BAB 17

Family Series 39843

Makan tengah hari telah pun berakhir namun keputusan belum dibuat. Zaim menunggu dengan resah. Hendak bertanya bimbang papanya tak mahu buka mulut. Lantas dia hanya memandang neneknya. Mengharapkan simpati orang tua itu.

Nik Salimah mengherot bibir tuanya. Faham sangat dengan karenah cucu kesayangannya itu.
“Bila nak pergi rumah Nel?” Pantas saja Nik Salimah bersuara. Terus mata Dato’ Zakri memanah emak mentuanya.

“Nanti Zak bincang dengan Kim.” Itu saja yang keluar namun orang tua itu tidak puas hati.

“Alang-alang dah ada kat sini. Teruslah cakap dengan Nel. Senang nanti dia nak bincang dengan mak ayah dia.” Nik Salimah mengusul namun Dato’ Zakri buat tak endah.

“Kim, abang nak balik ofis. Nanti kita bincang dekat rumah,” arah Dato’ Zakri dan Datin Hakimah mengangguk.

Namun Nik Salimah bangkit lantas mencelah.
“Seminggu ni nenek nak tidur rumah Kim. Kalau nak buat apa-apa buat masa nenek ada. Kalau nenek dah balik Cameron, jangan harap nenek nak datang sini lagi.”

Zaim pandang neneknya. Orang tua itu keras hatinya. Kalau dah tunjuk yang hitam jangan nak pujuk suruh ambil yang putih. Sebab itu dia ikut saja kata neneknya.

“Kalau macam tu Kim bawa mak balik rumah terus,” suruh Dato’ Zakri lantas bangkit. Ketika itu dia kuis Zaim. Menyuruh anaknya balik pejabat. Saat Neldhia hendak beriringan dengan Zaim dia berbisik serius.

“Jumpa uncle kat pejabat.”
Dan Neldhia mula gugup. Sudah tahu apa yang hendak dibincangkan lelaki itu. Dato’ Zakri pula terus melangkah keluar dari bilik. Bergerak ke kaunter untuk menyelesaikan bayaran. Sementara Datin Hakimah membawa emaknya ke depan restoran. Menunggu Jairas datang ambil. Kayla yang sudah lama berada di luar pula tunjuk muka tak puas hati. Sesekali memandang ke arah kaunter. Kelihatan papanya ramah berbual dengan Dahlia.

“Mana Tasneem. Tak nampak pun,” sapa Dato’ Zakri sambil mata melilau mencari kelibat gadis itu. Tangan pula keluarkan kad kredit.

“Dah balik dato’. Dia ada urusan nak kena setel.”

Dato’ Zakri terangguk-angguk.
“Cakap dengan dia pak cik nak makan gulai pucuk jahar yang dia buat. Kalau ada simpankan untuk uncle,” ramah Dato’ Zakri berkata.

Sejuk telinga Dahlia mendengar orang tua itu membahasakan pak cik. Anak-beranak lelaki berpangkat itu memang tak sombong. Zaim pun begitu. Cuma itulah, kalau dah kaya tentu akan cari yang sama taraf. Jadi, Tasneem tak boleh nak berangan. Dia tak akan berjodoh dengan keluarga berada ini.

“Baiklah dato’.” Dahlia tetap dengan caranya. Kalaupun lelaki itu berbahasa begitu dia masih rasa segan. Bimbang orang akan cakap dia ambil peluang. Dato’ Zakri yang sudah siap membayar lantas berikan senyuman dan melangkah kembali ke pejabat. Hanya dengan berjalan kaki saja kerana pejabatnya berada betul-betul di hadapan restoran.
***

Tasneem belek planner dengan hati yang hancur. Perlahan-lahan nama yang telah melekat di dalam hati sedari awal pertemuan diusap lembut. Sayangnya hendak membuang nama itu. Tetapi setelah mengetahui pemilik nama adalah hak milik orang dia jadi tak tentu arah. Serasa putus nyawanya walaupun sekadar meminati.

Dengan air mata yang bercucuran dia catatkan nota terakhir sebelum planner tersebut dia humban ke dalam almari.

- 03.10.2023, Selasa, jam 2.00 petang
- Hari patah hati sedunia agaknya. Sungguh aku terseksa.
- Tak sampai sebulan mengenali aku dah kena palau.
- Zaim Muazzam yang aku gilakan dah ada kekasih hati.
- Rasa nak terjun sungai belakang rumah. Aku nak berendam dalam tu sampai demam. Biar rasa sayang ini hilang buat selamanya. Betapa sakitnya hati bila dapat tahu dia milik orang.
- Zaim… saya harap awak tahu kesakitan yang saya tanggung. Tolong cantum kembali hati saya.

Planner ditutup. Bodohnya diri, menyukai lelaki yang langsung tak ada rasa untuknya. Tetapi… dia manusia biasa. Justeru, nama itu akan terus bertakhta di dalam hati buat selama-lamanya.

Jenuh melihat nama itu dan air mata terus mengalir keluar. Sampai basah kertas di atas paha. Sedikit demi sedikit nama itu hampir hilang kerana kebasahan. Lantas dia baling planner sehingga ke atas almari pakaian. Biar duduk kat situ. Itu lebih baik dari dia terus menatap pilu.

Tasneem pandang jendela. Petang masih lagi panas. Terasa lambat pula malam menjelma. Serasa mahu cuti sampai bila-bila. Tetapi jika dia buat begitu nanti kena tindakan tatatertib. Lalu dia tumbuk tilam sekuat hati. Bukan nak marah lelaki itu tetapi dia marah dengan diri sendiri. Kenapa dia boleh jatuh suka pada Zaim Muazzam. Sakitnya hati ibarat lelaki itu telah curang padanya. Padahal Zaim Muazzam tak bersalah. Dia yang tersorong-sorong seorang diri. Orang itu langsung tak berminat hendak menariknya.

Di atas katil dia peluk lututnya erat. Biarkan air mata mengalir tanpa henti. Tiba-tiba tangisannya terganggu apabila ada notifikasi berbunyi. Hati mengharap lelaki itu akan menghantar pesanan. Paling kurang bertanyakan khabar agar rasa kecewa akan hilang. Siapa sangka. Memang itu pesanan daripada Zaim Muazzam.
- Kenapa awal sangat balik. Kau frust ke?
- Chill beb! Laki handsome macam aku ni tak pupus lagi. Usahalah. Cari yang lain.

“Eeeiii!”
Tasneem menjerit geram. Rasa nak baling telefon pula. Zaim Muazzam tak pernah nak serius. Semenjak mengenali lelaki itu ada saja benda yang nak dijadikan modal mengusik. Rasa kecewanya tiba-tiba saja berubah menjadi sakit hati. Kalau tak ingat Tuhan dah lama dia terjun sungai. Nasib baik dia tak putus asa. Dan… nasib baik telefonnya tak jadi mangsa. Itu sajalah telefon yang dia ada untuk bertanya khabar keluarga di kampung.

- Kau jangan frust sangat. Kalau kau frust nanti kau anggap aku musuh. Aku tak nak bermusuh dengan kau. Kita kawan, okay!

- Jadi… sebagai kawan kau hantar nombor akaun. Aku nak bayar upah kau. Dah lama sangat ni.

- Jangan suruh aku tolong sedekahkan kepada anak yatim
Duit kau kan… jadi lebih afdal kau sendiri yang sedekah.
Hati Tasneem tersiat pedih. Tak sanggup hendak melukakan hati sendiri dengan membaca pesanan lelaki itu. Lalu dibiarkan saja pesanan itu tak berjawab. Namun, siapa sangka lelaki itu menghubunginya pula. Tasneem renung layar telefon dengan air mata. Nama lelaki itu yang muncul berkali-kali mengganggu hatinya. Pantas dia matikan telefon.

Tamatkan semua rasa yang ada. Dia tak boleh mengganggu hubungan orang. Dia juga tak perlu nak jadi kawan lelaki itu. Lalu hati serahkan semuanya pada yang Esa. Mengharapkan Tuhan mengatur perjalanan hidupnya sebaik mungkin.

***

Zaim memandang pelik telefonnya. Tadi, elok saja bersambung tetapi kali ini bila didail sekali lagi langsung putus.

“Kenapa?” soal Rafael yang baru masuk ke bilik mesyuarat. Jam tiga setengah nanti mereka akan duduk semeja dengan Dato’ Zakri untuk berbincang tentang projek yang telah diserahkan kepada Zaim.

“Aku rasa dia betul-betul patah hati.”
Rafael tiba-tiba gelak besar.

“Mana tak patah hati. Crush dia dah ada yang punya,” balas Rafael lantas menggeleng kesal. “Tapi kan Im. Tasneem tu budak baik. Sekali tengok pun dah tahu dia perempuan yang layak dijadikan isteri. Dan aku rasa… tak salah kut kalau kau pasang dua.”

Pantas saja pen di tangan dibaling ke arah Rafael. Sempat Rafael mengelak dan pen jatuh ke bawah. Zaim bergumam. Si Rafael ni bila dah tahu isi hati Tasneem mulalah nak membahan saja.

“Kau jangan nak suruh aku buat kerja gila. Kau macam tak tahu. Aku sesekali tak akan menduakan Nel. Kalau aku jenis yang macam tu dah lama Nel makan hati.”

Rafael angguk. Memang Zaim setia. Kalau tidak dah lama Zaim kahwin. Ada anak.

Zaim tiba-tiba pandang Rafael lama sehingga lelaki itu berasa hairan.
“Apa?” soal Rafael lantas acu penumbuk.

“Apa kata kau yang tackle Tasneem. Kasihan dia. Kurang-kurangnya dia tak makan hati sampai ke tua.”

Dan… sekali lagi tawa Rafael berhamburan keluar.
“Kau ingat kau sorang je ke nak cari isteri yang educated. Dah kerja. Aku pun macam kau. Takkan lah aku nak ambil pekerja restoran. Entah-entah sijil SPM pun tak ada. Lainlah kalau dia tu pemilik restoran. Aku on je. Lagipun dia cantik apa.” Rafael luahkan isi hati. Pandang Zaim yang terangguk-angguk. “Hidup zaman sekarang ni dua-dua kena kerja. Isteri kena main peranan juga. Kena banyak membantu suami. Kau ingat aku ni engineer Petronas ke? Aku ni arkitek bawah papa kau je. Kalau papa kau tendang aku, aku nak bagi anak bini aku makan apa nanti. Kalau bini aku pun tak kerja dua-dua nanti merempat bawah jambatan,” sambung Rafael panjang lebar sampai Zaim angkat tangan suruh berhenti.

“Tak payahlah nak fikir fasal budak pelayan tu. Kau ingat dengan cantik saja boleh hidup ke?” Rafael menasihati namun hati Zaim rasa bersalah.

“Aku ni bukannya kejam sangat Raf. Aku kasihan betul bila tengok muka terkejut dia masa nenek aku cakap Nel tu bakal isteri aku. Mata dia merah, berair. Kasihan bro.”

Rafael gelak.
“Kau nak kasihan bagai tu kenapa. Dia ada cakap dia nak kat kau ke?”

“Dia tak cakap pun. Tapi kau sendiri boleh baca kan?”

Rafael angguk.
Mana tak boleh baca. Kalau dah Tasneem tengok Zaim macam tengok suami sendiri. Mata tu redup bercahaya dan ada harapan di hujung pandangan. Pula tu pandai layan Zaim dekat meja makan. Dah macam layan anak raja. Memanglah dia dapat tahu isi hati Tasneem. Haih, kalaulah Tasneem tu terpelajar macam Neldhia dia pun tak teragak-agak nak melamar. Tapi itulah, gadis itu tak ada apa-apa yang dapat membahagiakan keluarganya. Jadi, dia abaikan.

“Eh, lambat lagi ke papa kau ni?” soal Rafael tiba-tiba apabila pintu bilik diketuk orang. Pandang jam tangan yang sudah menganjak ke pukul 3.15 petang tetapi bayang Dato’ Zakri belum kelihatan.

Zaim pantas pandang ke pintu bilik mesyuarat. Wajah pembantunya tersembul di balik pintu menghadiahkan senyuman manis. Lantas masuk ke dalam dan menghantar dokumen yang dia minta. Namun kepala teringatkan Neldhia pula. Entah apalah yang papanya buat. Janganlah disoal selidik Neldhia macam nak cari pekerja baru. Lagipun bukannya papa tak kenal Neldhia. Sejak kecil lagi Neldhia berkawan dengannya. Sepatutnya papa terus masuk meminang tapi sampai ke saat ini langsung tiada jawapan. Ataupun papanya sedang merancang sesuatu.

Ah, janganlah papa lukakan hatinya!

Kasihan betul kau Tasneem.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience