BAB 26

Family Series 39843

Semua orang sudah mengambil tempat masing-masing di meja makan berkerusi 12. Tanpa sebarang kata semuanya duduk dengan sempurna. Tasneem di sebelah kanan Datin Hakimah telan liur takut. Tak sangka pula suasana jadi sunyi-sepi. Yang mula kedengaran hanyalah sudu dan garfu berlaga dengan pinggan.

Hati menyumpah seranah diri sendiri. Konon-konon kuat nak hadap keluarga Zaim dan Neldhia. Alih-alih diri sendiri yang pucat lesi. Tambah-tambah lagi Ku Han muncul dengan senyum memikatnya.

Allah!
Bala dah sampai. Lelaki itu tarik kerusi di hadapan. Henyak punggung dengan mata tak lepas merenung wajah Tasneem yang berminyak gara-gara menolong di dapur.

“Tas!” sapa Ku Han dengan mata yang bersinar ceria.

Neldhia yang melihat abangnya menyapa Tasneem lebarkan senyum. Berharap sangat Ku Han berjaya memikat gadis itu. Baginya Tasneem lebih pantas dijadikan teman hidup abangnya daripada lelaki itu mengelek perempuan sembarangan. Dia sudah maklum dengan gadis begitu kerana dia pernah merasai hidup dalam noda hitam.

Neldhia hembus nafas panjang. Pantas Zaim hulurkan gelas berisi air masak. Cuba melegakan saluran trakea gadis itu. Hadiahkan senyuman untuk kekasih hati namun mata melirik Ku Han yang mula tunjuk minyak.

“What a coincidence. Jumpa Tas dekat sini. After that night, saya asyik teringat dekat Tas.”

Tasneem tersedak. Pantas wajahnya menyebu merah. Datin Hakimah di sebelah pula memandang penuh tanda tanya.
“Han dah kenal Tas ke?” soal wanita itu teruja.

“Baru je aunty tapi lepas ni Han akan terus mengenali.”

Tiba-tiba saja hati Datin Hakimah berlayar sayu. Rasa seperti akan kehilangan barang yang amat berharga.
“Kalau macam tu jangan lepaskan peluang. Lambat-lambat nanti kena kebas dekat orang lain pula,” pesan Datin Hakimah lantas sentuh tangan Tasneem.

Hati Tasneem pula tak boleh nak duduk diam. Perasaan bercampur-baur. Apahallah mamat tu nak cakap fasal hal malam itu di depan semua orang. Walaupun masing-masing sudah berbual topik sendiri tetapi Tasneem bimbang yang lain pasang telinga.
Malunya!

Tiba-tiba….
“Tadaaa!”
Perasaan malunya hilang begitu saja apabila Kayla muncul sambil menatang bekas plastik lutsinar.

“Lamanya Kay pergi ambil desert,” tegur Tasneem hairan.

“Haah, itulah. Kay ni pergi buat kat kilang ke ?” celah Datin Hakimah pula dengan gurauan.

“Sorry tau. Kayla makan dulu. Sedap sangat.” Kayla tunjuk dua gelas sagu gula melaka yang sudah kosong. Tasneem geleng lucu. Ada ke patut dibedalnya dekat luar. Tapi tak apa. Dia bangga sebab gadis itu menghargai makanan yang dia bawa.

“Kay nak simpan untuk Kay lagi dua.” Bekas plastik di letak ke atas troli pencuci mulut dan gadis itu ambil dua gelas lantas simpan dalam peti sejuk. Terkebil-kebil Tasneem melihat tindakan spontan Kayla. Gadis itu keluar semula dan letakkan gelas sagu gula melaka di depan semua orang.

“Abang Im kena rasa tau. Ini Kak Tasneem buat sendiri. Sedap sangat.”
Buntang mata Tasneem dengan pujian Kayla yang melebih-lebih. Dari manalah gadis itu tahu dia yang buat. Bala betul. Itu dia tempah dekat kedai. Tak sempat pun nak memasak. Aduhai, budak sorang ni!

Zaim pula tak memberi reaksi. Terus hati Tasneem patah dua. Nampaknya lelaki itu mengotakan janji. Benar-benar menganggapnya tak wujud. Lagipun itulah permintaannya. Masing-masing perlu menjauh.

Abaikan lelaki itu dan pandang Kayla.
“Kayla, itu Kak Tasneem tempah. Tak sempat pun nak buat.” Tasneem berterus-terang namun Kayla buat tak tahu.

“Tak kisahlah. Kakak yang bawa kan jadi Kay anggap kakak yang buat.”
Bulat mata Tasneem tak faham. Dayın Hakimah pula ketawa kecil. Perangai Kayla hari ini menghiburkan hatinya. Dah lama sangat tak buat perangai macam tu. Sejak kakak sulongnya pindah ke Jakarta Kayla jarang nak gembira macam ni. Namun kehadiran Tasneem hari ini merubah sikap gadis itu. Hati ibu meneka, Kayla sukakan Tasneem kerana anaknya itu langsung tak memandang Neldhia. Malah tak bertegur sapa pun. Kasihan pula dekat bakal menantunya itu.

Dari jauh pula Neldhia rasa terpinggir. Hanya Zaim yang ada menjadi penyelamat. Nasib lelaki itu mahu bersama dengannya. Lalu dia berharap lelaki itu tidak akan memulaukannya suatu hari nanti. Namun dia pelik. Kenapa perangai dia beradik itu amat pelik. Kayla yang pendiam dah jadi macam burung belatuk. Zaim pun benar-benar lain hari ini. Langsung tidak menegur Tasneem. Bahkan tidak kedengaran usikan lelaki itu pada Tasneem.

“Dahlah, Kay. Jom makan!” ajak Datin Hakimah. Kayla yang sudah siap meletakkan pencuci mulut di hadapan semua orang bergerak duduk di sebelah kanan Tasneem.

Masing-masing makan dengan senyap. Dalam senyap Ku Han memerhati perilaku Tasneem. Sambil makan merenung anak dara orang dengan mata tajam. Kayla menyedari.

“Kak Tasneem dah ada kekasih?” soalan Kayla yang tiba-tiba membuat Tasneem tersedak.
Terus Datin Hakimah hulurkan air masak. Lega. tetapi hati rasa segan. Di hadapan semua orang gadis itu sengaja kuatkan suara bertanya hingga semua mata tertuju ke arahnya. Nik Salimah mendengus tak suka. Bibir terherot geram. Tasneem perasan dengan wajah itu yang setentang dengannya.

“Tak ada.” Terpaksa Tasneem membalas lembut sebab Kayla nampak mengharap sangat. Kenapalah gadis itu buat hal. Perangai tu langsung tak seperti dekat restoran. Pelik betul.

Mata tiba-tiba terpandang Ku Han yang masih merenungnya. Cucuk mata tu karang kan jadi Kassim Selamat. Getus hati tak suka.

“Bermakna saya ada peluang?” Tak sangka Ku Han bersuara. Pantas Tasneem telan liur. Lelaki ini kalau dah bercakap mesti ada sambungan nanti.

“Tak ada. Bukan Ku Han nak cari yang sekufu ke? Saya ni orang kampung. Kerja pun tak serupa orang. Jadi peluang tu tak ada untuk Ku Han.” terus Tasneem bagi keputusan. Tak suka betul cakap dengan lelaki itu. Wajah Ku Han pantas berubah. Dari ceria jadi kelam.

Kayla di depan rasa bangga.
Bagus Kak Tasneem! Hati gadis itu teruja. Macam ni baru badass. Bukan terima siapa saja sebab kaya.
“Kak Tas belajar kat mana dulu?”
Sekali lagi mata Tasneem terbuntang luas. Budak ni tanya tak kena tempat ni.

“Kay… biar Kak Tas makan dulu. Kasihan pula. Baru nak suap Kay duk tanya. Nanti lepas makan berbuallah.” Datin Hakimah mencelah. Lagipun dia faham. Tentu Tasneem tak selesa. Duduk dalam kalangan orang yang tak dikenali dan disoal macam-macam. Tentulah tak tahu nak jawab apa.

Tasneem rasa dilindungi. Datin Hakimah memang baik. Tambahan lagi orang di meja ini makan sambil berbisik je. Ini kalau kat rumah dia, riuh rendah suara masing-masing di meja makan. Sambil telan sambil bercakap macam-macam. Kadang-kadang tu gelak besar sampai pecah rumah. Sebab ketika makanlah ikatan mereka makin erat. Walaupun semua adik-adiknya berlainan bapa. Mereka tetap adik kandungnya.

“Okay. Janji. Lepas ni nak cakap-cakap dengan Kak Tas.” Kayla tunjukkan jari kelingking dan Tasneem hanya mengangguk. Segan sungguh apabila dirinya menjadi perhatian. Nasib baik Nik Salimah buat tak tahu saja. Jangan sampai nenek tu meletup. Parah dia nanti.

Neldhia di hujung sana pula sentuh dada. Rasa tak percaya dengan semua yang dia lihat. Kayla tidak serapat ini dengan dia dan hati mula dikuasai kejahatan. Mata pandang Tasneem yang sopan menyuap makanan. Serasa mahu menampar muka gadis itu tapi… Tasneem tak salah. Dia yang mengajak ke sini. Kalau orang di sini sukakan gadis itu dialah yang salah. Sebab dia yang mulakan semua ini.
Oh, hati!
Jangan membenci.

***

Tasneem tolong mengemas meja makan. Dia tak mahu duduk berbual dengan semua orang di ruang tamu. Dalam hati berharap dia boleh minta diri secepatnya. Tapi dah berjanji nak duduk berbual dengan Kayla. Entah apalah yang buat Kayla berminat dengannya. Rasanya dia tidak ada aura Siti Nurhaliza. Tapi gadis itu nampak berminat dengannya. Lain macam si Kayla ni.

Tunggu-tunggu tak muncul juga. Sebaik selesai makan tadi gadis itu naik ke atas. Entah apa yang dibuat tak tahu.

Kak Lili di dapur tersenyum-senyum memandang hingga Tasneem rasa tak selesa.
“Kenapa kak?” soal Tasneem hairan.

“Kalaulah Kak Lili ada anak jantan besar nak je Kak Lili kahwinkan dengan Tasneem.”

Terus tawa Tasneem terhambur keluar.
“Nasib baik kan. Kalau tidak Tas dah jadi menantu Kak Lili.”

Wanita itu ketewa mengekek. Tak sangka Tasneem pandai bergurau juga.

“Jomlah Tas. kita duduk dekat luar. Borak-borak dulu. Tadi rajin sangat kat dapur sampai dia orang nak bercakap dengan Tas pun tak dapat.” Datin Hakimah muncul. Capai pinggan berisi buah. Dada Tasneem mula berdebar takut.

“Tas ambik cookies dalam kabinet. Bawa ke depan juga ya.”

Cookies!
Tasneem senyum lebar. Dah tahu itu kegemaran siapa. Namun senyumannya mati. Isk, Zaim tu bakal suami orang! Jangan nak menggatal. Tak serik lagi ke. Bukan ke kat luar tadi dia buat tak hirau. Dia betul-betul dah mengotakan janji dia. Kau jangan nak cari pasal Tasneem.

Batin mengingatkan dan Tasneem hembus nafas kesal; kesal kerana masih menyimpan rasa suka. Padahal bukan main lagi berjanji mahu terus membuang nama itu.

Dengan langkah penuh hati-hati dia keluar dari dapur. Namun langkahnya mati. Melihat seekor kucing berjalan ke arah dapur terus tangan menggigil takut. Kayla yang baru turun tangga melihat dengan muka berkerut.

Tasneem pusingkan badan dan masuk ke dapur semula.
“Eh, kenapa ni?” soal Kak Lili hairan.

Tasneem hulurkan balang biskut kepada wanita itu.
“Biar Tas duduk kat sini. Kak Lili lah yang bawa keluar,” pinta Tasneem dengan wajah pucat.

“Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanya pembantu rumah itu dengan muka cuak.

“Kak!”
Tak sangka Kayla menegur dari belakang.
Tasneem berpaling.

“Arggghhh!”
Terus suaranya menjerit kuat sebaik melihat kucing berbulu putih atas dukungan Kayla. Dia pantas berlari ke belakang Kak Lili dan cengkam baju pembantu rumah itu. Kayla terkebil-kebil melihat muka Tasneem yang pucat macam mayat. Ketika itulah Zaim muncul bersama Neldhia dan Datin Hakimah serta Ku Han kerana mendengar jeritan yang kuat.

“Hey, what’s wrong?” Ku Han mendekati Tasneem. Lihat wajah yang seperti mahu menangis itu hati lelaki itu tertanya-tanya.

Zaim pula bergumam geram.
“Kay, masukkan dalam sangkar!” arah Zaim tegas. Dia telah maklum akan ketakutan Tasneem sedari di rumahnya lagi. Neldhia di belakang pula terkebil-kebil tak faham.

“Kenapa? Milky tak buat salah apa pun.” Kayla merengek.

Zaim hembus nafas geram. Tarik Milky lantas bawa ke sangkar. Sementara Neldhia memandang dengan sejuta curiga. Banyak yang dia terlepas tentang Tasneem dan Zaim. Hati mula berteka-teka. Apakah sebenarnya selama ini Zaim telah curang di belakangnya dengan Tasneem. Namun hati menolak keras. Zaim tak pernah main kayu tiga. Ku Han sendiri pun tahu sebab Zaim 24 jam di pejabat atau di tapak pembinaan. Tak mungkin Zaim curang.

Ku Han di sebelah cuba menenangkan Tasneem namun Tasneem hanya tunjuk senyum hambar. Di pihak Kayla pula ada rancangan diatur. Sudah tahu kelemahan Tasneem dan dia mahu Neldhia angkat kaki dari sini.

***

Ku Han dan Zaim sudah keluar. Tinggal Neldhia saja yang memandang simpati ke arah Tasneem yang bergerak ke pintu dapur.
“Tak sangka pula Nel takut kucing.” Neldhia luahkan simpati. Tasneem hanya tunjuk riak biasa. Pandang ke luar dapur. Berharap kucing putih tadi tidak akan muncul lagi.

“Tas nak balik boleh ke?” tanya Tasneem tiba-tiba. Rasa tak mampu nak berlama-lama di sini. Ingatkan kondo lelaki itulah tempat terakhir dia terkejut dengan kucing. Rupanya bersambung di sini.

Wajah Neldhia berkerut tak faham dengan permintaan Tasneem.
“Kenapa? Tas tak selesa ke?”

Tasneem ukir senyum plastik. Kalau tadi memang dia rasa selesa. Tambah-tambah lagi Datin Hakimah begitu mesra melayannya. Namun, dia pantang tengok kucing. Terus rasa nak demam. Tetapi dia rasa bersalah pula nak tinggalkan Neldhia. Itulah dia, mudah sangat nak rasa macam tu.

“Boleh kan Nel sebab Tas nak kena balik sebelum maghrib.”
Memang dia kena balik awal. Hajatnya nak singgah rumah mak usu sekejap. Nak ambil barang untuk mengajar esok. Bila tengok kucing tadi terus semangatnya hilang. Terus takut nak memandu waktu malam. Dia lagi takut kalau jumpa kucing waktu malam. Mata yang bercahaya jika terkena lampu itu amat cantik pada pandangan mata orang yang sukakan kucing. Tapi dia… huh, rasa macam tengok vampire dalam cerita mat salleh. Memang seram.

“Tunggulah dulu. Nel nak Tas dengar keputusan keluarga Im sama. Harap-harap dapat greenlight.”

“Nel masih mengharap keputusan berubah? Bukan uncle dah bagi keputusan yang tetap ke?” tiba-tiba Dato’ Zakri muncul.

Tasneem tersentak. Melihat wajah pucat Neldhia dan muka tegang Dato’ Zakri perlahan-lahan rasa takut pun hilang. Tasneem keluar ikut pintu belakang. Tinggalkan kedua-duanya yang seperti sedang berperang.

Hati Tasneem tertanya-tanya. Namun diabaikan apabila menyedari dia tak pantas masuk campur urusan orang.

Di dapur pula, Neldhia pejamkan mata. Mencari kekuatan di balik kegelapan.
Buka mata dan pandang Dato’ Zakri dengan wajah kecewa.
“Boleh tak kita jangan bincang hal yang semua orang tak tahu.”

Dato’ Zakri mendengus.
“Orang lain memang tak tahu tapi seorang suami akan tahu sebaik saja akad dijawab. Nel ingat Im lelaki barat. Uncle dah didik sebaiknya. Dia akan cari isteri yang sempurna. Bukan macam Nel.”

Muka Neldhia mula membahang merah. Namun dia pesan pada diri agar jangan lemah di depan orang tua itu.
“Nel tak jahat dan Nel tak pernah buat jahat.”

“Ya. Itu pada pandangan mata orang yang tak tahu apa-apa tentang Nel tapi ucncle dah tahu semuanya Nel.”
Dan… air mata Neldhia jatuh berguguran juga. Sekuat mana dia tutup pintu rahsianya lelaki di hadapan ini tetap mengasak.

“Kalau Im boleh terima, uncle dengan aunty tak akan menolak.”
Itulah keputusan lelaki itu yang tak berubah walaupun Neldhia sudah balik ke Malaysia. Sungguh orang tua itu benar-benar tidak menyukainya. Padahal dulu, lelaki itu tak kata apa-apa pun.

Dato’ Zakri memberi pandangan tajam seketika. Kemudian pusingkan badan untuk keluar.
“Nel cintakan Im.”

Pantas kaki Dato’ Zakri berhenti.
“Cinta perlukan kejujuran. Bukannya penipuan.”

Dan Neldhia terpukul. Sewaktu dia berpaling melihat langkah Dato’ Zakri, Zaim muncul dengan muka penuh tanda tanya.
“Hey, kenapa ni sayang?” soal Zaim tak tahu. Pandang orang tuanya yang nampak serius.

“Tanya Nel sendiri apa yang dia dah buat,” balas Dato’ Zakri keras dan menambah persoalan di benak Zaim.

Lantas Zaim pandang kekasih hati yang sedang mengelap air mata.
“What’s wrong Nel?”

Neldhia menggeleng.
“Tak ada apa-apa. I nak balik.”
Dan tanpa berlengah Neldhia terus keluar melintasi ruang tamu sambil mengelap air mata. Sampai saja di tempat Ku Han terus ditariknya si abang keluar. Tindakan Neldhia cukup pantas sehingga Zaim yang mengejar tak sempat buat apa-apa. Orang tua gadis itu juga terkocoh-kocoh keluar membawa wajah tak faham apa-apa.

Sementara Nik Salimah terkebil-kebil memandang. Baru saja bincang tentang rombongan merisik tetapi perbincangan berhenti begitu saja. Hanya Datin Hakimah yang menghantar sehingga keluar. Dato’ Zakri pula mengekori belakang isteri tanpa kata.

