Petang yang cukup indah. Lukisan senja bakal muncul di dada langit tak lama lagi. Namun, manusia di hadapan sebuah pasaraya masih lagi keluar masuk silih berganti. Bagaikan tidak menyedari malam yang bakal menjelma. Begitulah juga dengan seorang gadis berbaju kurung kapas berbunga kecil berwarna merah jambu serta bertudung bawal warna senada. 10 minit ke pukul enam setengah barulah keluar dari gedung beli-belah dengan membimbit plastik berisi aneka bahan masakan.
Tasneem bergerak laju ke arah kereta yang diparkir selang 5 meter dari bangunan. Tentu Dahlia tengah membebel sebab dia mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke kereta. Terus kaki melangkah tergesa-gesa mengejar masa. Seboleh-bolehnya dia ingin memandu sebelum suasana semakin gelap. Tak pandang kiri kanan langkah makin dilajukan.
Tiba-tiba….
Dia tak sengaja melanggar seorang gadis yang leka menyeret layar skrin telefon. Plastik di tangan Tasneem jatuh tersembam ke permukaan lantai parkir. Telefon di tangan gadis itu pula terpelanting ke pintu boot Nissan GT-R lalu jatuh ke bawah.
“Oh, my goodness!” Gadis itu menjerit kuat seraya meluru ke arah telefon yang terlungkup ke bawah. Tasneem tersentak. Pandang gadis itu tak percaya. Melihat wajah yang mula merah menahan tangis itu tangan Tasneem pantas menggeletar.
Alamak, dia dah buat salah!
Pandang gadis itu yang mengusap permukaan telefon sambil menyiuk sakit. Ibarat telefon itu adalah tubuhnya.
“Kenapa, Kayla?” Tak sangka muncul satu suara kasar. Menjamah telinga Tasneem yang sedang ketakutan. Pantas ditujukan mata pada kereta di sebelah gadis itu berdiri. Kelihatan seorang lelaki menutup pintu dengan kuat dan tergesa-gesa mendekati gadis yang sedang mengusap skrin telefon. Mata Tasneem mengekori tubuh lelaki itu yang sempurna dengan kemeja ungu muda lengan panjang yang disinsing sehingga ke siku dan berseluar slack berona khaki.
“Abang Im. Phone Khayla.” Gadis itu tunjukkan telefon yang sudah retak dengan muka masa. Kolam mata yang bergenang pula bakal menggugurkan isinya bila-bila masa saja. Pantas lelaki di sebelah ambil dan tilik dengan muka kecewa. Tak lama menjamah mata Tasneem dengan tajam.
Tasneem serta-merta menelan liurnya keras. Kepala sudah tak mampu nak berfikir panjang. Apatah lagi mata lelaki itu serius memandangnya sehingga membuat tubuhnya kedinginan.
“Sa… saya minta maaf. Saya tak sangka dah terlanggar adik encik.” Terus Tasneem naikkan tangan. Digoyangkan berkali-kali tanda menyatakan tidak bersalah. Lelaki itu kerutkan muka.
“Pandai minta maaf je ke yang kau tahu. Telefon ni siapa nak ganti?” Keras suara itu berbunyi. Muka pula dah macam singa.
Tasneem kelipkan mata seraya menelan liur.
Pandang telefon di tangan lelaki itu. Nampak macam mahal dan dia pula memang tak mampu nak bayar.
“Siapa nak bayar ni!” Sekali lagi lelaki itu bertanya tegas. Siap dengan menunjukkan telefon kepada Tasneem hingga dekat ke muka. Tasneem hanya mampu terlopong. Kelip-kelip pandang benda tersebut. Gadis di sebelah pula pantas mengetap bibir seraya mengerutkan dahi.
“Saya tak mampu nak bayar. Tapi… memang saya ke yang kena bayar?” tanya Tasneem naif. Lantas lelaki itu menggeleng sambil tunjuk senyum jahat.
“Dah engkau yang terlanggar tadi jadi kau lah yang bayar.”
Hati Tasneem tiba-tiba berapi. Adik lelaki itu pun salah juga. Mata tak tengok jalan. Ah, tapi dia tak berani nak melawan kata. Dah lelaki yang berbunyi. Kalau sekali lelaki itu naikkan tangan ke muka dia macam mana. Lalu diketap bibirnya menahan rasa. Pandang lelaki yang tunjuk muka serius seraya mengerutkan dahi.
“Minta duit.” Lelaki itu hulurkan tangan. Dengan muka terkejut Tasneem menggeleng.
“Saya tak ada duit,” balas Tasneem lemah. Pandang plastik di sebelah kaki lelaki itu. Nampaknya kedua-dua batang tubuh itu tak sedar. Dia juga kerugian. Walaupun tidak seberapa tetapi duit yang dah diguna tadi hangus begitu saja. Namun dia tak mahu bergaduh. Kalau dia panjangkan kata nanti sampai ke malam tak sudah-sudah. Lagipun dia kena bergerak sebelum gelap. Kalau tidak dia tak boleh nak memandu. Nak suruh Dahlia? Memang tak lah. Perempuan tu mana pandai memandu. Lalu dia letakkan kesalahan pada diri sendiri. Kelam-kabut sangat. Itu yang boleh timbul masalah.
“Saya minta maaf tapi saya tak mampu nak bayar.” Akhirnya itu sajalah yang boleh dia ucapkan sementelah dia rasa tak perlu pun nak panjangkan pertengkaran. Terus dijatuhkan lutut lantas masukkan barang yang sudah tinggal arwah ke dalam plastik. Hati makin kecewa. Dua botol pes carbonara sudah pecah. Hanya spageti dan susu penuh krim saja yang masih boleh diguna. Dengan kesal dia tarik dan mula berdiri.
“Erk, kak!” Gadis tadi kelip-kelip memandang ke arah Tasneem. Mulut itu tak mampu menyambung kata setelah melihat plastik di tangan Tasneem.
“Abang Im!” Gadis itu goncang tangan abangnya. Nampak muka lelaki itu juga berubah tak percaya.
“Sekali lagi saya minta maaf. Masing-masing tak sengaja. Itu saja yang saya boleh cakap,” ujar Tasneem lantas berikan senyum hambar. Mula nak melangkah namun tak sempat nak berpaling lelaki itu menyuruh menunggu. Tasneem berpaling.
“Tengok! Ini salah siapa?”
Terus mata tasneem picingkan mata memandang ke tempat lelaki itu meletakkan tangan. Tasneem mendekat. Nampaknya permukaan pintu boot sudah tergores. Tapi sedikit saja.
“Kau juga yang buat?”
Muka Tasneem berkerut.
“Tak. Plastik ni tadi jatuh ke bawah. Bukan kat situ. Tapi….” Tasneem pandang gadis di sebelah lelaki itu yang nampak takut-takut. Lelaki itu pun sama. Pandang gadis itu dengan muka geram.
“Kayla!” Oktaf suara itu sudah tinggi. Terus gadis itu mengundur ke belakang.
“Jomlah Abang Im kita balik. Baiki phone Kayla.” Gadis itu merengek. Dengan takut-takut menarik abangnya ke kereta. Muka lelaki itu berkerut menafsir perangai adiknya.
“Jomlah abang. Baiki phone Kay.” Dengan muncung sedepa gadis itu bersuara. Nampaknya cuba membodek si abang. Tetapi tak berjaya.
“Kayla!” Lelaki itu hembus nafas geram seraya menggenggam penumbuk. “Masuk. Kita cakap kat rumah,” arah Lelaki itu lantas segera masuk ke dalam kereta dan si gadis pula melangkah lambat-lambat. “Jangan nak minta dengan Abang Im. Pandai buat pandailah tanggung.” Kedengaran suara itu membebel macam mak nenek sebelum pintu di tutup. Tasneem telan air liur. Takut dengan wajah serius itu.
“Nak bayar dengan nyawa ke?” sergah lelaki itu dari cermin yang diturunkan. Tasneem tersentak. Tak sedar dia dah menyekat laluan lelaki itu. Pantas dia menyelit di celah kereta lain menuju ke kereta sendiri.
Berhenti di kereta sendiri dan usap dadanya.
“Weh, apasal lambat. Aku dah kebulur ni.” Dahlia berbunyi sebaik saja Tasneem masuk ke dalam. Sangkut plastik di belakang kerusi.
“Kau tengoklah tu.” Tunjuk Tasneem.
Dahlia menoleh.
“Lah, kenapa pula?” soal gadis itu tidak tahu. Tasneem hembus nafas berat. Kedengaran kesal.
“Aku terlanggar orang.”
Buntang mata Dahlia lantas membelek tubuh Tasneem.
“Kau cedera ke? Kat mana?”
Pap!
Tangan Dahlia ditampar.
“Aku terlanggar orang. Bukan kena langgar dengan kerata. Barang tu je yang pecah.”
Dahlia mengeluh. “Tak minta ganti rugi?"
Tasneem menggeleng.
“Buat malu je lah. Bukannya mahal pun.”
Dahlia terkejut.
“Kau ni kan, nak je aku luku kepala kau. Jangan baik sangat boleh tak?” ujar Dahlia lantas menjeling geram. Geram dengan sikap naif Tasneem.
“Tak apalah Lia. Dah takdir aku tak boleh masak dan takdir kau juga tak boleh makan,” ujar Tasneem kecewa. Dahlia sengetkan bibir. Sakitnya hati dengan perangai Tasneem. Zuhud tak kena tempat.
“Siapalah yang dah kau langgar tu. Nak je aku kenal.” ujar Dahlia menyampah.
“Tak payah kenallah. Dia budak baik. Tapi nampak macam dia takut dekat abang dia. Itu yang dia tak berbunyi tadi.”
“Huh, kau ni. Semua orang yang kau jumpa kau cakap baik. Agaknya kalau ada penyamun yang samun kau pun kau cakap baik.”
“Lia!” Tasneem bertempik kuat.
Serentak itu cermin sebelah Tasneem diketuk dua tiga kali. Masing-masing terdiam. Menoleh ke arah tangan yang mengetuk. Tak nampak muka kerana ketinggian pemilik tangan melebihi kereta. Tapi baju yang tersarung di tubuh seperti pernah nampak.
Pantas Tasneem buka pintu dan keluar. Berani betul.
“Encik!”
Tasneem terkejut. Dahlia turut keluar. Mulut terlopong melihat susuk yang muncul di sebelah Tasneem. Pandang pula kereta yang tidak dimatikan enjin. Tidak nampak orang di dalam kereta kerana cermin yang amat gelap. Tetapi kereta itu macam pernah tengok. Lelaki yang tengah berdiri di depan Tasneem pula macam pernah kenal. Kepala Dahlia mula mencari di mana dia pernah jumpa.
“Encik nak minta ganti rugi ke?” soal Tasneem pucat. Tak sangka lelaki tadi muncul di sini. Macam mana pula boleh cari dia sampai ke sini. Tapi ini kan kawasan parkir. Senang saja nak jumpa. Lagipun tadi keretanya dengan kereta lelaki itu parkir tak jauh sangat.
“Nah. Aku bayar balik barang kau yang dah pecah tadi.” Lelaki itu hulurkan sekeping not lima puluh.
Tasneem menggeleng.
“Tak apalah, encik. Memang silap saya. Lagipun saya rasa tak berbaloi encik nak bayar.”
Lelaki itu tak mengendah. Tiba-tiba saja buka pintu kereta dengan luas lantas letakkan not tadi ke atas kerusi.
“Aku kasihan. Nampak macam kau nak balik memasak. Jadi baik kau beli yang baru. Jangan nanti kau tak boleh tidur teringat barang yang dah rosak,” sakat lelaki itu tiba-tiba.
Tasneem memandang hairan. Tadi bukan main lagi serius. Sekarang dah macam lama kenal.
“Nanti kalau kita jumpa lagi boleh aku try masakan kau,” ujar lelaki itu sambil tersenyum kemudian kenyitkan mata dan mula melangkah.
Dahlia di belakang terlopong. Dia dah ingat siapa lelaki itu.
“Maaf!” Dahlia berbunyi. Terus lelaki itu yang baru nak masuk ke dalam kereta berhenti.
“Encik anak Dato’ Zakri kan?” tanya Dahlia yakin. Lelaki itu kerutkan kening. “Saya, cashier dekat Restoren Nasi Ulam depan pejabat Dato’. Encik selalu datang makan kat situ kan?”
Wajah yang berkerut tadi mula berubah manis.
“Oh, patutlah macam familiar,” ujar lelaki tadi dan mengangguk sekali tanda ingin berlalu. Kemudian berikan renungan redup pada Tasneem bersama senyuman manis. Tak lama meluncur pergi meninggalkan kedua-duanya.
Tasneem sentuh dadanya. Tiba-tiba ada getar pelik yang muncul di dalam. Senyuman lelaki itu meninggalkan jejak yang perlu dia cari semula. Hati tiba-tiba berbunga rasa.
“Dahlah senyum.” Tiba-tiba Dahlia berbunyi. “Itu anak dato’. Kau jangan nak berangan.”
Kata-kata Dahlia mematikan rasa di dalam dada Tasneem.
“Selalu ke dia makan kat restoran mak usu? Aku tak pernah jumpa pun.” tanya Tasneem ingin tahu.
“Mana nak jumpa. Kau tu dekat-dekat maghrib baru sampai. Pulak tu bukannya selalu. Dia pula datang waktu makan tengahari. Itupun jarang juga. Manalah kau nak jumpa kan.”
Tasneem terangguk-angguk. Patutlah.
“Siapa nama dia?” soal Tasneem ingin tahu.
“Zaim. Zaim apa aku tak tahu. Nanti aku tanya kalau aku tak malu,” beritahu Dahlia dengan lawaknya lantas masuk ke dalam kereta. Tasneem pula perlahan-lahan melabuhkan punggung ke atas kerusi setelah menarik kepingan not tadi. Dia tilik dengan senyuman dan hati rasa tak sabar nak jumpa lelaki itu.
Dahlia di sebelah herot sengih lucu. Ada orang dah jatuh cintalah tu.
Hai... dah lama tak muncul kat sini. GH rindu readers GH. Itu yang bagi satu cerita kat sini. Jangan lupa tinggalkan komen tau. TQVM
Share this novel
Cerita baru.. Mesti best.. GH x pernah mengecewakan
wah seronoknya ada cerita baru.tq Guzel tak sabarnya baca yg seterusnya.