“Abah!”
Tasneem menjerit dari belakang lantas mendekati Haji Borhan yang sedari tadi terjongket-jongket menyapu laman rumah. Tasneem tunjuk muka geram. Dah tahu tak boleh berjalan dengan betul masih juga nak buat kerja begitu. Tetapi… memang petang-petang begini itulah rutin harian lelaki itu. Namun, Tasneem tak suka orang tua itu tunjuk rajin.
“Kenapa tak suruh, Kirah je. Dah besar panjang kan. Takkan tak boleh nak tolong.” Sempat lagi Tasneem membebel dan Haji Borhan tepuk lengan Tasneem. Tak membalas kata-kata anak dara itu sebaliknya tunjuk muka geram.
“Balik senyap-senyap. Langsung tak call abah,” marah Haji Borhan namun Tasneem hamburkan gelak bahagia. Terus dipeluknya lelaki itu. Menenangkan Haji Borhan dari keluarkan amarah.
“Mana ada senyap-senyap. Itu kereta kat belakang tu.” Tangan Tasneem tunjuk kereta Myvi ungu yang di parkir di luar jalan. Sengaja nak kejutkan orang tua itu dengan sorokkan sedikit badan kereta. Lagipun Haji Borhan rabun dekat. Sangat teruk jadi, sedaplah Tasneem nak kenakan lelaki itu.
“Ibu mana, bah?” tanya Tasneem lantas menghendap ke bawah rumah.
“Pergi beli barang kat kedai Pok Teh. Katanya malam ni nak makan mee kuah.”
“Wah, bestnya. Dah lama tak makan. Macam tahu-tahu Neem nak balik. Sedapnya.” Tasneem kepit pipinya dan membayangkan sedang menjamah mee kuah yang ibunya masakkan. Terus liurnya kecur.
“Ini dah habis kursus ke yang terus sampai ni?” tanya Haji Borhan lantas usap kepala Tasneem.
“Haah, bah. Rindu sangat dengan abah, ibu… adik-adik. Kalau tak ada kursus Neem terus balik hari Sabtu lepas. Nak buat macam mana kan? Orang baru dapat jadi pegawai kerajaan. Banyaklah kursus yang nak kena hadap,” omel Tasneem manja dan tarik tangan orang tua itu lantas pimpin sehingga ke bangku di bawah pokok mempelam.
“Dah kerja dengan orang. Ikutlah selagi baik untuk kita. Jangan jadi macam abah. Elok-elok dah kerja, kena buang sebab tak pandai.”
Tasneem hamburkan gelak. Ada ke patut abahnya merendahkan diri sendiri. Macamlah dia tak tahu. Bukan abah yang kena buang tapi abah yang berhenti jadi pengawal keselamatan di sebuah sekolah sebab kemalangan lima tahun lepas. Sebab itulah Tasneem gembira sangat bila dapat kerja kerajaan. Dia nak membantu menyara abah dengan ibu serta adik-adiknya yang berbaki empat orang.
Tapi itulah, dia baru tiga bulan bekerja. Masih belum dapat gaji penuh. Sebab itulah dia tak boleh nak beli kereta lagi. Hanya pinjam Myvi mak usu dulu buat sementara waktu. Kalau dah stabil nanti barulah dia akan fikirkan nak beli kereta idaman.
“Ambil sajalah Ativa. Sesuai dengan Neem.”
Kelip-kelip Tasneem pandang abahnya.
“Macam mana abah tahu Neem tengah fikir pasal kereta?” soal Tasneem hairan.
“Dah Neem tengok kereta mak usu tu macam nak bakar je.”
Terhambur gelak besar Tasneem apabila sedar matanya melekat di situ sedari tadi.
“Ativa tak boleh. Kecil. Mana boleh sumbat ramai. Neem kan ada ramai adik. Tambah abah dengan ibu pula. Nanti jadi sardin.”
Haji Borhan menggeleng kesal. Kesal dengan sikap Tasneem. Sanggup mendahulukan keluarga daripada diri sendiri. Padahal dia tahu, Tasneem pasang impian hendak memiliki Ativa. Dia pula tak dapat nak membantu. Dia tak ada kerja. Hanya mampu duduk di rumah. Sementara isterinya yang keluar bekerja menjadi tukang masak di sebuah kedai makan.
Tasneem pandang abahnya yang termenung jauh. Dia tahu orang tua itu sedih dengan keadaan mereka yang taklah kaya macam orang lain.
“Abah. Neem janji akan bahagiakan abah dengan ibu. Neem tekad nak balas jasa abah sebab besarkan Neem. Abah anggap Neem macam harta abah yang paling berharga.”
Tiba-tiba air mata tua itu menitik ke pipi. Ia adalah air mata bangga. Bangga dengan kesolehan Tasneem. Walaupun gadis itu bukan darah dagingnya tetapi dia amat menghargai kewujudan Tasneem.
Tasneem pantas menyapu air mata yang meleleh di pipi orang tua itu. Kemudian tekup kedua-dua belah pipi itu dengan tangannya.
“Neem sayang abah sampai mati,” ucap Tasneem bersama mata yang berkaca-kaca.
Dari kejauhan, Nadiah mengusap air mata yang jatuh ke pipi. Bahagia melihat keakraban di antara Tasneem dan bapa tiri gadis itu. Sejujurnya hati tak mampu menipu yang dia amat menghargai kebaikan Haji Borhan.
***
Kenyang perut Tasneem dapat menikmati mee kuah yang emaknya buat. Orang cakap, masakan yang paling sedap adalah masakan ibu sendiri. Betullah tu sampai dia melahap dua mangkuk sekaligus.
Nadiah yang melihat terus menggeleng sambil tersenyum.
“Terima kasih, ibu. Sedap sangat-sangat.”
“Ya lah. Masa tak kerja selera sangat nak makan kan. Tapi bila sibuk sangat Neem akan abaikan makan minum. Macam zaman selajar dulu. Kalau dah menghadap kerja rumah tu sampai sakit perut jadinya sebab tak makan.”
Tasneem senyum.
Itulah dia. Bila dia tak join rakan sekerja pergi lunch mereka cakap dia nak diet. Padahal dia jenis yang susah nak makan. Bukan memilih tapi memang tak boleh telan banyak. Mungkin sebab dia suka susu kut. Sampai dia sediakan susu kotak dekat meja sendiri di dalam pejabat. Bila tak sempat makan atau tak ada selera nak makan dia akan minum susu. Mungkin sebab itu kut dia jadi mudah kenyang. Rasa macam budak-budak kecil pula. Tapi itulah dia. Mana boleh ikut cara orang.
“Esok ibu kerja ke?” tanya Tasneem sambil membasuh pinggan mangkuk yang ditinggalkan adik-adiknya.
“Ibu ambil cuti. Neem dah balik ni jadi ibu tak nak tinggalkan Neem sorang-sorang dengan adik-adik.”
Tasneem berhenti membasuh pinggan. Pandang ibunya.
“Ibu pergilah kerja. Neem dah ada. Biar Neem yang buat kerja rumah.”
Nadiah menggeleng.
“Ibu nak luangkan masa dengan Neem. Entah bila pula boleh duduk lama-lama dengan Neem.”
Tasneem sungguh sayu. Kesal pun ada. Kenapa ibu nak bercuti. Sah-sah, tak ada gaji nanti sebab upah ibu dibayar ikut hari. Dia pula hanya boleh membantu setakat yang termampu dulu. Bila dah lama-lama bekerja barulah boleh menambah duit untuk ibunya menampung perbelanjaan harian.
“Ibu….” Tasneem memeluk Nadiah dari belakang. Dagu disangkutkan ke bahu ibunya. Wanita itu pula sapu air mata yang hampir meleleh turun ke pipi.
“Neem akan jarang balik ke sini. Jadi masa Neem balik inilah ibu nak habiskan masa dengan Neem,” ujar Nadiah sebak.
“Hari minggu kan ada. Neem rela balik jumpa ibu.”
Nadiah pantas leraikan pelukan lalu pusingkan badan pandang Tasneem.
“Tak perlu balik kalau tak ada hal penting. Gambang ke sini bukannya setengah jam. Ibu tak nak Neem gadaikan nyawa semata-mata nak balik jenguk ibu.”
“Tapi bu….”
“Dengar cakap ibu. Balik bila Neem cuti panjang. Itupun kalau Neem dah ada kereta sendiri. Lagipun kereta yang Neem pakai sekarang tu kereta pinjam. Elakkan dari merosakkan barang orang,” pesan Nadiah tegas dan Tasneem angguk mengiyakan.
Kalau itu yang ibunya nak, dia akan ikut.
“Neem nak masuk bilik dulu, ibu. Nak solat isyak. Neem tak solat lagi,” ujar Tasneem lantas meninggalkan Nadiah yang kembali mengemas dapur. Dalam tangan kalut membersihkan meja hati memanjatkan kesyukuran. Anak yang dikandung dengan seribu kepayahan akhirnya berjaya membanggakan dirinya. Malah menyambung cita-citanya yang tersekat di tengah jalan.
***
Usai solat Tasneem duduk di atas katil. Langsung tak menanggalkan telekung kerana hujan di luar yang lebat menyejukkan suasana malam. Dia tarik planner yang di simpan ke atas meja lantas selak helaian yang sudah dia tanda awal-awal.
Bibir mengukirkan senyum panjang apabila melihat catatan di situ.
Rindunya dekat awak, Zaim Muazzam!
Hati Tasneem mengungkap rasa. Pandang nama lelaki itu lama-lama. Kemudian dia baringkan tubuh dan kepak planner betul-betul atas muka.
‘Awak, jaga diri tau. Jangan silap makan lagi. Saya tak pergi Kuantan dah. Nak balik Gambang terus. Kalau awak sakit saya tak boleh nak bantu. Hari minggu je boleh pergi restoran mak usu. Tapi awak pula tak ada kat situ.’ Tasneem bermonolog. Memang dia dah angau teruk. Mimpikan orang yang dia tak kenal sepenuhnya.
Oh, masa cepatlah berjalan. Aku tak sabar nak jumpa dia.
Dum!
Guruh berdentum kuat dan serentak itu Tasneem bangkit mahu bersembunyi diketiak abahnya. Sayang, dia jatuh katil.
“Aduh!”
Tasneem bingkas bangun dan gosok punggungnya.
“Itulah. Dah mendapat. Lain kali ingatlah dekat mamat yang bukan milik kau,” omel Tasneem sendiri.
Tangan naik ke mulut dan tarik bibir sendiri.
Padan muka!
Hahaa... padan muka. Koya lagi.
Share this novel