BAB 21

Family Series 39843

Ku Han mengiringi Tasneem sehingga ke kereta. Sementara Zaim dan Neldhia mengekori dari belakang. Memerhati tingkah kedua-dua susuk itu yang saling menghadap.

“Bila lagi kita boleh jumpa?” soal Ku Han dengan suara penuh mengharap. Tasneem ukir senyum dan bibir Ku Han pun tak lepas melebarkan kebahagiaan. Malam ini tidak berbintang namun suasana jadi cukup indah apabila dihiasi senyuman Tasneem.

Ku Han terpana.
Benarlah kata Neldhia. Ada sesuatu yang buat hatinya mahu meneruskan perkenalan. Tasneem bukan persis ratu cantik. Namun ayu yang terserlah buat Ku Han akur. Itulah gadis yang selayaknya dibuat isteri. Namun, dia perlu menguji dulu.

“Kalau tak keberatan, saya ambil Tas esok.”

Terus kening Tasneem terangkat tinggi.
“Nak pergi mana?”

“Temankan saya ke majlis kawan.”
Tasneem ukir senyum tapi kepala sarat dengan syak wasangka. Kerling Zaim yang menenyeh hidung. Nampaknya lelaki itu macam dah kena selesema. Pun begitu mata Zaim tajam memberi isyarat. Namun, Tasneem tak faham.

“Malam ke?” soal Tasneem mahu tahu. Pantas Ku Han mengangguk.

“Maaf lah, malam ni je saya free. Kalau malam lain saya tak dapat nak tunaikan pelawaan Ku.”

Fuh, lega!
Dalam erti kata lain Tasneem mengharap tidak akan ada ajakan lain pula.

“Kalau macam tu petang. Lepas asar esok saya pick up.”

Alamak!
Kening Tasneem makin naik ke atas. Isk, baru jumpa dah manis mulut berjanji. Nak bawa pergi mana? Eh, laki ni. Biar betul. Tapi… no way man! Aku tak sanggup kena kerat kaki. Kalau ibu tahu… jadi sup gear box aku nanti. Hati di dalam bermonolog risau.

“Maaf Ku. Saya susah nak keluar. Dari subuh sampai petang ambik order. Malam pula saya tolong cod makanan.”

Ya. Itulah kerjanya masa budak-budak cuti. Dia tak tipu. Nak cari duit lebih punya pasal dia akan cod kawasan berdekatan saja.

“Nampaknya bukan rezeki sayalah nak kenal Tas. Rugilah pula.” Suara Ku Han kedengaran kecewa.

Tasneem rasa nak gelak. Tahu tak apa. Bukan ke tadi masing-masing bangga dengan kerja masing-masing. Lepas tu nak cari isteri yang hebat-hebat. Inilah masanya dia nak kenakan lelaki-lelaki yang ada di sisinya saat ini.

“Tak rugi pun kalau Ku tak kenal saya. Saya ni tak ada kerja tetap. Setakat ambil order kat kedai apalah sangat. Paling hebat pun cuci pinggan kat belakang. Baik jadi macam Encik Zaim. Dia tak rugi satu pun sebab tak kawan dengan saya.”

Zaim kerutkan muka. Dia pula yang kena. Pantas pula Ku Han talakan pandangan pada lelaki itu.
“Apa maksud Tas?” Ku Han hairan. Bila gadis itu sebut nama Zaim terus dia rasa tercabar.

Neldhia pula pandang abangnya geram. Adalah tu yang dah buat abangnya naik angin.

“Ya lah, kan saya ni tak kerja hebat. Kalau saya kawan dengan Encik Zaim atau pun Ku tentu saya akan habiskan duit Encik dengan Ku. Kan tak pasal-pasal orang cakap saya pisau cukur pula.”

Tiba-tiba gelak Zaim terhambur kuat.
“Setakat beli susu kotak buat stok tak habis pun duit aku.”

Terus mata Tasneem menjeling geram. Ku Han di depan pula tunduk sengih. Dari awal lagi dia jadi berminat dengan gadis itu. Apabila dua kali Zaim sebut tentang susu dia rasakan itu adalah minuman kegemaran Tasneem.

Neldhia pula pandang Zaim pelik. Ada curiga bertandang. Dia pun sedar dah banyak kali Zaim sebut tentang susu. Lalu kepalanya mula merasakan sesuatu yang pelik.

Tasneem pula malas nak terasa hati lantas pandang jam tangannya.
“Dah lewat sangat ni, Ku… Nel. Saya nak balik dulu,” pinta Tasneem tanpa memandang Zaim. Lebih elok dia melepaskan semuanya. Cukuplah setakat ini saja dia crushkan lelaki itu. Kalau dia terus menggantung harapan dia takut dia masuk wad gila nanti. Dia juga berharap lelaki itu tak akan menyakatnya lagi. Tambah-tambah lagi ayat lelaki itu makin melampau sekarang ini.

“Tas, kejap.” Tiba-tiba Zaim menghulurkan dua tiga keping not seratus. Terus mata Tasneem terbeliak. Neldhia pun sama. Dia terlepas sesuatu?

“Erk!”
Dada Tasneem berdebar laju. Bukan dia tak tahu duit itu untuk apa. Tetapi kenapa lelaki itu hendak hulurkan di sini juga. Di depan orang yang tak sepatutnya.

“Upah hari tu.”
Dan… wajah Tasneem membahang merah.
Kenapa dengan kau ni Zaim? Hati menjerit sakit.

***

Tasneem lempar duit ke kerusi sebelah sebaik masuk ke dalam. Sambil memandu hatii mencarut tak sudah. Kenapa lelaki itu malukan dia di depan Neldhia dan Ku Han. Kenapa dipijak-pijaknya maruah yang dijaga selama ini. Sampai hati lelaki itu buat begitu. Apakah kerana tahu dia meminati lalu lelaki itu hendak memalukannya.
- Sorry!
- Aku tak nak simpan duit kau lama-lama.
- Aku yang bersalah sebab dah lambat-lambatkan bayaran.

Tasneem hempas telefon ke kerusi pula sebaik memarkir kereta di bawah garaj. Sakitnya hati malam ini tak terubat. Nampaknya dia kena tamatkan semua ini.
- Awak dah bayar, saya dah terima
- Jadi, mulai hari ini kita tak akan beraku engkau lagi.
- Saya tak kenal encik dan encik jangan nak mesej saya.
- Anggap je kita tak pernah kenal.

Matikan telefon. Itu lebih baik daripada terus nampak murah. Sungguh dia malu dengan insiden tadi. Tak pasal-pasal Neldhia dan Ku Han tahu dia pernah tolong mengemas rumah Zaim Muazzam. Sakitnya hati tak mampu dirawat. Daripada crush dah bertukar jadi musuh.

***

Neldhia pandang Zaim yang ralit memandu. Sesekali lelaki itu bersin dan tenyeh hidung sambil memandu. Nampaknya lelaki itu sudah diserang selesema. Dengan simpati Neldhia tarik tisu dan hulurkan kepada Zaim.

“You rehatlah. Esok tak payah kerja. I kasihan tengok you. Kalau I tahu you tak sihat macam ni I balik dengan abang I.” bebel Neldhia macam kakak-kakak.

“I okay sayang. I kena selalu gagah sebab I kena kerja.”

“Tapi janganlah seksa diri. I tak pernah tengok you kerja sampai malam tau. Kalau I tak ajak dinner sekali I tak akan tahu you kerja keras macam ni sekali. Duduk kat luar malam-malam sampai dah kena selesema pula.”
Zaim hembus nafas berat.

“You tahu kan sebab apa I kena kerja kuat?” soal Zaim lantas kerling Neldhia. Dan Neldhia sudah maklum semuanya tentang lelaki itu. “Bukan setakat nak sara you nanti tapi I masih ada orang lain yang perlu I jaga sampai ke mati.”
Neldhia angguk simpati.

“Sebab tu you kena kerja. Kalau I pergi dulu you dah ada pendapatan sendiri untuk jaga you pada masa depan.”

Mata Neldhia mula bergenang.
“Please, jangan cakap pasal mati.” Suara Neldhia sudah serak. “You yang selalu pesan dekat I jangan cakap pasal mati. Tapi sekarang you pula yang ungkit.”

Zaim kesal.

“I harap sangat kita akan dapat bersama sampai ke syurga,” ucap Neldhia sebak dan Zaim hentikan kereta di tepi jalan dengan tiba-tiba.

“Kalau macam tu kita kahwin terus esok,” pinta Zaim bersungguh. Mata itu nampak beria. Bukan hendak bergurau. “I nak tutup mata dalam pelukan you.”

Dan… air mata Neldhia bercucuran tak tertahan.
Teringat pesanan Dato’ Zakri. Apakah sekarang ini masa untuk dia berterus-terang. Bersediakah dia nak dengar penolakan lelaki itu.
Neldhia pandang Zaim yang masih menanti jawapannya.

“I tahu parents you tak akan menolak. Pasal papa I you jangan risau. Kita kahwin dulu. Lepas tu baru inform dekat dia.”

Neldhia menggeleng.
“You sanggup tunggu I bertahun-tahun lamanya. Please bersabar sikit saja lagi. I nak konvo dulu.” Itulah alasan yang dia beri setelah Dato’ Zakri tahu kelemahannya. Awal-awal hari tu dia dah bagi hint dekat Zaim. Tak sangka pula dia terpaksa mengelak kerana Dato’ Zakri.

“Kalau kita kahwin terus kan senang. I temankan you konvo lepas tu kita honeymoon kat sana.”
Dan Neldhia telan liurnya takut. Dia tak akan benarkan Zaim ke UK. Dia tak sanggup melihat Zaim terluka. Tentu Zaim akan membencinya nanti.

“You sayang I tak?” Kerana takut soalan itu keluar dari mulutnya.

Zaim hembus nafas tak percaya. Apakah Neldhia masih sangsi.
“You dah ada jawapannya Nel. Kenapa tanya I lagi.”

Neldhia angguk bersama tangisan. Dia memang dah ada jawapannya namun dia amat takut Zaim akan membencinya dengan begitu banyak.

“I banyak buat silap Im,” luah Neldhia lantas memandang ke luar tingkap. Jauh merenung malam yang pekat. “I takut you tak akan pandang I lagi lepas ni.”

“Semua orang buat silap, Nel. I pun sama. You sendiri pun tahu apa yang I dah buat kan.”

Neldhia hembus nafas panjang. Pandang wajah Zaim dengan cucuran air mata.
“Tapi… silap I tak sama macam you Im. I… I…,” Neldhia berhenti. Dan kembali memandang ke luar tingkap. Sukarnya hendak berterus-terang.
“Go on, Nel. I dengar.” Zaim meminta. Sedikitpun dia tak akan marah jika Neldhia berterus terang. Lagipun dia memang tahu gadis itu kaki kelab. Kaki joget. Semasa di universiti tempatan Neldhia selalu naik Genting Highland. Dia pun bukannya tak pernah menasihatinya. Selalu. Tapi Neldhia cukup keras. Malah dia selalu berdoa gadis itu akan berubah. Nyata sekarang Neldhia sudah ke arah yang lebih baik.

Terdetik rasa syukur apabila gadis itu bertemu dan berkawan dengan Tasneem. Jauh di sudut hati dia amat berterima kasih atas kebaikan Tasneem. Kerana kelebihan gadis itu Neldhia mahu berubah menjadi muslimah.

“Jomlah balik, Im. I tak nak you demam pula. Esok you nak kerja. I tak apa. Lepas konvo nanti baru masuk kerja balik.”

Akhirnya Zaim akur. Lagipun dia rasa nak demam pula sekarang.

***

Tasneem tak mampu lelapkan mata. Teringat sikap Zaim tadi dia diserbu rasa geram. Apa yang lelaki itu tak puas hati dengannya dia tak tahu. Padahal dia tak buat salah apa pun. Takkanlah sebab Ku Han tunjuk minat dia pula yang kena hukum.

Nafas dihembus keras. Tarik bantal sofa lantas tekup muka. Kemudian dia menjerit sekuat hati. Nasib baik Mak Usu Tini dengan Dahlia dah masuk tidur. Taklah mereka dengar. Sekarang ini dia seorang saja yang kelip-kelip pandang siling dalam keadaan berbaring.

Kepala teringat ibunya di kampung. Saat itu juga matanya pandang jam dinding. Dah pukul 2 pagi. Ya Allah, dia lupa nak hantar pesanan. Beritahu ibunya yang dia sudah sampai rumah mak usu sebelum maghrib tadi. Gara-gara makan malam tadi dia lupa semua benda. Terus dia bangkit. Masuk ke dalam bilik dan capai telefon yang tidak berfungsi.

Hidupkan telefon. Selang beberapa saat, Bertubi-tubi pesanan masuk mengata kan ada panggilan yang tidak dijawab. Dia buka.

Zaim!
Zaim Muazzam telefon! Kenapa?
Rasa berserabut pula mengenangkan lelaki itu. Dia abaikan. Buka peti pesanan dan hantar pesanan pada ibunya. Memohon maaf kerana kealpaannya. Dia tak menghubungi kerana dia tahu ibunya tentu sudah tidur. Penat memasak di kedai tak sama macam dia yang goyang kaki di pejabat.

Kasihan ibu!
Wajah ibu terbayang di ruang mata. Ibu yang sepatutnya bersenang-lenang di rumah tak mampu berbuat demikian. Ibu yang perlu cantik depan abah tak sempat berhias. Itulah suratan yang tak mampu dia ubah.
Ah, kasihan ibu!

Telefon di tangan tiba-tiba mengembek. Terus khayalannya mati. Malah keluar perkataan tak sepatutnya. Pandang nama yang muncul di dada telefon.

Erk, tak tidur lagi! Apahal telefon time macam ni. Buang tabiat ke apa mamat ni. Lagipun tadi dia dah akhiri semuanya.
-Jawab call aku.
- Kalau kau jawab aku akan ikut permintaan kau.

Itu yang Zaim Muazzam hantar apabila Tasneem tak menyambut panggilan. Lalu bunyi kambing mengembek kedengaran lagi dan Tasneem sambut juga.

“Aku tahu kau tak tidur lagi. Masa aku call tadi tak masuk-masuk. Bila aku try call masa ni masuk pula.” Suara itu kedengaran sengau.

“Nak apa?” keras Tasneem membalas. Malas hendak melayan. Kerana dia yang putuskan untuk tidak lagi berharap jadi dia akan tetap dengan keputusannya. Lagipun lelaki itu yang berjanji tak akan berhubung lagi.
Suasana sunyi sepi.

“Cakaplah nak apa.” Makin keras suara Tasneem apabila lelaki itu diam pula. “Kalau tak nak cakap baik saya letak.” Tasneem mengacah dan pantas hembusan nafas Zaim kedengaran. Lemah dan buat hati Tasneem pilu.

“Terima kasih kerana sudi kawan dengan Nel.”
Akhirnya Zaim meluahkan hal yang sebenarnya. “Dia perlukan kawan macam kau untuk jadi baik. Aku harap kau terus kawan dengan dia.”
Hati Tasneem tersentuh. Namun, permintaan lelaki itu amat berat. Dia sebolehnya tidak mahu lagi ada sangkut-paut dengan lelaki itu. Jika dia terus berkawan dengan Neldhia bermakna dia akan selalu menghadap lelaki itu. Bukankah itu akan menghancurkan hatinya. Hati yang sepatutnya dijaga sebaik mungkin.

“Saya tak boleh janji.” Tasneem buka mulut. “Dan… bukan saya yang mengubah dia. Semuanya atas kehendak Tuhan.”

“Tapi kau penyebabnya.”

Tak disangka-sangka air mata Tasneem jatuh berderai.
“Kalau encik cakap macam tu bermakna encik tak beriman dengan qada’ dan qadar Tuhan seikhlas hati. Sepatutnya encik terus berdoa agar Tengku Neldhia akan semakin bertambah baik. Akan menjadi isteri terbaik encik. Paling utama, encik yang perlu membentuknya. Bukan saya. Encik yang nak hidup dengan dia. Jadi encik yang kena usaha, bukan saya.”

Terpaksa Tasneem luahkan semuanya agar tiada lagi pertemuan demi pertemuan yang akan menghancurkan hatinya. Tidak akan ada lagi usikan demi usikan yang akan menghidupkan lagi perasaannya pada lelaki itu.

“Aku dah janji akan ikut permintaan kau dan kau kena janji dengan aku akan tetap berkawan dengan Nel.”

Air mata Tasneem semakin meluruh. Permintaan itu terlalu berat untuk ditunaikan. Lagipun dia tak selalu ada di Kuantan. Dia banyak di Gambang dan mereka tak tahu dia kerja di situ.

“Saya cuba.”
Akhirnya dia luahkan keputusan agar lelaki itu menamatkan perbualan.
“Terima kasih. Dan sekali lagi aku ucap terima kasih sebab kau tak terima pelawaan Ku Han.”

Air mata Tasneem terus berhenti meluruh.

“Kalau saya terima?”

“Aku tahu kau tak mudah terima. Aku yakin kau bukan perempuan tepi….”
Zaim berhenti dan Tasneem rasa nak maki lelaki itu.

“Saya sedar diri dan encik jangan cakap apa-apa lagi. Saya nak tidur.”

“Jangan panggil aku encik!”

Tasneem tak hirau. Putuskan talian dan sembamkan muka ke atas katil.

Hatinya pedih. Lelaki itu menghubungi hanya kerana Neldhia. Hati yang sedikit sembuh akhirnya kembali luka berdarah.

Banyak betul rahsia ni. Bukan Nel sorang. Zaim pun macam ada rahsia besar

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience