Pintu ditolak perlahan-lahan. Melihat ramainya ahli keluarga Zaim, terus tubuhnya menggigil takut. Dengan debaran di dada Tasneem lemparkan senyum kepada Dato’ Zakri yang menghadap ke arahnya. Orang tua itu membalas mesra. Namun, tiba-tiba saja pandangannya terganggu.
Kemesraan Zaim dengan gadis di sebelah meresahkan hatinya. Malah ada seorang nenek yang kelihatan moden sedang berbual dengan Datin Hakimah. Hanya seorang saja gadis yang terus menjamu selera tanpa memandang ke mana-mana.
“Saya sediakan air masak,” beritahu Tasneem dengan mesra. Halau debar yang beraja. Dengan sopan letakkan dulang ke atas meja sebelah. Kemudian isi gelas kosong dengan air masak.
Zaim segera berpaling.
“Bagi aku segelas,” pinta Zaim namun matanya tak beralih dari wajah Tasneem.
Tasneem ukir senyum. Bangga kerana seperti selalu Zaim dengan air masak tak pernah berpisah. Dia cukup teruja kerana apa yang dia buat hari ini berbaloi. Tetapi dia tidak tahu. Ada duka yang bakal tiba.
Neldhia di sebelah Zaim pula kerutkan dahi. Terasa suara yang dia dengar itu seakan serasi di telinga. Terus dia menoleh ke belakang. Sebaik melihat susuk yang sedang menuangkan air ke dalam gelas bibirnya melebar luas. Wajahnya terbias ceria.
“Tas!” jerit Neldhia tak percaya. Sehinggakan semua orang memandang ke arah Neldhia pelik.
Tasneem tersentak. Terus berpaling melihat.
“Nel!”
Dan dadanya berdegup kencang. Hampir meletup isi di dalam apabila Neldhia memandang Zaim teruja lantas tepuk bahu lelaki itu.
“You, inilah kawan baru yang I cerita tu.”
Zaim kerutkan kening. Memikirkan cerita yang pernah diberitahu Neldhia.
"Oh. Nice!" puji Zaim lantas mata menyorot wajah Tasneem. Tak lama dekatkan bibir ke telinga Neldhia. "Elok juga you kenenkan dengan Ku Han. Senang nak jaga. Beli je susu kotak banyak-banyak."
Neldhia kerut kening tak faham. Tasneem yang mendengar pula abaikan saja. Sejak lelaki itu tahu kegemarannya dia memang tak kisah pun diusik begitu.
Sementara Dato’ Zakri hanya memerhati dan Datin Hakimah pula ukir senyum. Suka dengan penampilan Tasneem hari ini. Nampak lain. Hanya Nik Salimah saja yang memandang dengan ekor mata.
Neldhia tiba-tiba bangkit dan menghampiri Tasneem.
“Tas kerja kat sini ke?” soal Neldhia lantas raih lengan Tasneem. Air di dalam gelas tumpah sedikit dan Neldhia melepaskan tangan Tasneem seraya meminta maaf.
“Ini ke kerja biasa je yang Tas cakap tu?”
Tasneem telan liurnya malu. Bukan malu dengan ayat Neldhia tetapi dia malu apabila Zaim memandang lama wajahnya. Dia yakin Zaim terpesona. Ceh, perasan pulak!
“Haah, Nel pula kenal ke Encik Zaim?”
Neldhia gelak. Terus dahi Tasneem berkerut. Namun tangan tetap bergerak meletakkan gelas air masak di sebelah pinggan Zaim. Dato’ Zakri memandang lama. Menaakul apa yang matanya lihat.
“Mana tak kenalnya.” Neldhia buka mulut seraya kerling Zaim mesra. Pantas saja hati Tasneem dihinggapi debu-debu curiga. “Im ni….”
“Bakal suami Nel.”
Bukan suara Neldhia yang berbunyi tetapi suara nenek tua di sebelah Zaim yang mencelah. Terus air muka Tasneem berubah. Kolam mata pula cepat benar berkaca-kaca. Dia cuba mengawal rasa terkejut lantas pandang Neldhia yang cukup ceria. Berikan senyum tetapi hambar. Pasangan itu saling berbalas senyum bahagia dan saat itu barulah Tasneem sedar. Dia telah menyukai lelaki yang bakal menjadi milik orang. Orang itu pula adalah rakan barunya.
Terus hati Tasneem hancur berkecai.
Sungguh dia tak percaya. Apa yang dia hadap ini serasa mimpi semata-mata. Matanya yang sedari tadi memandang Neldhia kini beralih melihat Zaim yang kembali mengisi perutnya.
"Tas, marilah makan sama." Datin Hakimah mempelawa mesra. Tetapi tiba-tiba....
“Dah siap kan? Keluarlah. Jangan nak jadi penyibuk dalam keluarga orang,” halau Nik Salimah kasar. Terus semua mata tertuju pada wajah Nik Salimah yang tunjuk tak suka. “Kau tu pelayan je kat sini. Jangan nak tunjuk mesra pada semua orang.”
“Mak!” Datin Hakimah berbunyi. Kecewa dengan sikap emaknya. Kayla pula memandang tak suka.
“Nenek selalu macam tu.” Kayla berhenti menyuap. Tunjuk muncung. Namun Nik Salimah ketap bibir. Cucunya yang seorang ini memang susah nak dikawal. Cucu yang memang tak rapat dengannya.
“Kayla diam. Kayla tu kecik lagi. Jangan nak menyampuk hal orang tua.”
Tasneem sudah faham. Dia tak sepatutnya berlama-lama. Tak fasal-fasal nanti jadi perang besar pula. Lagipun nampak sangat nenek itu tak menyukai dirinya. Dia pun tak mahu menambah lara di dalam hati. Lantas meminta diri.
“Selamat menjamu selera semua. Kalau perlukan apa-apa, tekan je loceng,” ujar Tasneem lantas menapak mahu keluar. Namun suara yang berbunyi memecahkan benteng kolam matanya.
“Cik susu kotak, buatkan milo ais.”
Tangan digenggam. Air mata sudah menitis.
“Baik. nanti saya suruh pelayan hantar.” Tanpa memandang, Tasneem terus keluar. Di kerusi pula, Dato’ Zakri mula memahami sesuatu.
***
Keluar saja dari bilik berhawa dingin, Tasneem segera menyuruh pelayan lain menghantar milo panas untuk Zaim. Dia pula melangkah laju ke dapur. Mata Dahlia pantas mengekori dengan jiwa resah. Tak mampu hendak menenangkan gadis itu sekarang ini kerana pelanggan sedang beratur hendak membayar harga makanan.
Tasneem berdiri di belakang dapur restoran. Tekup mukanya dan menangis semahu hati. Tak mampu hendak menghentikan tangisan. Dia merasakan kekecewaan ini begitu berat.
“Tas, kuatkan semangat.” Akhirnya Dahlia muncul dan usap bahu Tasneem berulang kali. Namun, Tasneem tetap terhenjut-henjut menangis.
“Aku dah agak, kau tentu akan menangis teruk macam ni. Sebab tu aku suruh kau balik ofis. Tak payah datang sini,” ujar Dahlia di belakang dengan suara sebak. Dia juga menahan sedih. Simpati dengan kekecewaan Tasneem.
“Dia dah ada kekasih, Lia,” rintih Tasneem seraya hamburkan tangisan semakin panjang. Tak mampu hendak melenyapkan kekecewaannya. Malah kesedihan ini seakan merosakkan jantungnya.
“Aku pun baru tahu, Neem.”
Pantas Tasneem jatuhkan tangan.
“Kau tahu tak, aku sedih sangat sebab kekasih dia tu kawan baru aku. Aku tak tahu langsung yang Zaim tu ada kekasih cantik macam tu dan aku yakin dia tak mungkin akan pandang aku lagi. Dia tak akan mesej aku lagi. Aku malu, Lia. Malu sangat.”
Dahlia kerutkan kening.
“Mesej?” Dahlia tak faham.
“Aku terlalu mengharapkan dia, Lia. Pertama kali pandang dia hati aku dah jatuh suka. Makin aku sayangkan dia sejak aku kemas rumah dia. Sejak dari itulah dia mesej aku. Pagi tadi pun dia call aku. Dia usik aku. Dia buat aku rasa bahagia. Tapi… rupa-rupanya itu hint yang dia tak akan kawan dengan aku lagi sebab dia dah ada kekasih," rintih Tasneem dalam suara tenggelam timbul akibat menangis.
Dahlia pula berfikir panjang. Cerita Tasneem meletakkan satu andaian dalam hatinya. Kenapa lelaki itu perlu melayan Tasneem kalau dah ada buah hati? Terus dia fikir macam-macam. Tetapi dia tak boleh ambil serius. Lantas Dahlia hanya memujuk.
“Sabar, Neem. bukan jodoh kau.”
“Tapi… aku suka dia, Lia. Suka sangat. Kau tahu kan aku tak pernah jatuh cinta. Tak pernah rasa macam ni. Tak sangka, masa aku terlalu sukakan dia… rupa-rupanya dia dah ada orang lain. Hati aku sakit sangat Lia. Sakit sangat.”
Dahlia bungkam. Tak tahu nak kata apa.
“Aku tak tahu nak buat apa sekarang.”
Lantas Dahlia tarik tangan Tasneem. Genggam erat.
“Relak Neem. Relak. Kau kena terima semuanya dengan reda. Kau bukan kekasih dia. Jadi kau tak perlu nak kecewa sangat. Kalau dia tahu kau macam ni kau rasa dia akan gelak tak?”
Tasneem diam.
“Dia dah tahu kau suka dia. Kalau kau kecewa macam ni aku yakin dia akan gelakkan kau. Kau nak ke orang yang kau suka usik kau pelik-pelik nanti?”
Tasneem lepaskan nafas kesal.
“Dah lah Neem. Baik kau balik rumah mak usu. Rehat. Tak payah masuk pejabat. Lagipun kau cakap kau dah ambik cuti separuh hari. Jadi elok kau balik. Jangan drive ke Gambang. Aku takut kau terjun gaung.”
Terhambur gelak kecil Tasneem.
“Aku tak akan buat kerja gila sebab lelaki.”
“Tapi kau dah lama buktikan pada aku kau sanggup buat apa saja demi Zaim. Macam hari ini.”
Dan sekali lagi air mata Tasneem berhamburan keluar.
Sementara di balik pintu dapur, Syilla senyum puas hati. Dia gembira kerana encik Zaim itu sudah ada yang punya.
Padan muka Tasneem.
***
Kayla yang bosan dengan sikap neneknya keluar dari bilik makan. Kakinya melangkah ke kaki lima restoran. Mahu melayan drama cina kesukaannya. Kalau terus di dalam bilik tentu tak dapat nak tumpukan perhatian.
Tarik sebuah kerusi lantas duduk. Saat itulah matanya melihat kelibat pelayan tadi yang dikatakan kawan baru Kak Neldhia melangkah lemah ke arah kereta myvi ungu. Dia intai wajah yang nampak sembab itu. Bahkan tilik wajah itu lama. Bukankah gadis itu yang melanggarnya dulu. Betul ke kakak itu pelayan kat sini ke? Tapi dia hairan. Baju itu seakan dilihatnya di kolej pagi tadi. Sewaktu dia berjalan hendak ke dewan kuliah dia terserempak dengan susuk berpakaian begitu baru keluar dari kereta. Tapi dia abaikan kerana dia tak kenal. Cuma kereta itu.
Ya. Kereta ungu itu?
Dia tak pasti. Jadi dia akan selidik.
Ada nenek yang buat GH geram but GH harap Kayla ni bijak.
Share this novel
Sambung lagiii best laaa