BAB 70

Drama Completed 84621

“Tas sayang. Bangun. Bangun sayang!” Zaim menepuk pipi berkali-kali namun tubuh itu tak bergerak. Terus suaranya menjerit kuat. Letakkan Tas ke bawah lalu bangun berdiri dan menghampiri lelaki bertopi itu. Apabila lelaki itu memanggung kepala nampaklah senyuman jahat yang terherot panjang.

“Kau tak puas hati dengan aku tapi kenapa kau nak libatkan semua orang?” jerkah Zaim lantas cengkam baju Zufri. Tarik kuat dan halakan penumbuk. Tetapi sayang, muka dia yang lebih dulu mendapat habuan. Terus bibirnya pecah.

“Kau tak akan mampu kalahkan aku. Dari dulu sampai sekarang aku yang akan menang,” ujar Zufri dengan gelaknya yang mula menghiasi malam.

Zaim menggenggam jemarinya.
“Kenapa kau perlu menang? Kita tak pernah berperang. Kita tak pernah berlumba,” soal Zaim menguji. Walhal dia sudah tahu. Ada dendam yang ingin dilunas lelaki itu. Ada benci yang menyala dalam dada.

Zufri pula melangkah. Bergerak ke arah Tasneem yang masih tak sedarkan diri. Zaim berjaga-jaga. Dia turut bergerak. Jairas pula sudah mengundur.

“Aku nak bahagia.”
Berkerut dahi Zaim tak memahami. Dia lihat tangan Zufri sudah keluarkan sesuatu. Sebaik lipatan dibuka barang itu terus berkilau setelah terkena api jamung.

Pantas lelaki itu duduk lalu melayarkan pisau belati itu ke wajah Tasneem. Zaim tersentak. Dia bergerak hendak menepis namun tak mampu berbuat apa-apa kerana pisau itu sudah ditusuk sedikit ke leher Tasneem yang bertudung.

“Kau jangan nak apa-apakan isteri aku,” pesan Zaim tegas. Mata tak lepas dari memerhati tangan Zufri. Bimbang pisau itu akan menusuk leher isterinya. Namun Zufri tarik semula pisau tersebut dan bergerak ke arah Dato’ Zakri yang sudah dibawa Jairas lalu di baringkan berdekatan Tasneem.

Zaim pula mendekati Tasneem lantas mengusap pipi itu. Berharap sangat Tasneem akan sedar agar dia boleh menghalau isterinya dari sini. Namun dia tak mampu berbuat apa-apa. Dua orang yang dia sayang sedang terkulai tak bergerak. Sungguh semangatnya hampir terbang entah ke mana. Kenapalah lelak ini melibatkan orang yang dia sayang.

“Kalau kau tak puas hati dengan aku, baik kau habiskan aku. Bukan kau buat khianat pada keluarga aku.”

Terhambur tawa kuat dari mulut Zufri. Lelaki itu dah macam orang gila. Siap bertempuk tampar lagi dengan Jairas. Bahkan beri isyarat pada lelaki itu agar nyalakan api. Jairas bergerak ke arah timbunan sampah sarap serta dahan-dahan kayu yang kering. Terus dinyalakan api dan serta merta mata Zaim membulat. Melihat api yang marak menyala serasa terbang nyawanya.

“Kau nak buat apa? Kenapa kau jadi gila macam ni?” soal Zaim risau. Sungguh risau melihat api yang semakin marak. Zufri pula keiling api tersebut sambil memusing pisaunya berkali-kali. Bibir itu juga terherot dengan senyum sinis.

“Baik kau cakap. Jangan cuba nak buat aku takut.”

Sememangnya dia takut tapi dia perlu melawan kerana ada insan yang perlu dia jaga.

Zufri sudah dekat. Hamburkan gelak dekat dengan muka Zaim. pantas Zaim tolak muka itu kuat.

“Kau jangan nak happy sangat. Hidup ini macam roda. Kalau sekarang kau di atas jangan sesekali lupa jenguk ke bawah. Jangan terlalu gembira sebab kau tentu akan jatuh tergolek ke bawah juga nanti.”

Pesanan Zaim hanya dianggap seperti angin lalu. Dibiarkan tanpa reaksi.
Zaim pula tak boleh bergerak. Dia perlu berjaga-jaga. Salah bertindak salah seorang daripada insan yang terbaring kaku ini akan terkorban.

“Kau tengok aku happy ke? Aku tak pernah happy. Tak pernah.” Zufri mendekati Dato’ Zakri lantas tendang tubuh orang tua itu sekuat hati.

Tidak pantas ayahnya diperlakukan seperti batang kayu buruk terus Zaim meluru dan menendang Zufri pula. Sayang, dia tak berjaya kerana Jairas lebih dahulu memaut bahunya. Mengunci pergerakannya. Pantas Zufri mendekat lalu memberikan tumbukan bertubi-tubi ke perutnya. Darah pun memercik keluar dari mulut. Sekelip mata pula rambutnya dicengkam dan kepalanya terdongak ke atas.

“Kau dah tak takut api. Bravo man!” Zufri berikan tumbukan ke perut Zaim lalu hereta ke arah api yang marak. “Kau tengok api ni. Kau tengok!” Zufri hampir membawa muka Zaim dekat dengan api namun Zaim berjaya mengundur. Serasa terbakar mukanya walau hanya seketika. Tetapi dia tak berjaya lepaskan diri.

“Kau tahu tak aku sengaja bawa kau ke sini sebab aku nak kau tengok semula. Macam mana rumah aku terbakar. Macam mana ayah aku rentung. Macam mana hidup aku musnah sekelip mata.”

“Kau jangan jadi gila. Berdosa bakar orang.”

Zufri hamburkan tawa besar. Cukup besar sehingga Tasneem tersedar dari pengsan. Picingkan mata melihat ke arah dua orang lelaki di depan api yang marak menyala. Dada pantas berdebar kencang. Tetapi tubuhnya terasa lemah.

“Berdosa? Habis tu kau ingat apa yang papa kau buat tak berdosa.” Terus dilepaskan Zaim lantas hempas tubuh itu ke tanah. Berikan tendangan sekali dua ke perut. Kemudian hentak betis Zaim dengan kayu yang ada depan mata. Tak lama telunjuk itu menuding muka sendiri sambil ketawa kuat.

“Aku tak akan buat kerja jahat kalau bukan sebab ayah kau,” jerkah Zufri. Mata itu meliar seperti serigala. “Orang tua terkutuk itu yang buat aku sengsara. 15 tahun aku hidup dalam kerinduan. Rindukan ayah aku yang rentung depan mata aku. Aku rindu dia sampai naik gila. Tapi kau… kau hidup bahagia dengan papa tak guna kau ni.”

Sekali lagi Zufri tendang tubuh yang tak bergerak itu bagai orang gila. Sudah tidak menghiraukan Zaim yang melolong meminta belas ihsan. Dia tak mampu hendak bangun untuk menghalang. Sementara Zufri terus melepaskan amarah tak bertepi. Sementara Tasneem mengunci mulutnya. Mendengar sahaja kerana dia tak mampu hendak menolong.

“Aku akan bunuh dia. Aku akan bunuh dia. Biar dia mati macam ayah aku mati.” jerit Zufri kuat lantas menarik tubuh itu hendak dihumban ke dalam api tetapi….

“Jangan!”

Tasneem mengengsot laju lalu menarik tubuh mentuanya. Zaim tersentak. Tak sangka isterinya sudah sedar. Zufri pula kaget. Hanya seketika. Herotkan senyum.

“Jangan apa-apakan papa.” halang Tasneem bersama linangan air mata.

“Sa… sayang. Jangan!” Zaim juga mengengsot. Cuba hendak membantu namun tak berjaya. Perutnya sungguh senak. Tubuh pun lemah. Kaki pula tak mampu bergerak akibat terlalu sakit gara-gara dihentak kuat.

“Aku akan tunjuk dekat dia macam mana ayah aku mati. Dia tu sengaja butakan mata sebab dia dah bahagia. Aku ni… aku yang sengsara.” Segera ditariknya Dato’ Zakri namun Tasneem pantas memaut betis itu.

“Tolong Nazim. Jangan!”

Serta merta tangan Zufri jatuh ke bawah. Mendengar nama itu buntang matanya tak percaya. Kenapa ada orang yang tahu itu nama sebenar dia.

“Kau siapa?” soalnya hairan dan Tasneem hamburkan tangisan. Serentak itu suara siren polis pun memecah kesunyian malam.

***

Kaki Zufri kejung di situ walaupun sekumpulan polis sudah mengacukan pistol ke arahnya. Jairas di belakang pula tak sempat hendak melarikan diri. Sekelip mata kedua-dua tangannya digari.

“Siapa kau sebenarnya? Macam mana kau tahu nama sebenar aku?” soal Zufri terketar-ketar. Tasneem tidak menjawab sebaliknya kejung tak bersuara. Hanya mampu mengalirkan air mata dalam keadaan senyap. Zaim pula mula merangkak dalam keadaan lemah lantas paut tubuh Tasneem. Isterinya itu segera memeluk erat lalu hamburkan tangisan semahu hati.

Polis sudah menggari Zufri. Akan dibawa ke balai polis untuk siasatan atas kesalahan menculik dan mencederakan orang. Begitu juga dengan Jairas. Sedang tangan Zufri digari barulah dirinya tersedar. Dia akan dipenjarakan atas banyak tuduhan. Lantas di meronta-ronta.


“Kau siapa. Baik kau mengaku sebelum aku cakar muka kau,” ugut Zufri namun tak mampu berbuat apa-apa kerana tubuhnya sudah dibawa ke kereta polis. Namun suara itu tetap menjerit kuat mahu tahu.

“Sayang. Semua dah tamat. Kita dah tak perlu takut!’

Tasneem menggeleng.
Tidak! Masih ada perkara yang belum jelas lagi. Lalu dia eratkan pelukan dan berharap hari esok, semuanya akan tamat dengan keadilan.

Share this novel

Nor Haidah
2025-01-18 16:58:47 

nak lagi sis..x sabar nak tahu episod seterusnya

ida
2025-01-18 15:30:58 

Saspen betul


NovelPlus Premium

The best ads free experience