Zaim pula berhenti di meja rehat laman rumah. Saat itu terpandang Tasneem yang muncul dari arah belakang dengan wajah kabur. Tidak mengerti hal yang terjadi. Zaim abaikan dan pandang Dato’ Zakri tak puas hati.

Kayla yang menyaksikan semuanya berikan senyuman panjang. Puas hati kerana dia tak perlu berusaha untuk menghalau Neldhia keluar. Hatinya sudah tenang namun dia lupa Nik Salimah masih ada. Merenungnya dari muka pintu. Tetapi diabaikan perangai neneknya lantas menuju ke arah sangkar Cookie dan Milky. Dalam kepalanya ada agenda yang belum selesai.

Di luar pula Zaim mencari jawapan pada kejadian yang tak diduga.
“Pa… pa cakap apa dengan Nel sampai dia menangis. Lepas tu pergi macam tu je.” Oktaf suara Zaim tinggi daripada biasa sehingga membuat amarah Dato’ Zakri muncul. Orang tua itu yang baru melangkah hendak masuk ke dalam rumah pusingkan badan.

“Papa tak setuju Im nak kahwin dengan Nel.”
Akhirnya keputusan yang sekian lama terperuk di dalam hati keluar juga. Datin Hakimah terlopong tidak percaya. Langsung tak menyangka suaminya benar-benar maksudkan apa yang pernah diberitahu dulu. Pantas kaki di arah menghampiri suaminya.

“Abang… bincang dulu,” pujuk Datin Hakimah lembut. Tidak mahu amarah suaminya semakin meruap.

“Nope. Keputusan abang muktamad.”
Terus Zaim kepal tangannya kuat. Langsung tak faham. Tengah-tengah bincang dengan nenek di luar tiba-tiba saja Neldhia meluru sambil menangis. Sekelip mata hilang dari pandangan.

“Apa kurangnya Nel, pa?”
Dato’ Zakri gerakkan geraham. Kemudian hembus nafas keras.
“Im akan tahu nanti. Tak perlu tanya. Keputusan papa muktamad.”

“Kalau macam tu kenapa ajak makan-makan kat sini. Kenapa nak malukan orang yang datang bawa harapan?” soal Zaim tak puas hati. Terus pandangan Dato’ Zakri beralih ke arah Nik Salimah.

“Tanya nenek Im. Nenek yang ajak makan. Bukan papa.”
Dan… Nik Salimah di muka pintu tunjuk muka tak bersalah. Pandang menantunya yang sudah masuk ke dalam. Jeling si menantu yang melintasi lantas meninggalkan semuanya. Datin Hakimah di sisi Zaim cukup simpati. Melihat anak bujangnya yang menahan amarah hati ibunya cepat terusik. Ada riak kecewa yang maha besar terlukis di wajah Zaim.

“Mami… what’s wrong with papa. Selama ini papa tak halang pun Im kawan dengan Nel.”

Datin Hakimah geleng kesal. Dia sudah maklum tetapi keputusan yang satu ini tidak dapat dihadamnya. Kenapa tiba-tiba. Dalam serabut kepalanya Kayla muncul tergesa-gesa. Tasneem pula terkebil-kebil melihat Kayla yang nampak kelam-kabut. Dia baru saja nak meminta izin untuk pulang. Tak jadi sebaliknya berhenti di belakang Zaim.

Kayla pula capai lengan abangnya.
“Abang Im, cookie tak?” soal Kayla seraya matanya ke sana sini mencari Cookie. Wajah Zaim berubah corak. Muka itu makin tegang.

“Bukan Kay dah masukkan dalam sangkar?” tinggi sungguh suara itu hingga Kayla mengangguk takut.

“Macam mana boleh tak ada.” Zaim berpaling hendak mencari di luar dari kawasan rumah namun mata menangkap kelibat Cookie yang laju menghampiri Tasneem dari arah belakang.

“Cookie!” jerkah Zaim dan Tasneem terperanjat. Kakinya rasa berbulu. Ada benda yang bergesel.

“Miaaoowww!”
Apabila bunyi itu kedengaran terus Tasneem merangkul tubuh Zaim. Zaim yang baru saja tunduk hendak mengambil Cookie pantas tegakkan badan. Saat itu tangan Tasneem masih melingkari pinggangnya dari arah belakang.

“Arghhh!” Tasneem menjerit berulang kali sambil mengelilingi Zaim apabila Cookie terus mengekori hendak bergesel di kakinya.

Zaim tercabar. Langsung tidak mengendahkan mata maminya yang memerhati dengan riak terkejut. Kayla pula sengih panjang. Dato Zakri yang mendengar suara Tasneem segera keluar.

“Tolong!” Tasneem menjerit meminta tolong.
Mata Zaim semakin merah menyala.

***

“Ini kucing. Bukannya harimau. Kenapa nak takut sangat,” marah Zaim lantas cengkam tangan Tasneem yang terhenjut-henjut menangis. Mata Zaim pantas menyorot pandang Kayla dengan tajam.

“Stop the cookie!” Kuat suara Zaim mengarah Kayla seraya mengetap gerahamnya. Hatinya yang sakit mendengar keputusan papa semakin bertambah apabila melihat perangai Tasneem.

Kayla yang tak percaya dengan muka bengis abangnya pantas mendekati. Tak pernah dia lihat wajah itu serius begitu. Apatah lagi ada api kebencian terzahir keluar. Dengan takut segera tarik Cookie yang masih hendak bergesel dengan Tasneem. Dengan muka pucat bawa kucing berbulu coklat itu ke dalam sangkar. Dalam hati mendengus tak puas hati. Apa yang dirancang tak menjadi.

Tasneem yang terketar-ketar diam di depan Zaim. Air mata yang menitik jatuh langsung dipandang sepi oleh lelaki itu. Hanya Datin Hakimah berasa simpati.

“Kau ni takut sangat dekat kucing. Kau ingat tu raksasa ke?”
Tasneem ketap bibir. Menahan malu. Hari ini lelaki itu telah membuat dia rasa rendah diri sangat.

“Im, jangan cakap macam tu. Im tak pernah tengok orang takut kucing. Itu yang Im suka cakap bukan-bukan.” Datin Hakimah membela.

“Jangan nak naikkan suara sebab keputusan yang papa dah bagi.” kali ini Dato' Zakri pula yang berbunyi.

Makin kuat tangan Zaim mencengkam lengan Tasneem.
“Mami… ini bukan takut. Ini gedik namanya.” Hina Zaim lantas hempas tangan Tasneem dengan kuat.

Dan… dengan perasaan rendah diri Tasneem urut lengannya yang sakit. Perasaan takut sebentar tadi terus tenggelam di dasar bumi. Berganti dengan perasaan sakit hati yang amat. Lelaki itu telah melumatkan rasa di dalam dada.

Sebelum rasa geram ini memenuhi diri lebih baik dia balik. Dan Tasneem terus bergerak ke kereta. Saat pintu kereta ditarik suara Zaim yang berbunyi menghancurkan hatinya.

“Attention seeker.”
Dan… tahi telinganya rasa meruap keluar. Hati bergumam geram.

‘Now, you are my number one enemy. Full Stop.’

Kayla di muka pintu menjeruk rasa. Rancangannya langsung tak jadi. Tak sangka abangnya akan marah begitu sekali. Tapi tak apa. Dia akan sambung sampai jadi kerana abangnya tak pantas dengan Neldhia.

Siapa sangka, Nik Salimah yang berada di beranda tingkat dua pandang tajam ke arah Tasneem. Tak fasal-fasal hati tua itu makin membenci gadis yang tak bersalah itu.

banyak dugaan kat rumah dato ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience