BAB 36

Family Series 39843

Jazmin mengintai Zaim yang menyandar ke badan kereta. Lelaki itu tidak masuk ke dalam sebaliknya berpaling lantas tumbuk boot kereta dengan kuat. Melepaskan perasaan amarah agaknya.

Mulut Jazmin terherot geram tambah tak puas hati. Mata beralih pula memandang Tasneem yang menangis dalam pelukan seseorang. Dia kenal wanita itu. Pemilik restoran depan bangunan kerjanya tetapi dia tidak tahu hubungan di antara kedua-duanya.

Melihat Tasneem yang menangis tak henti-henti hati menyumpah seranah diri sendiri. Apa yang dirancang tak menjadi. Sepatutnya, dia yang berada dengan Zaim. Dia yang sepatutnya dipeluk lelaki itu. Bahkan lebih dari itu lagi. Dia yang sepatutnya menangis menyalahkan Zaim. Bukan Tasneem. Tetapi kenapa semuanya tak mengikut apa yang dirancang.

Bibir diketap geram. Pusingkan badan mahu melarikan diri namun tangannya ditarik orang.

Jazmin menoleh.

“Raf!” Mata Jazmin membuntang nak marah. “Kenapa plan kita tak jadi?” soal Jazmin kalut. Rafael hembus nafas geram.

“Aku tak tahu,” jawab Rafael sambil memandang jauh ke depan. “Siapa yang buat report sampai dia orang kena tangkap basah?” soal Rafael resah. Hati mahu tahu. Sedari sampai di kondo Zaim dia lihat ada ramai pegawai pencegah maksiat. Dia mahu mencelah namun dia rasakan masa tidak tepat lantas dia menyorokkan diri dan mengekori semua orang sehingga ke sini. Tetapi sampai ke sudah dia tak dapat sebarang maklumat.
“Aku pun tak tahu.” Jazmin pun buntu. “Bukan macam ni yang aku rancang. Bila aku sampai dua-dua tu dah kena tangkap,” luah Jazmin kesal. Riak muka nampak benar-benar tak faham.

Rafael pandang Jazmin yang resah. Namun ada perasaan sakit hati yang menyepit di wajah itu. Jazmin tiba-tiba membalas pandangannya dengan muka tak puas hati. Kemudian kembali memandang Zaim yang sudah masuk ke dalam kereta. Kepala lantas teringat dengan segala rancangan yang dibuat.

Selepas menghubungi Zaim dia tak ambil masa yang lama untuk ke rumah lelaki itu kerana dia tahu ubat itu akan bertindak selepas beberapa jam. Dia yakin dia akan berjaya membangkitkan lagi nafsu lelaki itu. Dia juga sudah siapkan kamera untuk merakam semua perbuatan lelaki itu nanti. Dia mahu menjerat. Dia akan hantar video kepada Dato’ Zakri tetapi lain yang jadi. Kenapa ada pegawai pencegah maksiat di situ. Dia tak faham sebab dia sudah berjanji dengan Rafael tak akan melibatkan orang luar.

Terus kepalanya tak henti-henti bertanya. Siapa yang telah merosakkan rancangannya?
Matanya pantas memandang Rafael. Ada curiga yang bertandang.

“Atau sebenarnya kau yang call penguatkuasa?” teka Jazmin lantas merenung Rafael dengan tajam.
Muka Rafael yang terkejut dengan tuduhan itu berubah rupa. Terus bibir itu terherot jahat.

“Kau ada bukti?” Lelaki itu makin herotkan senyum sinis. Terus Jazmin ketap bibirnya geram. “Kalau aku tahu nak jadi macam ni aku rela gantikan tempat Zaim. Baik aku yang kena tangkap basah dengan Tasneem. Dia tu cantik apa.” Rafael makin mengherotkan senyum. Dia rela. Tapi itulah. Hati lebih memilih Neldhia lalu dia biarkan Jazmin yang menjerat Zaim dan dia akan masuk jarum. Tetapi masalahnya sekarang semua orang sedang berputih mata.

Jazmin memang tak puas hati. Jeling Rafael geram lantas mengepal tangannya apabila lelaki itu tunjuk muka tak bersalah.

“Kau jangan nak kelentong. Tak apa. Jangan sampai aku jumpa bukti nanti.”

Rafael senyum sinis seraya menggeleng kesal.
“Kau memang tak faham. Kita dah janji tak akan makan sesama sendiri. Jadi, kau masih nak tuduh aku?”

Nafas Jazmin mula berhembus tak sekata. Dadanya berombak kencang. Malah mata tak lepas memerhati bola mata Rafael. Mencari kejujuran di situ. Begitu juga dengan Rafael. Tiba-tiba kepala mereka memikirkan orang yang sama.

“Neldhia!”
Seretak mulut mereka menyebut nama itu. Apakah Neldhia sudah mengetahui rancangan mereka lalu merosakkannya? Kepala masing-masing meneka dan ketika itulah mereka nampak kelibat Neldhia yang tergesa-gesa menghampiri Tasneem. Tapi… tak mungkin. Rancangan Neldhia pun sama seperti Jazmin. Cuma berbeza tempat saja. Jadi siapa yang perlu dipersalahkan. Kepala tak mampu mencari jawapan lalu dengan pantas Rafael tarik tangan Jazmin.

“Jangan munculkan diri dalam dua tiga hari ini,” pesan Rafael lantas tarik Jazmin keluar secara senyap dari kawasan pejabat penguatkuasa. Tinggalkan semua orang yang masih belum surut dengan pelbagai perasaan. Dari jauh Rafael menyorok mengintai Neldhia.

Neldhia yang baru tiba terburu-buru mendekati Tasneem.
“Tasneem!” jerit Neldhia kuat.

Tasneem meleraikan pelukannya pada mak usu setelah namanya kuat dilaung orang.

Pang!
Sebuah penampar singgah di pipi Tasneem sebaik berpaling.

Mukanya terkejut. Neldhia pula bertindak di luar batas. Terus dicekiknya leher Tasneem sehingga gadis itu tak mampu hendak bernafas. Semua orang kalut mahu melepaskan Tasneem. Akhirnya berjaya juga dileraikan Dato’ Zakri.

“Kau jahat. Kau perempuan jahat. Kau sanggup tikam belakang aku,” jerit Neldhia seraya menangis semahu hati. Zaim yang menyaksikan kemarahan Neldhia segera mendekati. Mahu menenangkan gadis itu sebaliknya dia pula yang kena sembur.

“You….” Neldhia renung wajah Zaim dengan tajam. “Patutlah. Lama I tunggu you kat hotel tapi you tak datang-datang. You dah plan nak buat benda terkutuk dengan kawan I kan. You cakap nak kahwin dengan I tapi you sanggup khianati I.”

“Nel, you cakap apa ni? I tak rancang apa-apa pun. Memang I nak pergi majlis ayah you tapi I diperangkap dari awal lagi.”

Neldhia menggeleng tak percaya seraya menangis semahu hati.

“Tak. I tahu you yang rancang semua ni sebab you sukakan Tasneem.”

Semua orang terkejut dengan telahan Neldhia. Lagilah seorang Zaim. Tak pernah terlintas sedikit pun di hati untuk mencintai gadis bernama Tasneem.

“You cakap apa ni Nel. I tak pernah cintakan Tasneem.”

“Bohong!” jerit Nedhia macam orang gila.
“I kenal you, Zaim. You tak ada kawan perempuan lain selain daripada I. You juga tak mesra dengan perempun lain tapi bila dengan Tasneem you jadi lain. I yakin you sukakan dia sebab tu you rancang kena tangkap khalwat.”

“Nelll!” kuat suara Zaim menahan Neldhia dari membebel perkara yang bukan-bukan. “I tak cintakan dia. Memang I kena perangkap.”

“No! Memang you yang rancang. You pernah janji dengan I you tak akan benarkan perempuan lain masuk rumah you kecuali isteri you. Bakal isteri you itu adalah I tapi….” Neldhia berhenti bersuara. Pusingkan badan mahu berlalu. Tasneem pula menggeleng kecewa dengan tuduhan Neldhia.

“I tak salah dan I tetap akan kahwin dengan you.”

Neldhia berhenti melangkah. Berpaling melihat Zaim. “I dah janji nak kahwin dengan you,” jerit Zaim namun Dato’ Zakri pula yang mendekat.

“Tak boleh.”
Zaim terperanjat.

“Im kena kahwin dengan Tasneem. Im kena bertanggungjawab.”

Bulat mata semua orang mendengar arahan Dato’ Zakri.

“Pa!” Zaim menolak. Tasneem pula makin menghamburkan tangisan.

“Dato’! Saya tak nak. Saya tak salah.” Tasneem menolak dengan perasaan sakit hati.

Dato’ Zakri cerlung memandang.
“Semuanya dah jadi. Jangan nak cakap soal salah atau tidak. Jadi, pak cik nak Tas kahwin dengan Zaim. Pak cik akan hantar rombongan nanti.”

Semua orang terkedu.
Dan Neldhia larikan diri membawa rasa kecewa.

Di balik pokok yang rimbun, Jairas memerhati sambil merakam beberapa keping gambar lantas tersenyum puas hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience