BAB 55

Drama Completed 84621

Jam di telefon berbunyi nyaring.
Sudah 5.30 pagi dan Zaim segera bangkit lantas bergegas masuk ke dalam biliknya. Pandang ke katil. Kelihatan Tasneem masih lagi tidur dengan berbungkus seluruh tubuh. Melihat gelas minuman dan pinggan mangkuk yang kosong tanpa isi Zaim lebarkan senyum.

Tak mahu berlengah. Sejak semalam dia pasang tekad. Akan mulakan hidup baru. Tidak akan memikirkan kejadian lepas. Malah orang yang memerangkapnya juga dibiarkan lepas bebas dahulu. Lalu dia bersiap. Terus keluar dan mengekori papa ke masjid.

Tasneem tersedar apabila terdengar pintu bilik ditutup orang. Pandang sekeliling. Tidak nampak kelibat orang lantas dia menggeliat kecil. Tubuh masih lagi terasa lemah namun dia perlu bangkit untuk tunaikan solat. Sentuh dahi. Sedikit suam. Tetapi dia tak boleh melayan rasa malasnya. Dia pun bangkit membersihkan diri. Usai solat subuh dia turun ke bawah.

“Eh, Tas. Dah baik ke ni?” sapa Datin Hakimah yang juga baru muncul. Hendak ke dapur menyiapkan sarapan pagi kepada isi rumah sebelum masing-masing bergerak ke tempat kerja.

“Belum lagi mi tapi Tas nak ambil angin kat luar kejap. Nak sedut udara segar mi,” balas Tasneem lantas singgah ke dapur. Hantar dulang semalam.

Datin Hakimah pula mengekori dan berhenti di sebelah. Tangan naik merasai dahi Tasneem.

“Isi perut dulu sikit lepas tu makan ubat,” suruh Datin Hakimah lalu memulakan tugasnya ditemani Kak Lili.

Tasneem angkat kening. Tak tahu ubat dekat mana. Mulut pun berat nak tanya lantas dia hanya teguk air suam lalu keluar dan duduk di bangku di belakang dapur. Dia duduk menghadap pokok-pokok ulam sehinggalah matahari memancarkan sinarnya. Suasana gelap subuh tadi sudah cerah. Menzahirkan semua yang ada di depan mata. Bertambah pula dengan kicauan burung yang singgah di atas pokok mendamaikan hatinya yang tak tenang seminggu dua ini.

Tasneem pejamkan mata. Tiba-tiba terasa ada orang labuhkan punggung di sebelah. Pantas dia celikkan mata. Melihat Zaim di sebelah yang merenung wajahnya terus dia larikan mata. Dada pula berdegup kencang.

“Kenapa duduk dekat luar. Kena angin pagi ni boleh buat kau demam balik,” sapa Zaim dengan mata yang belum dilarikan.

Melihat wajah bersih Tasneem sedekat ini hati lelakinya mula mengakui. Cantik Tasneem bukan terletak pada bentuk wajahnya. Namun terzahir pada sekeping hati yang baik. Gadis itu memang sopan, beradab dan berakhlak. Cuma dia yang tak nampak. Dia yang terlalu mengikut kata hati. Konon-konon hendak melindungi Neldhia padahal orang di sebelah inilah yang akhirnya perlu dia jaga.

Tasneem pula rasa tak selesa. Panahan mata Zaim membuat dia resah. Apatah lagi dia tak kuat hendak melawan perasaan takutnya. Malah benci yang tak henti-henti datang mengganggu membuat dia resah. Dicengkamnya birai bangku dengan kuat. Cuba menenangkan diri namun tak semudah itu. Lantas dia bangun namun lelaki itu pantas menarik tangannya.

“Duduk dulu. Kita kena berbincang.” suruh Zaim namun Tasneem kaku tak bergerak.

“Kita kena bincang dari hati ke hati. Biar semua masalah kita selesai. Kau tak nak hubungan kita kekal macam orang lain?” soal Zaim seraya memandang redup. Namun, serta-merta mata Tasneem cerlung tajam memandang Zaim.

“Lepaskan saya.”

Pantas Zaim kerutkan kening. Tengok tangannya. Itukah yang dimaksudkan Tasneem. Lantas dia leraikan tangannya. Memang benar itu yang Tasneem maksud kan. Dia bimbang andainya Tasneem maksudkan yang lain. Melihat Tasneem yang hendak melangkah masuk ke dalam Zaim berbunyi lagi.

“Maafkan aku!” ucap Zaim dan dengan keras menarik lengan Tasneem lantas disuruh duduk di atas bangku semula.

Gadis itu meronta-ronta minta dilepaskan. Malah Tasneem memukul tangannya. Gadis itu mahu menjauhkan diri. Namun tenaga itu tak banyak lalu Tasneem jatuh terduduk dengan muka merah.

“Nak bincang apa lagi. Awak sendiri yang halau saya. Awak sendiri yang hina saya. Apa lagi yang awak nak harapkan dari saya?” soal Tasneem dengan mata yang merah menahan tangis. “Awak nak saya jadi isteri yang terbaik? Tapi awak tak bagi kerjasama. Awak mengarah saya tanpa tanya apa-apa. Awak terus tunjuk kuasa veto awak tanpa bincang dengan saya. Awak nak apa sebenarnya. Nak balas dendam?” Panjang lebar Tasneem luahkan dan Zaim akhirnya lepaskan cengkaman tangannya.

“Kita mulakan sekarang?”

Mulut Tasneem yang terbuka hendak menyembur lelaki itu tertutup semula. Dia tak faham. Pandang Zaim dengan kepala yang kabur.

“Mulakan apa?”

“Pikat aku. Buat aku jatuh cinta dengan kau. Kalau kau berjaya tundukkan aku, aku tak akan lepaskan kau. Tapi….” Zaim berhenti. Tenung mata Tasneem yang berkaca-kaca. Paut kepala gadis itu. Rapatkan ke mukanya.

“Kalau kau tak berusaha pikat aku, aku yang akan mulakan. Aku yang akan buat kau lemas sampai kau tak mampu duduk jauh dari aku.”

Pantas Tasneem tolak tangan lelaki itu. Dada berdebar sungguh-sungguh. Bukan sebab kata-kata lelaki itu tetapi kedudukan mereka yang amat rapat. Terus dia bangun dan berpaling ke belakang. Zaim pun ikut sama. Berdiri di belakangnya.

“Mulakan Tasneem. Anggap sajalah kita baru berjumpa buat kali pertama. Pikat aku dengan cara kau dan aku akan tunggu kau.”

Habis berkata Zaim pun masuk ke dalam. Sementara Tasneem terduduk semula dan sentuh dadanya yang bergendang kuat. Hati mula lemah. Tiba-tiba saja dia rasakan dia kalah sebelum berjuang.

Mana tekadnya dulu. Akan terus membenci lelaki itu. Perlukah dia terus membenci andainya lelaki itu telah pun membuka pintu untuk dia mula menyayangi. Tetapi hati tak mampu memberikan jawapan. Akhirnya dia menangis lagi.

***

Kayla yang menyaksikan pertaruhan di antara abangnya dan Tasneem mengherotkan senyum lucu. Pandai betul abangnya buka gelanggang. Bertaruh kini. Padahal tak akan ada yang kalah. Malah pertaruhan itu akan menguntungkan kedua-dua pihak sebenarnya. Tetapi dia tak nampak kegembiraan pada wajah Kak Tasneem. Lain pula dengan muka abangnya. Nampak teruja menunggu si isteri memulakan.

Lalu hati bertekad. Kali ini dia akan menolong abangnya. Sekaligus menolong semua orang agar sinar kebahagiaan akan terpancar di dalam rumah ini.

Dengan hati girang, Kayla melangkah mendekati meja. Hendak sarapan pagi bersama keluarganya. Kelihatan Dato’ Zakri sudah siap dengan kemeja namun abangnya Zaim hanya santai dengan t shirt hitam dan seluar jeans warna lusuh.

“Abang tak kerja?” tanya Kayla lantas labuhkan punggung.

Zaim pantas menggeleng.
“Abang nak pergi ambil kereta Kak Tas dulu. Lepas tu abang Im pergi site. Dah lama tak tengok progress kat sana,” balas Zaim lantas kerling Tasneem yang baru labuhkan punggung di depannya.

Wajah itu nampak terkejut. Mungkin tak menyangka yang dia akan menolong mengambil kereta yang ditinggalkan do kolej.

Dato’ Zakri yang mendengarnya pandang anak jantannya. Bahagia apabila mata Zaim tak lepas menilik muka isteri sendiri. Terus dia kuis siku Datin Hakimah dan isterinya lorekkan senyum. Nampak lega. Namun, Nik Salimah yang berada di hujung meja pula mendengus tak suka. Entah apa yang wanita itu tak puas hati semua orang tak tahu.

“Eh, yang kau jadi patung tu kenapa? Mana makanan Im. Hish, takkanlah sakit sikit dah jadi pemalas.” Tiba-tiba Nik Salimah berbunyi. Terus wajah Tasneem menyebu merah. Nasib dia tahu adab sopan. Kalau tidak tentu dibalingnya pinggan ke muka nenek tua itu. Tengah-tengah tak sihat ni tak pasal-pasal bertambah lagi sorang yang sakit nanti.

Zaim pula memang sengaja biarkan pinggan kosong. Dia menunggu Tasneem bereaksi. Apakah gadis itu akan melayannya sama seperti di restoran. Dan tak sangka, Tasneem hulurkan tangan meminta pinggan darinya.

Zaim pun lorekkan senyum. Betullah kata mami. Tasneem lembut hati orangnya. Namun wajah itu sekarang ketat tak berperasaan.

“Im, bubuhlah sendiri. Tas kan tak sihat tu,” celah Datin Hakimah namun Tasneem menggeleng.

“Tak apa mi. Tas dah okay.” Terus disendukkan bihun goreng ke dalam pinggan dan hulurkan kembali kepada Zaim.

“Awak nak teh atau milo?” tanyanya dengan terpaksa. Dia terpaksa memulakan. Bukan memikat tetapi melaksanakan tanggung jawabnya. Namun suara sinis Nik Salimah mematikan tindakannya.

“Dah hampir sebulan kahwin, takkan nak berawak saya, beraku engkau lagi. Tak ada adab langsung dengan suami.”

Ya Allah, orang tua ni. Apa yang tak kenanya. Hati Tasneem tiba-tiba berapi. Kayla di sebelah pun rasa nak marah. Neneknya sengaja hendak membakar emosi semua orang.

Namun lain pula dengan Zaim. Dihadiahkan senyum senget pada Tasneem seraya merenung lembut. Saat tangan Tasneem tarik cawan dia pun bangkit.

“It’s okay sayang. Don’t move. Abang ambil sendiri.”

Gulp!
Tasneem telan air liur. Pandang Zaim yang tarik cawan dari tangannya dan tuang air milo panas.

Tak berkelip dia pandang Zaim yang sempat tunjuk senyuman manis. Dan… hati semua orang berbunga ceria. Hanya Nik Salimah yang masih tak puas hati.

Share this novel

Noridawaty Zack
2024-12-27 08:52:33 

Tas...biar Zaim yg pikat ko Tassss....kita tgk cair ke x?grrr

Norzilawati
2024-12-26 23:15:38 

nk panjang lg .. hu hu hu.. tq utk author sbb update.. muah3.. abaikan si nenek tua tu


NovelPlus Premium

The best ads free experience