BAB 50

Family Series 39843

Tasneem pandang ke arah bangunan ZakBina. Sudah tiga hari Zaim meninggalkannya sejak kejadian lepas. Dia pula tak senang duduk. Hati mahu membetulkan apa yang dah terjadi. Dia mahu meminta maaf. Lalu, tengah hari ini dia singgah ke restoran mak usu. Dia mahu membawa makanan tengah hari untuk lelaki itu dan mengambil peluang untuk makan berdua.

Dia sudah menghubungi papanya. Orang tua itu cakap baru hari ini Zaim masuk pejabat. Lalu dengan dada berdebar-debar dia bawa mangkuk tingkat ke pejabat lelaki itu. Berharap sangat Zaim akan menerima kedatangannya dengan hati yang terbuka.

Hembus nafas kuat. Membuang segala resah. Resah kerana sudah berhari-hari tidak berjumpa dengan lelaki itu. Apatah lagi dia pula sudah dua malam tidur di rumah mak usu. Semalam baru dia balik ke rumah kawannya dan bermalam di sana. Hati tak mampu menipu dia cukup takut.

Sebaik sampai di aras pejabat lelaki itu semua mata memandangnya pelik.

“Nak jumpa siapa?” sapa seorang gadis di meja berhadapan dengan bilik Zaim.

“Nak jumpa Encik Zaim,” balas Tasneem lembut. Segan pun ada sebab dia tahu mungkin ada mata yang mengecam dirinya yang seringkali mendapatkan pesanan di restoran mak usu.

“Dah buat appointment?” soal gadis itu lagi. Tasneem menggeleng. Hatinya kecewa kerana dia tidak tahu apakah orang di sini tahu yang mereka telah bernikah. Bimbang pula jika dia buka mulut Zaim akan memarahinya. Mungkin juga lelaki itu menyembunyikan status mereka berdua.

Serba salah jadinya dan dia akhirnya tak jadi nak masuk ke dalam. Dia rasa orang tak tahu siapa dia. Jadi dia tak akan malukan lelaki itu lantas berpaling mahu beredar. Namun, tangannya ditangkap orang.

Pandang pemilik tangan dan renungan di depan mata meluruhkan sendi tulangnya.
Mata Zaim nampak tajam. Muka lelaki itu juga nampak tegang. Lagi menakutkan apabila jambang di muka semakin panjang. Bahkan tidak dirapikan. Hatinya bertelingkah sesama sendiri. Kenapa dengan lelaki itu. Apa yang dah jadi. Tak semena-mena Zaim menariknya masuk ke dalam lantas menolak pintu dengan kuat. Tubuhnya pula dihumban ke sofa dan mangkuk tingkat yang dibawa terus jatuh ke bawah. Berterabur isi di dalam.
Tasneem terperanjat.

Makin terkejut apabila Zaim menghempaskan tangan ke bahu sofa. Mengepungnya bagaikan ketua penjahat.
“Kenapa kau datang jumpa aku kalau kau sendiri yang cakap kau tak nak nak aku dekat dengan kau. Kenapa?” jerkah Zaim dan mata Tasneem terus dipejam rapat.

Hati ketakutan. Malah telinga rasa mendengar suara di luar bercakap-cakap tentang mereka. Tentu suara jerkahan Zaim membuat semua orang saling mencari jawapan.

Zaim bangkit. Tegakkan badan lantas membelakanginya.

“Orang di sini tak tahu yang kita dah kahwin. Jadi kau jangan datang ke sini lagi. Ini last kau tunjuk muka dekat semua orang. Berambus!” keras suara Zaim keluar dari mulut.

Dada Tasneem terasa ketat. Tak sangka sama sekali. Usahanya yang baru nak bermula terus gagal. Nampaknya memang Zaim tak akan suka dirinya.

“Saya… saya datang nak…. “

“Nak apa?” jerkah Zaim dan wajah itu semakin tegang. Entah apa yang mengganggu lelaki itu dia tak tahu.

“Saya nak…. “ Tenggoroknya rasa tersumbat. Dia takut hendak menjelaskan kepada lelaki itu. Pantas Zaim menghadapnya. Paut bahunya kuat dan dia terperanjat. Tubuh pun menggigil.

“Kau dah menyesal? Jadi kau datang nak menyerah diri. Dah tak trauma?”

Buntang mata Tasneem dengan ayat lelaki itu. “Atau… kau datang nak tunjuk yang kau tu murah. Kau nak orang tahu yang kau kena tangkap khalwat dengan aku. Lepas tu kau nak canang dekat semua orang yang kita kahwin sebab kena tangkap basah. Macam tu?” gertak Zaim dan tolak tubuhnya sehingga dia berundur ke belakang dua tiga langkah.

Hati menangis pilu. Mata pun merah menahan air mata dari keluar. Zaim pula sudah membelakangi.

“Balik! Dan… kau jangan nak ke mana-mana.” Tegas arahan itu keluar namun hati pantas membenci. Perlakuan lelaki itu tadi benar-benar menerbitkan rasa benci yang teramat. Tidak berbaloi betul memandu jauh semata-mata hendak makan tengah hari dengan lelaki itu. Tidak berbaloi juga dia buang semua perasaan benci semata-mata mahu berbaik dengan lelaki itu. Kerana tak berbaloilah air matanya mengalir juga dan dia tak berlengah. Terus tinggalkan mangkuk tingkat lantas melangkah keluar tergesa-gesa bagaikan orang gila. Sudah tidak hiraukan beberapa pasang mata yang memandangnya dengan mulut terjuih keluar.

Di pertengahan jalan dia bertembung dengan Dato’ Zakri. Orang tua itu memanggilnya berulang kali namun dia tak hiraukan. Terus masuk ke dalam lif dan meninggalkan tempat yang hampir menelannya hidup-hidup. Hati pun bersumpah. Dia tak akan kembali lagi ke rumah mentuanya. Dia akan terus menetap di Gambang sehinggalah rasa benci di dalam hati hilang dengan sendirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience