BAB 18

Family Series 39843

Neldhia tunduk memandang ke lantai. Sedari tadi lagi dia berada di dalam bilik Dato’ Zakri namun satu ayat pun dia tak mampu nak balas. Pertanyaan Dato’ Zakri pun hanya satu saja dan itu sudah mengganggu semangatnya yang telah dikumpul sebelum pulang ke Malaysia.

“Sanggup ke Nel tinggalkan semua yang ada dekat UK demi jaga Zaim kat sini?”

Itu saja soalan yang terlontar dan dia masih diam sehingga ke saat ini.
“Uncle!” Tak terluah suara Neldhia sebaik mata bertentang mata. Saat itu juga air matanya hampir terjun turun. Dia gadis yang kuat. Dia tak akan kalah hanya dengan air liur tetapi pertanyaan Dato’ Zakri meruntuhkan benteng yang selama ini dibina.

“Nel jangan sorokkan apa-apa. Uncle dah lama tahu.”

Dan kolam matanya pecah juga. Lalu air jernih pun mengalir laju. Tangan serentak naik menyapu pipi. Tidak mahu orang tua itu tahu dia sebenarnya perempuan lemah. Dia amat lemah. Tetapi dia mahu terus menyembunyikannya. Sayang, semuanya sudah terlambat kerana Dato’ Zakri telah mengetahuinya. Sudah lama pula tu.

“Izinkan Nel kahwin dengan Im tanpa bincang semua tu. Nel yakin Im tak akan tahu dan Nel tahu Im takkan mempersoalkan semuanya. ”

Dato’ Zakri hembus nafas kecewa. Neldhia cakap tak pakai otak. Kata terpelajar tetapi langsung tak mengerti tentang kejujuran.

“Nel ingat Im buta? Pekak?”

Neldhia diam.
“Sampai bila Nel nak berahsia. Nel jangan ingat dekat UK sana tak ada orang kenal Nel. Zufri?”

Neldhia tersentak. Pantas sapu air mata yang masih mahu terjun dari kolam matanya. Kenapa dia tak sedar. Zufri, adiknya Zaim pun belajar di sana. Walau berbeza universiti tetapi Zufri boleh saja menyelidik tanpa perlu ke sana ke mari.

“Erk… Nel….!” suara Neldhia tersekat di kerongkong.

“Kalau Nel sayangkan Im, baik berterus terang. Kalau Im terima, uncle dan auntie tak akan menolak.”

Dan akhirnya….keputusan hari ini bergantung atas dirinya sendiri. Dia yang perlu putuskan semua ini. Jika benar dia sayangkan Zaim dialah yang perlu berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Persoalannya!
Mampukah cinta ini bertahan sehingga ke jinjang pelamin jika rahsia sudah terbongkar.
Ah, dia tak mampu meramal masa depan lalu dia akan cuba mencari jalan lain agar segalanya tak musnah begitu saja.

***

Neldhia keluar dari bilik Dato’ Zakri dan melangkah lemah ke arah bilik mesyuarat. Ikutkan hati dia tak mahu berjumpa dengan Zaim. Dia mahu menyembunyikan lara di hatinya. Namun dia yakin Zaim akan mencarinya sehingga ke rumah jika dia tidak melaporkan kepada lelaki itu tentang pertemuan tadi. Lalu dia berhenti di muka pintu. Tunduk ke bawah. Memikirkan kata-kata Dato’ Zakri.

Dehemen seseorang mengejutkannya. Terus dia berpaling. Wajah sinis Jazmin singgah di mata. Perempuan itu memandangnya dari atas sampai ke bawah.

“Tak sangka hari ini kita jumpa juga. Aku dah lama dengar kau balik tapi itulah tak ada rezeki nak tengok kau.” Jazmin mulakan perbualan namun Neldhia hanya diam. Mata Jazmin pula tak lepas menilik tubuhnya.

“Dah berubah. Pandai pun pakai baju kurung. Tutup kepala. Tahniahlah.” Sinis sekali suara Jazmin namun sedikitpun tidak membuat Neldhia tergugat.

“Nak jumpa Zaim?” soal Jazmin tanpa tahu apa-apa. Padahal sedari tengah hari tadi lagi Neldhia bersama Zaim.

“Kau jangan nak jaga tepi kain akulah,” marah Neldhia lantas berikan renungan berbisa. Tetapi Jazmin tak mahu kalah.

“Dulu… kau juga yang suruh aku jaga. Kau juga yang suruh aku tengok-tengokkan Zaim.”

Hati Neldhia mula berapi.
“Ya. Tapi aku tak suruh kau goda kekasih aku.”

Jazmin hamburkan tawa senang hati.
“Perempuan mana yang tak akan tergoda bila dah selalu duduk sebelah lelaki kacak macam Zaim. Banyak duit pula tu. Kau ingat aku nak tengok saja ke?”

Tangan Neldhia dikepal kuat.
“Kau memang jahat Jazmin. Aku tak sangka kau sanggup nak makan kawan baik kau sendiri.”

Jazmin julingkan mata ke atas.
“Well, nak hidup kan. Kenapa aku nak jadi baik kalau semua tu tak beri apa-apa faedah pada aku. Daripada kau terus beri harapan pada Zaim baik aku yang goda dia biar sampai kahwin.”

Hati Neldhia makin berapi. Pandang Jazmin yang mula melangkah masuk dan mendekati Zaim.

Neldhia rasa nak saja tampar mulut Jazmin. Perempuan itu memang sengaja nak sakitkan hatinya. Nasib baik setiap kali dia datang ke sini dia tak terserempak dengan Jazmin. Hari ini saja nasibnya kurang baik. Memang dia sakit hati tetapi dia tak mahu calarkan perhubungannya dengan Zaim hanya kerana Jazmin yang bermuka-muka.

Jazmin pula sengaja goyang pinggul dengan kuat. Nak sakitkan hati Neldhia punya pasal. “Im, papa you nak kita semua jumpa dia kat bilik dia. Tak jadi jumpa kat sini. Jomlah,” ajak Jazmin dan mendekati Zaim yang sudah berdiri. “Eh, apa ni!” ucap seulas bibir merah menyala itu lantas naikkan tangan ke bahu baju kemeja Zaim. “Kotor ni!” Jazmin sapu bahu dan dekatkan muka ke leher Zaim. Mata kerling Neldhia di luar pintu bilik. Dengan lagak menggoda Jazmin tiup angin lembut. Konon-konon hendak membuang debu di baju Zaim. Padahal hendak membuat Neldhia cemburu.

Dan... seorang lelaki normal seperti Zaim tentulah rasa pelik. Terus rambut-rambut halus di leher berdiri tegak. Saat tangan runcing Jazmin mahu menyentuh kolar bajunya pantas tangan itu ditangkap laju.

“Jangan tempah maut, Min!” pesan Zaim keras dan ketika itulah matanya bersabung dengan mata Neldhia. Mata itu tajam tetapi berkaca-kaca. Seolah-olah hendak membunuhnya. Zaim rasa bersalah. Dia tak berhati-hati. Tolak tubuh Jazmin lantas melangkah laju hendak mendapatkan Neldhia. Neldhia pula dengan pantas pusingkan badan dan melangkah laju meninggalkan semua orang. Manakala Rafael yang sedari tadi memerhati akhirnya buka mulut juga.

“Kau jangan nak nyalakan api kat sini, Jazmin!” nasihat Rafael geram. Tetapi Jazmin memandang sinis. Membiarkan saja Zaim menapak keluar mengejar Neldhia.

“Kau sengaja kan?” Rafael bangkit lantas tuding jari telunjuk ke muka Jazmin. Penolongnya itu luahkan tawa gedik.

“Aku buat untuk kau juga. Bukan kau suka sangat ke dekat Nel tu. So… apa salahnya aku tolong kau dapatkan dia. Aku pun senang hati dapat Im.”

Rafael genggam penumbuk kuat.
“Kalau aku suka dekat Nel sekalipun aku tak akan pisahkan mereka.”
Terus tawa jahat Jazmin berhamburan keluar.

“Oh, sooo kind. Ya lah… hati jahat belum keluar lagi. Tapi aku nak tengok, sampai bila kau akan jadi baik. Konon-konon kan!” perli Jazmin lantas berlalu hendak ke bilik Dato’ Zakri. Sementara Rafael tampar meja dengan kedua-dua belah tangannya.
Dia memang sukakan Neldhia. Terlalu sukakan gadis itu tetapi dia masih ada akal yang waras. Dia tak sanggup menjadi gunting dalam lipatan.

***

Neldhia berlari-lari anak menuju ke arah keretanya. Langsung tidak menghiraukan Zaim yang mengejar dari belakang sambil memanggilnya. Sebaik saja sampai di tempat parkir terus dia masuk ke dalam kereta dan memandu laju meninggalkan ZakBina. Setelah jauh meninggalkan bangunan itu dia hentikan kereta di pinggir jalan.

Dengan perasaan bercampur-aduk dia lempiaskan semua rasa dengan bertempik kuat. Serentak itu air matanya jatuh berguguran.

Dia benci dengan diri sendiri.
Dia benci dengan apa yang telah berlaku.
Dan… dia benci dengan Jazmin.

Sakit sungguh hatinya mengenangkan perangai Jazmin. Disangkakan gadis itu baik orangnya tetapi dia tertipu. Sungguh, Jazmin ular yang berlagak seperti belut. Dia kesal kerana pernah meninggalkan pesan pada Jazmin agar tengok-tengokkan Zaim semasa ketiadaannya. Waktu dia jauh di luar negara. Tetapi gadis itu sanggup menggoda Zaim. Dia pula kerana cemburu buta terus buat silap tanpa fikir panjang. Dan kesilapannya dihidu Dato’ Zakri.

Neldhia menggeleng kesal. Menyesal dengan apa yang telah berlaku. Kalaulah semua itu boleh diundur kembali tentu dia senang sekali meyakinkan Dato’ Zakri yang dia mampu menjadi isteri terbaik buat Zaim. Tetapi semuanya sudah jauh ditinggalkan. Apa yang akan dihadapnya ini lebih sukar.
Lalu hati terkenangkan Tasneem yang entah di mana.

Dia mahu meluahkan semua rasa pada gadis itu. Itu sajalah kawan yang dia ada di bumi Malaysia ini yang diharapkan dapat menenangkan hatinya.

Neldhia ada rahsia ke? Oops, bikini panas ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience