BAB 25

Family Series 39843

Akhirnya dia ikut juga permintaan Neldhia. Saat tengah hari yang panas membahang dia sampai di banglo Dato’ Zakri. Nasib baik google maps ada. Tidaklah dia sesat kat bandar Kuantan ini. Sebaik tiba, dia diserbu Neldhia.

“Kenapa lambat?” soal Neldhia lantas tarik tangannya.

Tasneem terkedu. Sejuk betul tangan gadis itu. Takut sangat ke. Rasanya dia yang perlu takut sebab dia tak diundang. Buang semua rasa lantas peluk gadis itu. Berikan kekuatan.

“Nel dah lama sampai?”

“Dah sepuluh minit kat sini,” balas Neldhia dengan wajah pucat. Mungkin sebab nak tunggu keputusan Dato’ Zakri kut.

Dia abaikan wajah itu lantas mengekori Neldhia sehingga ke muka pintu. Dari situ dia dapat melihat wajah-wajah yang asing di matanya. Hanya dua tiga orang sahaja yang dikenalinya sedang berbual di atas sofa. Matanya pantas tertuju pada Zaim yang santai dalam t shirt polo hijau kepala itik dan seluar warna khaki. Terus dia pandang diri sendiri. Kenapa boleh sama? Dia main ambil je blouse warna khaki yang ditabur bunga-bunga kecil hijau pink. Dipadankan dengan skirt pleated warna hijau pula. Telan liurnya malu. Janganlah orang perasan. Terus mata kerling Neldhia. Gadis itu pula anggun dengan baju kurung moden sutera berwarna oren bata.

“Maaf semua. Nel ajak Tasneem makan sama. Boleh kan uncle.” Neldhia tarik Tasneem perlahan-lahan menuju ke arah emaknya sebaik saja Dato’ Zakri mengangguk mesra.

Tasneem tunduk mencium tangan emak Neldhia. Wanita berpangkat itu cantik orangnya. Macam artis. Kemudian dia bergerak ke arah nenek Zaim. Dia ingat wajah itu. Tetapi sayang huluran tangannya disambut dingin. Mata pun menjeling tak suka. Hati terus berdegup. Takut.

“Tak sangka pula Nel ajak Tas. Kenapa tak cakap awal-awal,” sapa Datin Hakimah yang muncul dari dapur. Dengan segan Tasneem tunduk cium tangan itu. Tak sangka wanita itu memeluknya erat. Lantas berikan ciuman di pipi kiri dan kanan. Tasneem kaget. Erk, siapa sebenarnya yang diraikan. Kenapa dia nampak wanita itu teruja dengan kemunculannya.

“Tas duduklah. Temankan Nel. Aunty nak ke dapur. Nak siapkan hidangan.”
Tasneem pantas tarik tangan Datin Hakimah.

“Biar Tas tolong.”
Datin Hakiman menggeleng namun Tasneem segera berbisik. “Tas malu nak duduk kat luar ni.”

Akhirnya Datin Hakimah akur. Pimpin tangan Tasneem sehingga ke dapur.

Neldhia di sebelah memandang pelik. Dia ditinggalkan begitu saja oleh Datin Hakimah. Awal-awal tadi wanita itu menyambutnya mesra. Berbual sekejap kemudian tinggalkan dia dengan nenek Zaim. Sekarang dia terus ditinggalkan. Pantas ada api cemburu menyelinap masuk ke dalam hati. Lalu mata memandang Zaim mencari ketenangan di situ dan lelaki itu berikan senyuman. Hilang segala rasa jahat yang muncul dan dia terus bergerak ke arah Zaim. Berharap lelaki itu tidak akan meninggalkannya sebagaimana Datin Hakimah.

Dato’ Zakri yang sedang berbual dengan Tengku Rahmat pula leretkkan senyum. Melihat Tasneem yang mudah mesra dengan isterinya, hati mula mengharapkan sesuatu. Pandang Zaim dan Neldhia yang rancak berbual. Nampaknya dia perlu buat keputusan sebelum semuanya terlambat.

***

Mata Datin Hakimah tak lepas memandang Tasneem yang dah mengalahkan pembantu rumahnya. Cepat benar siapkan hidangkan yang berbaki separuh. Gadis itu langsung tak kekok dan hatinya berbunga bangga.

“Aunty tengok Tas dah macam tukang masak kat restoran. Betul ke Tas ni ambik order je. Tak percayalah.”

Tasneem gelak kecil.
“Sebelum Tas datang Kuantan, Tas selalu tolong ibu Tas dekat kedai. Ibu tukang masak dekat warung makan masakan siam. Tas banyak belajar dari ibulah.”

“Oh, patutlah.” Bibir Datin Hakimah membulat. Bangga dengan jawapan gadis itu. “Tentu Tas boleh masak macam-macam kan?” Mulalah Datin Hakimah nak mengorek rahsia.

“Taklah pandai sangat aunty tapi… setakat nak makan sendiri bolehlah.”

“Ya lah tu kan. Hari tu Tas buat gulai pucuk jahar kan sedap sangat. Sampai pak cik asyik ulang cakap dekat aunty nak makan yang Tas buat.”

Tasneem pantas ukir senyum segan.
“Kalau pucuk tu ada nanti Tas bawa ke sini.”

“Haah… masak kat sinilah. Ajar auntie terus.”

Tasneem angguk setuju. Bangga pula bila wanita itu sanggup meminta diajar. Jarang orang tua hendak belajar dengan orang muda. Dengan rasa meruap-ruap di dalam dada Tasneem pandang jauh ke luar dapur rumah. Rasa macam tertinggal sesuatu.

“Kenapa tu?” tanya Datin Hakimah hairan. Dia yang menolong pembantu rumahnya menghidang makanan ke atas meja hairan melihat Tasneem yang termenung jauh.

“Erk, Tas rasa Tas bawa desert. Tas letak kat mana ya.” Tasneem fikir semula. Mukanya berkerut mencari jawapan. Sampai-sampai tadi dia terus kena tarik dengan Neldhia.
“Oh, ya. Tas tertinggal dalam kereta.” Pantas Tasneem mendapatkan begnya.

“Biar Kay ambil.” Entah bila gadis itu muncul. Alih-alih saja berdiri di belakang Datin Hakimah.
Tasneem lemparkan senyum. Terus gagau kunci kereta dalam sling beg yang diletakkan ke atas kitchen island. Mujur gadis itu nak membantu. Dia pula sebenarnya segan hendak melintas ruang tamu. Apabila Kayla hulurkan tangan terus diletakkan kunci ke atas tapak tangan gadis itu dengan besar hati.

Tapi Datin Hakimah memandang pelik ke arah anak bongsunya. Melihat senyum panjang Kayla hati asyik mencari jawapan. Sejak sampai di rumah petang Khamis, muka itu asyik pahit saja. Alih-alih sekarang sudah manis bak gula. Entah apa yang dah ubah Kayla.

“Itu anak bongsu auntie. Kayla.”

Tasneem angguk.
“Dah kenal auntie. Taslah yang tak sengaja langgar dia dulu.”

Datin Hakimah juga terangguk-angguk. Teringat cerita yang Zaim khabarkan. Tak sangka kisah lalu membawa mereka sejauh ini. Dapat mengenali Tasneem hatinya berbunga-bunga. Wajah bulat yang dihiasi mata redup itu sungguh cantik. Dua ulas bibir yang kecil itu cukup menawan walaupun hanya dengan sapuan pelembab bibir merah jambu. Bahkan lesung pipit yang ada di sebelah pipi kanan sahaja menaikkan seri wajah itu. Kepalanya tiba-tiba mengingati seseorang.
Terus digeleng laju apabila menyedari dia tak perlu nak fikir jauh.

“Dah siap hidang kan, aunty. Bolehlah ajak semua makan.” Suara Tasneem mematikan khayalan Datin Hakimah. Wanita itu mengangguk lantas ke ruang tamu. Sementara Tasneem di dapur pandang jam tangannya. Berharap masa cepat-cepat berlalu kerana dia sebenarnya kurang selesa di sini.

***

Kayla sengaja lambat-lambatkan masa. Duduk di dalam kereta Myvi ungu dengan perasaan berdebar. Toleh ke belakang dan pandang dua bekas lutsinar berisi sagu gula melaka yang tersedia di dalam gelas-gelas kecil.

Hati terdetik. Mungkin Kak Tasneem buat sendiri.
Mata memandang ke depan semula. Hati-hati dengan keadaan sekeliling. Dia tak mahu orang lain tahu dia sedang mencari bukti. Mata pandang atas bawah. Tak jumpa apa-apa. Kerana hati yang musykil dengan cerita abangnya dia perlu selidik sendiri. Kali ini mata beralih ke arah laci dashboard di depannya. Dengan berhati-hati dia tarik dan terus bibirnya meleret senyuman puas hati.

Melihat sekeping kad pekerja yang diam di dalam terus ditariknya keluar. Baca dengan rasa bangga.

KOLEJ MATRIKULASI GAMBANG
Pensyarah Akademik
TASNEEM SALSABILA
Jabatan Matematik
Unit Sains Komputer

Sengih Kayla melebar luas. Puas hati kerana tekaannya tepat. Mata pandang ke arah pintu rumah yang terbuka.

Abang Im dah tertipu.
‘Abang ingat Kay budak-budak ke. Ingat Kay tak tahu apa-apa. Siap abang nanti. Kay tak akan cakap apa-apa sebab abang tu kedekut. Kedekut nak mampus. Nak makan minum dalam kereta pun susah,’ omel hati Kayla dengan puas.

Padan muka abang! Banggalah sangat dengan kakak Neldhia tu. Pemegang master konon. Entah-entah Kak Tasneem ni lagi hebat. Agaknya dah dapat phd.

Kayla gelak kecil.
Abang oh abang!
Tiba-tiba bibirnya diketap kuat. Lupa nak bawa telefon. Kalau tidak dia dah dapat rakam gambar kad. Ini bukti utama ni.

Letak kembali kad pekerja lantas cari sesuatu di dalam laci. Hanya ada buku servis kereta dan juga beberapa keping surat. Hati hampa dan Kayla masih mahu mencari sesuatu.

Ketukan di cermin sebelah mengejutkan Kayla. Wajah terus berubah pucat. Melihat Ku han di luar Kayla segera keluar dan menghadap lelaki itu yang menilik kereta Myvi ungu.

“Kereta Kak Tasneem kan?” soal lelaki itu teruja.
Kayla angguk dengan muka berkerut. “Dia datang juga ke?”

“Haah, Kak Nel yang jemput.”

Terus Ku Han tunjuk gembira dengan kepal tangan dan dihenjut ke depan sambil sebut yes dua tiga kali.

Kayla dapat membacanya. Apabila Ku Han melangkah ke pintu rumah dia buka pintu belakang.

Tak boleh jadi. Dia tak suka Ku Han jual minyak kat sini. Lantas dengan cepat ambil bekas lutsinar. Baru saja menarik keluar mata pandang beg laptop di kaki penumpang dan lambakan buku sains komputer di sebelah beg. Memang sah gadis itu hebat orangnya.
Hati Kayla bersiul gembira.

Siaplah Abang Im. Kay tak sabar nak rakam muka terkejut abang.
Hahaha.
Oh, time! Please come quickly!
Dan Kayla masuk ke dalam dengan macam-macam agenda.

Oppsss! Ada orang dah tahu rahsia Tasneem. Hahaa... Gh tak sabar nak tunjuk plan Kayla

Share this novel

Mythic 20 Ronaldojr7
2024-11-23 14:10:42 

kita tgk mesti zaim terkejut....haha...,

voniceandrea
2024-11-22 21:33:35 

best

Norzilawati
2024-11-22 18:51:47 

x sabar nk tunggu bila zaim tau rahsia siapa tasneem sebenarnya ..


NovelPlus Premium

The best ads free experience