Hidup mesti diteruskan.
Seberat mana ujian yang datang jangan kalah sebelum waktunya.
Tasneem tinggalkan semua kejadian lepas dengan meneruskan tugasnya seperti selalu. Ada waktu dia akan ke restoran mak usu. Menyibuk di sana. Ada ketika dia akan berada di kampus menyambung mana-mana tugas yang terbengkalai.
“Tasneem, ada student cari.”
Sedang santai mengetip dokumen suara Nuseah melaung kuat.
Tasneem berpaling. Ada dua orang gadis membelakanginya dan Nusrah yang memang baik dengan pelajar terus beramah mesra. Tasneem pula tidak menghiraukan perbualan itu kerana dokumen kursus ini perlu disiapkan segera untuk dibentangkan di dalam mesyuarat nanti.
“Awak student kejuruteraan mekanikal kan?”
tanya Nusrah. Tasneem di belakang hanya mendengar.
“Cik Tasneem tak ajar awak berdua rasanya? Kenapa nak jumpa?” Dah macam penyiasat pula Nusrah sekarang ini.
“Surah… tak payahlah nak banyak soal. Saya siapkan dulu kerja ni. Suruh dia orang tunggu kejap,” pesan Tasneem lantas habiskan dokumen atas meja. Berpaling sekejap. Pelajar tersebut sudah duduk di atas sofa sambil main telefon.
“Tu hah, ada apa datang nak jumpa. Kalau nak kaunseling rasanya bukan kat sini.” Nusrah muncul di sebelah lantas berbisik.
Tasneem gelak kecil.
Nusrah ni macam tak pernah ada pelajar kelas lain yang datang ke mari. Padahal ramai saja yang datang nak bertanya tentang pelajaran. Tak pun yang datang nak setelkan kerja kokurikulum.
Tasneem sudah siap mengetip lalu bawa dokumen hendak diletakkan ke atas mejanya. Saat itulah salah seorang pelajar di atas sofa panggung kepala. Melihat saja wajah itu terus matanya terbeliak. Dokumen pun melurut jatuh ke atas lantai.
“Kayla!” sebut Tasneem perlahan namun dapat didengari gadis itu. Dada Tasneem berdebar kencang. Mata sudah pandang ke pintu depan.
Kayla menghampiri dengan senyum panjang.
“Jangan bimbang. Abang Im tak datang. Tak akan datang sebab dia tak tahu pun Kak Tas pensyarah kat sini.”
Tasneem telan liurnya. Matanya membulat dan mukanya pucat. Kayla rasa lucu.
“Comellah Kak Tas terkejut macam ni. Tapi kan… Kay rasa muka abang lagi comel kalau tahu siapa Kak Tas sebenarnya. Pandailah Kak Tas tipu semua orang. Pensyarah kat kolej Kay rupanya. Herm… bukan pelayan. Bukan cleaner,” bisik Kayla bangga. Bangga kerana dialah satu-satunya orang yang tahu rahsia pensyarah muda ini.
Tasneem pula telan liurnya tak percaya. “Akak tak tipu siapa-siapa cuma tak pernah berterus terang,” balas Tasneem sejujurnya. Pandang
Kayla yang sengih macam dapat Iphone baru. “Erk, macam mana Kay tahu Kak Tas kerja kat sini.”
Kayla jatuhkan lutut. Tolong mengutip kertas dan Tasneem juga ikut sama membantu.
“Dunia ni kecil saja kan kak.”
Tasneem angguk.
Benar sekali. Ke situ ke sini tetap akan jumpa juga orang yang pernah muncul dalam hidup.
“Jangan cakap dengan abang Kay,” pesan Tasneem apabila kertas sudah sepenuhnya berada di tangan.
Kayla angguk.
“Boleh. Tapi dengan satu syarat.”
Kening Tasneem terangkat tinggi. Muka sudah cuak.
“Apa syaratnya?”
Dan… Kayla berikan senyum penuh makna.
***
Isk, budak bertuah betul. Terus Tasneem ke hulu ke hilir. Rasa nak pelempang diri sendiri. Kenapalah dia boleh tersukakan si Zaim tu.
Perangai berubah sekelip mata. Kalau dulu suka mengusik. Sekarang serius nak mampus. Lepas tu jumpa pula dengan si adik yang banyak agenda. Macamlah dia tak tahu.
Tapi yang tak tahannya, syarat Kayla masih rahsia.
“Nanti Kay call Kak Tas tau.” Itulah yang Kayla sampaikan sebelum meninggalkan pejabat Jabatan Matematik. Bawa senyum penuh makna.
Tasneem resah di meja. Pandang dokumen macam nak terbakar. Hati di dalam mengingati senyuman Kayla.
“Bakal adik ipar ke?” Nusrah yang sedari tadi melihat watak Tasneem menegur dari belakang.
“Haah, adik ipar orang lain,” balas Tasneem kesal. Hembus nafas lantas tarik mug tepi komputer. Baru saja nak membancuh kopi pekat telefonnya berbunyi. Melihat nama Neldhia muncul di layar skrin hati tak pantas melukakan.
Tarik telefon lantas bawa bersama ke pantri.
Suara Neldhia yang sengau dan serak mengundang risau.
“Nel okay ke tak ni?” soal Tasneem resah.
“Tas dah tahu kan. Papa Im tak izinkan kami kahwin.”
Itu rupanya dan memang dia sudah tahu sejak insiden di banglo besar Dato’ Zakri lagi. Hari yang mengubah banyak emosinya. Tasneem tetap angguk walau tak nampak di mata Neldhia.
“Pujuk lagi, Nel. Lama-Lama nanti tentu Dato’ akan lembut hati juga.”
“Tak rasanya Tas. Macam tak akan berjaya.”
Tasneem hampa dengan sikap Neldhia.
“Please. Kuatkan semangat. Kalau cinta teruskan berusaha jaga ikatan. Nel nak bina masjid yang halal kan. Jadi, jangan putus asa.”
Tasneem pula yang jadi kaunselor pada buah hati crush tak jadi. Apadaaa!
Neldhia pula senyap tiba-tiba.
“Nel… jangan macam ni.”
Hati Tasneem dipagut resah tak sudah-sudah.
“Jom, kita jumpa malam ni.”
“Erk!”
Tiba-tiba pula Neldhia mengajak. Terus dadanya bergelora. Nak jumpa? Mata pandang jam tangannya.
“Please, Tas! Jangan hampakan Nel.”
Dia tak pernah hampakan gadis itu.
“Kalau macam tu kita jumpa dekat restoran mak usu Tas lah ya.”
Itulah tempat yang paling sesuai.
Suara Neldhia akhirnya berubah ceria.
“Okay. Thank you Tas,” ucap Neldhia gembira lantas putuskan talian.
Tasneem pula pandang telefonnya lama. Kemudian bergerak ke arah tingkap. Tarik bidai. Kelihatan di luar awan mendung berarak perlahan.
***
Zaim melangkah laju. Melihat kelibat Neldhia yang baru keluar dari perut Maxim hatinya dipagut hairan. Terus matanya lihat jam tangan. Sekarang jam lapan malam. Neldhia ada temu janji di sini ke. Dengan siapa? Hati dipagut cemburu. Sejak insiden di rumahnya Neldhia tak mahu di hubungi. Malah bila ke rumah gadis itu, pintu tak dibuka. Apakah Neldhia benar-benar terasa hati dengan keputusan papa. Hati Zaim dibalut kesal tak sudah.
Tetapi Malam ini nasibnya cukup baik. Kerja yang sepatutnya selesai jam enam tadi berlanjutan sampai maghrib. Usai solat dia turun hendak pulang ke rumah. Ketika itulah dia lihat kelibat Neldhia.
Terus Zaim simpan barang-barang dalam kereta dan bergerak ke arah restoran.
Dahlia di kaunter menyambut pelanggan dengan mesra. Dia tak perasan dengan wajah cantik yang bertanyakan tentang bilik berbayar. Apabila Zaim meluru lantas cengkam lengan gadis itu barulah dia tahu itu Neldhia.
“Kita bincang kat dalam.”
Neldhia tunjuk rajuk. Jeling lelaki itu geram.
“Saya nak guna bilik tu. Seorang,” pinta Neldhia seraya menolak tangan Zaim.
Dahlia ukir senyum pelik namun tetap mengangguk.
“Nel nak jumpa siapa kat sini?” Zaim bertanya keras.
“None of your bussiness.”
Terpisat-pisat Dahlia melihat. Pertengkaran antara pasangan kekasih itu terjadi di depan mata.
“Nel, you jangan buat I macam ni. Apa salah I? Selama ni kita okay je. Takkan sebab papa I you sanggup abaikan I.”
Neldhia kemut bibirnya.
“Papa you tak setuju kita kahwin. Jadi, you nak I buat apa. Menagih simpati? Merayu? Melutut?” soal Neldhia dengan mata merah. Dahlia telan liurnya. Terkedu dengan kebenaran yang menyentuh gegendang telinga. Nasib baik tak ramai pelanggan. Kalau tidak, mereka boleh tonton siaran langsung slot Samarinda.
Zaim tak mampu jawab. Namun dalam hati ada soalan yang belum Neldhia jawab.
Neldhia pula mula melangkah hendak ke bilik privasi. Sayang sekali, Zaim tarik lengannya lagi.
“Tell me the truth. Kenapa papa suruh you yang berikan jawapan. What happened Nel? Kenapa papa marah sangat. Seingat I papa tak pernah halang kita kawan. Tapi sekarang, I musykil.”
Neldhia tak mahu menjawab. Sebaliknya melangkah masuk ke dalam bilik. Zaim tak mengalah. Mengekori dari belakang. Sebaik kedua-duanya menghilang di dalam bilik Tasneem pun sampai.
“Aku terlepas sesuatu?”
Pantas kening Tasneem bersatu. Bibir pun terherot tidak faham. Sampai-sampai saja Dahlia bertanya begitu.
“Terlepas apa? Aku tak faham.” tanya Tasneem hairan.
“Kau cakap dengan aku hari tu Zaim marah kau sebab kucing je. Tak cakap pun dia stress sebab dah break dengan kekasih dia.”
Mata Tasneem kelip-kelip pandang Dahlia. Dari mana Dahlia tahu.
“Tu hah, dia orang duk gaduh dalam bilik tu.” Bibir Dahlia dimuncungkan ke arah biik berhawa dingin. Tasneem hembus nafas dengan lemah.
“Dato’ Zakri tak bagi dia orang kahwin. Aku pun tak tahu sebab apa.”
Lalu Dahlia pun mengangguk dengan bibir dicebik. Kepala pun jauh berfikir.
“Tak payahlah fikir pasal orang. Aku nak pergi jumpa Nel sekejap. Dia yang nak jumpa aku. Lepas tu aku nak gerak balik Gambang semula. Banyak kerja nak kena setel sebelum esok.”
Buntang mata Dahlia mendengar cerita Tasneem.
“Kau gila ke apa. Dah tahu banyak kerja kenapa nak datang jumpa juga. Jauh tu.”
Tasneem berikan senyum.
“It’s okay. Dia kawan yang perlu dibimbing. Masa aku ada kat sini bolehlah aku tolong. Bila aku dah ke luar jauh dari sini entah bila pula boleh datang.”
Terkebil-kebil Dahlia memandang.
Tasneem minta pindah ke? Tak mungkin sebab gadis itu baru bekerja. Atau…. Dan, soalan Dahlia tak bertemu jawapan apabila Tasneem melangkah masuk ke dalam bilik.
***
“Stop it, Nel!”
Tasneem terkedang di muka pintu. Suara keras Zaim bergema di dalam bilik dan mematikan langkah Tasneem. Melihat pula Neldhia yang menangis dalam keadaan membelakanginya Tasneem terus diam di situ.
“I'll come back, Nel. I’ll give you time first.” Zaim pusingkan badan hendak keluar. Berhenti seketika di depan Tasneem.
“Tenangkan dia dulu. Kalau dia dah okay kau panggil aku,” ujar Zaim lantas keluar.
Tasneem ketap bibirnya menahan rasa. Crush tak jadi minta tolong. Muka pun tak adalah tegang macam hari tu. Haih, yang ingin dijauhi semakin dekat. Apa yang perlu dia buat sekarang?
Buang semua rasa lantas melangkah mendekati Neldhia yang perlahan-lahan duduk dan menyapu pipi yang basah dek air mata.
“Nel okay?” tanya Tasneem berbahasa. Pantas Neldhia menggeleng.
“I pernah buat salah Tas. Sebab itulah papa Im tak restu kami nak kahwin. Apa yang Nel kena buat sekarang. Nel dah cakap dengan Im yang kami tak boleh bersama lagi tapi dia tak nak dengar. Dia cakap dia tak terima sebarang alasan.”
Hati Tasneem rasa sayu. Begitu lelaki itu mencintai Neldhia. Tak menghiraukan kesalahan yang dibuat gadis itu. Walaupun Tasneem tidak tahu apa yang pernah Neldhia buat. Tapi Zaim begitu menyayangi. Entah kebaikan apa yang pernah Neldhia lakukan sampai Zaim tak mahu melepaskan.
“Maaf kalau Tas menyibuk. Apa yang Nel dah buat sampai Dato’ Zakri tak restu?”
Tak sangka mata Neldhia memanah mata Tasneem. Terus dada Tasneem berdebar. Dasar nak jaga tepi kain orang betul. Apahallah nak ambil tahu. Sebab Zaim tu crush ke? Hati bertanya sendiri.
Neldhia tunduk memandang ke bawah. Melihat kasut di kaki.
“Berat Nel. Sangat berat.” Mulut Neldhia nampak susah hendak mengungkapkan. Hanya itu saja yang keluar.
“Kalau macam tu Nel minta maaf. Rendahkan diri dengan meminta maaf itu tak akan menjatuhkan maruah pun. Sebaliknya mengangkat kemuliaan kita.”
Neldhia menggeleng.
“Nak minta maaf pada siapa. Kesalahan Nel bukan pada Dato’.”
Terkebil-kebil Tasneem memandang. Habis tu Neldhia buat salah kat siapa.
“Baiklah. Tas tak tahu apa salah Nel tapi kalau Nel nak hubungan Nel kekal Nel kena berterus-terang. Saling berbincang. Encik Zaim perlu tahu semuanya. Dengan cara macam tu mungkin dia boleh selesaikan masalah Nel.”
Neldhia tetap menggeleng.
Dia yakin Zaim akan membenci jika tahu hal yang sebenarnya. Sebab itulah dia tak berani hendak berterus-terang. Tapi, dia sangat-sangat cintakan lelaki itu. Zaim satu-satunya lelaki yang tahu segala baik buruknya. Zaim sanggup terima perangainya. Malah dia sendiri sudah berjanji hendak berubah. Tapi, masalah yang satu ini serasa sukar hendak dibincangkan dengan Zaim. Silap hari bulan dia kena pelempang besar.
“Rasa macam nak putus asa.”
Sebaik saja Neldhia cakap begitu Tasneem segera memeluk.
“Jangan cakap pasal putus asa. Jangan sesekali cakap macam tu. Nel kena tahu. Orang yang putus asa adalah orang yang menzalimi diri sendiri.”
Tangisan Neldhia kembali bergema.
“Minta dengan Tuhan, Nel. Minta supaya Tuhan lembutkan hati Dato’ Zakri. Minta juga supaya Encik Zaim akan setia pada Nel seorang saja.”
Neldhia angguk dalam tangisan.
“Macam mana kita nak Tuhan kabulkan? Sebab Nel tak pernah buat pun apa yang Tuhan suruh.”
Tasneem tersentak. Cukup kesal dengan cerita Neldhia. Nampaknya Neldhia anak yang tak diasuh secukupnya. Gadis ini lembut orangnya tapi sayang, tidak ada yang mampu memimpin dengan baik.
“Nel jangan risau. Tas ada. Tas akan tolong Nel sampai Nel mampu buat sendiri.”
Akhirnya Neldhia angguk dalam senyuman. Tangisan pun sudah berhenti. Tarik tangan Tasneem lantas genggam erat. Ada rasa syukur tak terkira kerana di saat hidupnya gawat dia mendapat sahabat yang amat baik.
Di muka pintu yang sedikit terbuka, Zaim lebarkan senyum puas hati.
Apalah rahsia Nel ni
Share this novel