Kayla cepat-cepat keluar dari kelas selepas dihubungi abangnya. Lelaki itu mengatakan sedang menunggunya di hadapan kafe. Dengan dada yang berdebar-debar dia menuju ke arah Nissan GTR yang elok diparkir. Entah apa yang abangnya nak beritahu. Apakah abangnya sudah tahu siapa Kak Tasneem sebenarnya. Jadi abangnya datang ke mari.
Dengan perasaan tak sabar dia segera masuk ke dalam.
“Kenapa ni? Dah lama tak datang sini. Kalau tak ada kerja kat kawasan ni mana abang nak datang kan? Tapi hari ni kenapa dengan abang ni?” omel Kayla sebaik saja hempas punggung di sebelah Zaim.
Sebaik berpaling Kayla terkesima melihat muka abangnya yang telahbersih dari sebarang rambut halus.
“Handsomenya. Ini baru Abang Im yang dulu,” puji Kayla lantas tarik pipi Zaim.
Begitulah gadis itu kalau sudah datang perangai budak-budaknya.
Zaim usap pipi lantas herotkan senyum panjang.
“Nak pergi mana?” soal Kayla sebaik saja lelaki itu mula masukkan gear dan memandu sehingga ke kawasan Jabatan Matematik. Terus mata Kayla terbuntang luas apabila abangnya hentikan kereta di sebelah kereta Myvi ungu.
“Erk… abang… abang dah tahu ke?” soal Kayla dengan debaran menggunung.
Zaim pula jongketkan kening sambil tersenyum dan Kayla tekup mulut tak percaya.
Rasa bahagia.
Rasa teruja dan bermacam-macam lagi rasa yang buat dia jadi tak sabar nak melihat reaksi kakak iparnya.
“Macam mana Abang Im tahu Kak Tas kerja kat sini?” soal Kayla tak sabar. Zaim tak menjawab sebaliknya sunggingkan senyum. Macam kena ubat pengasih pula.
“Kita tunggu Kak Tas keluar.”
Pantas Zaim pandang jam tangan. Sudah 4.45 tetapi bayang gadis itu masih belum kelihatan. Ketika itu beberapa buah kereta sudah bergerak meninggalkan kawasan Jabatan Matematik.
“Bang… tu!” Dengan laju Kayla tunjuk kelibat Tasneem yang tengah melangkah ke kereta. Hayunan kaki itu nampak lemah. Wajah itu juga nampak pucat. Malah beg laptop yang dikendong Tasneem nampak hampir melurut jatuh.
“Kak Tas macam tak sihatlah,” ujar Kayla bimbang. Zaim telan liurnya resah. Bimbang sungguh andai gadis itu jatuh terjelepuk keluar atas lantau jalan. Lantas dia beri pesanan pada Kayla.
“Jangan keluar!” ujar Zaim lantas buka pintu keretanya dan segera mendekati Tasneem yang sudah sampai di sebelah. Tangan gadis itu masukkan kunci hendak membuka pintu kereta secara manual.
“Tas!”
Zaim menyapa dan suara yang menyentuh gegendang telinga seakan serasi di telinga. Terus Tasneem berpaling. Buntang matanya melihat. Kelopak mata yang kuyu terus celik keras. Dia tak lepas memerhati wajah yang ada di depan mata.
Serta-merta tohmahan lelaki itu hadir di ingatan dan kepalanya mula menjadi berat. Mata pun kabur. Terasa hampir pitam dan dia hampir jatuh namun Zaim pantas mengampu. Paut bahunya dan rapatkan ke dada.
Seketika Tasneem diam di bahu lelaki itu. Namun rasa tak selesa mendahului lantas dia tolak tangan itu. Nasib dia tengah tak bermaya. Jika tidak dia sudah memaki hamun lelaki itu. Muncul tak dipinta.
Tasneem membelakangi. Sudah tidak sudi lagi memandang dan suara Zaim pun kedengaran.
“Kau demam!” luah Zaim risau dan mahu menarik tangan Tasneem.
“Jangan sentuh!” marah Tasneem dan cepat-cepat mahu membuka pintu kereta namun tangan yang menggigil menghalang tindakannya bergerak lancar. Zaim yang menyaksikan keadaannya dengan pantas menarik beg laptop dari bahunya.
“Kita balik rumah mami,” ajak Zaim lembut.
“For what!” soal Tasneem keras. Dalam keadaan lemah dia cuba tunjuk keras. Lantas berpaling. Mata yang merah kerana demam semakin merah akibat sakit hati. “Supaya senang kau nak hina aku. Cakap aku murah. Cakap aku yang rancang semuanya.”
Zaim terpempan. Tahan amarahnya dengan menggenggam tangannya. Ikutkan hati dia nak menjawab tetapi keadaan Tasneem yang lemah mengawal hatinya dari bertindak luar batas. Hatinya tak akan melukakan gadis itu lagi. Dia perlu buat sesuatu agar rumah tangganya tak berantakan.
