BA 69

Drama Completed 84621

Tasneem mundar-mandir di dalam bilik yang gelap ini. Mami mentuanya pula sudah turun ke bawah untuk menghubungi pihak polis. Setelah mendengar cerita dan berbincang baik-baik dia yang tolong membuat keputusan. Perlukan pihak berkuasa untuk memastikan semua orang selamat.

Dia pula tak turun ke bawah. Terus ke dinding. Tekan suis. Sebaik lampu menyala dia tergamam. Betapa bilik ini menzahirkan kesakitan jiwa dan emosi Zufri. Pantas dia ke meja lelaki itu. Ada lambakan gambar candid yang membuat matanya buntang.

Gambar Neldhia.
Gambar Zaim
Dan… yang tak diduga adalah gambarnya yang dirakam dalam pakaian berlainan jenis.

Pantas diambilnya satu.
Dua.
Tiga... dan barulah dia sedar. Selama ini dia diperhati. Terus dia hembus nafas tak percaya. Diambilnya pula gambar Neldhia. Rindunya dia pada gadis itu. Lantas diletakkan dan berganti dengan gambar Zaim.

Betapa luluh hatinya melihat wajah Zaim yang tersenyum manis saat melompat bersama topi ijazah tetapi berlubang sana sini kerana dicucuk. Entah berapa puluh tusukan menembusi gambar itu dia tidak tahu. Hanya yang ada dalam kepalanya hanyalah satu soalan. Kenapa Zufri bertindak begitu?

Nampaknya dendam Zufri begitu mendalam. Dari cerita yang dia dapat hati Zufri begitu membenci kerana kehilangan orang tuanya. Namun, tindakan lelaki itu sebenarnya hanya akan memusnahkan diri sendiri. Dia tidak pantas membiarkan lelaki itu mendera emosi sendiri. Zufri terlalu sakit. Lalu dia berpaling hendak keluar namun mata tiba-tiba saja melihat gambar yang terselit di bawah kepingan gambar yang lain.

Tangan tiba-tiba menggigil. Ditariknya perlahan. Sebaik sahaja melihat rakaman Zaim mencium pipinya rakus terus gambar itu jatuh ke bawah. Tubuhnya menggeletar.

Tak mungkin!
Tak mungkin Zufri yang buat semua ini. Kepala mula berselirat. Masih belum mampu menerima semuanya. Namun dia melemban lagi gambar di atas meja. Ketika itulah matanya melihat dokumen sijil kelahiran yang berada di bawah sekali.

Perlahan-lahan ditariknya sijil kelahiran tersebut. Melihat nama yang tertera terus kakinya berundur ke belakang.

Tidak!
Mulutnya menyebut beberapa kali. Mata pantas turun ke alamat pula. Dia baca alamat yang tertera dengan suara berbisik. Berulang kali dia baca. Tak mungkin apa yang ada dalam kepalanya sekarang adalah benar sama sekali. Lalu, dengan tangan terketar-ketar dia kembali ke bilik sendiri. Keluarkan kad pengenalan dari dompetnya. Terus dipadankan alamat.

Sama!
Alamat itu sama. Malah nama ayah juga sama. Apakah… apakah Zufri itu adiknya. Dia tak percaya. Namun dia tahu siapa yang perlu mengesahkan semua ini. Lantas didailnya nombor telefon ibu. Hati amat berharap lelaki itu bukan darah dagingnya.

***

Terketar-ketar lutut Zaim sebaik tiba di kawasan yang tak akan dia lupakan sampai bila-bila. Melihat rumah yang hanya tinggal kerangka kepalanya mula berpusing. Hanya bahagian dapur yang berdindingkan simen yang tidak luruh dimakan api.

Hati menjerit kuat. Kuatkah dia hendak mencari ayahnya? Dia menggeleng takut.
Ah, dia perlu kuatkan semangat. Jika dia lemah ayahnya akan menjadi mangsa.

“Zufri!” jerit Zaim kuat. Dia tahu apa yang jadi semuanya angkara Zufri. Dia yakin lelaki itu sengaja mengganggu hubungannya dengan keluarganya serta
Neldhia kerana ingin membalas dendam.

“Zufri! Keluar!!!” jerit Zaim lagi. Ketika itu senja pun berlabuh. Pantas dia melangkah hendak mencari. Saat itu juga kedengaran suara mengeluh lemah.

“Papa! Papa ke tu?” tanya Zaim lantas keluarkan telefon. Gunakan lampu suluh telefon untuk mencari orang tuanya. Dia ke bahagian dapur. Sebaik menyuluh dia nampak susuk bertopeng sedang memberikan minuman kepada seorang lelaki yang terikat.

“Papa!”
Dia yakin itu adalah orang tuanya lantas dia bergerak hendak mendekati namun susuk bertopeng itu bangkit. Acukan pisau ke arahnya. Tidak jadi Zaim hendak mendekat. Susuk itu tiba-tiba saja nyalakan jamung yang terikat di tiang berdekatan dinding. Terus kakinya berhenti. Telan liurnya berkali-kali. Malah nafas pun tersekat-sekat. Dia tak mampu memandang api. Mata dipejam. Kaki pun kejung di tempat itu. Langsung menggigil tak mampu hendak bergerak.

‘Lawan ketakutan tu Im. Lawan!’ Ada suara yang menyuruh. Itu suara hati yang sekian lama hendak keluar tetapi dia sendiri yang menghalang.

‘Lawan, Im. Lawan!’
Kalau dia terus begitu sampai bila-bila dia tak akan mampu menumpaskan pihak lawannya. Terus dia celikkan mata. Tidak memandang api tetapi pandang mata susuk bertopeng itu yang nampak takut-takut.

Itu bukan mata Zufri. Dia kenal sangat. Bahkan tubuh itu juga bukan tubuh Zufri. Tubuh yang lebih tinggi daripadanya itu nampak berisi. Terus fikirannya mencari. Jika itu bukan Zufri habis tu siapa yang sedang membuat keluarganya porak peranda.

“Kau siapa?” soal Zaim seraya perlahan-lahan mendekat. Tubuh itu keluarkan pisau lantas mengacu ke leher Dato’ Zakri. Tetapi tangan itu nampak tak kuat. Menggigil dan sekeliling mata itu nampak berpeluh.

Zaim sudah yakin. Dia tak akan takut lagi. Demi papa. Demi mami dan isterinya dia akan buang ketakutannya.

“Kau jangan apa-apakan papa aku. Kau siapa? Buka topeng kau tu?” Zaim berkeras namun lelaki itu tidak menghiraukan. Masih lagi mengacu pisau.

“Kenapa kau tak cakap? Aku kenal kau kan?” sengaja Zaim menduga. Kerana hari yang semakin gelap dia tak mampu lagi hendak menilik. Apatah lagi api jamung yang marak itu sedikit sebanyak membuat kekuatannya hilang.

“Im!” tiba-tiba suara Dato’ Zakri memecah kesunyian malam.

“Pa!” Zaim hendak mendekat namun pisau di tangan lelaki itu sudah menusuk leher papanya. Tidak berdarah tetapi menaikkan rambut halusnya.

“Kau jangan nak apa-apakan papa aku. Kalau tidak….”

Zaim hembus nafas kuat. Tak kira apa yang jadi dia perlu selamatkan papanya. Tawakal saja lalu dia bergerak laju dan menendang tangan itu. Pisau terpelanting jauh dan suara yang menyiuk kesakitan mengejutkan Zaim.

“Abang Jai!”

***

Tak kira apa yang akan berlaku dia tetap ingin menemui Zaim. Dia tidak mahu nyawa orang yang dia sayang melayang begitu saja. Terutama sekali nyawa Zufri. Dia mahu tahu apakah benar lelaki itu adiknya. Setelah ibunya mengesahkan surat beranak itu memang benar milik adiknya terus dia dihambat ketakutan maha hebat.

Dia tidak mahu merasai kehilangan lagi. Kehilangan darah dagingnya yang tak pernah dia kenali adalah kehilangan yang amat menyakitkan. Dia perlukan pengesahan. Walaupun mami mentuanya menghalang dia tetap juga keluar. Dengan bantuan Dahlia dia kembali menggunakan kereta Mak Usu Tini untuk ke Cameron Highland. Sejauh mana pun dia memandu dia sudah tidak ambil kisah. Apa yang penting dia perlu berjumpa dengan semua orang.

Mengikut google maps dia akhirnya sampai ke lokasi. Namun suasana gelap begitu menyeramkan. Berbelah bahagi hendak keluar. Dia tak nampak apa-apa. Suluhan cahaya bulan yang hampir sempurna tidak cukup menerangkan maya. Lalu dia berserah. Keluar dari kereta.

Dada berdebar-debar takut. Tetapi dia perlu mencari Zaim dan papa mentuanya. Perlahan-lahan dia bergerak. Dari jauh samar-samar dia nampak dinding yang ada kesan terbakar. Bila hampir dekat dia lihat ada api jamung yang menyala.
Inikah rumah yang telah musnah itu? Inikah rumah nyawa darah dagingnya? Kepala menyoal seraya kaki diheret lagi. Sebaik hampir tiba dekat dengan dinding telinganya mendengar suara orang berlawan.

Terus tubuhnya menggigil. Air mata pun menderu laju. Zaimkah yang sedang berlawan? Hati tak sedap rasa. Dia percepatkan langkah. Sayang sekali, tak sempat sampai lehernya dihentak sesuatu dan… dia terkulai layu.

***

Zaim memukul tubuh Jairas berkali-kali. Mereka berlawan bagaikan dua orang musuh lama. Sungguh amarahnya bukan sedikit. Mengetahui Jairas dibalik topeng yang dipakai hatinya mendidih panas. Tak sangka, pemandu yang diharapkan sanggup menikam belakang papanya. Lantas dia terus menyerang dan Jairas hampir tewas.

Sambil berlawan, hati diserang persoalan.
Kenapa lelaki itu sanggup mengkhianati keluarganya. Dia yakin lelaki itu tidak bekerja seorang diri. Tentunya ada orang yang mengupah. Hati Zaim tak mampu berdamai dengan akal. Kali ini dia berjaya mengunci pergerakan Jairas. Dengan geram ditumbuknya muka itu berkali-kali sehingga lelaki itu sudah tidak mampu mengeluarkan kata. Menjerit pun tak mampu juga.

“Kau cakap. Siapa yang upah kau buat semua ni? Kau kerja dengan siapa? Siapa?” tanya Zaim seraya berikan sebuah lagi tumbukan tepat ke muka.

“Aku! Aku yang upah dia.”

Apabila suara di belakang berbunyi terus tangannya melepaskan Jairas. Cepat sekali dia berpaling. Melihat seorang lelaki memakai topi sedang mengheret seseorang dadanya berdegup kencang. Apabila tubuh itu ditolak ke arahnya terus mulutnya meraung kuat.

“Tas!!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience