Sudah seminggu dia berulang alik dari Kuantan ke Gambang. Demi menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjawat awam dia rela mengorbankan masanya. Selepas subuh sudah keluar dan waktu maghrib barulah tiba di kediaman mentuanya. Itulah rutinnya tanpa Zaim.
Lelaki itu entah ke mana. Sejak malam dia mula tinggal di sini lelaki itu tak muncul-muncul. Lalu dia berharap, hari minggu yang damai ini lelaki itu akan ada di depan mata. Dia akan berusaha untuk menjadi isteri terbaik lelaki itu. Kalau pun tanpa cinta dia akan cuba menyemainya.
Dia buang semua perasaan jahat. Ganti dengan reda dan tawakal. Dia tak lelah memanjatkan doa pada Yang Esa. dia ikut saranan ibu dan abah. Dia mahu jaga hubungan ini. Jadi, untuk hari ini dia mendoakan lelaki itu akan kembali.
“Im ni, dah seminggu tak dengar khabar berita. Tiap-tiap hari mami suruh Jairas pergi tengok kat kondo. Tapi Jai cakap tak nampak bayang langsung. Ofis pun tak masuk. Telefon pun tak berangkat.”
Suara Datin Hakimah mengejutkan Tasneem yang menolong Kak Lili membersihkan kawasan belakang dapur.
Pantas Tasneem berpaling. Mami mentuanya sedang berdiri di ambang pintu. Wajah itu jelas menunjukkan resah.
“Im tak ada call Tas ke? Mesej ke?”
Tasneem berpaling. Manalah lelaki itu nak hubungi dia. Dia ingat kali terakhir dia bercakap dengan lelaki itu ketika hari pertama dia masuk kerja selepas cuti. Itu pun sepatah saja yang dia dengar. Lepas tu sampai ke saat ini langsung tak ada berita.
“Risaulah mami. Papa pun tak tahu Im ke mana. Papa cakap Im minta cuti seminggu. Isk, entah-entah Im tersilap makan kat mana-mana. Lepas tu orang tak perasan dia pengsan ke apa ke?”
Datin Hakimah tunjuk risau lagi. Tasneem pula menggeleng lucu.
Dekati wanita itu.
“Insha Allah, mi. Tak ada apa-apalah,” pujuk Tasneem sekaligus memujuk dirinya. Dia berdoa agar tak berlaku sesuatu yang buruk kerana dia perlu menghadap lelaki itu untuk menyelesaikan hal mereka yang tidak ada penghujungnya.
***
Zaim keluar dari perut kereta. Pandang keliling. Suasana sunyi sepi. Hati tertanya-tanya. Tidak ada sesiapakah di rumah. Biasanya petang-petang begini mami akan menjahit manik dan labuci pada baju permintaan pelanggan di atas gazebo. Papa pula akan membuat kerjanya di meja laman sambil menghirup kopi. Kayla pula akan menghadap telefon sambil menunggu Milky dan Cookey dibawa ke sini. Manakala Kak Lili dan Jairas akan berkebun. Tetapi sekarang ini langsung sunyi-sepi.
Dengan letih Zaim tanggalkan kasut lantas masuk ke dalam. Cari semua orang di setiap ruang namun tak jumpa. Bila dia ke dapur kedengaran suara bergelak tawa di luar. Terus dia melangkah ke ambang pintu.
Kelihatan seorang gadis berambut panjang paras pinggang yang diikat longgar dengan riben kain sedang mengangkat jemuran. Kak Lili pula tengah mengutip pucuk-pucuk ulam.
“Kak Lili, Tas masuk dalam dulu ya. Nak lipat kain ni.”
Tasneem!
Hati Zaim berdetik dengan nama itu.
Gadis yang membelakangi mula pusingkan badan. Terus matanya tak berkelip melihat wajah yang ada di depan mata. Tasneem pula hentikan langkah apabila melihat susuk di ambang pintu yang merenungnya. Terus bakul kain yang dikendong dibawa naik ke atas. Menutup blouse putihnya yang terdedah di bahagian dada sehingga menampakkan tali halus anak baju di dalam. Tangan satu lagi tarik kolar baju menutup bahagian yang terdedah.
Dada berdebar sakan. Ini kali pertama Zaim melihatnya begini. Serba tak kena jadinya. Apatah lagi dia baru sedar akan skirt jeans yang dipakainya. Ada belahan di depan sehingga ke lutut. Akan menampakkan betis bunting padinya jika melangkah. Terus dia turunkan bakul ke bawah pula. Cuba hendak menutup bahagian yang terbuka. Kalut dia cuba menutup itu ini sehingga mengganggu pandangan mata Zaim.
“Mami dengan papa ke mana?” soal Zaim hambar dan Kak Lili yang membongkok terperanjat. Terus bangkit.
“Erk, dato’ dengan datin keluar.”
“Kayla?” soal Zaim sambil melihat Tasneem yang cuba hendak melangkah namun nampak gelisah.
“Tak sampai lagi. Jairas baru pergi ambil.”
Geraham Zaim digerakkan.
“Nenek?”
“Lepas malam Im keluar nenek terus balik Cameron.”
Kepala Zaim terangguk-angguk. Kerling Tasneem kemudian alihkan mata pada Kak Lili.
“Nanti Kak Lili ambil Cookie dengan Milky. Bawa masuk bilik dia orang.”
Pembantu rumah itu tak bertangguh. Terus melangkah ke depan melalui jalan sisi. Sementara Tasneem pula melangkah perlahan-lahan hendak masuk ke dalam melalui pintu satu lagi. Sebaik tiba di pintu gelangsar, berkunci pula. Terus merah padam mukanya. Tak tahu nak lalu ikut pintu mana lagi. Dia rasa serba tak kena apabila menyedari lelaki itu masih lagi meniliknya.
Tiba-tiba, bakul di tangan ditarik perlahan.
Zaim ambil dan bawa masuk ke dalam. Lantas dia pula buru-buru mengekori.
“Awak nak makan?” soal Tasneem berbahasa. Berharap sangat pertemuan ini tidak akan menjadi malapetaka. Zaim tak menjawab sebaliknya bawa naik bakul ke aras dua. Tempat lahar untuk mami dan Kak Lili melipat kain. Terus bakul diletakkan ke lantai. Tasneem mengekori dari belakang membawa resah yang tak sudah-sudah.
“Kalau awak nak makan, saya nak siapkan,” ujar Tasneem sebaik dekat dengan Zaim dan lelaki itu berpaling. Saat itulah nampak jelas wajah itu sudah berjambang. Walaupun nipis tetapi berserabut kerana rambut lelaki itu yang juga sudah melebihi cuping telinga.
“Aku nak mandi dulu.”
Hati Tasneem lega. Tidak ada suara keras seperti malam itu. Bahkan tidak ada arahan yang tak sepatutnya. Lalu dengan hati yang lapang dia ke dapur. Siapkan makanan untuk Zaim. Dalam hati berdoa agar hati lelaki itu akan terus lembut.
***
Zaim terpana. Sebaik masuk ke dalam biliknya dia nampak kelainan pada dekorasi. Warna kelabu putih sudah bertukar dengan warna tanah. Sesuai dengan tema scandinavian macam luar negara. Katil yang berada di tepi dinding sudah beralih ke tengah-tengah kamar. Betul-betul di belakang tingkap. Nampak cantik dengan cadar putih dan coklat perangai muda. Malah ada tambahan pasu bunga di setiap sudut yang kosong.
Hati terasa damai. Lantas dia bergerak ke bilik pakaian. Kemas tersusun. Rapi dan mendamaikan. Tidak berubah cuma ada tambahan almari. Terus dibukanya. Bergantungan baju kurung dan blouse di dalam almari. Berserta tudung dan juga beberapa buah beg tangan. Muka berkerut. Kerja dekat kedai makan tapi pakaian yang ada di dalam nampak mahal. Nampak baru. Bukan yang sudah lusuh.
Hati dijentik pelik. Namun dia abaikan. Dia belum solat asar lagi lantas segera capai tuala dan masuk ke dalam bilik air.
Selesai melaksanakan yang wajib dia ke balkoni. Mengintai dari situ. Tetapi kelibat orang tuanya tidak kelihatan. Nafas pun berhembus lemah. Sentuh jambang yang meliar dan rambut yang sudah panjang. Malas lagi nak potong. Dia tak ada semangat nak menjaga penampilan. Gara-gara mencari Jazmin dan Rafael dia abaikan diri sendiri. Dia abaikan orang tuanya.
Demi memuaskan hatinya dia cari orang yang berbuat jahat terhadapnya. Dia yakin Rafael terlibat. Jika bukan masakan lelaki itu sanggup mengambil cuti kecemasan. Sudahlah lama. Dia yakin lelaki bagi alasan kecemasan semata-mata amhu melarikan diri daripadanya. Hati menyumpah seranah.
Dia jatuhkan tangan. Selagi dia tak tahu siapa yang dah buat dia dengan Tasneem berantakan dia akan terus begini.
Sakit hatinya mengenangkan pencariannya tak berjaya. Akhirnya dia usap perut. Berasa cukup lapar. Rasa amat letih. Lalu dia masuk ke dalam dan hendak menutup pintu gelangsar kerana hari sudah senja. Melihat saja welfire hitam masuk, dia tahu Kayla sudah tiba.
Dia mula melangkah hendak keluar. Teringat Jairas yang tentu akan ke dapur hatinya rasa tak sedap. Apa yang matanya lihat tadi tak sepatutnya dilihat lelaki lain lantas dia ke dalam bilik pakaian. Mencari sesuatu di rak menggantung. Berjumpa dengan selendang hitam terus di bawanya ke bawah.
***
Tasneem di meja cuba ukirkan senyum sebaik melihat kelibat Zaim. Dalam dada berdebar-debar tetap menanti lelaki itu tiba di meja makan. Namun wajah itu nampak serius dan melangkah ke arahnya tergesa-gesa. Dada mula berdetak takut. Entah apa yang lelaki itu nak buat.
Zaim merapati lantas memandangnya tajam. Dia tak sanggup membalas renungan itu lalu pejamkan mata rapat. Tubuh pun menggigil. Dada berdetak makin kuat dan saat itu serasa tangan kasar itu melilitkan sesuatu ke kepala. Terus celikkan mata dan tangan sentuh kepala. Ada selendang menutup rambutnya. Pantas matanya memandang wajah Zaim dan lelaki itu membalas tajam. Malah, hembusan nafas keras Zaim yang dekat ke muka membuat tubuhnya kembali bergetar takut. Terus terbayang tindakan lelaki itu dulu.
Tak sangka tangan Zaim tiba-tiba mendarat ke bahunya. Spontan tangannya menepis kuat dan mata memandang lelaki itu dengan pandangan takut. Dia nampak bibir itu bergerak-gerak dan dia rasakan Zaim mahu melakukan hal yang dulu lalu dia berlari ke dapur dan berhenti di singki.
Zaim kerutkan muka. Pandang ke dapur dan dia lihat Tasneem sapu air mata yang jatuh ke pipi. Barulah dia sedar. Gadis itu tak mampu melupakan hal lama. Lalu hati berderai kecewa. Dia mahu mendapatkan Tasneem dan ketika itulah Kayla muncul.
“Kak Tas mana?” soal Kayla gembira. Walaupun seminggu di kolej dia tak berpeluang berjumpa dengan kakak iparnya. Apatah lagi gadis itu tak berlengah selepas tamat waktu kerja. Terus balik ke rumah.
Melihat abangnya memandang ke singki dengan senyap Kayla mendekati lantas memeluk dari belakang dengan senyap.
Terus Tasneem menjerit kuat lantas tarik pisau di tepi singki. Cuba mempertahankan diri. Kayla pula terperanjat besar dan menjauh. Zaim yang menyaksikan tindakan Tasneem pantas menghampiri.
“Tasneem, bawa mengucap!” suruh Zaim dan Tasneem pandang semua orang. Dalam keadaan menangis dia tak sedar dia telah memegang senjata tajam.
“Letak pisau tu!” arah Zaim bimbang.
“Tas!” Zaim berlembut dan barulah Tasneem sedar. Dengan tangan yang mengigil dia simpan kembali pisau ke tempat asal.
“Maafkan Kak Tas,” ucap Tasneem lantas berlari masuk ke dalam bilik. Kak Lili dan Jairas yang berada di luar memandang sayu. Sementara Kayla pula tunjuk muka bersalah.
“Jangan peluk dia macam tu. Dia masih trauma dengan abang.”
Kayla angguk dan hantar abangnya keluar dengan hati yang kecewa.
Share this novel