“Kita balik. Mami risaukan kau.”
“Awak!" soal Tasneem. "Awak pula macam mana?"
Zaim ketap bibirnya. Tasneem menyoal apa yang hatinya rasa. Dia... lagilah risau. Dia sudah buat salah dan jika dia tak jumpa Tasneem dia akan salahkan dirinya sampai bila-bila.
Tasneem pejamkan mata.
Bila lelaki itu tidak menjawab dia pun faham. Bermakna dia belum layak untuk bersama lelaki itu. Terus tangannya tarik picu pintu namun Zaim lebih dulu merampas kunci di tangannya. Lelaki itu kunci kereta dan buka pintu sebelahnya.
“Masuk!” arah Zaim tegas apabila Tasneem tak bergerak.
Tasneem pandang kereta sebelah. Barulah dia sedar kereta di sebelahnya adalah kereta Zaim.
"Kalau kau tak nak orang tengok aku angkat kau baik kau masuk sendiri," ugut Zaim namun Tasneem keraskan tubuh dan Zaim pantas herotkan senyum.
Buka pintu belakang dan hulurkan beg laptop kepada Kayla. Nasib Tasneem tak nampak gadis itu kerana cermin kereta yang gelap.
“Leave me!” suruh Tasneem ketika Zaim merapat namun Zaim tak mengendah. Terus dicempungnya Tasneem dan dudukkan ke atas kerusi sebelahnya. Tasneem kelip-kelip pandang lelaki itu. Nasib dia tak larat lalu dia biarkan saja Zaim berbuat sesuka hati.
“Kita pergi klinik dulu ke bang?” tanya Kayla dan Tasneem tersentak. Tak sangka Kayla ada sekali. Hati pun berkecai. Bila dah Kayla ada sana dia tak boleh buat perangai. Dia tak boleh biarkan Kayla tahu apa yang berlaku di antara dia dan Zaim.
“Kita pergi klinik. Ambil mc," ujar Zaim lembut dan kerling Tasneem yang memandang ke arah luar. "Kau demam teruk tapi kau masih nak pergi kerja. Kenapa tak jaga diri?" bebel Zaim lantas memandu membawa Tasneem ke destinasi yang hendak dituju. Kereta Tasneem ditinggalkan dan dia akan datang ambil dengan Jairas nanti.
Dia tak menjawab kerana dia mengharapkab dia akan cepat sembuh supaya senang untuk dia memulangkan semula apa yang telah lelaki itu buat padanya.
***
Datin Hakimah terburu-buru keluar sebaik sahaja kereta yang dipandu Zaim tiba di bawah garaj. Sedari Zaim menghubungi memberitahunya akan keadaan Tasneem dia tak senang duduk. Terus menerpa ke arah pintu penumpang dan cepat-cepat membukanya.
“Tas demam mami,” jelas Zaim lantas bergerak ke bahagian penumpang. Saat itu Tasneem julurkan kaki dengan lemah hendak keluar. Datin Hakimah menjauh sedikit. Kayla di belakang pula tolong bawa semua barang Tasneem masuk ke dalam rumah.
Zaim pula bongkokkan badan mahu mencempung Tasneem namun cepat-cepat ditepis. Dia tak mahu termakan budu lelaki itu.
“Saya jalan sendiri.” Dengan angkuh Tasneem bersuara namun Zaim tak mengendah. Terus saja mencempung Tasneem sehingga ke bilik. Zaim tahu muka Tasneem dah macam singa tetapi dia abaikan.
“Mami cakap kau yang ubah bilik ni. Jadi, kenapa kau nak lari duduk tempat lain?" soal Zaim sebaik sahaja baringkan Tasneem ke atas katil.
Kalaulah dia tak demam. Tapi dia tengah tak berdaya. Lemah rasanya hendak menjawab. Jadi, dia hanya rasa nak tidur sepanjang masa.
"Lain kali aku tak nak tengok kau demam. Bila kau demam aku rasa...."
Namun suara itu yang tak berhenti bercakap mengganggu emosinya. Malah jasmaninya.
“Boleh tak awak keluar dan jangan ganggu saya. Saya nak tidur. Bila saya dah bangkit nanti saya dah kuat. Dan… masa tu kalau awak nak bercakap sampai lidah terjulur keluar pun saya akan dengar.”
Zaim tersentak. Tak sangka Tasneem menjawab. Lalu dia hembus nafas. Bukan kesal tetapi rasq nak tergelak. Seorang Tasneem yang dulu dah kembali. Mulalah terbit bunga-bunga indah dalam hati.
Teringat hal lalu. Dia suka mendengar jawapan balas gadis itu setiap kali dia mengusik. Dan… dia rasakan sudah tiba masanya dia abaikan mereka yang telah membuat mereka bercelaru begini. Dia perlu mulakan semula persahabatan mereka.
“Okay. Aku tak akan cakap dah tapi sebelum kau rehat, aku nak kau isi perut dulu. Lepas tu makan ubat. Kau tidurlah. Bila kau bangun nanti aku nak kau menghadap aku saja. Sebab kau yang cakap macam tu tadi. Ingat!” pesan Zaim dan serentak itu Datin Hakimah muncul dengan dulang makanan.
Zaim ambil dulang di tangan maminya dan letakkan ke meja lampu sebelah. “Susu untuk kau. Kau tak makan apa lagi kan?”
Tasneem pejamkan mata. Lelaki itu ingat akan minuman kegemarannya. Namun dia abaikan.
“Aku tak akan temankan kau. Tapi bila aku masuk pagi nanti aku nak tengok dulang tu kosong,” pesan Zaim lagi kemudian ajak maminya keluar. Tinggalkan Tasneem yang tarik gebar dan menangis dalam senyap.
***
“Im nak balik kondo ke?” tanya Datin Hakimah setelah Zaim tarik pintu dan tutup rapat. Membiarkan Tasneem berehat sepenuhnya.
“Tak mi. Im tidur bilik sebelah,” ujar Zaim lantas hempaskan punggung di atas sofa di ruang rehat bersebelahan bilik kedua. Bilik yang akan dia lelapkan mata seketika nanti.
Dia duduk menongkat kepalanya. Kemudian hembus nafas panjang. Datin Hakimah yang melihat cukup simpati. Pantas labuhkan punggung di sebelah.
“Tak sampai sebulan pun lagi Im dengan Tas kahwin. Jaga hubungan ni. Mami nak tengok Im dengan Tas duduk elok-elok depan mami. Tak nak tengok sorang ke hulu sorang ke hilir. Apa yang mami nak tahu lepas ni Im dah bawa Tas duduk kondo Im tu. Mami dah cakap kan. Akan lepaskan Im bila dah kahwin.”
Datin Hakimah menanti Zaim memberi respon. Namun anaknya itu diam sahaja.
“Duduk kat Kondo tu dan jangan balik lagi. Kalau Im balik pun dah bawa anak sama.”
Zaim tersentak.
Sungguh kata-kata mami buat dirinya terhibur. Hilang sedikit gundah di hati. Lalu dia herotkan senyum lucu. Apabila soal anak yang diluahkan mami, dia tak tahu entah bila semua itu akan terjadi. Dia juga tak nampak usahanya akan berjaya.
“Im cuba mami. Im akan cuba untuk tidak mengecewakan mami dengan papa.”
Akhirnya Datin Hakimah leretkan senyum panjang. Namun senyum itu mati apabila Nik Salimah muncul tak dipinta.
“Erk, mak! Datang dengan siapa?” terkejut sungguh Datin Hakimah melihat emaknya yang tiba-tiba saja berdiri di atas tangga. Orang tua itu hempas nafas geram. Nampak muka itu cukup tak puas hati.
“Mak suruh Jairas ambil."
Datin Hakimah pimpin emaknya sehingga ke sofa.
"Kenapa datang tak cakap?" tanya Dayin Hakimah risau.
"Kalau aku bagitahu sampai bila pun aku tak tahu yang Zaim dah nikah. Nasib baik Jairas buka cerita," balas Nik Salimah sambil kepala terteleng ke sana sini mencari seseorang. "Mananya menantu kamu tu. Nak juga aku tengok. Jairas cakap dia buat rumah ni macam hotel."
Bulat mata Datin Hakimah mendengar cerita emaknya. Terus dia panjangkan leher mencari Jairas namun tak jumpa. Haih, sejak bila pula pemandu suaminya itu pandai mereka cerita. Hatinya mula tak sedap.
Zaim pula kepal tangannya. Sedari tahu siapa Tasneem sebenarnya dia tak rela sesiapa berkata buruk tentang isterinya.
"Menantu apa macam tu. Tak sabar aku nak jumpa empat pasang mata dengan dia."
Datin Hakimah tak merelakan menantunya dicemuh emak sendiri.
“Mak, Tasneem demam tu. Mak janganlah cakap yang bukan-bukan. Tasneem tak lekat kat rumah sebab dia pergi kerja." Datin Hakimah membela menantunya.
“Pergi kerja apa sampai dua tiga hari tak balik. Baik Im lepaskan saja perempuan tu. Biar nenek cari yang lain.”
Kejantanan Zaim tercabar. Namun dia tak mahu panjangkan pertengkaran lantas dia bersuara.
“Nenek tak perlu masuk campur. Im tak akan ikut telunjuk nenek hanya sebab benda kecil. Nenek baru sampai kan. Baik nenek berehat,” luah Zaim lantas masuk ke bilik sebelah dan tutup pintu kuat.
Kayla yang mengintai dari kamar tidurnya tersenyum gembira melihat sikap abangnya. Lelaki itu bukan lagi macam dulu-dulu. Abangnya sudah tunjukkan sifat ketua. Bukan lagi cucu yang manja dan mengharapkan pertolongan si nenek saja.
Kayla bangga!
Share this novel