Sedari tengah hari tadi lagi Zaim hanya berkurung di dalam bilik. Melayan perasaannya yang bercampur-baur. Antara kesal dengan apa yang telah terjadi dan juga rahsia yang baru dia ketahui. Dia berbelah bahagi. Apa yang perlu dia buat.
Ikutkan arahan papa. Nikah dengan Tasneem? Tapi dia tak cintakan gadis itu. Atau… nikah saja dengan Neldhia walaupun dia tahu Neldhia bukan lagi anak dara? Hati berperang sesama sendiri. Apa yang dia hadap semalam rupanya tidak sesakit kejadian hari ini. Orang yang dia sayang bukan lagi gadis suci. Mati-mati dia percayakan Neldhia. Malah dia selau mengingatkan Neldhia agar menjaga diri. Walaupun dia tahu tubuh gadis itu selalu terdedah tak kira masa. Dia tetap sayangkan Neldhia.
Sayang!
Betul ke dia sayangkan Neldhia? Hatinya bercelaru. Kata-kata Kayla sedikit sebanyak menggugat hatinya. Tak sangka Kayla mengetahui segala rahsia yang selama ini disimpan kemas. Siapa lagi yang tahu? Mami? Tak mungkin. Papa?
Ah, hati mula dilanda badai. Kepala mula mencari jalan penyelesaian.
Ketukan di pintu mengejutkannya. Dengan langkah yang lemah dia menapak ke pintu dan tarik selak.
“Dari tengah hari tadi lagi berkurung. Sampai dah lewat malam. Jangan seksa diri Im. Im kena berhadapan dengan masalah. Barulah semuanya akan selesai.” Dato’ Zakri memulakan kata di hadapan pintu dan Zaim pusingkan badan lantas bergerak ke balkoni.
“Masalah yang datang tu nak menguji kita. Sekuat apa Im. Sekuat apa papa dan semua orang yang terlibat dengan masalah ini. Jadi, im kena buktikan pada semua yang Im bukan lelaki tak guna. Bukan lelaki lembik.” Dato’ Zakri teruskan kata sambil melangkah mendekati Zaim.
Zaim pandang ke luar rumah. Suasana yang hanya diterangi lampu taman tidak mampu mengubat hatinya yang lara.
“Lepas satu-satu masalah datang. Im tak sangka pa.” Zaim menggeleng kemudian menekur ke bawah. Dato’ Zakri tepuk bahu Zaim perlahan. “Kenapa papa tak cakap dengan Im dari dulu lagi. Kenapa papa tak bagitahu?”
Dato Zakri menyandar di pagar balkoni.
“Papa suruh Nel yang beritahu Im sendiri. Kata bercinta. Tentulah kena saling jujur tapi dia tak buat begitu.”
Zaim hembus nafas kecewa.
“Siapa jantan tak guna tu pa?” soal Zaim geram.
“Papa tak tahu. Im kena tanya dia sendiri.”
Ah, Zaim berpaling. Tak mungkin dia nak tanya. Buat apa lagi ambil tahu. Kalau sampai sudah ada anak yang besar bermakna dia yang bodoh. Boleh ditipu dengan mudah sekali.
“Im tetap nak kahwin dengan Nel?” soal Dato’ Zakri memancing kata.
“Papa kenal I'm kan?”
Dato’ Zakri angguk. Zaim seorang lelaki yang tak suka menggunakan barang yang terpakai. Kalau kereta pun anaknya cari yang baru takkanlah isteri nak pakai yang secondhand.
“Kalau macam tu, ikut saja saranan papa. Kahwin dengan Tasneem.”
Terus mata Zaim terpejam rapat.
“Please, pa! Jangan sebut nama dia.”
“Kenapa?”
“Im tak akan bawa dia masuk dalam rumah kita. Cukuplah sekali saja Im buat silap pa. Kalau Im kahwin dengan dia, papa rasa Im akan sayang dia ke. Macam mana kalau Im berlaku zalim. Im akan abaikan dia. Dan dia… adakah dia akan terima Im yang dah buat dia rasa kotor."
Dato’ Zakri garu dahi yang tak gatal.
“Semua tu Im fikir lepas kahwin. Macam mana tak nak jadi zalim. Macam mana nak buat Tasneem terima Im bukan kerana kes tu. Sekarang apa yang penting, selamatkan dia dulu.”
Dahi Zaim berkerut tak faham.
“Im tak rasa ke kita diperhati?”
Makin berkerut dahi Zaim.
“Kita ada musuh? Siapa?” Zaim mencari-cari.
“Siapa saja boleh jadi musuh kita. Paling merungsingkan kalau yang dekat dengan kita. Entah-entah sudah banyak yang dia orang atur. Kita saja yang tak tahu apa-apa.”
Zaim pusingakn badan dan kembali memegang pagar beranda. Mengingati orang-orang yang dekat dengannya terus dia tampar permukaan pagar. Kepala teringat semula akan Jazmin. Teringat segala perlakuan menggoda Jazmin. Bukan sekali tetapi banyak kali. Rafael tak pernah menghalang sahabat baiknya itu. Apabila nama Rafael muncul sakit hatinya bertambah. Sedari semalam dia menghubungi kedua-duanya namun langsung tak dapat. Entah ke mana kedua-dua makhluk itu menghilang.
Dato Zaim dapat membaca apa yang ada dalam kepala Zaim.
“Kalau Rafael tak bagi Jazmin masuk ke dalam tentu semua ini tak akan berlaku. Dan… Im tak pelik ke? Kenapa hari itu juga Rafael perlu keluar. Im cakap dia jarang balik rumah mak dia. Dia lebih suka terperap dalam bilik. Kenapa dia tak ada sama tolong uruskan dokumen yang Jazmin hantar. Bukan Jazmin pembantu dia ke?”
Zaim tarik rambutnya. Kepalanya tiba-tiba berdenyut-denyut.
“Papa dapat rasakan ada orang yang nak menganiayai Im. Bukan Im sorang. Papa pun terlibat sama. Tengok ni.”
Dato’ Zakri yang membawa tablet bersama mula menghidupkan layar skrin. Hulurkan kepada Zaim.
‘Pasangan ditangkap khalwat dikenal pasti anak pemilik ZakBina Construction.’
Zaim baca dengan nafas yang menderu laju. Tangan sudah kepal penumbuk. Sakit hatinya melihat berita negeri yang terpapar. Sudahlah mukanya jelas kelihatan. Cuma Tasneem yang tak nampak muka kerana membelakangi. Gambar itu sungguh memalukan. Dia yang hanya bersinglet dan bertuala sedang memeluk Tasneem. Memang mengaibkan.
“Macam mana gambar macam ni boleh dirakam?” soal Zaim dengan kepala yang berserabut.
Dato’ Zakri kembali hempaskan punggung.
“Papa agak orang tu memang dekat dengan kita.”
“Siapa pa?” nada suara Zaim sudah kendur. Kepala pula mencari maklumat dan mata pandang orang tuanya. Terpandang pula mami dan Kayla yang sudah muncul di muka pintu.
“Sebab tu papa nak Im kahwin dengan Tasneem.”
Sekali lagi Dato’ Zakri memberi cadangan hingga nafas Zaim berhembus keras.
"Please, pa. Jangan paksa Im.” Zaim menolak. Dato’ Zakri tarik tablet.
“Im tak terfikir ke? Boleh jadi Nel yang rancang semua ni.”
Buntang mata Zaim melihat papanya.
“Pa!” Zaim menjerit. “For what pa Nel nak perangkap Im. Im tahu pakaian dia tak senonoh tapi dia tak akan tergamak perangkap kawan dia sendiri.”
Mata Dato Zakri jauh memandang ke depan. Tidak membalas pertanyaan Zaim. Sebaliknya berfikir panjang. Perlu buat sesuatu sebelum semuanya musnah.
“Mungkin Nel nak perangkap Im dengan dia tapi tak kesampaian.”
Ah, berbelit. Tak mungkin. Kalau dengan Neldhia bila-bila masa saja mereka boleh ditangkap khalwat. Jadi dia tak akan mengesyaki Neldhia.
“Kalau Im cakap bukan Nel yang rancang jadi, siapa yang Im rasa sedang merancang benda jahat dekat kita?”
Zaim menggeleng. Kepalanya buntu. Tak mampu berfikir dengan baik.
“Kita kena cari siapa yang buat jahat dekat Im. Boleh jadi rancangan mereka tu masih belum habis. Jadi dengar pesan papa. Kahwin dengan Tasneem.”
“Pa… kalau tak kahwin dengan dia pun kita masih boleh cari siapa dalang sebalik semua ni.”
Dato’ Zakri menggeleng tak membenarkan.
“Dengan hanya mengahwini Tasneem kita akan tahu.”
Dan Zaim terdiam lagi. Pandang maminya yang sudah mendekati. Tetapi kepala masih berserabut.
“Kuatkan semangat Im. Anak jantan mami tak akan mudah kalah hanya sebab benda yang kecil saja. Bukan ke Im dah pernah lalui yang lebih teruk lagi dari ini?”
Apabila Datin Hakimah berbunyi tentang cerita lalu Zaim terus pejamkan mata dan kembali mengimbas kenangan yang tak pernah terhapus.
Apakah orang itu yang berdendam dengannya. Tetapi lelaki itu tidak ada di sini. Lelaki itu jauh di benua lain.
Tak mungkin!
Lalu kepala mula berfikir dengan waras. Menghadam segala kejadian demi kejadian yang berlaku. Lalu dia ambil keputusan dan tekadnya satu. Dia mahu menjernihkan air yang berkeladak.
Share this novel
mesti zaim terkejut apabila dapat tahu Tasneem bukan sebarangan. pensyarah lg....hahaha.,
finally.. cerita dh makin byk conflict. x sabar nk tunggu tasneem kawin ngan zaim ..muah3