakap ni. Nel nak belanja Tas makan malam. Jangan tolak tau.”
Awal-awal lagi Neldhia berpesan dan mana mungkin Tasneem akan buat gadis itu kecil hati.

“Boleh je. Nanti Nel hantar lokasi ya.”
Neldhia senyum gembira. Niat baiknya disambut mesra oleh Tasneem. Setelah tiada apa yang hendak dibualkan Neldhia putuskan talian. Tasneem pula tarik picu pintu.
Sebaik saja daunnya terbuka tersembul wajah Zaim di depan.

“Aku ingatkan kau dah balik,” sapa Zaim dengan kerutan di dahi. Di belakang lelaki itu ada Rafael yang Tasneem kenali di restoran pagi tadi. Tasneem tersipu-sipu malu melihat mata lelaki berkaca mata itu tak lepas memandangnya.

“Nak balik dah ni,” jawab Tasneem malu.

“Okay. Kejap.” Zaim leraikan beg di belakang. Pegang dan hulurkan kepada Tasneem. “Tolong pegang kejap. Aku nak ambil dompet aku.”
Tasneem beri senyum manis. Pantas pegang beg namun…

“Meaoowww!”

“Apa ni?” Tasneem menjerit kuat dan spontan beg yang dipegang jatuh ke bawah. Pantas dia berlari keluar dan berhenti di belakang Rafael. Zaim pula mengetap bibirnya geram. Sampai hati gadis itu lepaskan kucingnya macam tu saja. Kasihan kucing kesayangannya. Tak pasal-pasal terkejut. Nasib kucing ya tak ada lemah jantung.

“Kau ni… penakut rupanya.”

“A… a… awak suruh saya pegang apa?” balas Tasneem dengan suara tergagap takut.

“Kucing.” Zaim jatuhkan lutut lantas tarik zip dan kepala Cookie terjengul keluar. Tubuh Tasneem mula seram sejuk. Tanpa apa-apa kata terus meninggalkan Zaim dan Rafael yang terpinga-pinga tidak faham.

“Takut kucing ke?” teka Rafael dan Zaim mendengus kecewa.

“Kucing je pun,” omel Zaim lucu. Kepala tergeleng-geleng namun seketika saja. Dia teringat yang dia belum memberi upah kepada gadis itu. Lantas dia hembus nafas kesal. Nampaknya esok dia kena pergi cari gadis itu dekat restoran. Satu hallah pula.

Rafael pula bergerak ke balkoni. Menghendap sehingga ke luar bangunan. Tercari-cari Tasneem namun tak jumpa. Lalu kepala tergeleng sama. Tak sangka dah tua pun takut kucing lagi.

***

Tasneem menggigil di dalam kereta. Kakinya tak mampu hendak melangkah keluar. Melihat kepala kucing tadi dia rasa haiwan itu seakan hendak menelannya hidup-hidup.

Dah lama dia tak rasa takut begini. Alih-alih hari ini dia rasa macam nak mati pula. Lantas dia sapu air mata yang hampir keluar.

Ketukan di pintu kereta yang tiba-tiba mengejutkan Tasneem. Serentak itu dia menjerit kuat. Spontan Dahlia membuka pintu. Apabila Tasneem menangis ketakutan dia peluk gadis itu kuat-kuat.

“Aku perhati je kau dekat kaunter. Nampak kau pelik. Ini mesti jumpa kucing kan?” soal Dahlia seraya meleraikan pelukan. Tasneem mengangguk bersama tangisan.

“Jumpa kat mana?” tanya Dahlia lagi. Nasib baiklah selama ini tak ada kucing di restoran mak usu. Kalau tidak memang tak muncullah Tasneem kat sini sampai bila-bila.

“Dia bela kucing.”

Dahlia kerutkan dahi.
“Dia! Dia tu siapa?” soal Dahlia tak faham.

“Encik Zaim tulah.”

Dan tawa Dahlia terhambur kuat.
“Nasib badan betul. Jumpa lelaki yang dia minat tapi alih-alih orang tu tak sama dengan dia. Sorang fobia kucing. Sorang pula bapak kucing. Memang kau tak ngamlah dengan dia. Nampaknya kau memang tak ada jodoh dengan dia Neem oooiii,” ujar Dahlia sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Tasneem pula pantas sapu air mata. Hembus nafas geram.
“Kau bukannya nak sokong aku tapi bagi kaw-kaw dekat aku kan. Padahal kau tahu aku dengan kucing musuh ketat.” Tasneem meluah sakit hati namun Dahlia buat tak endah.

“Baik kau putus asa je lah Neem.” sengaja Dahlia menyakat. Nak tahu sejauh mana kesungguhan gadis itu.

Tak sangka Tasneem sapu air mata lantas genggam tangan seraya menghembus nafas keras.
“Tak apa. Sebab dia aku akan cuba berkawan dengan kucing. Aku rela.”

Dahlia mencebik tak percaya.
“Eh, kau ingat rela kau tu boleh padamkan kau punya fobia ke? Jarang tau aku jumpa spesies kau yang boleh terima kucing bila dah kahwin dengan lelaki yang suka haiwan tu. Baik kau mengalah je lah Tasneem,” nasihat Dahlia. Namun Tasneem tak makan saman.

“Aku akan berusaha untuk suka kucing juga. Kau tengoklah nanti.” Memang bersungguh nampaknya si Tasneem. Tak main-main.

“Erm… tak apalah. Aku nak tengok je. Sampai mana kau punya suka tu nanti.” omel Dahlia lantas menyuruh Tasneem keluar. Namun Tasneem menolak.

“Malam ni aku ada nak jumpa kawan baru. Jadi aku nak balik rumah mak usu. Nak rehat dulu.” Tasneem bercerita dan Dahlia terangguk-angguk. Dia tahu pasal kawan baru Tasneem itu kerana Tasneem tak pernah menyorokkan apa-apa darinya.

“Dah dapat yang baru tu jangan pula tinggalkan aku.” pesan Dahlia tetapi Tasneem julingkan mata ke atas.

“Aku rasa kau yang jauh dari aku. Maklumlah orang dah nak kahwin.”
Dan… serta-merta Dahlia angkat tangan kiri. Tunjuk cincin belah rotan yang telah setahun tersarung di jari manis. Sudah lama bertunang dan dia akan menjadi isteri orang setelah tunangnya naik pangkat. Bakal inspektor hatinya itu sudah mendapat arahan berpindah ke ibu pejabat polis di Kuantan tetapi belum ada arahan rasmi. Katanya tengah tahun nanti. Lalu hatinya tak sabar sungguh hendak menjadi yang halal buat lelaki itu.

Tasneem pula menjeling sambil hembus nafas menyampah dengan muka manis Dahlia.
“Kau tak payah nak tunjuk bangga sangatlah. Entah-entah aku yang kahwin dulu.” Tasneem memotong khayalan Dahlia dan terus Dahlia aminkan.

“Elok juga. Cuma aku kasihanlah dekat mamat yang kahwin dengan kau nanti. Dapat perempuan sewel macam kau ni hah.”
Pantas tangan Tasneem naik ke lengan Dahlia dan cubit kuat. Dahlia pula segera menjauh. Gosok lengannya sambil mengacip gigi.

Tasneem tutup pintu dan jelirkan lidah. Segera undur kereta dan memandu pulang ke rumah mak usu dengan hati gembira.

Dahlia pula hembus nafas lega lantas senyum puas hati. Berjaya juga dia hilangkan takut Tasneem. Hai, minah. Janganlah kau jadi penakut sampai ke tua.

Takut kucing rupanya. Adoiii!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience